
Kalau ada satu perkara yang kami di Roda Panas tidak akan berkompromi apabila menunggang motosikal, jawapannya ialah memakai topi keledar walaupun dalam jarak yang dekat.
Ya, ramai yang berkata, “Rumah dekat saja”, “Sekejap je keluar beli barang” atau “Jalan kampung, tak bahaya.”
Tetapi hakikatnya, kemalangan tidak pernah memilih lokasi, jarak atau masa. Ia boleh berlaku hanya beberapa meter dari rumah, ketika menunggang motosikal secara perlahan mahupun ketika trafik lengang.
Sebagai media automotif, kami bukan pakar perubatan. Namun selepas bertahun-tahun dalam industri automotif, menghadiri pelbagai kempen keselamatan jalan raya, berbual dengan penunggang dan melihat sendiri pelbagai insiden di jalan raya, satu perkara yang kami belajar ialah topi keledar bukan sekadar memenuhi syarat undang-undang, tetapi ia mungkin mampu menyelamatkan nyawa anda.
Berikut ialah 10 kesan yang pada pandangan kami wajar difikirkan sekiranya seseorang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Berbeza dengan tangan atau kaki yang mungkin boleh dirawat jika cedera, kepala ialah pusat kawalan seluruh tubuh badan. Sebarang hentakan pada bahagian ini boleh membawa akibat yang jauh lebih besar.
Sebab itu topi keledar sentiasa dianggap sebagai peralatan keselamatan paling utama bagi setiap penunggang motosikal.
Ada kemalangan yang nampak tidak begitu teruk. Motosikal hanya tergelincir atau terjatuh pada kelajuan rendah.
Namun jika kepala terkena permukaan jalan tanpa perlindungan, kesannya mungkin lebih serius daripada apa yang disangka.
Ramai beranggapan kemalangan serius hanya berlaku di lebuh raya atau ketika menunggang laju.
Realitinya, banyak kemalangan berlaku ketika perjalanan harian seperti pergi kerja, ke kedai atau menghantar anak ke sekolah.
Jarak yang dekat bukan jaminan keselamatan.
Sekiranya kecederaan yang dialami serius, proses pemulihan boleh mengambil masa yang panjang.
Ada yang terpaksa berehat daripada bekerja, menangguhkan aktiviti harian dan bergantung kepada bantuan ahli keluarga.
Selain kos membaiki motosikal, mangsa mungkin perlu menanggung kos rawatan, ubat-ubatan, pemeriksaan susulan dan pelbagai perbelanjaan lain.
Kadangkala, nilai sebuah topi keledar yang berkualiti sebenarnya jauh lebih murah berbanding kos selepas kemalangan.
Setiap kali seseorang keluar menunggang motosikal, pasti ada insan yang menunggu kepulangannya.
Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, bukan sahaja mangsa yang menerima kesan, malah seluruh keluarga juga akan menanggung beban emosi dan kewangan.
Ramai yang hanya mula menghargai kepentingan peralatan keselamatan selepas melihat sendiri atau mengalami kemalangan.
Hakikatnya, keputusan untuk memakai topi keledar dibuat sebelum enjin motosikal dihidupkan, bukannya selepas kemalangan berlaku.
Sebagai pengguna jalan raya, tindakan kita sering diperhatikan orang lain.
Apabila seseorang menunggang tanpa topi keledar, ia secara tidak langsung memberi gambaran seolah-olah peralatan keselamatan itu tidak penting.
Selain faktor keselamatan, pemakaian topi keledar juga diwajibkan di Malaysia.
Peraturan ini bukan diwujudkan untuk menyusahkan penunggang, sebaliknya bagi meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.
Kalau ditanya kepada mana-mana penunggang yang pernah terlibat dalam kemalangan, hampir semuanya akan memberikan jawapan yang sama.
“Saya tak sangka perkara itu akan berlaku.”
Kemalangan memang tidak boleh dijangka.
Namun memakai topi keledar ialah satu keputusan yang boleh dibuat setiap kali sebelum memulakan perjalanan.
Kami sentiasa teruja berkongsi tentang motosikal baharu, teknologi terkini, aksesori dan pengalaman menunggang. Namun dalam apa jua situasi, kami percaya keseronokan menunggang tidak sepatutnya mengatasi aspek keselamatan.
Tidak kira sama ada anda menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja, pulang ke kampung, melakukan penghantaran atau sekadar tunggangan hujung minggu, jadikan topi keledar sebagai perkara pertama yang dipakai sebelum memulas pendikit.
Nota: Artikel ini ditulis berdasarkan pandangan penulis serta sebagai perkongsian umum mengenai keselamatan jalan raya. Ia bukan nasihat perubatan atau undang-undang, sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya memakai topi keledar setiap kali menunggang motosikal.
Baca Juga : “Visor Wiper” Untuk Topi Keledar, Sesuai Untuk Pemanduan Ketika Hujan Lebat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo Wallbox baharu untuk pemilik kenderaan elektrik bateri (BEV) dan plug-in…
Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 atau KLIMS 2026 melabuhkan tirai dengan mencatatkan kehadiran seramai…
Honda City Hatchback 2026 Tampil Wajah Baharu Honda Thailand secara rasmi memperkenalkan Honda City Hatchback…
