Siapa tidak kenal dengan jenama motosikal tempatan kita, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd, atau lebih dikenali sebagai Modenas. Terletak di Gurun, Kedah, Modenas telah mengeluarkan pelbagai model motosikal kecil berkapasiti 200cc untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Salah satu model yang paling terkenal dan masih menjadi pilihan rakyat Malaysia hingga hari ini ialah Modenas Kriss.
Namun, pengeluaran motosikal Modenas tidak terhad kepada model Kriss sahaja pada ketika itu. Terdapat juga model-model lain yang jarang ditemui atau mungkin sudah tidak lagi di pasaran. Untuk generasi baharu yang ingin mengenali lebih dekat tentang model-model ini, mari kita kongsikan beberapa model ikonik yang pernah dikeluarkan oleh Modenas suatu ketika dahulu.
1. Modenas Kriss CTric

Tahukah anda, Modenas pernah mengeluarkan motosikal elektrik untuk pasaran? Dikenali sebagai Modenas CTric, model ini dihasilkan sepenuhnya di Malaysia pada tahun 2011 dengan 80% komponen tempatan dan hanya 20% komponen diimport dari China.

Ketika dilancarkan, MODENAS CTric dijual pada harga sangat berpatutan iaitu RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Motosikal elektrik ini berjaya mendapat kelulusan piawaian SIRIM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menjadikannya motosikal elektrik pertama yang memenuhi standard piawaian di Malaysia.
2. Modenas CT 110

Sebelum hadirnya CTric, Modenas telah mengeluarkan model CT 110. Dilancarkan pada 23 Oktober 2009, nama CT bermaksud “Citarasa Terkini” dan dilengkapi dengan enjin berkapasiti 110 cc. Motosikal ini menarik perhatian ramai dengan saiz tangki petrol yang lebih besar berbanding motosikal seangkatannya pada ketika itu, iaitu 5.3 liter.
Baca juga : Modenas CTric Motosikal Elektrik Pertama Malaysia
3. Modenas GT 128

Dilancarkan pada Mac 2009, Modenas GT 128 membawa tema “Transformasi Generasi Terkini”. Motosikal ini mempunyai rekaan sporty dan agresif serta menggunakan sportrim dan sistem brek yang sama seperti model Modenas Dinamik. GT 128 juga dipasarkan ke Greece dengan nama Modenas GT 135 dan mendapat sambutan hangat di pasaran Eropah. Model ini juga pernah menjadi saingan sengit Yamaha 135LC V1 pada waktu itu.
4. Modenas X-Cite 130

Modenas X-Cite dilancarkan pada tahun 2006 dengan reka bentuk yang luar jangkaan dan unik berbanding pesaingnya. Tangki petrol motosikal ini terletak di bahagian dada motosikal dan mempunyai kapasiti 3.8 liter. Model ini juga dipasarkan ke Indonesia dan Thailand dengan nama Kawasaki ZX 130.
5. Modenas Ace 115

Antara semua model Modenas, Ace 115 boleh dianggap paling unik dan jarang ditemui. Dilancarkan pada tahun 2012, motosikal ini dijual pada harga permulaan RM4,598. Sayangnya, ia tidak mendapat perhatian yang sepatutnya disebabkan persaingan sengit daripada pengeluar lain pada masa itu. Namun, jika anda menjumpainya pada tahun 2024, pasti sukar untuk percaya bahawa ia adalah motosikal buatan tempatan.
Mengungkap kembali sejarah motosikal Modenas memang menarik. Ini hanya sebahagian daripada model yang pernah dikeluarkan oleh Modenas. Terdapat juga model-model lain yang tidak kurang hebatnya seperti Modenas Elit, Jaguh, Kristar dan sebagainya. Semoga artikel ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang warisan hebat yang dibawa oleh Modenas dalam industri motosikal tempatan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Cara Dapatkan Towing Percuma Untuk Kereta Rosak

Kenderaan rosak ketika sedang melakukan pemanduan atau dalam perjalanan boleh menjadi sesuatu perkara yang cukup meremehkan dan mencabar. Mahu atau tidak kita terpaksa menggunakan khidmat towing jika kereta tidak dapat berfungsi atau bergerak.
Tetapi mengetahui cara mendapatkan perkhidmatan towing secara percuma boleh membantu meringankan kesulitan anda.
Untuk pengguna kereta yang ingin tahu bagaimana mendapatkan towing percuma, berikut adalah panduan yang berguna.
- Semak Polisi Insurans Anda
 
Periksa polisi insurans kenderaan anda. Beberapa syarikat insurans menyediakan perkhidmatan bantuan jalan raya percuma sebagai sebahagian daripada polisi mereka.
Cari maklumat ini dalam buku polisi atau akaun insurans online anda.

- Hubungi Syarikat Towing Tempatan
 
Hubungi beberapa syarikat towing tempatan atau bengkel. Adakalanya mungkin mereka menawarkan perkhidmatan towing percuma sebagai sebahagian daripada promosi atau pakej penyelenggaraan.
Jangan ragu untuk bertanya dan mencari syarat-syarat yang berkaitan.
- Ahli Kelab Automotif
 
Ahli kelab automotif atau persatuan automobil mungkin menikmati kelebihan berupa perkhidmatan bantuan jalan raya yang termasuk towing percuma.
Periksa keahlian anda dan manfaatkan perkhidmatan ini apabila diperlukan. Ini Cuma cadangan daripada penulis tetapi tidak salah jika kita bertanya kerana ada kelab-kelab kereta yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada ahli berdaftar.

- Insurans Penyelenggaraan atau Jaminan Kenderaan
 
Jika kereta masih di bawah jaminan atau program penyelenggaraan, perkhidmatan towing mungkin termasuk di dalam jaminan tersebut.
Berhubung dengan pengeluar kenderaan atau pengedar kereta tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
- Hubungi Pusat Panggilan Bantuan Jalan Raya
 
Pusat panggilan bantuan jalan raya adalah sumber potensi untuk perkhidmatan towing percuma. Pastikan untuk menyediakan butiran lokasi yang tepat dan menjelaskan situasi anda.
Mengenali cara mendapatkan towing percuma bukan sahaja membantu anda menjimatkan kos, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran ketika berhadapan dengan masalah kenderaan.

Sediakan nombor telefon dan butiran yang diperlukan dengan baik untuk memastikan proses perkhidmatan berjalan dengan lancar.
Ingat, syarat dan terma mungkin berbeza bergantung kepada tempat tinggal anda, jadi pastikan untuk memeriksa dengan teliti. Dengan pengetahuan ini, anda dapat bersedia untuk menangani sebarang kecemasan kenderaan dengan lebih yakin.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Apakah Kesan Penggunaan “Chemical” Ketika Mencuci Motosikal?

Mencuci motosikal adalah sebahagian daripada rutin penjagaan kenderaan yang penting untuk mengekalkan penampilan, prestasi, dan jangka hayatnya.
Namun, persoalan sering timbul sama ada penggunaan bahan kimia ketika mencuci motosikal benar-benar diperlukan.
Ramai pemilik motosikal tertanya-tanya sama ada penggunaan bahan kimia dapat memberikan kesan yang lebih baik atau sebaliknya, boleh mendatangkan kerosakan kepada motosikal.
Artikel ini akan membincangkan kebaikan dan keburukan penggunaan bahan kimia ketika mencuci motor serta panduan dalam memilih produk yang sesuai.
1. Fungsi Bahan Kimia dalam Mencuci Motosikal
Bahan kimia seperti degreaser sering digunakan untuk membersihkan kotoran degil yang sukar dihilangkan dengan air sabun biasa.
Komponen seperti rantai, enjin, dan kawasan di sekitar tayar sering terdedah kepada minyak dan debu jalan yang tebal, menyebabkan kotoran ini melekat dan sukar ditanggalkan.
Bahan kimia ini berfungsi untuk memecahkan molekul minyak dan kotoran tersebut.
Proses memncuci lebih mudah dibersihkan tanpa perlu menggosok dengan kuat, sehingga boleh mencalarkan permukaan motor.
Selain itu, bahan kimia khas untuk penjagaan cat juga dapat membantu melindungi permukaan motor daripada sinar UV dan karat.
2. Risiko Penggunaan Bahan Kimia yang Tidak Tepat
Walaupun bahan kimia berfungsi dengan baik dalam membersihkan motor, penggunaannya memerlukan perhatian khusus.
Penggunaan bahan kimia yang tidak sesuai atau terlalu kuat boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan motosikal.
Misalnya, degreaser yang terlalu kuat boleh menghakis permukaan logam dan plastik, manakala sesetengah pencuci boleh menyebabkan cat pudar.
Oleh itu, penting untuk memilih bahan kimia yang sesuai dengan jenis motor dan komponen yang ingin dibersihkan.
Pengeluar sering menawarkan produk yang diformulasikan khas untuk kegunaan automotif, termasuk bahan pencuci mesra cat dan produk penjagaan khusus untuk komponen seperti rantai atau enjin.
Memastikan bahan kimia yang digunakan mempunyai pH neutral adalah salah satu langkah untuk melindungi motor daripada kerosakan jangka panjang.
Baca juga : Tip Penjagaan Suspensi Motosikal
3. Kebaikan Menggunakan Pencuci Tanpa Bahan Kimia
Bagi pemilik motor yang lebih mengutamakan penjagaan alam sekitar, penggunaan pencuci mesra alam tanpa bahan kimia keras adalah pilihan yang baik.
Air sabun biasa atau pencuci khas yang bebas daripada bahan kimia agresif boleh digunakan untuk mencuci bahagian luaran motor tanpa risiko kerosakan kepada cat atau bahan lain.

Kebanyakan pencuci mesra alam juga mengandungi bahan-bahan biodegradable yang tidak berbahaya kepada saluran air atau tanah apabila dibuang.
Penggunaan produk ini memberikan kepuasan dari segi penjagaan alam sekitar dan juga keselamatan komponen motor.
4. Penjimatan Masa dan Kos dengan Bahan Kimia
Menggunakan bahan kimia ketika mencuci motor dapat mempercepatkan proses pembersihan, terutamanya bagi mereka yang sering membawa motor dalam keadaan cuaca dan jalan yang mencabar.
Kotoran degil seperti lumpur dan minyak jalan boleh dibersihkan dengan mudah tanpa memerlukan masa yang lama.
Namun, ia juga penting untuk menimbang kos penggunaan bahan kimia ini.
Sesetengah produk pencuci mungkin mahal, tetapi kualiti pembersihan dan perlindungan yang ditawarkan biasanya berbaloi dengan harga yang dibayar.
5. Langkah-langkah Keselamatan
Semasa menggunakan bahan kimia untuk mencuci motor, pastikan anda mengikuti arahan pengeluar dengan teliti.
Gunakan sarung tangan untuk melindungi tangan anda daripada kesan bahan kimia yang mungkin keras pada kulit.
Selain itu, elakkan menggunakan bahan kimia di kawasan terbuka yang terdedah kepada angin kuat, kerana ia boleh menyebarkan semburan kimia ke kawasan yang tidak diingini.
Konklusi
Penggunaan bahan kimia ketika mencuci motor adalah bergantung kepada keperluan pembersihan dan tahap kotoran yang ada.
Jika motor sering digunakan dalam keadaan jalan yang kotor dan berdebu, penggunaan bahan kimia mungkin diperlukan untuk membersihkan komponen secara menyeluruh.
Walau bagaimanapun, bagi pemilik yang lebih mementingkan penjagaan alam sekitar dan keselamatan motor, pencuci mesra alam atau air sabun biasa juga sudah memadai untuk menjaga kebersihan asas motor.
Apa pun pilihan anda, yang penting adalah menjaga motor agar sentiasa bersih dan dalam keadaan terbaik, serta memastikan produk yang digunakan sesuai dan tidak merosakkan permukaan atau komponen motor.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Senarai Motosikal Sports Tourer Terbaik 2025

Jika anda mencari motosikal sports tourer terbaik untuk tahun 2025, berikut adalah beberapa pilihan yang patut anda pertimbangkan. Model tersenarai bukan sahaja menawarkan prestasi mengagumkan. Malah, setiap model juga dilengkapi teknologi terkini untuk keselesaan dan keselamatan yang maksimum.

1. Yamaha Tracer 9 GT+ (2023 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 890cc, 117bhp
 - Berat: 223kg
 - Ketinggian tempat duduk: 820mm
 - Harga: RM69,998
 
Yamaha Tracer 9 GT+ adalah sports tourer paling canggih dari Yamaha. Ia merupakan motosikal pertama dengan sistem ‘Radar Linked Unified Braking’ yang boleh memperlahankan motosikal secara automatik jika mengesan kenderaan di hadapan membrek secara mengejut.
Dikuasakan oleh enjin tiga silinder 890cc, motosikal ini menawarkan keseimbangan sempurna antara prestasi dan keselesaan. Sesuai untuk perjalanan jauh atau menikmati selekoh berliku.

2. Kawasaki Ninja 1000SX (2020 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 1043cc, 140bhp
 - Berat: 235kg
 - Ketinggian tempat duduk: 835mm
 - Harga: RM73,000
 
Ninja 1000SX menawarkan enjin empat silinder 1043cc yang lancar dan bertenaga. Sangat sesuai untuk perjalanan jauh. Dengan quick shifter yang ditambah baik, tempat duduk yang lebih selesa, serta skrin TFT dengan sambungan telefon pintar, model ini memberikan keseimbangan terbaik antara keselesaan dan prestasi.

3. Suzuki GSX-S1000GT (2022 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 999cc, 150bhp
 - Berat: 226kg
 - Ketinggian tempat duduk: 810mm
 - Harga: RM85,700 (GT) – RM89,900 (GX)
 
Suzuki GSX-S1000GT menggabungkan prestasi enjin superbike dengan keselesaan untuk perjalanan jauh. Model ini menampilkan cruise control, paparan TFT penuh warna, dan sambungan telefon pintar, menjadikannya pilihan terbaik bagi mereka yang inginkan pengalaman menunggang yang serba lengkap.

4. KTM 1290 Super Duke GT (2019 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 1301cc, 175bhp
 - Berat: 209kg
 - Ketinggian tempat duduk: 835mm
 - Harga: RM140,800
 
KTM 1290 Super Duke GT ialah sports tourer berprestasi tinggi dengan enjin paling berkuasa dalam senarai ini. Dengan sistem suspensi separa aktif, brek Brembo, dan teknologi canggih seperti cornering ABS serta kawalan cengkaman sensitif kecondongan, motosikal ini memberikan pengalaman menunggang yang mengujakan tanpa mengorbankan keselesaan.

5. BMW S1000XR (2024 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 999cc, 168bhp
 - Berat: 227kg
 - Ketinggian tempat duduk: 850mm
 - Harga: RM129,500
 
BMW S1000XR adalah gabungan sempurna antara prestasi superbike dan keselesaan motosikal touring. Dengan enjin empat silinder 999cc yang lebih lancar, casis lebih ringan, dan suspensi Dynamic ESA Pro, model ini menawarkan pengalaman menunggang yang lebih sporty serta ergonomik yang lebih selesa untuk perjalanan jauh.

6. Kawasaki Versys 1000 (2021 – kini)
Spesifikasi:
- Enjin: 1043cc, 118bhp
 - Berat: 255kg
 - Ketinggian tempat duduk: 840mm
 - Harga: RM74,500
 
Kawasaki Versys 1000 adalah pilihan terbaik bagi mereka yang mahukan motosikal touring serba boleh. Dengan tempat duduk yang selesa, skrin boleh laras, dan sistem kawalan cengkaman yang canggih, model ini direka untuk perjalanan jauh dengan penuh keselesaan.
Kesimpulan
Tahun 2025 menawarkan pelbagai pilihan motosikal sports tourer yang memenuhi pelbagai keperluan penunggang. Sama ada anda mahukan motosikal dengan prestasi tinggi seperti KTM 1290 Super Duke GT atau pilihan yang lebih seimbang seperti Yamaha Tracer 9 GT+, terdapat model yang sesuai untuk setiap gaya menunggang. Jadi, motosikal mana yang menjadi pilihan anda?
Dari Motorcyclenews
Baca Juga SYM Perkenalkan Sport Tourer Premium TTLBT di EICMA 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



