Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Berakhirnya Era Chevrolet Camaro, Apa yang Menanti?
Suatu keputusan yang mematahkan hati peminat kereta, produksi pony car Chevrolet Camaro akhirnya tiba ke penghujungnya selepas berjaya menapak selama dua generasi sejak dilancarkan semula. Di kilang Lansing, Michigan, pada 14 Disember yang lalu, unit terakhir Camaro menghiasi barisan pengeluaran sebelum meluncur ke pasaran.
Unit terakhir yang keluar merupakan model ZL1 1LE yang dilengkapi dengan kotak gear manual. Namun, kehadiran model pengganti bagi Camaro masih tidak disahkan oleh pihak Chevrolet. Mereka dalam satu pengumuman pada bulan Mac sebelum ini menyatakan “ini bukanlah penamat bagi kisah Camaro.”
Sejarah Camaro bermula pada tahun 1967 sebagai saingan utama kepada Ford Mustang. Selepas berjaya melalui empat generasi, pengeluaran Camaro dihentikan pada tahun 2002. Keputusan untuk menghentikan generasi keempat dipengaruhi oleh jualan yang perlahan serta pasaran coupe sukan yang semakin berkurangan.
Pada tahun 2009, namanya dihidupkan semula dengan rekaan dan platform baru. Kejayaannya menjadikan Camaro sebagai kereta sukan Amerika paling diminati untuk beberapa tahun. Walau bagaimanapun, kejayaan yang sama tidak dapat dicapai oleh generasi keenam yang diperkenalkan pada tahun 2016.
Menurut rekod hingga suku ketiga tahun 2023, Chevrolet hanya berjaya menjual 24,688 unit Camaro. Angka ini jauh lebih rendah berbanding jualan tahun pertama (2016) yang mencatatkan 72,705 unit terjual.
Maka timbul persoalan, apakah akan berlakunya kesinambungan bagi namanya di dunia kenderaan elektrik yang semakin mendominasi? Adakah Camaro akan terus kekal sebagai pony car dalam era kenderaan elektrik (EV)? Atau malah, akan dilahirkan semula sebagai sebuah crossover elektrik yang menggegarkan prestasi?
Kini, para peminat setia Camaro menantikan jawapan terhadap nasib dan transformasi model ini di dalam landskap kenderaan elektrik yang semakin mencabar. Sementara itu, sisa-sisa nostalgia dan kekuatan warisan Camaro tetap menjadi sumber inspirasi bagi jenama Chevrolet untuk melangkah ke hadapan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!
Ducati Multistrada V4 RS Rasmi di Malaysia – Kuasa 180 HP, Harga RM285,900

Ducati Malaysia sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran motosikal touring terbaru mereka. Ducati Multistrada V4 RS.
Model yang kini rasmi untuk pasaran Malaysia ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global tahun lalu. Kini, telah memulakan langkahnya di Malaysia dengan membawa keunikan dan kuasa yang luar biasa dalam kategori motosikal touring.
Apa yang membuatkan Multistrada V4 RS begitu istimewa ialah ia merupakan satu-satunya model dalam siri Multistrada yang menggunakan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale.
Enjin ini sama seperti yang digunakan pada model superbike terkenal Ducati, Panigale dan Streetfighter. Menjadikan Multistrada V4 RS sebuah jentera touring yang memiliki karakteristik motosikal litar.
Enjin Desmosedici Stradale ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 HP pada 12,250 rpm dan 118 Nm tork pada 9,500 rpm.
Dengan gabungan prestasi hebat ini, Multistrada V4 RS mampu memberikan pengalaman tunggangan yang penuh adrenalin, walaupun dalam perjalanan jarak jauh.
Multistrada V4 RS juga dilengkapi dengan teknologi yang berasal daripada motosikal Ducati berprestasi tinggi seperti Panigale V4 SP2.
Antaranya ialah klac kering STM-EVO SBK yang diperbuat daripada aluminium bilet. Terkenal dengan keupayaan prestasi terbaik Ducati. Teknologi ini memastikan setiap anjakan gear lebih lancar dan tepat. Sesuai untuk penunggang yang inginkan prestasi maksimum.
Untuk meningkatkan prestasi aerodinamik dan mengurangkan berat motosikal, Multistrada V4 RS hadir dengan beberapa komponen gentian karbon seperti fender hadapan. Pelindung tangan. Perisai haba dan paruh hadapan yang eksklusif untuk model ini.
Tambahan lagi, bahagian ekor teknopolimer dan subframe titanium menjadikan jentera ini lebih ringan dengan pengurangan berat sebanyak 2.5 kg. Sekaligus memberikan kawalan lebih baik dan responsif di jalan raya.
Dari segi penampilan, Multistrada V4 RS tampil garang dengan liveri Iceberg White yang digabungkan dengan warna merah serta grafik yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP Ducati.
Penampilan sporty ini bukan sahaja menyerlahkan estetika motosikal, tetapi juga memperkuatkan lagi imej prestasi tinggi yang dimilikinya.
Tidak hanya menawarkan kuasa dan penampilan yang menawan, Ducati Multistrada V4 RS juga dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik canggih untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.
Antaranya termasuk Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD). Perincian ini membantu penunggang mengekalkan kawalan lebih baik dalam pelbagai situasi tunggangan.
Multistrada V4 RS juga menawarkan empat mod tunggangan iaitu Full, High, Medium, dan Low. Sesuai untuk keperluan tunggangan yang berbeza. Selain itu, ia dilengkapi dengan ciri seperti Ducati Traction Control (DTC). Ducati Wheelie Control (DWC). Engine Braking Control dan Ducati Quick Shift (DQS). Menjadikan jentera ini serba boleh untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
Model ini adalah yang pertama dalam siri Multistrada yang dilengkapi dengan mod Full Power. Membolehkan motosikal ini memberikan kuasa maksimum pada semua gear, dengan tindak balas segera dari pendikit.
Bagi pasaran Malaysia, Ducati Multistrada V4 RS ditawarkan pada harga RM285,900. Kini tersedia di semua pengedar rasmi Ducati di seluruh negara, motosikal ini pastinya menjadi pilihan utama bagi mereka yang mahukan gabungan sempurna antara prestasi superbike dan keselesaan touring. Dengan pelbagai ciri canggih dan rekaan yang mengagumkan, Multistrada V4 RS dijangka akan menarik minat penggemar motosikal premium di Malaysia.
Dari Careta
Baca Juga Ducati Multistrada V4 dan V4 S 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!
Modenas X-Cite, Kapcai Dengan Posisi Tangki Bahan Api Unik

Modenas X-cite (ditulis juga X-Cite / XCite) muncul sebagai percubaan serius Modenas memasuki segmen kapcai berprestasi lebih besar pada pertengahan 2000-an dan ia merupakan sebuah model yang cuba mencampurkan elemen praktikal kapcai dan aura “sporty” motosikal kompak.
Modenas memperkenalkan X-cite pada September 2006 sebagai kapcai bersesaran 130cc yang ditempatkan untuk bersaing dengan model popular pada waktu itu seperti Yamaha 135LC.
Pelancaran X-cite menandakan langkah Modenas menawarkan sesuatu yang berbeza daripada skema kapcai tradisional mereka dan ia bukan sekadar facelift tetapi juga perubahan konfigurasi ergonomik dan mekanikal.
X-cite menggunakan enjin satu silinder 4-lejang SOHC berkapasiti kira-kira 130 cc (sesetengah pasaran rujuk varian 135cc), dengan nisbah mampatan sekitar 10.0:1, bore x stroke 53.0 x 59.1 mm dan sistem bahan api karburetor Keihin NCV24.
Kuasa rasmi yang sering dirujuk ialah ~9.6 hp @ 7,500 rpm dan tork ~10.7 Nm @ 5,500 rpm. Menggunakan transmisi kotak gear 4-kelajuan dan sistem pemanduan akhir menggunakan tali/pulley jenis kapcai.
Tangki bahan api mempunyai kapasiti kecil (sekitar 3.8 liter) kerana kedudukan tangki yang unik.
Antara ciri unik tentang X-cite ialah kedudukan tangki bahan api di hadapan (di bawah handle) dan bukan di bawah tempat duduk seperti motosikal kapcai biasa serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang lebih besar.
Selain itu paparan meter motosikal ini dilengkapi dengan tachometer (tertumpu kepada imej sporty), karburetor Keihin dengan throttle position sensor (TPS) untuk respon pendikit lebih baik, dan piston bersalut molybdenum seperti yang dipromosikan semasa pengenalan model. Ciri-ciri ini menjadikan X-cite terasa “kelainan” dalam kelasnya.
Walaupun dilancarkan di Malaysia, X-cite mempunyai varian yang sedikit berbeza mengikut pasaran (sesetengah negara lihat versi 135cc atau rim cast).
Modenas kemudiannya membangunkan model-model berasaskan X-cite seperti GT128 (dengan rangka/penalaan diubah) untuk menampung permintaan pasaran yang berbeza.
Persepsi dan strategi pasaran ini menunjukkan pendekatan Modenas menyesuaikan produk untuk segmen kapcai yang lebih luas.
Reaksi pasaran terhadap X-cite bercampur, ramai pemilik puji aspek praktikal (ruang simpanan, posisi tangki), manakala sesetengah pengkritik memberi komen bahawa dari segi penjenamaan dan “feel” ia kurang menonjol berbanding pesaing Jepun yang lebih kuat pemasaran dan sokongan jenama.
Jualan X-cite tidak menyaingi dominasi model daripada Yamaha/Honda tetapi ia mendapat tempat tersendiri dalam komuniti yang menghargai fungsi praktikalnya.
Isu yang sering muncul dalam forum dan komuniti termasuk keperluan penalaan karburetor untuk mendapatkan prestasi optimum, kebimbangan minor terhadap kuasa berbanding 135LC, dan variasi kualiti pada beberapa komponen (contohnya rim spoke vs cast).
Bagi pemilik, ketersediaan ganti bahagiannya masih boleh dicari di pasaran terpakai dan platform e-commerce walaupun untuk item spesifik mungkin perlu mencari melalui kedai khusus atau import.
Modenas X-cite ialah langkah berani Modenas yang cuba menggabungkan ciri praktikal kapcai dan sentuhan “sporty” pada masa yang pasaran tempatan dikuasai jenama Jepun.
Dari sudut teknikal ia adalah motosikal yang masuk akal untuk kegunaan harian dan masih relevan untuk pemilik yang mahukan kapcai berkapasiti sedikit lebih besar dengan identiti tersendiri.
Baca Juga : 5 Motosikal Modenas Yang Mungkin Anda Tidak Pernah Lihat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!





