Keselamatan dan Teknologi Baharu untuk Kegunaan Harian
Aveta Malaysia, jenama motosikal tempatan yang semakin menyerlah di pasaran, hari ini memperkenalkan Aveta Nova 160 Signature Edition (SE) versi naik taraf kepada model Nova 160 yang kini tampil dengan sistem brek Anti-Kunci Dua Saluran (Dual Channel ABS) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Penambahbaikan ini memberi kawalan dan kestabilan yang lebih baik terutama di permukaan jalan basah atau tidak rata, menjadikannya antara skuter paling selamat dalam kelasnya.

Pelancaran ini juga menandakan kesiapsiagaan Aveta dalam memenuhi peraturan baharu Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang akan mewajibkan pemasangan sistem ABS untuk semua motosikal melebihi 150cc bermula tahun 2025 dan merupakan langkah penting ke arah meningkatkan keselamatan penunggang di negara ini.
“Pelancaran Nova 160 Signature Edition mencerminkan komitmen Aveta dalam mematuhi piawaian keselamatan terkini sambil terus menawarkan teknologi canggih pada harga mampu milik,” jelas Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia.
Rekaan Sporty dan Ciri Praktikal
Dari segi reka bentuk, Nova 160 SE tampil lebih segar dengan dekal baharu dan tiga pilihan warna menarik Teal Green, Copper Blaze dan Dark Blue. Kombinasi warna ini menyerlahkan imej lebih dinamik dan moden, sesuai dengan citarasa penunggang bandar masa kini.

Walaupun tampil dengan teknologi tambahan, model ini masih mengekalkan enjin 160cc yang terbukti berprestasi dan tahan lasak, sama seperti model asal yang diperkenalkan awal tahun ini. Ia direka untuk menawarkan keseimbangan antara kuasa, kecekapan bahan api dan keselesaan tunggangan harian.
Menurut Steven, pembangunan Nova 160 SE berasaskan maklum balas pengguna yang menekankan tiga keperluan utama: keselamatan, praktikaliti dan gaya.
“Model ini dibangunkan dengan meneliti apa yang paling dihargai oleh penunggang Malaysia. Kami mahu menjadikan teknologi keselamatan seperti ABS dan TCS sebagai sesuatu yang mudah dicapai oleh semua,” tambah beliau.
Menepati falsafah Aveta sebagai jenama “mampu milik dengan teknologi moden,” model ini menawarkan gabungan keselamatan, gaya dan nilai terbaik dalam segmennya.
Harga dan Ketersediaan
Aveta Nova 160 Signature Edition dijual pada harga pengenalan RM8,088 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) sehingga Disember 2025, selepas itu ia akan dijual pada harga biasa RM8,388.

Model ini akan mula berada di semua pengedar sah Aveta di seluruh negara bermula minggu hadapan, memberi peluang kepada penunggang Malaysia untuk menikmati tunggangan yang lebih selamat, pintar dan bergaya setiap hari.
Baca Juga : Aveta Malaysia Perkenal Cogan Kata Baharu: Redefining Boundaries
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
























