Ayah & Anak Berentap di Vios Challenge 2025 Untuk Cipta Memori

Share

Vios Challenge 2025: Pertarungan Dua Generasi, Ayah Lawan Anak di Litar Sepang

Dalam dunia perlumbaan, ada yang berlumba untuk kejuaraan, ada pula yang berlumba demi kecintaan kepada sukan ini.

Namun bagi Dato’ Shanmuganathan Arumugam, perlumbaan adalah tentang mencipta memori lebih manis lagi apabila beliau kini berpeluang berlumba bersama anaknya, Ashen, di pentas Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge 2025.

Dari Musim Pertama Hingga Kini

Berlumba di bawah pasukan Kashash Vina Motorsports Racing, kedua-dua mereka bersaing dalam kategori Sporting Class

untuk pelumba amatur.

Shanmuganathan bukanlah nama asing beliau antara pelumba paling lama bertahan sejak Musim 1 pada tahun 2017.

“Pemanduan adalah minat saya, dan Toyota telah menyediakan platform untuk orang seperti saya merasai sendiri pengalaman perlumbaan profesional. Saya mula agak lewat, ketika usia 49 tahun, dan kini pada umur 56, saya masih seronok berlumba,” katanya.

Cabaran Tanpa Sokongan Profesional

Walaupun minat mendalam terhadap perlumbaan, kekangan masa dan komitmen kerja menjadi cabaran.

Ashen pula sedang menumpukan perhatian kepada pengajian.

Menariknya, persiapan jentera mereka dibuat sepenuhnya oleh mekanik syarikat sendiri bukan pasukan perlumbaan profesional.

“Kru perlumbaan kami sebenarnya adalah mekanik yang menjaga lori syarikat, tiada pengalaman langsung dalam motorsport. Semuanya dibuat secara in-house, seperti satu aktiviti keluarga. Walaupun kekurangan dari segi teknikal, yang penting kami menikmati perlumbaan ini dan mengumpul memori,”

tambahnya.

Ashen, Daripada Penonton Kepada Pelumba

Bagi Ashen yang berusia 19 tahun, peluang berlumba bersama ayahnya adalah satu impian yang menjadi kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada ayah kerana memberi sokongan untuk saya menceburi perlumbaan. Sejak kecil saya lihat beliau berlumba, dan kini kami berada dalam kelas yang sama. Ada persaingan di litar, tetapi soal siapa yang lebih laju itu topik yang sensitif,” selorohnya sambil ketawa.

Ashen yang kini menunggu kemasukan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan komersial turut berhasrat untuk melangkah ke kategori perlumbaan yang lebih tinggi jika diberi peluang.

Bukan Sekadar Perlumbaan Ayah & Anak

Kisah Shanmuganathan dan Ashen membuktikan bahawa perlumbaan tidak semestinya hanya tentang podium atau piala.

Kadangkala, ia adalah tentang pengalaman, hubungan kekeluargaan dan kenangan yang akan diingati seumur hidup.

Bagi mereka, setiap pusingan di litar adalah lebih daripada sekadar perebutan masa terpantas ia adalah perjalanan yang dikongsi bersama.

Ikuti aksi penuh Vios Challenge 2025 melalui:

Maklumat penuh jadual perlumbaan dan profil pelumba: www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi