Sejamas World Perkenal Bateri Madani
Syarikat penyelesaian automotif milik Bumiputera, Sejamas World Sdn Bhd, telah melancarkan Bateri Madani iaitu jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan premium pada harga mampu milik di negara ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sempena Karnival Mega 3 Damansara, sebagai simbol usaha berterusan kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

Bateri Madani : Harga Serendah RM130
Bateri Madani ditawarkan pada harga bermula RM130, termasuk pemasangan profesional, diagnostik dan kalibrasi sistem kenderaan.
Menariknya, dianggarkan harga bateri ini 50 peratus lebih rendah berbanding jenama setanding lain di pasaran, namun tetap mengekalkan kualiti gred premium hasil kerjasama dengan pengeluar global.
Setiap unit turut hadir dengan jaminan selama setahun atau 20,000 kilometer untuk kenderaan persendirian. Bateri Madani kini boleh didapati di seluruh rangkaian pengedar sah dan pusat servis Sejamas World di Malaysia.

Menurut jurucakap Sejamas World, Alfred Kenneth Jingulam Jr, pengenalan Bateri Madani bukan sekadar langkah komersial, tetapi sebahagian daripada misi sosial syarikat.
“Misi kami adalah memastikan setiap rakyat Malaysia mampu memiliki bateri kenderaan berkualiti tinggi. Dengan lebih 38.7 juta kenderaan berada di jalan raya, pengangkutan persendirian kini menjadi keperluan asas. Apabila kos sara hidup meningkat, kami mahu tampil dengan penyelesaian sebenar yang membantu meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Bateri Madani merupakan “inovasi berteraskan sosial” yang bukan sekadar menjual produk, tetapi memperkukuh pergerakan nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian automotif yang mampu milik dan berkualiti.
Sokongan Perdana Menteri terhadap pelancaran ini turut menandakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan Bateri Madani sebagai sebahagian daripada ekosistem “Gerak Madani”, yang menyokong daya tahan ekonomi negara serta kelestarian jangka panjang.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan inisiatif seperti ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa komuniti B40 dan M40, serta memupuk semangat kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
Bagi Sejamas World, pelancaran ini menjadi bukti bahawa inovasi automotif dan tanggungjawab sosial boleh bergerak seiring. Inisiatif Bateri Madani bukan sahaja menandakan komitmen terhadap kualiti produk, malah menunjukkan usaha syarikat mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan kesejahteraan rakyat.
Untuk maklumat lanjut atau pembelian, pengguna boleh melayari laman sesawang rasmi Sejamas World Sdn Bhd.
Tentang Sejamas World Sdn Bhd
Berpusat di Subang Jaya, Selangor, Sejamas World Sdn Bhd ialah syarikat penyelesaian automotif milik penuh Bumiputera di bawah Sejamas Group. Syarikat ini mengkhusus dalam pengedaran bateri automotif, inovasi produk, serta perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Melalui inisiatif seperti Bateri Madani dan kerjasama strategik bersama koperasi tempatan dan rakan industri, Sejamas World berhasrat untuk terus memacu kemajuan sektor automotif tempatan berteraskan nilai dan tanggungjawab sosial untuk rakyat, oleh rakyat.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Panduan Menukar Enjin Kenderaan – Langkah dan Peraturan yang Sah

Menukar enjin kenderaan mungkin tampak seperti tugas yang mencabar, tetapi dengan panduan yang betul. Ia boleh menjadi satu proses yang lancar. Artikel ini akan membantu anda memahami langkah-langkah penting dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum anda membuat keputusan untuk menukar enjin kenderaan anda.
Kategori Penukaran Enjin yang Memerlukan Kelulusan
Sebelum anda memulakan proses penukaran enjin, adalah penting untuk mengetahui bahawa terdapat beberapa kategori penukaran enjin yang memerlukan kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Antaranya ialah:

- Peningkatan Kapasiti Enjin Melebihi 30% dari Enjin Asal: Jika anda merancang untuk menukar enjin dengan kapasiti yang lebih besar, pastikan peningkatan tersebut tidak melebihi 30% daripada kapasiti enjin asal.
- Penukaran Enjin kepada Bahan Bakar Berbeza: Penukaran ini memerlukan kelulusan khas kerana ia melibatkan perubahan besar dalam sistem kenderaan.
- Penukaran Enjin bagi Kenderaan Perdagangan dan Perkhidmatan Awam: Kategori ini memerlukan perhatian khusus memandangkan kenderaan-kenderaan ini digunakan secara komersial.
- Penukaran Enjin kepada Buatan Berbeza: Jika enjin yang dipasang bukan daripada pengeluar asal kenderaan, anda perlu mendapatkan kelulusan.
- Penukaran Enjin Motosikal: Untuk motosikal, penukaran enjin hanya dibenarkan jika buatan dan kapasiti adalah sama dengan enjin asal.

Syarat-Syarat Penukaran Enjin
Selain daripada kategori di atas, terdapat beberapa syarat penting yang perlu dipatuhi:
- Penukaran enjin untuk kategori peningkatan kapasiti hanya dibenarkan bagi kenderaan jenis motokar.
- Penukaran enjin motosikal hanya dibenarkan jika enjin baru mempunyai buatan dan kapasiti yang sama dengan enjin asal.
- Dokumen Kastam K1 diperlukan jika enjin yang dibeli adalah enjin import.
- Struktur casis kenderaan mesti berada dalam keadaan baik dan tidak boleh ada pengubahsuaian pada bahagian penting seperti ‘front cross member’ atau ‘engine mounting’.
- Tahap kecekapan brek perlu dipertingkatkan jika kapasiti enjin yang baru melebihi 30% daripada enjin asal.

Dokumen Permohonan
Untuk memastikan proses penukaran enjin berjalan lancar, pastikan anda menyediakan dokumen-dokumen berikut:
- Borang Permohonan Tukar Enjin (JPJTE): Borang ini boleh didapati dan dihantar melalui portal JPJ atau kaunter Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Negeri.
- Kad Perakuan Pendaftaran (JPJK2) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
- Laporan Kastam K1 yang mencatat nombor enjin baru.
- Surat pengesahan jual beli enjin (jika enjin diperolehi dari kenderaan lain).
- Surat Amanah Raya atau Perintah Mahkamah (jika berkaitan).
Dengan memahami dan mematuhi panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh JPJ, anda bukan sahaja memastikan kenderaan anda mematuhi undang-undang, tetapi juga menjamin keselamatan di jalan raya. Menukar enjin adalah satu pelaburan besar, jadi pastikan anda melakukannya dengan cara yang betul dan sah.

Dari Jabatan Pengangkutan Jalan
Baca Juga Perlu Ke Memanaskan Enjin Kereta Sebelum Memulakan Perjalanan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Tanda-Tanda Minyak Enjin Perlu Ditukar Segera

Menjaga kenderaan dengan baik adalah tanggungjawab setiap pemilik, tetapi ada satu aspek penting yang sering diabaikan — penukaran minyak enjin. Walaupun nampak seperti rutin mudah, melengahkannya boleh mengakibatkan kerosakan serius pada enjin kereta anda.
Minyak enjin bukan sekadar cecair biasa. Ia mempunyai tiga fungsi utama:
- Membersihkan enjin daripada kotoran.
- Melincirkan komponen logam untuk mengelakkan geseran.
- Menyejukkan bahagian dalaman enjin untuk mengelakkan masalah overheat.
Namun, keupayaannya tidak kekal lama. Minyak enjin yang lama digunakan akan kehilangan keberkesanannya dan perlu diganti mengikut jadual atau keadaan tertentu. Berikut adalah lima tanda utama minyak enjin perlu ditukar segera.

1. Enjin Berbunyi Pelik atau Bergegar
Minyak enjin yang kotor tidak dapat melincirkan dan menyejukkan enjin dengan baik. Ini menyebabkan komponen logam dalam enjin bergesel secara langsung, menghasilkan bunyi bising atau gegaran yang ketara. Jika dibiarkan, geseran ini boleh menyebabkan kerosakan enjin yang serius.

2. Bau Terbakar dalam Kereta
Jika anda terhidu bau terbakar, itu mungkin tanda minyak enjin sedang terbakar dalam sistem ekzos. Masalah ini biasanya disertai dengan asap kelabu atau kebiruan dari ekzos. Ini adalah petunjuk jelas enjin mengalami panas melampau atau kebocoran minyak. Segera periksa keadaan minyak dan baiki kebocoran jika ada.

3. Minyak Bertukar Hitam dan Berkilat
Minyak enjin yang digunakan lama pasti berubah warna menjadi gelap. Warna hitam berkilat ini disebabkan oleh kotoran dan bendasing daripada pembakaran dalaman enjin. Ketika memeriksa minyak, pastikan anda melihat tahap kejernihan minyak. Jika minyak kelihatan gelap dan terlalu cair, itu adalah petanda ia perlu ditukar segera.
4. Lampu Amaran Minyak Menyala
Lampu tekanan minyak yang menyala di papan pemuka adalah isyarat serius. Simbol seperti teko Aladdin ini menunjukkan minyak enjin berada pada paras rendah atau kehilangan kelikatan yang sesuai. Kadang-kadang, lampu ini akan menyala bersama lampu check engine oil, memberi amaran risiko kerosakan yang lebih besar. Jangan abaikan isyarat ini!

5. Penggunaan Minyak Petrol Meningkat
Jika anda mendapati kereta semakin kerap menghabiskan minyak petrol, ini mungkin berpunca daripada minyak enjin yang sudah cair atau kurang likat. Keadaan ini menyebabkan enjin bekerja lebih keras, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api.
Kesimpulan
Minyak enjin adalah ‘nyawa’ kepada enjin kereta anda. Kegagalan menukar minyak enjin mengikut jadual boleh menyebabkan enjin cepat haus, berlaku masalah overheat, atau lebih teruk, rosak sepenuhnya. Oleh itu, sentiasa peka terhadap tanda-tanda ini dan pastikan anda menukar minyak enjin secara berkala.
Ingat, langkah pencegahan kecil hari ini boleh menjimatkan kos pembaikan besar di masa hadapan. Jangan biarkan kelalaian kecil membawa kepada risiko besar! 🚗💨
Dari Maskulin
Baca Juga Minyak Enjin Lumba Berasaskan Tumbuhan Pertama di Dunia!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Tesla Supercharger Pavilion KL Kini Dibuka Dengan Kadar RM1.25/kWh
Tesla Malaysia semalam mengumumkan stesen pengecasan Supercharger Pavilion KL kini dibuka secara rasmi.

Dengan lapan terminal pengecasan pantas DC 250 kW yang disediakan, pemilik Tesla boleh menambah jarak perjalanan sehingga 270km dalam tempoh 15 minit sahaja. Stesen pengecasan tersebut dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Tesla Supercharger V3 ini menawarkan kadar pengecasan bermula RM1.25kWh, ini bermakna pengecasan sehingga 24kWh dianggarkan sekitar RM30. Setelah bateri penuh, pemilik perlu mengalihkan kereta ke tempat letak kereta biasa.

Jika gagal membuat demikian, pemilik Tesla akan dikenakan caj terbiar (idle fee) yang boleh mencecah sehingga RM4.00 setiap minit. Menurut Tesla, caj terbiar bermula RM2.00 setiap minit jika stesen supercharger dalam 50% kapasiti dan boleh berganda kepada RM4.00 jika stesen pengecasan dalam kapasiti 100%.

Caj terbiar akan dibatalkan jika pemilik Tesla mengalihkan kereta dalam masa 5 minit selepas pengecasan penuh. Tak lupa juga, pemilik kereta turut dikenakan caj letak kereta dalam Pavilion seperti biasa. Lokasi Tesla Supercharger terletak di aras B1 berdekatan dengan tiang C21.

Untuk mengelak dikenakan caj terbiar, pemilik Tesla dinasihati untuk mengecas kereta apabila hendak keluar dari pusat beli belah kerana mengikut kepada Tesla, pengecasan pantas selama 5 minit mampu memberi jarak perjalanan sejauh 120km.

Kadar bayaran bagi penggunaan Tesla Supercharger diperhatikan agak kompetitif jika hendak dibandingkan dengan stesen pengecasan pantas lain yang berada di pasaran.
Sebagai contoh, stesen pengecasan ChargEV Kempower yang terletak di Bukit Bintang mampu menghasilkan sehingga 320kW dengan kadar RM1.20 setiap kWh dan anda masih boleh biarkan kereta yang sudah cas penuh sehingga 30 minit di tempat letak kereta valet yang disediakan.

Manakala, stesen pengecasan pantas 350kWh DC Gentari yang terletak di XPark Sunway Serene baru-baru ini telah menaikkan kadar pengecasan kepada RM1.70/kWh. Bagaimanapun, pengguna boleh mendapatkan kadar serendah RM0.85/kWh dengan melanggan pelan keahlian tahunan Gentari.

Selain Pavilion Kuala Lumpur, Tesla Malaysia berhasrat untuk meluaskan stesen pengecasan ke lokasi yang dilalui ramai pengguna jalan raya seperti, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Highway).

Tesla Malaysia turut bekerjasama dengan pemaju hartanah seperti Pavilion Group, Sunway Group, Gamuda Land, Levn Capital dan Quill Group untuk memperbanyakkan stesen pengecasan EV di kawasan tertentu.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



