Civic Type R HRC Lebih Agresif dan Fokus Prestasi
Selepas memperkenalkan konsep Honda Civic Type R HRC Concept di acara Tokyo Auto Salon awal tahun ini, Honda kini mula mendedahkan perkembangan versi produksi model tersebut menerusi sebuah video pembangunan rasmi.
Model baharu ini dibangunkan berasaskan Honda Civic Type R sedia ada, namun diberikan sentuhan lebih agresif dengan teknologi yang diambil terus daripada pengalaman perlumbaan Honda Racing Corporation (HRC).
Menurut Honda, model ini sedang dibangunkan untuk menawarkan “ultimate pure sports performance” dengan gabungan teknologi HRC serta maklum balas daripada pemandu perlumbaan profesional.

Honda Civic Type R HRC Concept Sentuhan Aero Lebih Ekstrem
Menerusi video tersebut, beberapa perubahan ketara dapat dilihat walaupun masih dilitupi kamouflaj. Bahagian hadapan tampil dengan bampar baharu yang lebih tajam bersama bukaan udara lebih besar bagi meningkatkan aliran penyejukan dan aerodinamik.
Splitter hadapan juga direka lebih rendah dan agresif lengkap dengan side plate di bahagian tepi. Fender hadapan kini mempunyai tambahan elemen aero bagi membantu kestabilan ketika kelajuan tinggi.
Di bahagian sisi pula, skirt tepi dilihat menerima rekaan lebih sporty manakala di belakang, model ini menggunakan spoiler gentian karbon yang menyerupai aksesori rasmi Type R sedia ada.

Honda Civic Type R HRC Concept Sistem Ekzos Akrapovic dan Casis Lebih Mantap
Antara perubahan paling menarik ialah penggunaan sistem ekzos baharu daripada Akrapovič. Berbeza dengan konfigurasi tiga muncung asal Type R, sistem ini menggunakan tiga tip bersaiz sama yang memberikan penampilan lebih kemas dan agresif.
Honda turut memasang radiator HRC khas yang dapat dilihat melalui gril hadapan. Beberapa pemandu yang menguji jentera ini di Litar Suzuka turut menyatakan model tersebut mempunyai respon lebih tajam, casis lebih rigid serta karakter pemanduan yang lebih hampir kepada kereta lumba.
Menariknya, ruang kabin model ini turut memperlihatkan penggunaan sistem Google Built-in yang kini digunakan pada model Civic generasi terkini. Ia sekali gus mengesahkan kemas kini besar untuk Civic Type R akan datang.

Civic Type R HRC Dijangka Dilancarkan Tidak Lama Lagi
Walaupun Honda masih belum mengesahkan nama rasmi model ini, ramai menjangkakan ia bakal dikenali sebagai Civic Type R HRC. Berdasarkan maklumat awal, model berprestasi tinggi ini dijangka diperkenalkan secara rasmi dalam tempoh kurang 100 hari lagi.
Baca Juga : Acura Integra Type S HRC Prototype, Bakal Setanding Honda Civic Type R FL5?
Baca Juga : Sedan Mewah Terbaik 2024? Mengapa Acura TLX Type S Layak Mendapat Perhatian Anda
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






