Selamat Tinggal Honda Civic Type R: Edisi Ultimate Tanda Perpisahan Model Ikonik Civic
Selepas hampir tiga dekad mendominasi dunia hot hatch, Honda Civic Type R bakal mengucapkan selamat tinggal kepada pasaran UK dan Eropah.
Perpisahan ini diraikan dengan pelancaran Edisi Ultimate, sebagai penghormatan kepada warisan selama 28 tahun model berprestasi tinggi ini.
Akhir Sebuah Era
Honda mengesahkan bahawa Civic Type R akan dikeluarkan daripada barisan jualannya menjelang 2026.
Keputusan ini dibuat susulan perubahan drastik dalam industri automotif yang kini semakin dikawal oleh peraturan pelepasan emisi yang lebih ketat di Eropah dan UK.
Malangnya, Civic Type R dalam bentuknya yang sedia ada tidak lagi mematuhi piawaian baharu tersebut.
Edisi Khas
Sebagai penutup tirai, Honda melancarkan Civic Type R Ultimate Edition, lengkap dengan warna ikonik Championship White dan jalur merah bergaya lumba yang menyuntik elemen klasik Type R.
Di ruang dalaman pula, model ini dihiasi dengan kemasan gentian karbon di bahagian skidplate pintu dan konsol tengah yang menambahkan aura eksklusif dan agresif.
Hanya 40 unit akan dihasilkan, dengan 10 daripadanya dikhaskan untuk pasaran UK, dijual berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Walaupun harga rasmi belum diumumkan, ia dijangka melebihi harga standard Civic Type R yang kini bernilai sekitar £48,900.
Satu Demi Satu Hot Hatch Mengundur Diri
Langkah Honda ini menyusuli pengumuman penamatan Ford Focus ST dan Hyundai i30 N daripada pasaran Eropah.
Kini, hanya segelintir hot hatch berpenggerak hadapan dan berenjin petrol masih bertahan.
Anatara model yang bertahan termasuk Volkswagen Golf GTI dan Polo GTI.
Model lain termasuk dua model daripada Mini iaitu Cooper S dan John Cooper Works.
Sementara itu, pasaran hot hatch pacuan semua roda masih bernyawa melalui model seperti Golf R, Toyota GR Yaris dan Mercedes-AMG A45 S.
Namun, masa depan mereka juga tidak menentu berikutan tekanan regulasi dan peralihan jenama ke arah kereta prestasi elektrik.
Penutup Tirai Penuh Gaya
Civic Type R bukan sekadar kereta ia adalah simbol kepada semangat pemanduan sejati dan kecintaan terhadap kejuruteraan Jepun.
Dengan perpisahan yang penuh gaya melalui Civic Type R Ultimate Edition ini, Honda mengakhiri satu bab penting dalam sejarah automotif Eropah.
Baca Juga : Senarai Honda Type R Bermula Daripada Honda NSR-R Sehingga Honda Civic FL5
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.