Automotif

Cyclone RA600 Rasmi Dilancarkan di Malaysia, Harga Bermula RM25,888

Share

Cyclone RA600 Rasmi Ke Malaysia, Fokus Keselesaan dan Gaya Cruiser

Cyclone Malaysia secara rasmi memperluaskan barisan model premium mereka dengan pelancaran Cyclone RA600, sebuah jentera cruiser moden yang menggabungkan sentuhan klasik dengan teknologi semasa.

Pelancaran ini berlangsung bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 di M Resort & Hotel, sekali gus menandakan persaingan baharu dalam segmen cruiser bersesaran sederhana di Malaysia.

Harga dan Pilihan Warna

Cyclone RA600 ditawarkan pada harga bermula RM25,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Ia boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara, dengan dua pilihan warna yang menonjolkan karakter berbeza iaitu Prestige Black dan Strong Grey.

Kedua-dua warna ini mengekalkan aura cruiser klasik, namun diperkemaskan dengan kemasan moden untuk pasaran semasa.

Enjin Dua Silinder

Cyclone RA600 dikuasakan oleh enjin 550.4 cc, dua silinder, empat lejang, DOHC 8-injap dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 43.5 kW pada 8,500 rpm dan tork puncak 55 Nm pada 6,500 rpm, menawarkan pecutan lancar serta tindak balas pendikit yang mantap.

Kuasa enjin disalurkan melalui transmisi enam kelajuan dan dipadankan dengan pacuan akhir tali sawat, satu ciri yang sinonim dengan jentera cruiser premium kerana operasinya yang lebih senyap dan penyelenggaraan rendah.

Sistem EFI Bosch, pencucuhan ECU dan penghidup elektrik pula memastikan operasi enjin yang cekap serta konsisten dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Suspensi dan Sistem Brek

Bagi memastikan kestabilan dan keselesaan optimum, Cyclone RA600 dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal hadapan dan belakang, disokong oleh ABS dua saluran, memberikan tahap kawalan dan keselamatan yang diyakini, terutamanya ketika membrek kecemasan atau di permukaan jalan licin.

Ciri Moden dan Teknologi

Walaupun berteraskan rekaan cruiser klasik, RA600 hadir dengan pelbagai ciri moden.

Antaranya termasuk paparan meter TFT berwarna, lampu LED penuh dengan DRL, Traction Control System (TCS) boleh hidup/mati

, TPMS, serta port pengecasan USB Type-A.

Ciri-ciri ini bukan sahaja meningkatkan praktikaliti harian, malah menjadikan pengalaman tunggangan lebih selamat dan mudah.

Rekaan Praktikal dan Identiti Cruiser

Menambahkan lagi identiti cruisernya, Cyclone RA600 hadir dengan ekzos berkembar kiri dan kanan, penyandar tempat duduk belakang, serta suis keselamatan tongkat sisi.

Rekaan tempat duduk jenis dual seat ergonomik memastikan keselesaan penunggang dan pembonceng, sesuai untuk perjalanan jauh tanpa mengorbankan gaya.

Untuk pengalaman tunggangan lebih pintar, RA600 dilengkapi sambungan Bluetooth yang menyokong aplikasi Carbit Ride, membolehkan navigasi, paparan skrin dan notifikasi panggilan dipaparkan terus pada meter TFT.

Sistem ini serasi dengan peranti Android dan iPhone, manakala penggunaan kunci mekanikal mengekalkan aspek keselamatan tradisional.

Cyclone RA600 menggunakan tayar CST bersaiz 130/90-16 di hadapan dan 150/80-16 di belakang, menawarkan cengkaman seimbang di pelbagai permukaan jalan.

Dimensi keseluruhan ialah 2,190 mm panjang, 855 mm lebar dan 1,115 mm tinggi, dengan jarak roda 1,510 mm.

Ketinggian tempat duduk 725 mm, jarak ke tanah 150 mm dan berat 198 kg menjadikannya mesra penunggang pelbagai ketinggian.

Kecekapan Mekanikal dan Kapasiti Tangki

Enjin ini menggunakan piston dan lejang 72 mm x 67.6 mm

serta nisbah mampatan 11:1, menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan bahan api dan keselesaan tunggangan.

Tangki bahan api berkapasiti 14.5 liter pula mencukupi untuk perjalanan jarak jauh tanpa kerap berhenti mengisi minyak.

Setiap pembelian Cyclone RA600 disertakan dengan jaminan pengeluar dua tahun dengan perbatuan tanpa had.

Pemilik juga mendapat akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., memastikan sokongan selepas jualan yang menyeluruh dan mudah.

Baca Juga : Brixton Storr 500 Tiba Di Malaysia, Enjin 2-Silinder 486 cc

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi