Doctor Yellow, Tren Laju Jepun yang Tidak Boleh Dinaiki Penumpang

Share

Doctor Yellow Shinkansen: Kereta Api Ujian Jepun 

Sejak rangkaian Shinkansen mula beroperasi pada tahun 1964, Jepun terkenal dengan rekod keselamatan tinggi dalam perkhidmatan tren laju mereka. Di sebalik kejayaan ini, ada sebuah kereta api khas yang jarang diketahui ramai iaitu Doctor Yellow, tren ujian berwarna kuning terang yang menjadi “doktor” kepada Shinkansen.

Nama “Doctor Yellow” diambil kerana fungsinya mendiagnosis keadaan trek dan kabel elektrik sambil meluncur pada kelajuan tinggi. Warna kuning dipilih bukan sekadar mudah dilihat pada waktu malam, tetapi juga kerana ia melambangkan kebahagiaan di Jepun. Tidak hairanlah ramai rakyat Jepun percaya sesiapa yang berpeluang melihat tren ini akan mendapat tuah.

Kredit Foto : Website timeout

Fungsi & Keupayaan

Doctor Yellow bukan sekadar tren biasa ia adalah makmal bergerak yang mampu mencapai kelajuan sehingga 443 km/j. Dengan hanya tujuh gerabak, ia dipenuhi peralatan canggih untuk memeriksa keseimbangan landasan, kehausan kabel atas, serta kestabilan struktur trek.

Setiap perjalanan disertai kru seramai 9 orang:

  • 2 pemandu,

  • 3 juruteknik trek,

  • 4 jurutera elektrik yang menganalisis data.

Hasil bacaan mereka akan dihantar terus kepada pasukan penyelenggaraan untuk tindakan segera.

Tren ini menjalankan dua jenis pemeriksaan:

  • Nozomi inspection – pada laluan berkelajuan tinggi.

  • Kodama inspection – di stesen-stesen yang tren komersial bergerak perlahan.

Selain itu, jika berlaku gempa bumi atau getaran luar biasa, Doctor Yellow akan segera digerakkan bagi memastikan trek masih selamat digunakan.

Kredit Foto : Website jrailpass

Laluan Operasi

Doctor Yellow paling kerap beroperasi di laluan Tokaido Shinkansen (Tokyo–Osaka) dan Sanyo Shinkansen (Osaka–Hakata, Fukuoka).

Terdapat dua versi tren ini:

  • Satu digunakan oleh JR Central dari Tokyo ke Osaka.

  • Satu lagi digunakan oleh JR West dari Shin-Osaka ke Hakata.

Bagi laluan Shinkansen lain, tren khas East-i

turut digunakan, tetapi ia tidak mempunyai aura “legenda” seperti Doctor Yellow.
Kredit Foto : Website jrailpass

Jadual Misteri

Salah satu keunikan Doctor Yellow ialah jadualnya tidak pernah diumumkan secara rasmi. Ini menjadikannya buruan peminat kereta api Jepun atau densha otaku.

Namun, berdasarkan pemerhatian, tren ini biasanya membuat sekitar 36 perjalanan pemeriksaan Nozomi setahun, iaitu kira-kira tiga kali sebulan. Ada juga pemeriksaan Kodama yang lebih jarang dijalankan, hanya lapan kali setahun.

Kereta api ini turut kerap dihantar ke pusat penyelenggaraan Hamamatsu, memberi peluang tambahan untuk peminat melihatnya keluar atau masuk ke depot.

Pencen dan Pengganti

Selepas hampir 60 tahun berkhidmat, Doctor Yellow kini telah menamatkan operasi tren ini pada Januari 2025, manakala JR West akan meneruskannya sehingga sekurang-kurangnya 2027. Selepas itu, fungsi pemeriksaan akan digantikan oleh tren Shinkansen model N700S yang dilengkapi teknologi sama.

Kredit Foto : Website jrailpass

Ikon Kebudayaan & Tuah

Walaupun semua tingkapnya digelapkan bagi melindungi peralatan dalaman, beberapa kali JR West dan JR Central menganjurkan pertandingan khas yang membolehkan orang awam melawat bahagian dalam Doctor Yellow dan ini merupakan peluang yang dianggap membawa “good fortune” oleh ramai rakyat Jepun.

Kredit Foto : Website jrailpass

Lebih daripada sekadar tren ujian, Doctor Yellow telah menjadi ikon budaya. Malah, pelbagai barangan kenangan seperti T-shirt, beg, kasut, hinggalah ke USB berbentuk tren ini dijual di seluruh Jepun.

Baca Juga : Penggunaan ‘Dummy Buckle’, Trend Berbahaya dalam Kalangan Pemandu Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi