
Electric Motion, pakar motosikal jenis trials dari Perancis, memperkenalkan barisan model 2026 mereka dengan sesuatu yang benar-benar luar biasa, model ePure Factor-e. Model ini kini dilengkapi motor baharu yang menghasilkan 1,033lb-ft (1,400Nm) daya kilas, menjadikannya motosikal trials elektrik paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat tersebut.
Untuk memberi perspektif, jumlah itu menyamai daya kilas yang dihasilkan oleh enjin diesel Scania R-Series DC09 berkapasiti sembilan liter dan model ini adalah sebuah jentera yang direka untuk menarik muatan sehingga 40 tan! Namun berat keseluruhan ePure Factor-e hanyalah 75kg, jauh lebih ringan daripada motosikal lumba seperti Suzuki GSX-R1000R, yang mempunyai hampir 13 kali kurang daya kilas.
Menurut Electric Motion, motor baharu ini merupakan satu ‘lonjakan besar’ dalam dunia motosikal elektrik trials. Ia bukan sahaja lebih berkuasa, malah 40% lebih tinggi inersia berbanding generasi sebelumnya, menjadikan kawalan kuasa lebih halus dan linear.
Juara dunia trials, Jeroni Fajardo, turut memainkan peranan penting dalam menala karakter kuasa motor ini supaya lebih sesuai untuk pelbagai gaya tunggangan daripada trial teknikal perlahan sehinggalah trail berkelajuan sederhana.
Menariknya, ePure Factor-e masih mengekalkan transmisi 4-kelajuan dengan klac 3 plat yang dipisahkan daripada motor elektrik satu konfigurasi yang jarang digunakan pada motosikal EV. Ini memberi fleksibiliti kepada penunggang untuk memilih gear secara manual bagi menyesuaikan dengan halangan trial atau tunggangan trail.
Kuasa elektriknya datang daripada bateri lithium-ion 1.8kWh, yang dikatakan mampu memberikan sehingga empat jam tunggangan jenis trials. Bagi mereka yang mahukan jarak lebih jauh, terdapat pilihan bateri 2.5kWh dengan saiz fizikal yang sama membolehkan penunggang memilih antara berat ringan atau jarak lebih panjang
Electric Motion turut membawakan pengalaman moden melalui aplikasi EM Connect. Melaluinya, pengguna boleh melaras hampir semua tetapan motosikal seperti:
Kuasa dan tindak balas pendikit
TKO Management – sistem yang memastikan motor terus berputar ringan walaupun pendikit dilepaskan
Mengunci atau membuka motosikal secara digital
Menyemak status bateri dan berhubung terus dengan pengedar
Ini menjadikan ePure Factor-e antara motosikal elektrik trials paling canggih dari segi integrasi digital.
Selain motor baharu, model 2026 ini turut menerima lengan ayun (swingarm) yang direka semula dengan lebih ringan sebanyak 300 gram, namun lebih kukuh dan mudah dilaras. Ia kini dilengkapi penahan rantai dan sidestand baharu, menjadikan keseluruhan sistem suspensi lebih cekap menguruskan daya hentakan.
Selain Factor-e, Electric Motion turut memperkenalkan empat lagi model:
ePure Race – versi kompetitif dengan daya kilas 553lb-ft
Escape R – versi trials hybrid
Escape X dan XR
Kesemuanya menjadikan Electric Motion semakin mendekati konsep “elektrifikasi total” dalam dunia off-road.
Walaupun saiznya kecil, kuasa yang dimiliki mampu “setaraf superbike”, menjadikan Factor-e satu simbol evolusi sebenar dunia trials elektrik masa kini.
