Euro NCAP atau singkatan bagi European New Car Assessment Programme, adalah ujian penilaian keselamatan kenderaan yang dikenali sebagai salah satu ujian paling sukar di dunia.
Ujian ini tidaklah mudah untuk diharungi, tetapi dengan perkembangan terkini, Euro NCAP telah mengambil pendekatan tegas untuk menjadikan kereta baharu lebih selamat untuk penggunaan di jalan raya.
Satu cara yang digunakan oleh Euro NCAP adalah dengan “memaksa” pengeluar kenderaan untuk mengembalikan semula butang-butang kawalan fizikal di dalam ruang kabin.
Ini bermakna, jumlah markah penarafan keselamatan kenderaan baharu akan dikurangkan jika model yang diuji tidak dilengkapi dengan butang, tuil, atau dial fizikal untuk fungsi-fungsi penting seperti lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, hon, penyeka kaca, dan butang panggilan kecemasan (eCall).
Ads
Kredit Foto: CBT News
Menurut laporan yang diterbitkan oleh The Times, Matthew Avery, pengarah pembangunan strategik Euro NCAP, menyatakan bahawa penggunaan skrin sentuh yang berlebihan adalah satu masalah yang dihadapi oleh industri kenderaan.
Hampir semua pengeluar kenderaan kini menggantikan butang kawalan fizikal dengan skrin sentuh, yang menyebabkan pemandu terpaksa mengalihkan tumpuan mereka dari jalan raya. Ini pula meningkatkan risiko kemalangan.
Menurut Avery, peraturan baharu yang mengenakan penggunaan semula butang kawalan fizikal ini akan dikuatkuasakan pada tahun 2026.
Ads
Ini merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang di jalan raya, serta mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh gangguan pemandu akibat penggunaan skrin sentuh yang berlebihan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan keputusan penting kerajaan mengenai masa depan penggunaan bahan api gas asli mampat (NGV) bagi kenderaan di Malaysia.
Bermula 1 Julai 2025, mana-mana kenderaan NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan di jalan raya Malaysia. Langkah ini bertujuan bagi meningkatkan keselamatan pengguna dan masyarakat amnya.
Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa PETRONAS akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat hingga penamatan penuh mulai tarikh tersebut. Keputusan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor utama. Terutamanya keselamatan pengguna kenderaan NGV.
Sejarah penggunaan NGV menunjukkan kemuncak pemasangan kit kenderaan NGV berlaku antara tahun 1995 hingga 2014. Kebanyakan kenderaan NGV kini menghampiri fasa akhir hayat tangki mereka, iaitu sekitar 15 tahun. Jika tangki ini tidak diganti, risiko kegagalan fungsi dan kemalangan maut akan meningkat.
Di samping itu, terdapat pengguna yang melakukan ubah suai berbahaya dengan menggunakan silinder gas LPG, yang tidak sesuai dan boleh menyebabkan letupan. LPG hanya mampu menahan tekanan rendah berbanding tangki NGV yang direka khas untuk tekanan tinggi.
Selain kos penggantian komponen NGV yang tinggi, alat ganti tulen NGV semakin sukar diperoleh di pasaran. Situasi ini mendorong segelintir pengguna menggunakan tangki terpakai atau ubah suai tidak diiktiraf. Ini boleh mengancam nyawa mereka dan orang sekeliling.
Sehubungan dengan ini, kerajaan memperkenalkan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk membantu pemilik kenderaan NGV beralih kepada bahan api lain. Program ini merangkumi tiga pakej:
Permohonan untuk pakej bantuan ini boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi, www.peralihanngv.com, dengan tarikh tutup seperti berikut:
Selepas 1 Julai 2025, bekalan runcit NGV akan dihentikan sepenuhnya di Malaysia. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang tersebut atau hubungi khidmat pelanggan di Mesralink, 1 800 88 8181.
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) hari ini secara rasmi melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV untuk pasaran Malaysia, sekali gus memperluaskan penawaran elektrifikasi jenama itu menerusi teknologi plug-in hybrid.
Model ini melengkapkan barisan Proton e.MAS dengan pendekatan dwi-kuasa yang menggabungkan pemanduan elektrik harian dan sokongan hibrid bagi perjalanan jarak jauh yang lebih fleksibel.
Tidak seperti model hibrid konvensional, kenderaan ini dibangunkan dengan elektrik sebagai teras utama, manakala enjin petrol berperanan sebagai sokongan tenaga dan hanya memacu roda apabila ia lebih efisien, seperti ketika pemanduan lebuh raya atau laluan berbukit.
Model ini dibina di atas platform GMA, dengan susun atur komponen yang lebih ringkas dan efisien untuk pengalaman pemanduan yang lancar serta praktikal dalam kegunaan harian.
Nadi kepada model ini ialah Sistem Pacuan EM-i, yang direka untuk memaksimumkan penggunaan kuasa elektrik dalam situasi pemanduan harian.
Sistem ini memastikan pemanduan yang senyap, lancar dan cekap, sambil beralih kepada sokongan hibrid secara automatik apabila diperlukan.
Kuasa dihantar ke roda melalui Transmisi Hibrid Khusus 11-dalam-1 (DHT), yang berbeza daripada kotak gear konvensional.
Sistem ini tidak bergantung kepada pertukaran gear tradisional, sebaliknya mengurus penghantaran kuasa secara pintar dengan mengimbangi penggunaan elektrik dan petrol mengikut keadaan pemanduan bagi mencapai kecekapan optimum.
Proton e.MAS 7 PHEV dilengkapi bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) yang menawarkan tahap keselamatan, ketahanan dan rintangan haba yang lebih baik, sesuai dengan iklim Malaysia.
Sistem pengurusan tenaga kenderaan secara automatik memilih sumber kuasa paling efisien, memastikan penggunaan bahan api kekal rendah walaupun bateri tidak dicas sepenuhnya.
Model ini menawarkan tiga mod pemanduan utama. Mod Pure membolehkan pemanduan sepenuhnya elektrik untuk kegunaan bandar dan perjalanan harian.
Mod Hybrid menggabungkan kuasa elektrik dan petrol secara automatik, sesuai untuk lebuh raya dan pendakian jarak jauh.
Mod Power pula menyediakan tindak balas pecutan yang lebih pantas dengan menggunakan output gabungan sistem untuk pemanduan yang lebih dinamik.
Menjelang pelancarannya, Proton e.MAS 7 PHEV telah membuktikan keupayaan sebenar melalui perjalanan sejauh 1,104.5 km dari Pulau Pinang dan Johor Bahru ke PROTON Centre of Excellence di Subang Jaya tanpa sebarang pengisian bahan api atau pengecasan tambahan.
Kenderaan ini masih mencatatkan jarak baki 189 km, membuktikan jangkauan keseluruhan melebihi 1,200 km.
Dari segi kos pemilikan, teknologi EM-i direka untuk menawarkan penjimatan jangka panjang. Anggaran kos bahan api dan penyelenggaraan sepanjang tempoh 10 tahun dianggarkan sekitar RM29,200, lebih rendah berbanding SUV petrol konvensional. Jadual servis juga lebih ringkas, dengan servis EV sekali setahun atau setiap 15,000 km.
Secara visual, Proton e.MAS 7 PHEV menampilkan identiti tersendiri berbanding versi EV. Bar LED hadapan penuh digandingkan dengan lampu belakang LED 3D sepenuhnya, manakala reka bentuk aerodinamik membantu kecekapan dan keselesaan pemanduan lebuh raya. Roda aloi 19 inci dan bumbung panorama melengkapkan penampilan SUV moden ini.
Di bahagian dalaman, kabin direka dengan pendekatan minimalis dan ruang yang luas. Warna dalaman hitam dan putih digandingkan dengan pencahayaan ambient 256 warna, tempat duduk berbalut leatherette, roda stereng unik serta sistem audio premium 16 pembesar suara untuk pengalaman kabin yang lebih mewah.
Proton e.MAS 7 PHEV ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Premium dan Premium Plus. Varian Prime memberi fokus kepada nilai dan kecekapan, Premium menambah ciri keselesaan dan keselamatan, manakala Premium Plus menawarkan bateri lebih besar, pengecasan DC lebih pantas dan ciri premium tambahan.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia bermula dari RM109,800 untuk Prime, RM123,800 untuk Premium dan RM129,800 untuk Premium Plus. Bagi 5,000 pelanggan terawal, rebat pelancaran khas sebanyak RM4,000 ditawarkan.
Sebagai tambahan, model ini hadir dengan waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan, serta waranti bateri dan komponen voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km.
Pelanggan turut ditawarkan pelbagai pakej nilai tambah Power Packs untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.
Dengan pelancaran ini, Proton e.MAS 7 PHEV tampil sebagai SUV PHEV yang praktikal dan relevan untuk pasaran Malaysia, menawarkan keseimbangan antara pemanduan elektrik harian, fleksibiliti jarak jauh dan kos pemilikan yang kompetitif.
Di pentas EICMA 2025, Norton memperkenalkan barisan model global serba baharu mereka dan bintang utama yang mencuri perhatian ialah Norton Manx R 2026 sebuah superbike V-4 moden berkuasa tinggi yang kini direka untuk bersaing dalam barisan model V4.
TVS telah mengambil alih jenama serta hak harta intelek Norton dan telah memulakan pembinaan semula sepenuhnya. Lebih £200 juta (RM1.2 bilion) dilaburkan untuk membangunkan fasiliti moden yang mampu menghasilkan sehingga 8,000 unit motosikal setahun, lengkap dengan rangkaian lebih 200 pengedar di UK, Eropah, India dan Amerika Syarikat.
Seiring usaha itu, Norton kini bersedia memasuki semula pentas global dengan rangkaian model lebih menarik dan mematuhi standard antarabangsa.
Manx R dibangunkan berasaskan legasi enjin V-4 Norton, namun hampir keseluruhan komponennya telah direka semula. Ia kekal sebagai 72° V-4, berkapasiti 1200cc, tetapi kini jauh lebih moden, lebih berkuasa, dan lebih bersih dari segi emisi untuk pasaran global.
Kuasa puncak: 206 hp @ 11,500 rpm
Tork puncak: 95.9 lb-ft @ 9,000 rpm
Walaupun angka 206 hp bukan yang tertinggi dalam kelas superbike hari ini, Norton memilih pendekatan berbeza: prestasi dunia sebenar. Analisis data sejauh 18,500 batu digunakan untuk memahami cara penunggang menggunakan motosikal harian, dan hasilnya, Manx R dibangunkan dengan “sweet spot” prestasi antara 5,000 – 10,000 rpm, bukan semata-mata mengejar angka maksimum atas kertas.
Seperti pesaing dari Jepun dan Eropah, Manx R dibekalkan pakej elektronik kelas atasan:
Cornering ABS & Traction Control
Wheelie Control & Slide Control
Launch Control
Rev-matching Quickshifter
Pilihan mod enjin pelbagai situasi
Sistem ride-by-wire untuk bank silinder depan & belakang secara berasingan
Tidak seperti superbike moden lain, Manx R tidak menggunakan winglet, sebaliknya Norton menumpukan pembinaan casis dan suspensi yang mampu mengekalkan kestabilan tanpa bantuan aerodinamik luaran.
Casis aluminium tuang (cast aluminum) baharu digunakan bersama lengan ayun sebelah (single-sided swingarm). Untuk pengendalian, ia dilengkapi:
Fork USD Marzocchi semi-aktif
Monoshock Marzocchi semi-aktif
Sistem berkaitan IMU, throttle & brek untuk pelarasan pintar mengikut perubahan pitching motosikal.
Norton mendakwa sistem ini memberikan kestabilan optimum tanpa perlu bergantung pada winglet yang kini hampir wajib pada superbike moden.
Manx R hadir dengan set komponen yang bertaraf tinggi:
Angkup brek Brembo Hypure Monoblock, cakera 330mm
Rim gentian karbon BST
Tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4
Berat basah hanya 450 lb (≈204 kg)
Bahagian kokpit pula dilengkapi panel instrumen TFT 8 inci, lengkap dengan fungsi sentuhan (ketika berhenti), penyambungan Bluetooth, sistem tanpa kunci (keyless), serta integrasi jam tangan pintar.
Menariknya, ketua reka bentuk Norton, Simon Skinner, kembali memainkan peranan penting, dengan inspirasi daripada Gerry McGovern tokoh terkenal di Jaguar Land Rover. Ini menjelaskan kenapa rekaan Norton terkini tampil bersudut tajam, permukaan licin dan lebih futuristik, jauh berbeza berbanding model-era V4SV yang lebih berlekuk tradisional.
Tidak seperti model V-4 Norton terdahulu yang hanya dijual di bawah kelulusan khas UK, Manx R akhirnya menerima kelulusan penuh antarabangsa yang membolehkan ia dipasarkan secara rasmi di Amerika Syarikat.
Penghantaran dijadual bermula awal 2026, bersama model Manx standard serta duo Atlas.
Jika ini petanda permulaan, dunia dua roda bakal menyaksikan kebangkitan Norton yang jauh lebih agresif dan relevan berbanding sebelumnya.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...