
Sebagai pengguna kereta, ramai pemilik kereta lebih peka tentang minyak enjin, tayar atau bateri, tetapi ada satu komponen yang penting tetapi sering terlepas pandang, radiator.
Ramai pemilik kenderaan hanya mula ambil tahu tentang radiator apabila kereta sudah mula overheat di tepi jalan. Situasi seperti asap keluar dari bonet atau suhu enjin naik mendadak bukan sahaja “menyeramkan”, malah boleh merosakkan enjin jika dibiarkan.
Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan dengan penjagaan yang betul sejak awal namun kita perlu tahu bagaimana mana komponen ini berfungsi dan apakah faktor yang menyebabkan kerosakan kepada komponen tersebut.
Radiator memainkan peranan penting sebagai sistem penyejukan utama enjin. Setiap kali kereta bergerak, enjin akan menghasilkan haba yang sangat tinggi.
Radiator bertindak menyalurkan coolant untuk menyerap haba tersebut sebelum melepaskannya ke udara melalui sirip radiator. Proses ini memastikan suhu enjin kekal stabil dan tidak melebihi tahap selamat. Tanpa radiator yang berfungsi dengan baik, enjin boleh menjadi terlalu panas dalam masa singkat.
Penjagaan radiator bukan sekadar untuk elak kereta rosak, tetapi juga untuk memastikan keseluruhan sistem enjin berfungsi dengan baik. Radiator yang dijaga mampu mengelakkan masalah overheating, mengekalkan prestasi enjin, serta memanjangkan jangka hayat komponen dalaman. Selain itu, ia juga membantu mengurangkan risiko kerosakan besar yang boleh menelan kos tinggi. Dalam erti kata lain, radiator adalah pelindung utama kepada enjin anda.
Apabila radiator tidak dijaga, pelbagai masalah boleh berlaku tanpa disedari. Antaranya ialah enjin menjadi terlalu panas secara tiba-tiba, sistem penyejukan tersumbat akibat kotoran dan karat, serta kebocoran radiator yang menyebabkan coolant cepat habis.
Dalam keadaan lebih serius, enjin boleh mengalami kerosakan besar seperti gasket bocor atau komponen dalaman yang rosak akibat suhu melampau. Kos pembaikan pula boleh mencecah ribuan ringgit.
Penjagaan radiator sebenarnya tidak rumit dan boleh dilakukan oleh pemilik kenderaan sendiri. Antaranya ialah dengan memeriksa paras coolant secara berkala, memastikan tiada kebocoran pada hos atau radiator, serta menukar coolant mengikut jadual yang disyorkan, biasanya antara dua hingga lima tahun.
Selain itu, pemandu juga perlu peka terhadap perubahan suhu enjin yang luar biasa kerana ia mungkin petanda awal masalah pada sistem penyejukan.
Penggunaan air paip dalam radiator sering menjadi persoalan. Secara asasnya, ia boleh digunakan tetapi hanya dalam keadaan kecemasan. Air paip mengandungi mineral yang boleh menyebabkan pembentukan kerak dan karat dalam sistem radiator. Selain itu, ia juga kurang efektif dalam menyejukkan enjin berbanding coolant.
Oleh itu, jika terpaksa menggunakan air, ia hanya sebagai penyelesaian sementara dan perlu digantikan semula dengan coolant secepat mungkin. Pilihan terbaik tetap coolant khas atau air suling.
Radiator mungkin kelihatan seperti komponen kecil yang tidak memerlukan perhatian khusus, namun peranannya sangat besar dalam memastikan enjin berfungsi dengan baik.
Dalam penggunaan harian, ramai pemandu mengabaikan penjagaannya kerana tiada tanda awal yang menunjukkan komponen ini mengalami kerosakan. Namun apabila masalah berlaku, kesannya boleh menjadi sangat serius.
Sedikit perhatian dan penjagaan berkala bukan sahaja mampu mengelakkan kerosakan besar, malah memastikan perjalanan anda sentiasa lancar dan selamat.
Artikel ini disediakan sebagai panduan umum untuk pemilik kenderaan. Sekiranya anda mengalami sebarang masalah berkaitan overheating atau sistem radiator, adalah disarankan untuk segera ke bengkel berhampiran dan mendapatkan pemeriksaan serta nasihat daripada pakar yang bertauliah.
Baca Juga : Adakah Boleh Guna Air Paip Untuk Radiator?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.