Pusingan pertama Vios Challenge 2025 di Sepang baru saja tamat, dan kalau ada satu cerita besar yang tak boleh kita abaikan. Memang jelas, pelumba muda sekarang makin ‘buas’, menggugat dominasi otai-otai berpengalaman!
Sebanyak 36 pelumba dari Malaysia, Thailand dan Singapura berentap dalam tiga kelas berbeza. Super Sporting (pro), Sporting (amatur), dan Rookie (bakat muda bawah program Toyota GAZOO Racing Malaysia). Tapi, mata semua lebih tertumpu pada kebangkitan ‘budak-budak baru’ yang menyerlah.
Sporting Class – ‘Young Guns’ Tawan Litar
Dalam Race 2 Sporting Class, permulaan memberangsangkan dari Dato’ Ken Foo, hero Kulim Topwheels, berjaya lead dari petak pertama. Tapi sayangnya, ‘kisah dongeng’ Foo hanya bertahan 3 lap saja sebelum diserang bertubi-tubi oleh sekumpulan pelumba muda.
Antaranya Elson Lew (BAE Racing by ES Yang). Brandon Ho (Axle Sports). Mika Hakimi (S&D Tama Motorsports). Adam Mikail (G-Mart Motorsport), dan Raja Amirul Syauqat (TD Racing).
Lap ketiga, Brandon Ho berjaya potong Foo, tapi nasib tak menyebelahi dia lama sebab terlibat dalam drama lima kereta. Menyebabkan dia jatuh ke tengah-tengah kelompok.
Foo sempat ambil semula kedudukan sekejap, tapi bila masuk lap kelapan, Elson Lew dan Taj Izrin Aiman datang memintas macam roket!
Akhirnya, Lew kekal steady sampai ke garisan penamat untuk menang, cuma 1.9 saat di depan Taj Izrin. Monai dari Thailand pula dapat rezeki podium ketiga selepas Brandon Ho dikenakan penalti selepas perlumbaan.
“Saya cuma fokus jaga konsistensi dan tunggu lawan buat silap,” kata Lew dengan senyuman puas.
Bagi Taj Izrin, ini permulaan yang luar biasa. Dua podium terus dalam debutnya di perlumbaan satu model kereta!
Ads
“Saya agak gugup masa mula-mula, tapi saya pesan kat diri sendiri — ada 20 lap nak kejar balik. Alhamdulillah, menjadi,” kata Taj Izrin.
Super Sporting Class – Mitchell Cheah Buktikan Masih Berbisa
Dalam kelas pro pula, persaingan tak kurang panas. Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing, bekas juara Super Sporting, bangkit penuh bergaya untuk menang Race 2. Dia berjaya tewaskan Nabil Azlan (Wheelcorp) di tempat kedua. Manakala Eddie Lew (Laser Motor Racing) bawa pulang tempat ketiga.
Skrip di Super Sporting hampir sama macam di Sporting Class. Otai-otai yang pegang awal perlumbaan akhirnya terpaksa akur dengan tekanan anak-anak muda. Dua kali perlumbaan digantung (Full Course Yellow), Cheah dan Nabil ambil peluang keemasan untuk potong veteran di depan.
“Kami laju masa latihan dan kelayakan, tapi Race 1 saya ada masalah teknikal,” cerita Cheah. “Race 2 kami dah perbaiki, dari petak kelapan panjat sampai menang. Tapi masih panjang lagi musim ni, saya kena terus konsisten.”
Ads
Rookie Class – Ian James Tak Bagi Peluang
Dalam kelas Rookie, Ian James, bekas pelumba simulator, buat semua orang kagum bila dia ‘leading’ dari mula sampai habis, menang dengan jarak lebih 13 saat! Aydan Khaliq (18 tahun) kekal konsisten di tempat kedua. Manakala Genevieve Ooi satu-satunya gadis dalam kelas ni, bangkit semula untuk dapat podium ketiga selepas prestasi kurang memberangsangkan di Race 1.
“Saya cuma fokus untuk kekal konsisten dan jaga kereta sampai ke garisan penamat,” kata Ian, yang berusia 22 tahun.
Bagi Genevieve pula, hasil Race 2 ni sangat bermakna, membuktikan dia bukan sekadar pelengkap grid.
“Saya tekad nak pandu bersih dari mula sampai habis. Nasib baik saya dapat elak drama depan mata dan manfaatkan peluang,” katanya ceria.
SOCAR, aplikasi sewa kereta terkemuka di Malaysia, kini memberi akses kepada kemudahan perkongsian kereta dengan lebih mudah selepas kerjasama mereka dengan myNEWS, salah satu rangkaian kedai runcit terbesar negara.
Bertujuan untuk meningkatkan kemudahan dan mobiliti bagi pengguna, kerjasama ini menggabungkan perkongsian kereta dari SOCAR dengan produk-produk penting yang terdapat di kedai myNEWS, menyediakan akses yang tidak tandingan bagi pelanggan.
Dalam kerjasama yang mengujakan ini, kedua-dua jenama telah bertekad untuk memberi semula kepada pelanggan dan pengguna mereka.
Lima ribu pengguna SOCAR pertama yang mengambil bahagian dalam kempen ini dengan membuat tempahan dan mengemukakan tangkapan skrin tempahan di halaman kempen mereka akan mendapat kod baucer yang dihantar ke emel mereka untuk menukar minuman terbaru dalam siri Maru Iced Sparkler secara percuma, di mana-mana outlet myNEWS di seluruh negara.
Begitu juga, mana-mana pelanggan myNEWS yang dapat mengumpulkan kod promosi SOCAR akan menerima potongan mana-mana tempahan SOCAR bernilai RM10. Kod promosi SOCAR akan tersedia di resit pembelian mereka apabila mereka membuat pembelian dari mana-mana outlet myNEWS.
“Kami gembira untuk mengumumkan kerjasama kami, menambah nilai kepada pelanggan myNEWS dan SOCAR. Dengan musim perayaan Ramadan dan Raya tidak lama lagi, kami berharap untuk merayakan bersama pengguna kami dan menghargai peranan mereka dalam komuniti perkongsian kereta kami,” kongsi Shylendra Nathan, CEO SOCAR.
Tempoh promosi untuk ganjaran eksklusif ini akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2024, Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama ini, terma dan syarat, dan tawaran promosi, sila layari laman web SOCAR dan laman web myNEWS.
Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, semakin selesa dengan jentera barunya untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024.
Semasa sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, pelumba berusia 29 tahun itu telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan Ducati Panigale V4R, mencecah kelajuan sehingga 313 km/jam.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengendalikan V4. Saya biasanya menggunakan jentera dengan enjin inline… tetapi dengan V4 ini, saya merasai pengalaman yang unik, kita menjadi sebahagian daripada jentera itu,” katanya.
JDT Racing Team bersama Hafizh Syahrin akan menyertai saingan pertama mereka dalam ARRC 2024 dalam kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Kredit Foto: Bikesrepublic.com
Hafizh Syahrin, yang menggunakan model terkini jentera buatan Itali ini untuk kali pertama, optimis dapat memberikan saingan terbaik dan mengejar gelaran juara keseluruhan musim ini.
“Pengalaman saya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebelum ini akan menjadi modal saya. ARRC bukan cabaran mudah, tetapi saya yakin dengan sokongan daripada pasukan JDT Racing Team, kami mampu berada di podium dan memberikan saingan di tiga tangga teratas,” katanya.
Pada Oktober lepas, JDT meluaskan aktiviti mereka dengan terlibat dalam sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin, yang merupakan wakil Malaysia pertama yang bersaing dalam MotoGP pada 2018, dan menjadikan ARRC musim 2024 sebagai projek perintis.
Apabila ditanya tentang persediaannya untuk menghadapi ARRC, Hafizh Syahrin menyatakan bahawa dia telah bersedia dari segi mental dan fizikal, terutamanya kerana pusingan pertama berlangsung semasa bulan puasa.
Kredit Foto: The Star
“Kita sedia maklum bahawa awal tahun cuaca di Thailand agak panas, jadi kita perlu bersedia dengan keadaan cuaca yang lebih kering berbanding di Malaysia. Kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan saya akan tetap berusaha sebaik mungkin walaupun berpuasa,” katanya.
Kejuaraan ARRC 2024 melibatkan enam pusingan dengan 12 perlumbaan, dengan negara-negara seperti Jepun, China, Thailand, Indonesia, dan Malaysia turut terlibat.
Litar Jerez minggu ini jadi saksi sejarah, Alex Marquez akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dalam kelas premier MotoGP. Lebih manis, kemenangan ini bukan saja melonjakkan dia kembali ke puncak kejuaraan dunia. Malah, menjadikan kemenangan ke-200 untuk pelumba Sepanyol dalam sejarah MotoGP.
Tapi, dalam kegembiraan Alex, ada kisah duka untuk abangnya sendiri, Marc Marquez. Baru saja mendominasi mata keseluruhan sebelum ni, Marc hilang kawalan Ducati kilangnya di pusingan ketiga. Terus tersadai dan kini satu mata di belakang Alex dalam carta kejuaraan.
Sementara itu, Yamaha akhirnya ada sebab untuk bergembira. Fabio Quartararo berjaya naik podium buat kali pertama sejak Grand Prix Indonesia tahun lepas.
Babak Pertama
Dari awal lagi, Quartararo terus melompat ke depan dari petak pertama. Meninggalkan huru-hara di belakang bila Marc terpaksa bertarung dengan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia.
Laga keras dua Ducati ni macam ‘deja vu’ dari GP Americas, Marc cuba menyelit, tolak, cari ruang. Namun, Pecco tetap pertahan kedudukan.
Malangnya, masa masuk selekoh Martinez di pusingan ketiga, Marc terlebih berani. Tayar motor hadapan hilang cengkaman, dan beliau tergelincir jatuh.
Lepas Marc tersungkur, tugas berat Bagnaia belum habis. Kali ni adik Marquez, si Alex pula datang menyerang. Hanya perlu empat pusingan untuk Alex cucuk dan ambil tempat kedua di selekoh Lorenzo.
Alex Buka Langkah
Dari situ, kelompok pendahulu Quartararo, Alex dan Bagnaia mula membentuk rentak sendiri. Tapi di pusingan ke-11, Alex buat gerakan berani, potong Quartararo di selekoh pertama. Lepas tu, dia terus mendahului.
Walaupun Quartararo berjaya bertahan dari serangan Bagnaia sampai ke garisan penamat, dia langsung tak dapat kejar Alex. Bagnaia pula, walau terus mengekori rapat, tetap tak jumpa ruang nak potong Yamaha.
Maverick Vinales yang awalnya nampak garang pun terpaksa puas hati dengan tempat keempat. Pencapaian terbaik KTM musim ini, setakat ni.
Di belakang mereka, Fabio di Giannantonio membawa Ducati VR46 ke tempat kelima. Diikuti oleh dua jentera KTM — Brad Binder dan rookie sensasi Pedro Acosta.
Detik Di Litar Jerez
Tapi jangan salah sangka, perlumbaan ni memang banyak drama. Fermin Aldeguer tergelincir masa berada di tempat keempat. Joan Mir dan Franco Morbidelli pun jatuh masa cuba buat comeback lepas start yang tidak memberangsangkan. Jack Miller pula, sayang sekali, kena tarik diri sebab masalah teknikal pada Yamaha Pramac.
Hasil semua kekecohan tu, Ai Ogura berjaya raih tempat kelapan untuk Trackhouse Aprilia. Enea Bastianini masuk kesembilan untuk Tech3 KTM, dan Luca Marini berjaya selamatkan tempat ke-10 untuk Honda.
Marc Marquez? Lepas jatuh, dia bangkit semula, pulun habis-habisan untuk kutip empat mata, habis di tempat ke-12.