
GWM Malaysia rasmi memperkenalkan GWM TANK 300 HEV untuk pasaran tempatan sekali gus menambah pilihan baharu dalam segmen SUV lasak di Malaysia. Model ini dijual pada harga RM259,800 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia tidak termasuk Langkawi.
Kehadiran versi hibrid ini memberi alternatif kepada pengguna yang mahukan SUV off road sebenar tetapi pada masa sama lebih selesa digunakan setiap hari. Dengan bantuan sistem elektrifikasi, pemanduan menjadi lebih lancar, senyap dan cekap terutama ketika bergerak di kawasan bandar.
Walaupun kini menggunakan sistem hibrid, model ini masih mengekalkan asas utama sebagai SUV off road tulen. Ia dibina menggunakan casis ladder frame yang terkenal dengan tahap ketahanan dan kekuatan lebih tinggi berbanding struktur monokok biasa.
Penggunaan casis seperti ini membolehkan SUV tersebut menghadapi permukaan jalan lebih mencabar termasuk laluan berbatu, berlumpur dan tidak rata. GWM turut memaklumkan bahawa TANK 300 sudah mencatat lebih 1,000 pemilik di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 2024.
Dari segi kuasa, GWM TANK 300 HEV menggunakan gabungan enjin 2.0 liter turbo bersama motor elektrik. Enjin petrol menghasilkan 245 PS dan 380 Nm manakala motor elektrik pula menyumbang 106 PS serta 268 Nm.
Secara keseluruhan, sistem hibrid ini menghasilkan output gabungan sebanyak 346 PS dan 648 Nm. Jumlah tork yang besar memberi tindak balas lebih pantas ketika memecut selain membantu ketika melalui laluan mencabar yang memerlukan daya kilas segera.
Gabungan sistem hibrid dan transmisi automatik juga membantu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih halus terutama ketika bergerak perlahan atau dalam keadaan trafik sesak.
Untuk keupayaan luar jalan, SUV ini dilengkapi sistem On Demand 4WD bersama gear julat rendah 4L bagi situasi lebih ekstrem. Pemandu juga boleh memilih beberapa mod pemanduan seperti Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand dan 4L mengikut keadaan permukaan jalan.
Turut disediakan ialah ciri Tank Turn Assist dan Crawl Control yang membantu ketika melalui laluan sempit, cerun curam atau kawasan tidak sekata. Kehadiran fungsi ini menjadikan SUV tersebut bukan sekadar bergaya lasak tetapi benar-benar mempunyai keupayaan off road sebenar.
Dari sudut rekaan, model ini masih mengekalkan bentuk berkotak yang menjadi identiti siri TANK. Penampilannya nampak rugged dan maskulin tetapi masih sesuai digunakan sebagai kenderaan harian.
Bahagian kabin pula menerima kemasan lebih premium termasuk tempat duduk kulit Nappa dan sistem audio Infinity dengan sembilan pembesar suara. Selain itu terdapat sistem infotainmen moden serta sambungan pintar untuk kemudahan pengguna.
Antara pilihan warna yang ditawarkan termasuk Crystal Black, Pearl White dan warna eksklusif baharu Sand Beige khusus untuk versi HEV.
GWM TANK 300 HEV turut dilengkapi pakej bantuan pemandu ADAS Tahap 2. Antara ciri yang disediakan termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Lane Centering, kamera 360 darjah dan Hill Descent Control.
Eksklusif untuk varian hibrid ini, pengguna turut menerima sambungan aplikasi pintar bagi memantau status kenderaan dari jauh selain fungsi bantuan parkir automatik.
Dari segi pemilikan, pembeli menerima penyelenggaraan percuma selama lima tahun termasuk alat ganti dan kos buruh. Turut diberikan ialah jaminan bateri selama lapan tahun atau 180,000 km serta jaminan kenderaan dan sistem HEV selama enam tahun tanpa had perbatuan.
Bagi pemilik persendirian pertama, GWM turut menawarkan jaminan seumur hidup untuk enjin dan transmisi manakala pemilik GWM sedia ada layak menerima rebat kesetiaan sebanyak RM3,000.
Dengan gabungan reka bentuk lasak, sistem 4WD lengkap, kuasa tinggi dan teknologi hibrid moden, GWM TANK 300 HEV dilihat sebagai pilihan menarik untuk pengguna yang mahukan SUV tahan lasak tetapi masih selesa digunakan setiap hari.
Baca juga: GWM TANK 300 HEV, SUV hibrid, SUV off road, GWM Malaysia, kereta baharu Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.