Honda ADV350 2025 Diperbaharui Kini Lebih Pintar, Lebih Praktikal & Lebih Bergaya
Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan versi terkini Honda ADV350 untuk tahun 2025 skuter “adventure” urban yang kini tampil dengan pelbagai naik taraf teknologi, praktikaliti dan ciri keselamatan, menjadikannya lebih lengkap untuk kegunaan harian mahupun tunggangan hujung minggu.
Paparan TFT Baharu dengan Honda RoadSync
ADV350 2025 kini dilengkapi meter TFT penuh warna 5 inci yang memberikan paparan lebih terang walaupun di bawah cahaya matahari. Ia juga menyokong Honda RoadSync, membolehkan penunggang mengawal muzik, panggilan dan navigasi melalui Bluetooth dengan lebih mudah menerusi suis kawalan empat arah berlampu pada hendal.

Ciri Praktikal Dipertingkat: Ruang Simpanan & USB-C
Ruang bawah tempat duduk bersaiz 48 liter kini dilengkapi lampu dalaman, memudahkan penyimpanan dua helmet full-face dan barangan lain. Tersedia juga port pengecasan USB-C dalam ruang sarung tangan sesuai untuk mengecas peranti semasa menunggang.

Penambahan Ciri Keselamatan Baharu
Ciri lampu isyarat auto-cancel kini hadir sebagai standard untuk mematikan lampu signal secara automatik selepas selekoh, mengurangkan gangguan ketika menunggang. Sistem Emergency Stop Signal (ESS) kekal membantu memberi amaran kepada kenderaan di belakang semasa membrek mengejut.
Sistem brek cakera hadapan dan belakang disokong ABS dwi-saluran, digandingkan dengan tayar corak blok tanpa tiub serta rim 6-jejari bentuk ‘X’ – memberi cengkaman dan kestabilan atas pelbagai permukaan jalan.

Suspensi Belakang Kini Boleh Laras
Satu penambahan penting pada ADV350 2025 ialah penyerap hentak belakang jenis remote reservoir yang boleh dilaras pramuatan, membolehkan penunggang melaras keselesaan mengikut beban atau permukaan jalan. Di hadapan, sistem fork terbalik 37mm dengan 125mm travel kekal digunakan untuk pengendalian stabil dan selesa.

Kekal Pintar & Mesra Pengguna
Sistem Honda Smart Key masih menjadi tarikan utama – membolehkan fungsi tanpa kunci seperti menghidupkan enjin dan membuka tempat duduk. Fungsi ‘answer-back’ pula membantu mencari motosikal dengan mudah di tempat letak kenderaan yang sesak.

Jantung Mekanikal – Enjin 330cc eSP+ Berkuasa & Jimat
ADV350 2025 dikuasakan oleh enjin 330cc SOHC eSP+ silinder tunggal, menghasilkan 21.5kW (29hp) pada 7,500rpm dan 31.8Nm tork pada 5,250rpm. Penggunaan bahan api juga kekal menjimatkan pada kadar 28.6km/l, dibantu sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dua tahap untuk kawalan cengkaman optimum.
Tiga Pilihan Warna, Harga Kekal Kompetitif
ADV350 versi baharu ini ditawarkan pada harga RM33,999.00 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran), dengan tiga warna pilihan:
Moscato Red Metallic

Matte Pearl Agile Blue

Matte Gun Powder Black Metallic

Model ini dijangka mula berada di bilik pameran Honda BigWing seluruh Malaysia bermula Ogos 2025. Pembelian turut disertakan waranti 2 tahun atau 20,000km (mana-mana dahulu).
Kunitomo Asano, CEO dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda berkata:
“ADV350 meneruskan semangat X-ADV dan menjadi pencetus kepada segmen ‘adventure scooter’. Dengan kehadiran Honda RoadSync pada model ini, kami bawakan lebih banyak nilai dan keseronokan kepada penunggang Malaysia.”
Untuk maklumat lanjut, layari: https://hondabigbike.com.my/model/adv350/ atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-3993.
Baca Juga Boon Siew Honda Bawa Masuk Empat Model Ke Pasaran Tempatan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
























