Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan dua warna baharu untuk model skuter kompak popular Honda BeAT, iaitu Hitam dan Putih. Sementara itu, dua warna sedia ada Matte Silver dan Hijau masih kekal ditawarkan di pasaran.
Harga mampu milik
Skuter baharu ini akan berada di pusat pameran Honda Impian X serta pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 20 September 2025. Harga runcit yang disyorkan ialah RM6,090, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Ads
Ringkas, jimat minyak & mudah dikawal
Honda BeAT menggunakan enjin 110cc PGM-FI suntikan bahan api, yang terkenal dengan kecekapan minyak dan mampu mencapai lebih 59 km/l mengikut ujian ECE R40.
Sistem Idling Stop (ISS) turut disertakan, membolehkan enjin berhenti secara automatik ketika berhenti seketika untuk menjimatkan bahan api. BeAT juga menggunakan kerangka eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang ringan tetapi kukuh, menjadikan pengendalian lebih mudah, terutama di jalan bandar yang sibuk.
Tangki minyak berkapasiti 4.2 liter, manakala ruang simpanan di bawah pelana mampu memuatkan keperluan asas harian. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi sistem brek CBS (Combi Brake System) yang membantu mengagihkan kuasa brek dengan lebih seimbang.
Ads
Pilihan gaya untuk generasi muda
Dengan harga yang kompetitif, penggunaan minyak yang menjimatkan dan kini hadir dengan dua warna baharu, Honda BeAT terus menjadi pilihan utama penunggang muda yang mahukan skuter ringkas, bergaya dan praktikal untuk kegunaan harian.
Pasukan Proton R3, divisyen perlumbaan bagi jenama automotif nasional Proton. Mendedahkan barisan pemandu yang akan mewakili mereka dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000km (S1K) 2024.
Dalam majlis media yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan PROTON, empat pemandu hebat diumumkan untuk mengemudi Proton S70 R3. Syafiq Ali dan Fahrizal Hasan akan mengemudi kereta 81. Manakala pasukan muda Alister Yoong dan Ariff Azmi dipertanggungjawabkan bagi kereta 82.
Acara tersebut juga menyaksikan penampilan sulung Proton S70 R3 secara terbuka. Sebuah jentera lumba yang diubah suai dari model Proton S70 yang popular. Kereta ini direka khas untuk S1K 2024. Menjadi simbol baru harapan pasukan untuk meneruskan kecemerlangan Proton dalam perlumbaan ketahanan utama negara ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, berkongsi tentang komitmen jitu Proton dalam sukan permotoran. “Sukan permotoran adalah sebahagian daripada DNA PROTON, bermula dari Proton Saga yang pertama.
Walaupun kami tidak menyertai S1K sejak tiga tahun lalu, kami terus memantau perkembangan dunia perlumbaan dan bekerjasama rapat dengan rakan kejuruteraan. Hasilnya, Proton S70 R3 dilancarkan dalam masa setahun selepas model asal diperkenalkan,” katanya.
Pasukan Proton R3 tampil dengan gabungan pemandu berpengalaman dan belia berbakat. Mencipta keseimbangan antara kehebatan teknikal dan semangat muda. Syafiq Ali, yang akan memandu kereta 81 bersama Fahrizal Hasan. Merupakan juara tiga kali S1K dengan Proton R3 dan pemandu dengan pencapaian individu terbanyak dalam sejarah perlumbaan ini.
Fahrizal pula dikenali atas kejayaannya dalam perlumbaan kereta berkuasa tinggi, malah pernah memenangi kelasnya dua kali dalam perlumbaan 12 jam Sepang.
Di kereta 82, gandingan pemandu muda, Alister Yoong dan Ariff Azmi, mencatat sejarah sebagai pasangan paling muda pernah dimiliki pasukan Proton R3. Alister, berusia 21 tahun, berpengalaman luas dalam perlumbaan tempat duduk tunggal. Manakala Ariff, 18 tahun, merupakan juara karting yang juga pernah berlumba bersama Alister dalam S1K pada tahun lepas.
Kedua-dua mereka merupakan lulusan Akademi Sukan Axle, yang dikendalikan oleh Alex Yoong – satu-satunya pemandu Formula 1 Malaysia dan bapa kepada Alister.
Menurut Roslan Abdullah, “Pasukan Proton R3 telah lama menyokong karier pemandu muda dan meningkatkan profil mereka melalui peluang berlumba bersama pasukan kami. Tahun ini, kami yakin dengan barisan pemandu berbakat ini yang membawa peluang terbaik untuk menjulang gelaran dan memperkukuhkan lagi rekod Proton sebagai jenama paling berjaya dalam sejarah Sepang 1000km.”
Dengan persiapan kereta Proton S70 R3 yang kini dalam fasa akhir dan barisan pemandu yang berpengalaman serta bertenaga muda. Pasukan Proton R3 bersedia untuk memberikan saingan sengit di S1K 2024. Sepang 1000km bakal menyaksikan Proton kembali beraksi di arena sukan permotoran negara dengan harapan untuk mengukir lebih banyak kejayaan dalam sejarah mereka.
PROTON memperkenalkan 2026 Proton X70 sebagai evolusi terbaharu bagi SUV C-Segmen andalannya, dengan pendekatan yang lebih matang dan berfokus kepada perkara yang benar-benar penting sepanjang tempoh pemilikan. Model ini bukan sekadar kemas kini kosmetik, sebaliknya dibangunkan berdasarkan maklum balas pengguna dengan penambahbaikan menyeluruh merangkumi prestasi, keselesaan, kos pemilikan serta sokongan selepas jualan.
Pendekatan ini menunjukkan komitmen PROTON untuk menawarkan sebuah SUV yang bukan sahaja menarik ketika dibeli, tetapi kekal relevan dan memuaskan sepanjang tempoh penggunaan, khususnya untuk kegunaan keluarga moden di Malaysia.
Sejak dilancarkan pada tahun 2018, Proton X70 memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap pasaran SUV tempatan. Berkongsi asas dengan Geely Boyue yang telah mencatat jualan global melebihi dua juta unit, model ini dikenali sebagai SUV yang menawarkan keseimbangan antara teknologi, keselesaan dan nilai.
Kemas kini bagi model tahun 2026 ini mencerminkan falsafah penambahbaikan berterusan PROTON, di mana setiap aspek diperhalusi berdasarkan pengalaman sebenar pemilik bagi memastikan ia kekal kompetitif dalam segmen SUV C yang semakin mencabar.
Di bawah bonet, 2026 Proton X70 masih menggunakan enjin i-GT 1.5TD empat silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh kelajuan (7DCT). Unit ini menjana kuasa 181 PS dan tork maksimum 290 Nm, mencukupi untuk pemanduan harian, perjalanan jarak jauh serta kegunaan keluarga.
Penambahbaikan dari segi talaan casis dan suspensi memberikan rasa pemanduan yang lebih stabil, selesa dan yakin, sama ada di jalan bandar yang sesak atau di lebuh raya pada kelajuan tinggi.
Aspek keselesaan terus menjadi fokus utama menerusi penambahbaikan NVH (Noise, Vibration & Harshness) yang menjadikan kabin lebih senyap dan refined. Ruang dalaman yang luas kekal praktikal, menjadikannya sesuai untuk perjalanan seisi keluarga atau penggunaan harian.
Sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain sistem arahan suara Hi PROTON yang memudahkan kawalan fungsi utama tanpa mengganggu tumpuan pemanduan.
Dari sudut kecekapan, SUV ini mencatat penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter bagi setiap 100 kilometer, satu angka yang kompetitif dalam kelasnya tanpa menjejaskan prestasi.
Penggunaan timing chain menggantikan timing belt turut membantu meningkatkan ketahanan enjin serta mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang, sekali gus menjadikan pemilikan lebih rasional untuk jangka masa panjang.
Ciri keselamatan menjadi antara kekuatan utama menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju ADAS Tahap 2 yang merangkumi 13 fungsi penting, termasuk Intelligent Cruise Control, Lane Keep Assist serta Autonomous Emergency Braking.
Keselamatan ini disokong oleh rangkaian 172 pusat servis sah PROTON di seluruh negara, memastikan ketenangan minda bukan sahaja ketika memandu, malah sepanjang tempoh pemilikan.
Automechanika Kuala Lumpur 2026 membuka tirai dengan penyertaan lebih besar, sekali gus memperlihatkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam landskap automotif ASEAN. Acara edisi ke-15 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menghimpunkan lebih 317 pempamer dari 16 negara dan wilayah merentasi enam dewan pameran.
Lebih daripada sekadar pameran perdagangan, acara tahun ini memberi gambaran jelas bahawa industri automotif serantau sedang melalui fasa perubahan besar, khususnya dalam bidang elektrifikasi, rantaian bekalan, aftermarket, digitalisasi dan latihan kemahiran.
Penganjuran Automechanika Kuala Lumpur 2026 hadir pada masa yang menarik, apabila Malaysia dilihat semakin mengukuhkan kedudukan dalam sektor automotif rantau ini. Menurut kenyataan penganjur, Malaysia berjaya mengatasi Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar ASEAN bagi separuh pertama 2025, dengan Perodua dan Proton menyumbang 63 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan.
Perkembangan ini menjadikan Malaysia bukan lagi sekadar pasaran pengguna, tetapi turut berpotensi menjadi pusat pertemuan bagi pemain industri, pembekal teknologi dan pengeluar komponen yang mahu mengembangkan operasi di rantau Asia Tenggara.
Antara tumpuan utama Automechanika Kuala Lumpur 2026 ialah elektrifikasi dan penyelesaian mobiliti baharu. Zon Automotive Mobility Solutions menjadi antara komponen penting pameran dengan mengetengahkan teknologi berkaitan EV, mobiliti hijau, pembuatan pintar serta rantaian bekalan digital.
Perubahan ini menunjukkan bahawa peralihan kepada EV bukan lagi sekadar topik masa depan, tetapi sudah mula mempengaruhi cara kenderaan dibangunkan, diservis dan dipasarkan.
Dengan peningkatan penggunaan EV dan teknologi pintar, bengkel serta pusat servis kini perlu bersedia menghadapi perubahan besar dalam operasi harian mereka.
Permintaan terhadap juruteknik yang mahir dalam sistem voltan tinggi, diagnostik elektronik dan pembaikan moden dijangka terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
Antara jenama dan pemain industri yang menyertai acara ini termasuk Brembo, Kovax, Schmaco, Vanli, Launch, TUHU Car Care, TecAlliance dan Leoch Battery. Kehadiran pemain global ini memperlihatkan minat yang semakin tinggi terhadap Malaysia sebagai pasaran penting dan rakan strategik dalam rantaian bekalan automotif.
Penyertaan merentasi pelbagai sektor seperti alat ganti, elektronik, diagnostik, pembaikan, body and paint serta teknologi bateri turut menunjukkan betapa luasnya ekosistem automotif yang sedang berkembang di rantau ini.
Satu lagi aspek penting dalam Automechanika Kuala Lumpur 2026 ialah penekanan terhadap sektor aftermarket. Automotive Service Marketplace menghimpunkan pemain seperti pakar detailing, bengkel body and paint, rangkaian servis serta penyedia e-dagang automotif.
Ini mencerminkan perubahan besar dalam industri servis kenderaan, di mana bengkel bebas kini perlu bergerak ke arah operasi yang lebih profesional, digital dan berkemahiran tinggi.
Transformasi ini juga membuka peluang perniagaan baharu kepada pemain industri tempatan yang mahu memperluaskan servis serta meningkatkan standard operasi mereka.
Selain pameran produk, acara ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran. Bengkel Collision Repair Training dengan demonstrasi langsung menjadi antara contoh bagaimana latihan teknikal kini semakin penting dalam industri automotif.
Ini kerana inovasi produk sahaja tidak mencukupi jika tenaga kerja tidak bersedia untuk menyokong teknologi baharu. Dalam konteks ini, latihan menjadi elemen penting bagi memastikan industri tempatan tidak ketinggalan dalam peralihan teknologi.
Pembangunan bakat tempatan juga dijangka memainkan peranan besar dalam memastikan Malaysia mampu bersaing sebagai hab automotif serantau.
Automechanika Kuala Lumpur 2026 tidak hanya tertumpu kepada urusan perniagaan. Menerusi autoFEST@KL, acara ini turut menggabungkan elemen budaya automotif seperti pameran kereta klasik dan JDM, pertandingan audio dan modifikasi, motorsport, e-sukan serta zon outdoor, camping dan caravan.
Automechanika Kuala Lumpur 2026 menunjukkan bahawa Malaysia semakin berada di kedudukan strategik dalam pembangunan mobiliti ASEAN. Dengan penyertaan lebih 300 pempamer, fokus kepada EV, aftermarket, latihan teknikal dan rantaian bekalan serantau, acara ini menjadi platform penting untuk melihat hala tuju industri automotif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dalam keadaan ASEAN sedang bergerak ke arah elektrifikasi dan mobiliti pintar, Malaysia dilihat mempunyai peluang besar untuk memainkan peranan lebih utama, bukan sahaja sebagai pasaran automotif besar, tetapi juga sebagai hab teknologi, servis dan rantaian bekalan serantau.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...