Honda Lepaskan ‘Tebuan’ Jalanan CB750 2025 Untuk Menyengat!
Selepas sekian lama menyepi, kini Boon Siew Honda menghidupkan semula nama CB750, kali ini dengan pakej lebih moden, lebih garang dan lebih berkuasa.
Dikenali sebagai jentera ‘streetfighter’ yang penuh dengan karakter, Honda CB750 2025 kini tampil sebagai pilihan utama untuk penunggang yang mahukan gaya agresif, teknologi dan pastinya lebih laju!
Enjin Baru!
Menggerakkan jentera ini ialah enjin dua silinder sebaris 755cc dengan konfigurasi crankshaft 270°, menghasilkan 67.5kW pada 9,500rpm dan 75Nm pada 7,250rpm.
Hasilnya? Tork rendah yang padat, respons lebih pantas dan kuasa linear di setiap julat rpm.
Turut dibekalkan ialah sistem assist/slipper clutch untuk penukaran gear lebih lancar terutama ketika menurunkan gear dengan agresif.
Rekaan Lebih Garang!
Rekaan tangkinya diinspirasikan daripada bentuk sayap tebuan (hornet), lengkap dengan lampu depan jenis projektor LED berkembar, fairing hadapan yang tajam dan ekor kompak yang menambah aura berani.
Tangki yang tirus dan ketinggian tempat duduk yang rendah memastikan jentera ini mudah dikawal tidak kira saiz penunggang.
Ditambah pula dengan berat yang seimbang, CB750 bukan sahaja tampak agresif, tetapi cukup lincah ketika ditunggang.
Teknologi Terkini!
Suspensi depan menggunakan Showa SFF-BP fork, dipadankan dengan penyerap hentak belakang Pro-Link.
Kedua-duanya ditala semula untuk memberikan maklum balas lebih tepat, kestabilan maksima di selekoh dan tunggangan lebih meyakinkan tidak kira dalam bandar atau di laluan berliku.
Sistem brek pula menampilkan cakera berkembar dengan angkup empat omboh jenis radial di depan dan tayar bersaiz 120mm depan dan 160mm belakang cukup untuk memastikan cengkaman padu dalam pelbagai keadaan jalan.
Lengkap Dengan Elektronik Moden
CB750 mengekalkan sistem Throttle by Wire dengan tiga mod tunggangan sedia ada iaitu SPORT, STANDARD dan RAIN serta USER mode yang boleh disesuaikan mengikut citarasa penunggang.
Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula disertakan bersama Wheelie Control, membolehkan jentera ini dikawal dengan lebih selamat dan tepat.
Panel meter TFT 5 inci penuh warna pula bukan sekadar paparan, tetapi turut menyokong Honda RoadSync.
Aplikasi ini membolehkan navigasi, panggilan, mesej dan muzik diakses melalui sambungan telefon pintar.
Warna & Harga
CB750 2025 ditawarkan dalam dua pilihan warna:
Matte Pearl Glare White
Glint Wave Blue Metallic
Harga jualan bermula dari RM49,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Turut disertakan adalah jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000km.
Aksesori Quickshifter pula ditawarkan secara berasingan untuk penunggang yang mahukan pengalaman menukar gear tanpa klac.
Layari Honda BigWing Malaysia atau kunjungi pengedar sah Honda BigWing untuk maklumat lanjut.
“CB750 sentiasa dikenali sebagai model yang membawa gaya streetfighter sebenar. Untuk 2025, kami telah menambah baik reka bentuk, pengendalian dan teknologi penunggang agar ia bukan sekadar nampak agresif tetapi juga rasa agresif ketika ditunggang.”
– Kunitomo Asano, CEO & Pengarah Urusan Boon Siew Honda
Baca Juga : Honda CB1000 SP – Naked Terbaharu Penuh Aerodinamik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.