Boon Siew Honda baru sahaja memperkenalkan dua model terbaharu mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Honda CBR650R dan CB650R. Kedua-dua model ini hadir dengan teknologi canggih Honda E-Clutch, menjadikan pengalaman menunggang lebih mudah dan menyeronokkan.
Apa Itu Honda E-Clutch?
Honda E-Clutch adalah sistem klac elektronik yang membolehkan penunggang menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac secara manual.
Teknologi ini direka untuk memudahkan pelbagai situasi menunggang, sama ada agresif atau santai. Bagi penunggang baru, teknologi ini sangat membantu kerana mengurangkan risiko enjin mati jika tuil klac tidak digunakan dengan betul. Bahkan, motosikal tetap berjalan lancar walaupun gear tidak berada di posisi neutral.
Menariknya, E-Clutch ini juga boleh dimatikan jika penunggang mahukan kawalan penuh klac secara manual, seperti ketika menunggang di litar untuk prestasi maksimum. Pihak Boon Siew Honda turut mengesahkan bahawa teknologi ini tidak memerlukan penyelenggaraan tambahan, jadi kos servis kekal sama seperti motosikal biasa.
Enjin dan Prestasi
Dari segi spesifikasi, kedua-dua model berkongsi enjin yang sama, iaitu enjin 649cc DOHC empat silinder sebaris. Ia mampu menghasilkan 93.8HP pada 12,000RPM dan tork maksimum 63Nm pada 9,500RPM. Enjin ini menawarkan keseimbangan sempurna antara kuasa dan responsif, sesuai untuk pelbagai gaya tunggangan.
Rekaan Berbeza untuk Dua Personaliti
Honda CBR650R dan CB650R direka untuk memenuhi citarasa berbeza. CBR650R tampil dengan gaya sporty yang dilengkapi fairing aerodinamik serta lampu hadapan LED yang agresif.
Ads
Sementara itu, CB650R hadir dengan gaya naked retro moden, menampilkan lampu hadapan LED berbentuk bulat yang ikonik.
Walaupun berbeza dari segi gaya, kedua-dua model menggunakan casis jenis steel diamond yang sama. Namun, terdapat sedikit perbezaan dimensi:
CBR650R: Jarak lega bumi 130mm, lebar 750mm, tinggi 1145mm, dan berat kerb 211kg.
CB650R: Jarak lega bumi 150mm, lebar 780mm, tinggi 1075mm, dan berat kerb 207kg.
Ciri-Ciri Tambahan
Kedua-dua model dilengkapi suspensi hadapan jenis upside down Showa Big Piston bersaiz 41mm, serta suspensi belakang monoshock boleh laras. Sistem brek ABS dua saluran disertakan pada roda bersaiz 17 inci, dengan dua cakera brek hadapan 310mm dan satu cakera brek belakang 240mm.
Ads
Sebagai motosikal terkini, model ini turut menampilkan paparan TFT berwarna penuh 5 inci, pencahayaan LED, port pengecasan USB Type-C, serta teknologi seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk kawalan cengkaman yang lebih lancar. Honda RoadSync Smartphone Connectivity pula membolehkan akses mudah kepada navigasi dan muzik.
Harga dan Pilihan Warna
Honda CBR650R ditawarkan dalam dua pilihan warna, Grand Prix Red dan Matte Gunpowder Black Metallic, dengan harga bermula RM49,999.
Sementara itu, CB650R hadir dalam tiga pilihan warna: Matte Gunpowder Black Metallic, Matte Laurel Green Metallic, dan Candy Chromosphere Red, dengan harga bermula RM47,999.
Ads
Setiap pembelian motosikal disertakan waranti selama dua tahun atau 20,000km, menjadikan kedua-dua model ini pilihan yang menarik untuk peminat motosikal di Malaysia. Dengan teknologi E-Clutch yang inovatif dan reka bentuk yang menawan, Honda sekali lagi membuktikan mereka berada di hadapan dalam dunia automotif dua roda.
Xpeng, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, sekali lagi mencetuskan inovasi luar biasa dengan memperkenalkan “land aircraft carrier”. Iaitu van enam roda dilengkapi dengan quadkopter dua tempat duduk yang disimpan di bahagian belakangnya.
Kenderaan futuristik ini, dijual pada harga 2 juta yuan (kira-kira RM1.27 juta). Memberikan gambaran tentang masa depan pengangkutan yang lebih kreatif dan berteknologi tinggi.
Demonstrasi Mengagumkan di Zhuhai Air Show
Projek revolusioner ini didedahkan kepada umum buat pertama kali semasa Zhuhai Air Show. Acara penerbangan tahunan yang disokong oleh kerajaan China.
Dalam demonstrasi tersebut, quadkopter yang tersimpan di bahagian belakang van berjaya dikeluarkan dan dikerahkan secara automatik sebelum memulakan penerbangan tanpa pemandu. Ketika selesai, quadkopter kembali ke kenderaan dengan bantuan teknologi pendaratan automatik.
Demonstrasi ini ternyata menarik perhatian ramai. Menurut Xpeng Huitian, cabang teknologi penerbangan syarikat itu, mereka telah menerima 2,000 tempahan awal di acara tersebut. Menjadikannya pencapaian terbesar dalam industri kenderaan terbang setakat ini. Tempahan awam pula akan dibuka mulai Disember tahun ini.
Visi Produksi Besar-Besaran
Xpeng optimis tentang potensi besar kenderaan ini. Menurut laporan media tempatan, syarikat ini merancang untuk mencapai kapasiti pengeluaran 10,000 unit setahun menjelang suku ketiga 2025, dengan penghantaran dijangka bermula pada 2026.
Langkah ini menunjukkan keyakinan Xpeng dalam membawa teknologi kenderaan terbang kepada pasaran pengguna, sesuatu yang masih dianggap eksklusif dan eksperimen oleh pesaing lain.
Teknologi EV yang Makin Maju
Diasaskan oleh jurutera Henry Xia, Xpeng telah mencipta reputasi kukuh dalam pasaran EV China, yang kini semakin padat dengan persaingan.
Strategi mereka termasuk penggunaan teknologi hibrid jarak jauh untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.
Pada Ogos lalu, syarikat ini melancarkan kereta berharga sekitar RM103,000 yang dilengkapi teknologi pemanduan automatik, sekali gus mengatasi pesaing seperti Xiaomi, BYD, dan Tesla.
Selain itu, Xpeng Huitian turut membangunkan kenderaan elektrik terbang dua tempat duduk dengan teknologi lepas landas dan pendaratan menegak (VTOL), memacu lagi agenda inovasi mereka.
Masa Depan Mobiliti di Udara dan Darat
“Land aircraft carrier” Xpeng merupakan bukti usaha syarikat ini untuk menjadikan kenderaan terbang sebagai sebahagian daripada kehidupan harian. Walaupun harga RM1.27 juta mungkin di luar jangkauan pengguna biasa. Visi jangka panjang Xpeng adalah untuk menjadikan teknologi ini lebih mampu milik dan praktikal.
Dengan perancangan pengeluaran besar-besaran, gabungan pengangkutan darat dan udara ini tidak lagi sekadar fiksyen sains tetapi kini menghampiri realiti.
Xpeng membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu bersaing dalam pasaran EV yang sesak, tetapi juga bersedia mengubah landskap mobiliti masa depan.
Pada hari ini, Pusat 3S Sisma Auto Hub yang baharu telah pun dibuka di Wisma Sisma Auto di Lebuh Raya Sungai Besi.
Bagi mereka yang berminat dalam membeli, menjual, atau mendapatkan servis untuk kenderaan mereka, Sisma Auto Hub menawarkan pengalaman 3S premium pelbagai jenama. Cawangan Sungai Besi ini merupakan cawangan kedua Sisma Auto Hub selepas kejayaan cawangan Glenmarie yang dibuka pada Februari 2022.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim, “Dalam Sisma Auto Hub, kami menawarkan pengalaman 3S premium yang sama untuk semua keperluan kenderaan mewah anda tanpa mengira jenama. Sama ada anda ingin membeli, menjual, atau mendapatkan servis untuk kenderaan mewah, semuanya ada di Sisma Auto Hub.”
Tambahnya lagi, “Kejayaan operasi cawangan Glenmarie kami menunjukkan bahawa terdapat permintaan tinggi terhadap perkhidmatan unik yang kami tawarkan. Kami gembira dapat membuka cawangan Sisma Auto Hub di aras dua dan tiga Wisma Sisma Auto di Sungai Besi untuk memenuhi permintaan ini.”
Pusat baharu ini dibina khas dengan saiz yang lebih besar dan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat. Dengan lokasi yang strategik di Lebuhraya Sungai Besi yang memberikan akses mudah melalui beberapa lebuhraya, Sisma Auto Hub Sungai Besi dapat memberi perkhidmatan kepada kumpulan pelanggan yang besar di Lembah Klang.
Selain pembukaan pusat servis baharu, pelanggan yang berminat untuk membeli kereta mewah terpakai dapat memilih dari rangkaian kereta terpilih yang telah disahkan, dipilih berdasarkan prestasi dan keadaan yang baik. Setiap kereta telah melalui pemeriksaan teliti dan dibaik pulih agar berada dalam keadaan terbaik.
Pelanggan yang ingin menjual kereta mewah mereka juga boleh melakukannya di Sisma Auto Hub. Kakitangan profesional dan berpengalaman akan melakukan penilaian yang adil dan membantu dalam proses penjualan.
Pusat servis premium Sisma Auto Hub menyediakan peralatan diagnostik terkini untuk menyelenggara pelbagai jenama kereta buatan Eropah. Mereka menawarkan perkhidmatan untuk kenderaan yang dibeli menerusi import selari atau yang telah tamat waranti dari pengeluar.
Sisma Auto Hub Sungai Besi terletak di Wisma Sisma, 855, Lebuhraya Sungai Besi, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Waktu operasi adalah dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari Isnin hingga Jumaat, dan dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada Sabtu dan Ahad.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sisma Auto Hub, layari laman web www.sismaautohub.com atau ikuti mereka di Facebook di FB/SismaAutoHub dan Instagram di @sismaautohub.
Ini bukan lah Yamaha NMAX, tetapi ini adalah sebuah model Yamaha Tricity 125 2025 yang dipasarkan di pasaran eropah.
Model ini menampilkan beberapa kemas kini penting bagi meningkatkan prestasi skuter tiga roda ini sebagai pilihan pengangkutan dalam bandar yang praktikal dan mudah dikendalikan.
Model terbaru ini menawarkan tahap keselesaan, kecekapan, dan keselamatan yang lebih baik kepada penunggang di dalam kawasan bandar.
Kredit Foto : Yamaha yamaha-motor.eu
Enjin Dipertingkat & Patuh Piawaian Emisi Terkini
Nadi kepada Tricity 125 2025 ialah enjin 125cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair yang telah dikemaskini agar mematuhi piawaian emisi Euro 5+ terkini.
Enjin ini masih mengekalkan teknologi Blue Core dan Variable Valve Actuation (VVA) daripada Yamaha.
Menurut Yamaha, pelarasan turut dibuat pada sistem pemegang enjin bagi mengurangkan getaran.
Kredit Foto : Yamaha yamaha-motor.eu
Sistem LMW untuk Kestabilan dan Keyakinan Penunggang
Ciri paling menonjol pada model ini ialah sistem Leaning Multi-Wheel (LMW) yang membolehkan dua roda hadapan condong semasa mengambil selekoh.
Sistem ini secara tidak langsung meningkatkan kestabilan, terutamanya di permukaan jalan yang tidak rata atau licin.
Bagi tahun 2025, tetapan suspensi telah diubah suai untuk memberikan keselesaan tunggangan yang lebih baik di jalan yang berbonggol.
Kredit Foto : Yamaha yamaha-motor.eu
Peningkatan Teknologi & Kesambungan Digital
Dari segi teknologi, Tricity 125 kini menyokong aplikasi Yamaha MyRide, membolehkan penunggang mengakses data kenderaan, butiran perjalanan dan maklumat penyelenggaraan menerusi telefon pintar.
Selain itu, ia juga dilengkapi paparan instrumen digital penuh dan sistem lampu LED sepenuhnya untuk penampilan yang lebih moden.
Kredit Foto : Yamaha yamaha-motor.eu
Ciri Praktikal yang Ditambah Baik
Untuk aspek praktikaliti, model ini menyediakan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.
Selain itu rekaan tempat duduk baharu mampu meningkatkan keselesaan kepada penunggang.
Yamaha juga telah memperhalusi sistem brek Unified Braking System (UBS) bagi memberikan rasa dan kecekapan brek yang lebih baik ketika situasi kecemasan.
Kredit Foto : Yamaha yamaha-motor.eu
Ketersediaan Pasaran dan Potensi Masa Depan
Setakat ini, Tricity 125 2025 hanya ditawarkan di pasaran Eropah terpilih.
Walaupun belum ada pengesahan mengenai pelancarannya di India, model ini terus menjadi bukti inovasi Yamaha dalam menyelesaikan cabaran mobiliti bandar moden.
Bagaimana pula untuk pasaran Malaysia? agak-agak ada permintaan atau tidak?
Hyundai Motor Company (HMC) mengorak langkah untuk memperkukuh kehadirannya di rantau ASEAN dengan penubuhan Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Entiti baharu ini menandakan perubahan strategi utama,...