Boon Siew Honda baru-baru ini mengadakan sebuah majlis penyerahan eksklusif bagi meraikan pemilik edisi terhad Honda Gold Wing 50th Anniversary. Acara ini berlangsung di Metal Bees, Petaling Jaya, menghimpunkan barisan pemilik bertuah yang kini menjadi sebahagian daripada komuniti istimewa Gold Wing di Malaysia.
Legasi 50 Tahun Gold Wing
Sejak kemunculannya pada tahun 1975, Gold Wing telah melakar legasi sebagai motosikal jelajah jarak jauh paling mewah di dunia. Dengan reputasi sebagai simbol kebebasan, keselesaan dan kejuruteraan premium, model ulang tahun ke-50 ini melambangkan setengah abad pencapaian yang tiada tandingan dalam segmen touring. Honda Gold Wing telah menjadi ikon yang melambangkan status, gaya hidup dan rasa kebanggaan tersendiri.
Eksklusif Hanya 15 Unit di Malaysia
Honda Gold Wing 50th Anniversary ini hanya diperuntukkan sebanyak 15 unit untuk pasaran Malaysia, menjadikannya antara koleksi paling eksklusif yang pernah ditawarkan oleh Honda. Model ini menampilkan sentuhan khas termasuk dua pilihan warna istimewa Eternal Gold dan Bordeaux Red Metallic, lencana 50th Anniversary pada fairing sisi dan kotak pannier, logo Gold Wing yang tertera kemas di bahagian badan, serta rekaan konsol tengah dan kunci pintar dengan perincian eksklusif.
Setiap pemilik juga menerima pakej kotak peringatan edisi khas yang mengandungi model motosikal Gold Wing, buku 50th Anniversary, kotak peringatan dan sijil plat emas peringatan rasmi.
Ads
Menurut Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, kehadiran Honda Gold Wing 50th Anniversary ini bukan sahaja menandakan pencapaian besar dalam sejarah Honda, tetapi juga meraikan semangat pemilik yang menjadi nadi kepada komuniti Gold Wing di seluruh dunia.
Ads
“Dengan rekaan elegan dan karisma yang tersendiri, Gold Wing 50th Anniversary Edition berdiri sebagai simbol kejayaan, semangat dan legasi. Kami berbesar hati dapat meraikan detik emas ini bersama pemilik di Malaysia,” jelas beliau.
Ads
Ikatan Komuniti Gold Wing Malaysia
Majlis penyerahan ini bukan sahaja memperkukuh komitmen Honda untuk terus menawarkan produk premium, teknologi terkini dan servis berkualiti tinggi, malah turut mengeratkan ikatan komuniti Gold Wing di Malaysia.
Ia sekali lagi menegaskan bahawa Gold Wing bukan sekadar jentera dua roda, tetapi sebuah ikon abadi yang terus terbang tinggi membawa legasi 50 tahun ke hadapan.
Kegani Racing Academy (KRA) terus memperkukuh kedudukannya dalam arena pembangunan bakat sukan permotoran apabila mengumumkan dua inisiatif besar: pelancaran SKILLDRVN Swift Pro-Cup 2026 serta penubuhan francais antarabangsa pertama mereka di Jepun.
Bermula pada tahun 2026, KRA akan memperkenalkan SKILLDRVN Swift Pro-Cup, sebuah kejuaraan berstatus nasional dengan lima pusingan perlumbaan.
Siri ini dibangunkan untuk melengkapkan perlumbaan sedia ada iaitu SKILLDRVN One Make Race (OMR) Series, sekali gus mewujudkan kesinambungan bagi pelumba muda yang mahu melangkah ke tahap lebih tinggi.
Bagi menyertai siri ini, pelumba wajib menamatkan program teras SKILLDRVN Driver Development Program (DDP) dan sekurang-kurangnya menyempurnakan tiga perlumbaan SKILLDRVN Swift OMR.
Mereka juga perlu mengumpul mata kejohanan dan membina rekod kemenangan sebelum layak untuk draf bersama pasukan profesional pada Januari 2026.
Menurut Prinsipal dan Ketua Jurulatih KRA, Kenny Lee, kehadiran siri baharu ini menjadi “cabang tambahan” dalam ekosistem sukan permotoran tempatan dengan kos lebih rendah serta lebih mampan.
“Walaupun menggunakan model kereta lama, Pro-Cup menjanjikan perlumbaan rapat ‘door-to-door’, etika pemanduan yang baik serta penyertaan pasukan profesional.
Malah ia turut memberi peluang jenama untuk terlibat secara langsung melalui pemilikan pasukan dengan kos lebih efektif,” jelas beliau.
Untuk musim sulung 2026, Pro-Cup akan menampilkan 10 pasukan eksklusif.
Setakat ini, tiga pasukan sudah pun mengesahkan penyertaan iaitu Team Bendix Malaysia, Team Profimax dan Team Ultra Racing.
Setiap pasukan bermula dengan sebuah kereta, dengan potensi menambah sehingga dua buah kereta pada musim berikutnya.
Selain kejohanan tempatan, KRA turut melancarkan KRA Japan pada 13 Ogos lalu, hasil kerjasama dengan Fujii Engineering.
Terletak di Mie, Suzuka dan hanya 10 minit dari litar ikonik Suzuka Circuit, francais ini mengekalkan konsep asal KRA di Malaysia: membina ekosistem perlumbaan akar umbi dengan gabungan kelas teori, latihan simulator, dan praktikal di litar.
Selain program penuh DDP, KRA Jepun turut menawarkan kursus jangka pendek seperti Track Day Preparation bagi membantu pemandu baharu memahami asas teknikal dan etika pemanduan di litar.
Malah, akademi ini juga menyasarkan untuk menghubungkan bakat Malaysia ke Jepun melalui program pertukaran dan pembangunan bersama.
Kenny Lee menyifatkan penubuhan KRA Jepun sebagai pintu dua hala untuk membuka peluang kepada pelumba Malaysia ke pentas Jepun yang kaya dengan sejarah serta budaya sukan permotoran.
“Dari pengalaman saya sendiri berlumba di Jepun antara 2017–2019, ia memberikan pendedahan mendalam terhadap budaya, teknikal, serta standard perlumbaan mereka. Semua itu membantu membentuk etika perlumbaan yang lebih matang,” katanya.
Bagi Mitsuru Fujii, Pengarah Fujii Engineering, struktur latihan KRA memberi jalan lebih jelas dan mampan kepada pemandu muda Jepun yang sering terkandas akibat kos yang meningkat.
“Motorsport biasanya memerlukan belanja besar tanpa pulangan, tetapi dengan ekosistem KRA, ia lebih lestari. Pemandu dan jurutera muda bukan sahaja belajar, malah dapat menyalurkan ilmu kepada generasi seterusnya dan membina kitaran positif untuk masa depan sukan ini,” ujar Fujii.
KRA Jepun dijangka diperluas ke litar-litar lain di seluruh negara dalam masa terdekat, dengan visi lebih besar untuk membuka francais baharu di rantau Asia.
Sementara itu, akademi di Malaysia terus diperkukuh dengan program Train the Trainer, bagi memastikan standard latihan sentiasa konsisten.
Dengan langkah agresif ini, KRA bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta permotoran Asia, tetapi juga membuka ruang kepada lebih ramai pelumba akar umbi untuk merealisasikan impian mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai SKILLDRVN Swift Pro-Cup atau program KRA, boleh hubungi Kenny Lee di 012-614 4141 atau Ju di 012-686 6177. Layari juga Facebook rasmi Kegani Racing Academy.
Dalam suasana panas terik di Litar Sepang, Francesco Bagnaia berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan MotoGP Malaysia 2024. Acara yang berlangsung di hadapan 88,000 penonton.
Bagnaia berentap sengit dengan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin, dalam perlumbaan penuh aksi ini. Walaupun Martin berpeluang menamatkan saingan dengan meraih gelaran dunia pertamanya.
Kemenangan Bagnaia memaksa penangguhan dan memberi tekanan kepada Martin, yang kini masih mendahului dengan 24 mata menjelang perlumbaan terakhir musim ini di Barcelona.
Bagnaia dan Martin bertarung rapat di atas litar sebelum Bagnaia berjaya mengukuhkan kedudukannya dan memenangi perlumbaan. Menandakan kemenangannya yang kesepuluh tahun ini.
Pada awal perlumbaan, Marc Marquez kelihatan berpotensi untuk meraih tempat ketiga, tetapi beliau terjatuh. Meninggalkan posisi itu untuk rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini.
Alex Marquez melengkapkan kedudukan empat teratas bagi Ducati, diikuti oleh Pedro Acosta yang menunggang jentera KTM.
Perlumbaan ini turut dicemari insiden serius yang menyebabkan bendera merah dikibarkan di pusingan awal. Kemalangan tersebut berlaku di selekoh pertama dan kedua apabila Brad Binder dan Alex Marquez bertembung. Menyebabkan serpihan badan jentera KTM Binder terbang.
Binder kemudiannya melanggar Fabio Quartararo, yang seterusnya menghantar Quartararo ke arah Jack Miller. Miller tercampak dari motosikalnya dan tergelincir di atas trek, akhirnya melanggar roda belakang Yamaha Quartararo.
Miller dibawa ke pusat perubatan dengan ambulans tetapi dilihat berjalan di pitlane kemudian, sementara Binder terpaksa menarik diri akibat kecederaan bahu.
Perlumbaan kemudiannya dikurangkan kepada 19 pusingan dengan mengekalkan susunan grid asal untuk permulaan semula.
Suhu yang mencecah 34 darjah Celsius menyebabkan Martin dan Bagnaia menukar tayar hadapan mereka daripada jenis lembut ke sederhana. Namun, Bagnaia membuat keputusan di saat-saat akhir untuk kembali kepada tayar lembut.
Hanya Miller, Luca Marini, dan Quartararo (bagi permulaan semula) yang memilih tayar hadapan sederhana. Sementara semua pelumba menggunakan tayar belakang sederhana yang sama seperti yang digunakan dalam Perlumbaan Sprint.
Miguel Oliveira terus diketepikan akibat kecederaan pergelangan tangan kanan yang dialami di Mandalika, dan tempatnya diambil oleh pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori, di pasukan Trackhouse. Sementara itu, Andrea Iannone dipanggil untuk menggantikan Fabio di Giannantonio di VR46 kerana Di Giannantonio perlu menjalani pembedahan bahu.
Musim ini juga memperkenalkan peraturan tekanan tayar baharu, di mana semua pelumba mesti mengekalkan tekanan minimum 1.8 bar pada tayar hadapan selama 60% daripada jarak perlumbaan Grand Prix, atau 30% bagi Sprint. Hukuman bagi pelanggaran peraturan ini dalam Grand Prix ialah penalti masa 16 saat selepas perlumbaan, manakala untuk Sprint, penalti masa sebanyak 8 saat akan dikenakan.
Perlumbaan akhir musim MotoGP yang dijadualkan di Valencia telah dibatalkan, dan kini bakal diadakan di Barcelona pada 15-17 November. Semua mata kini tertumpu ke Barcelona, di mana penentuan juara dunia MotoGP 2024 akan berlangsung di Litar Catalunya yang ikonik.
Proton X90 2026 kini tampil dengan kemas kini penting yang memberi tumpuan kepada prestasi, keselesaan serta pengalaman pemanduan yang lebih baik.
PROTON memperkenalkan versi terkini SUV tujuh tempat duduk segmen D ini dengan rangkaian kuasa baharu bagi meningkatkan prestasi serta menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan keluarga moden.
Model ini meneruskan reputasinya sebagai antara SUV keluarga paling popular di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 2023. Dengan ruang kabin luas, teknologi moden serta ciri keselamatan yang lengkap, model ini kekal sebagai pilihan menarik bagi keluarga yang memerlukan kenderaan praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.
Sejak pelancarannya, Proton X90 telah mencatatkan penerimaan kukuh dalam pasaran tempatan dengan lebih 10,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.
SUV ini menjadi pilihan ramai keluarga Malaysia yang mahukan kenderaan tujuh tempat duduk dengan ruang luas, keselesaan serta kepraktisan.
Dengan kemas kini bagi tahun 2026, beberapa penambahbaikan penting diperkenalkan termasuk penggunaan enjin baharu yang memberikan prestasi lebih responsif serta pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Perubahan paling ketara pada Proton X90 2026 ialah penggunaan enjin i-GT 1.5 liter empat silinder turbocharged yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT).
Gabungan ini menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork, memberikan pecutan yang lebih lancar serta prestasi yang stabil ketika memotong atau memandu di lebuh raya.
Enjin ini direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api, sesuai dengan karakter SUV keluarga bersaiz besar.
Selain itu, SUV ini turut dilengkapi suspensi belakang multi-link yang membantu meningkatkan kestabilan serta keselesaan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan.
Selain peningkatan pada rangkaian kuasa, Proton X90 2026 turut dilengkapi beberapa ciri yang membantu meningkatkan pengalaman pemanduan.
Antara ciri yang disediakan termasuk mod pemanduan dan mod stereng boleh pilih, yang membolehkan pemandu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keadaan jalan atau gaya pemanduan.
Model ini turut dilengkapi Electronic Parking Brake dengan Auto Brake Hold, yang memudahkan pemanduan dalam keadaan trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak.
Salah satu kelebihan utama Proton X90 2026 ialah konfigurasi tujuh tempat duduk sebenar dengan susun atur tiga baris tempat duduk yang luas.
Reka bentuk kabin ini membolehkan SUV tersebut menampung keperluan keluarga dengan lebih praktikal, sama ada untuk perjalanan harian, aktiviti hujung minggu atau perjalanan balik kampung.
Dari segi ruang kargo, kapasiti boleh mencecah sehingga 2,050 liter apabila tempat duduk dilipat. SUV ini juga dilengkapi roof rail yang mampu menampung sehingga 75 kg, memberikan fleksibiliti tambahan untuk membawa barangan bersaiz besar.
Proton X90 2026 turut menawarkan pelbagai ciri keselesaan premium yang direka untuk meningkatkan pengalaman perjalanan bagi pemandu dan penumpang.
Antaranya termasuk tempat duduk kulit Nappa, tempat duduk berpengudaraan untuk barisan pertama dan kedua serta tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala dengan sokongan lumbar.
Penumpang hadapan juga mendapat tempat duduk larasan kuasa empat hala dengan fungsi “Boss switch”, yang membolehkan ruang kaki penumpang belakang diperluaskan dengan mudah.
SUV ini turut dilengkapi sistem infotainmen 12.3 inci yang menyokong Wireless Apple CarPlay dan Android Auto, memastikan sambungan digital lebih mudah sepanjang perjalanan.
Dari aspek keselamatan, Proton X90 2026 dilengkapi beberapa sistem bantuan pemandu moden bagi meningkatkan keyakinan ketika memandu.
Antaranya termasuk kamera 360 darjah HD dengan fungsi 180 darjah Transparent View, yang membantu pemandu melihat keadaan sekeliling kenderaan dengan lebih jelas.
SUV ini juga dilengkapi Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta enam beg udara SRS sebagai ciri keselamatan standard.
Ciri tambahan seperti Walk Away Auto Lock, Follow Me Home lighting, rain-sensing wiper dan sensor parkir turut meningkatkan kemudahan penggunaan harian.
Di Malaysia, Proton X90 2026 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Lite, Prime dan Prime X.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
Sebagai promosi pelancaran, Proton menawarkan rebat RM7,000 kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan sebelum 30 Jun 2026.
Dengan rebat tersebut, harga permulaan bagi model ini menjadi RM99,800 untuk varian Lite.
Setiap pembelian Proton X90 turut disertakan dengan pakej pemilikan Proton yang merangkumi waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta servis buruh percuma selama lima tahun.
Proton juga menawarkan pilihan pembiayaan sehingga sembilan tahun serta beberapa program tambahan termasuk skim tukar beli dan perlindungan insurans khas.
Dengan pengenalan enjin i-GT 1.5L turbo baharu, Proton X90 kini menawarkan prestasi yang lebih baik tanpa mengorbankan keselesaan dan kepraktisan sebuah SUV keluarga.
Gabungan ruang kabin luas, teknologi moden serta ciri keselamatan menjadikannya antara pilihan menarik dalam segmen SUV tujuh tempat duduk di Malaysia.
Kemas kini ini juga memperkukuh kedudukan model ini sebagai salah satu SUV keluarga paling relevan dalam barisan produk Proton.
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...