Honda meraikan ulang tahun ke-50 model lagendanya, Gold Wing Tour, dengan pelancaran versi 2025 yang lebih mewah, lebih canggih dan lebih selesa berbanding sebelumnya.
Dikenali sebagai simbol kemewahan dua roda, Gold Wing Tour bukan sekadar motosikal – ia sebuah pengalaman penuh gaya untuk pengembara sejati.
Dilahirkan pada tahun 1975 sebagai sebuah jentera naked 1000cc, Gold Wing kini melambangkan puncak teknologi dan keselesaan dalam dunia touring. Sempena ulang tahun emasnya, model baharu ini hadir dengan pelbagai naik taraf yang menambah nilai kepada pengalaman tunggangan jarak jauh.
Enjin Bertenaga, Pakej Tanpa Kompromi
Jantung kepada Gold Wing Tour 2025 ialah enjin 1833cc flat-six, sejukan cecair dengan 24-valve SOHC. Ia menghasilkan 93kW pada 5,500rpm dan 170Nm tork pada 4,500rpm, cukup untuk membawa penunggang dan pembonceng melintasi benua dengan penuh keyakinan.
Dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT), tunggangan jadi lebih lancar dan senyap. Tangki 21 liter pula memberi jarak perjalanan yang mengagumkan.
Sambutan Emas yang Ikonik
Edisi ulang tahun ke-50 ini tampil eksklusif dengan lencana khas “50th Anniversary since 1975”. Terukir kemas pada badan motosikal dalam warna istimewa Eternal Gold atau Bordeaux Red Metallic. Ia bukan sahaja cantik di mata, malah membawa nilai sentimental buat peminat setia Gold Wing.
Ads
Canggih & Tersambung
Gold Wing Tour bukan sekadar motosikal touring biasa – ia juga gedung teknologi bergerak. Skrin TFT 7 inci berwarna penuh kini menampilkan navigasi, maklumat motosikal, dan sistem hiburan.
Sistem Apple CarPlay™ dan Android Auto™ boleh digunakan tanpa wayar, membolehkan anda mengakses muzik, peta, dan panggilan telefon dengan mudah.
Sistem interkom Bluetooth™ turut dinaik taraf – kini cukup satu headset untuk berkongsi audio antara penunggang dan pembonceng. Fungsi baharu “Ducking” secara automatik merendahkan bunyi muzik bila perbualan berlaku, memastikan komunikasi jelas walaupun ketika kelajuan tinggi.
Keselesaan Kelas Pertama
Tempat duduk mewah dengan kemasan suede dan rekaan ergonomik memastikan keselesaan optimum, walaupun menempuh perjalanan beratus kilometer.
Ads
Cermin hadapan boleh laras secara elektrik memberi perlindungan angin mengikut kehendak penunggang. Manakala ruang simpanan 121 liter (pannier dan kotak belakang) cukup luas untuk semua keperluan kembara.
Sistem Suspensi & Brek Bertaraf Tinggi
Sistem double wishbone di bahagian hadapan memastikan kestabilan maksimum dan penyerap hentakan yang cekap. Suspensi dengan kawalan elektronik memberikan tahap keselesaan berbeza mengikut mod tunggangan: TOUR, SPORT, ECON dan RAIN.
Brek pula dibantu oleh Dual Combined Brake System (D-CBS) dan ABS pintar, memastikan pemberhentian yang seimbang dan berkuasa dalam semua situasi.
Ciri Tambahan Pintar
Airbag terbina dalam, satu-satunya dalam motosikal produksi
Throttle-by-Wire dengan cruise control
Hill Start Assist (HSA)
Idling Stop System (ISS) untuk jimat minyak di lampu isyarat
2 port USB-C, untuk pastikan telefon sentiasa dicas
Harga & Warna
Honda Gold Wing Tour 2025 ditawarkan pada RM222,888 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Pilihan warna termasuk:
Ads
Eternal Gold
Bordeaux Red Metallic
Dengan waranti 2 tahun atau 20,000km, ini bukan sekadar motosikal – ini warisan 50 tahun yang terus memberi nikmat jelajah jalan raya kepada generasi akan datang.
Polis Daerah Petaling Jaya kini menggunakan teknologi dron bagi memantau penunggang motosikal yang enggan menggunakan laluan motosikal khas di Lebuhraya Persekutuan. Khususnya di Kilometer 28.4 bawah Jambatan Sunway menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Inisiatif Bersama BSPT & PGU
Operasi khas ini dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Petaling Jaya serta Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman. Tumpuan utama ialah kepada penunggang yang masih memilih untuk menunggang di laluan utama walaupun laluan motosikal disediakan.
Menurut Ketua Polis Daerah, ACP Shahrulnizam Ja’afar
Langkah ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan. Termasuk kes maut, melibatkan penunggang motosikal.
“Ramai penunggang guna laluan utama sebagai jalan pintas. Ada juga yang mengelak laluan motosikal kerana keadaannya tidak selamat seperti jalan berlubang dan tidak cukup pencahayaan pada waktu malam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan laluan yang salah boleh menjejaskan perlindungan insurans jika berlaku kemalangan. “Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan, ada hukuman khusus untuk mereka yang tidak patuhi arahan laluan. Penunggang yang langgar peraturan ini mungkin tidak layak untuk tuntutan insurans kemalangan,” tegas beliau.
Anggota Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM menerbangkan dron bagi memantau pergerakan motosikal yang memasuki laluan lebuhraya ketika operasi penguatkuasaan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan berhampiran persimpangan susur ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Petaling Jaya hari ini. – Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
ACP Shahrulnizam juga menambah bahawa tindakan menunggang di laluan utama, terutama waktu puncak pagi dan petang, berisiko tinggi kerana saiz motosikal yang kecil berbanding kenderaan lain.
“Risiko kecederaan tinggi kalau berlaku kemalangan. Malah, kami kesan ada penunggang yang bertindak kasar seperti memaki pengguna lain apabila dimarahi. Mereka seharusnya sedar kesalahan mereka,” ujarnya.
Hasil Operasi Khas
Dalam operasi tersebut, sebanyak 47 saman dikeluarkan dan 16 daripadanya hasil daripada rakaman imej dan video oleh dron PGU. Menariknya, ada penunggang yang tidak menyedari mereka telah disaman kerana identiti serta nombor pendaftaran motosikal berjaya dikenalpasti menerusi teknologi dron. Saman akan dihantar terus ke alamat pemilik.
Langkah ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. Selain mendidik pengguna jalan raya untuk lebih berdisiplin dan patuh pada peraturan yang ditetapkan.
Dalam perkembangan terbaru, Nissan Kicks e-Power akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Seperti yang didedahkan oleh seorang konsultan jualan di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Pengumuman ini menyusul selepas pengesahan daripada Edaran Tan Chong Motor (ETCM). Pengedar rasmi Nissan di Malaysia, bahawa teknologi pacuan hibrid Nissan e-Power bakal tiba di negara ini.
Sebelum ini,
ETCM menyatakan bahawa model hibrid e-Power akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Nissan Kicks e-Power merupakan SUV hibrid yang dikuasakan oleh motor elektrik dengan output 129 PS dan tork 280 Nm.
Motor ini digandingkan dengan enjin 1.2 liter tiga-silinder naturally-aspirated, tetapi tiada sambungan pacuan mekanikal ke roda.
Sistem ini dijana oleh bateri 2.06 kWh, memberikan pengalaman pemanduan hibrid yang unik di mana hanya motor elektrik yang menggerakkan kenderaan.
Kredit PaulTan
Kicks e-Power
Berdasarkan spesifikasi, Kicks e-Power mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat. Dengan penggunaan bahan api yang dianggarkan pada 21.7 km per liter. Ini menjadikannya pesaing yang kuat dalam segmen SUV hibrid di Malaysia, berhadapan dengan model seperti Honda HR-V e dan Toyota Corolla Cross Hybrid.
Kemasukan model ini menambah variasi dalam segmen yang semakin berkembang. Bersaing bersama model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan elektrik (EV) dari jenama-jenama seperti dari China.
Namun, mereka yang mengikuti perkembangan Nissan Kicks mungkin menyedari bahawa model ini menghampiri penghujung kitaran hayat generasi pertama. Generasi kedua Nissan Kicks telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat pada Mac tahun ini, namun Malaysia nampaknya masih akan menerima generasi pertama buat masa ini.
Kredit PaulTan
Rancangan Lain
Selain dari Kicks e-Power, Nissan juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model yang menggunakan teknologi e-Power di Malaysia. Salah satu yang paling dinanti-nantikan ialah Nissan Serena generasi C28.
MPV ini telah beberapa kali dilihat diuji di Malaysia, dan dijangka akan turut dilengkapi dengan teknologi hibrid e-Power.
Bagi Nissan Serena C28, ia akan hadir dengan motor elektrik 163 PS dan tork 315 Nm, digandingkan dengan enjin 1.4 liter tiga-silinder naturally-aspirated (98 PS/123 Nm) yang berfungsi mengecas bateri 1.77 kWh.
Seperti Nissan Kicks e-Power, Serena C28 juga tidak mempunyai sambungan mekanikal ke roda pacuan, menjadikannya MPV hibrid yang lebih mesra alam dan menjimatkan.
Kehadiran Nissan Kicks e-Power dan rancangan masa depan Nissan untuk model-model e-Power lain seperti Serena C28 menunjukkan bahawa Nissan komited untuk membawa lebih banyak pilihan teknologi hijau ke pasaran Malaysia.
Buat peminat SUV dan MPV hibrid, tahun ini bakal menjadi tahun yang menarik dengan pelancaran model-model terkini dari Nissan.
Sebagai seorang wartawan automotif, saya sering ditanya mengenai langkah-langkah yang betul untuk jumper bateri kereta.
Ini adalah satu kemahiran penting yang perlu diketahui oleh semua pemandu, terutamanya ketika berhadapan dengan situasi di mana kereta anda tiba-tiba tidak boleh dihidupkan akibat bateri lemah atau mati.
Peralatan yang Diperlukan
Kabel Jumper: Pastikan anda mempunyai kabel jumper yang berkualiti. Kabel ini perlu cukup panjang untuk menghubungkan bateri dua buah kenderaan.
Kereta yang Boleh Dihidupkan: Pastikan kereta lain yang akan digunakan untuk jumper mempunyai bateri yang baik dan cukup kuat.
Pastikan kereta yang akan digunakan mempunyai kapasiti enjin yang lebih besar ( CC yang lebih besar ) daripada kenderaan yang hendak dihidupkan.
Kredit Foto : Website play.howstuffworks
Langkah-langkah Jumper Bateri Kereta
Persiapan Awal:
Pastikan kedua-dua kenderaan dimatikan enjin sepenuhnya.
Letakkan kedua-dua kereta dalam keadaan parkir dan tarik brek tangan.
Pastikan tiada komponen elektrik yang sedang digunakan dalam kedua-dua kereta (seperti radio atau lampu).
Kenal Pasti Terminal Bateri:
Buka bonet kedua-dua kereta dan kenal pasti terminal bateri.
Terminal positif biasanya ditandakan dengan tanda + dan berwarna merah, manakala terminal negatif ditandakan dengan tanda - dan berwarna hitam.
Sambungan Kabel Jumper:
Sambungkan klip merah kabel jumper kepada terminal positif bateri yang mati.
Sambungkan hujung klip merah yang satu lagi kepada terminal positif bateri kereta yang baik.
Sambungkan klip hitam kabel jumper kepada terminal negatif bateri yang baik.
Hujung klip hitam yang terakhir perlu disambungkan kepada permukaan logam yang tidak dicat pada kereta yang tidak boleh dihidupkan. Ini bertujuan untuk mengelakkan percikan api atau letupan.
Hidupkan Kereta:
Hidupkan enjin kereta yang mempunyai bateri baik dan biarkan ia beroperasi selama beberapa minit. Ini akan memberi masa untuk memindahkan tenaga kepada bateri yang mati.
Selepas beberapa minit, cuba hidupkan enjin kereta yang mati bateri.
Tanggalkan Kabel Jumper:
Jika kereta yang mati bateri dapat dihidupkan, tanggalkan kabel jumper mengikut urutan terbalik daripada sambungan tadi:
Tanggalkan klip hitam yang disambungkan pada permukaan logam.
Tanggalkan klip hitam daripada terminal negatif bateri kereta yang baik.
Tanggalkan klip merah daripada terminal positif bateri kereta yang baik.
Akhir sekali, tanggalkan klip merah daripada terminal positif bateri kereta yang mati.
Biarkan Enjin Beroperasi:
Biarkan enjin kereta yang baru dihidupkan selama 15-20 minit. Ini akan memberi masa untuk bateri dicas semula.
Jangan biarkan klip positif dan negatif bersentuhan antara satu sama lain semasa proses sambungan kabel jumper, kerana ini boleh menyebabkan litar pintas dan kerosakan pada sistem elektrik kereta.
Elakkan daripada melakukan jumper jika anda tidak pasti atau kurang yakin dengan langkah-langkahnya. Lebih baik meminta bantuan daripada orang yang lebih berpengalaman atau mendapatkan bantuan daripada perkhidmatan kereta.
Kesimpulan
Jumper bateri kereta adalah satu kemahiran yang mudah tetapi memerlukan perhatian yang teliti.
Dengan mengikuti langkah-langkah yang betul, anda boleh menghidupkan semula kereta anda dengan selamat dan mengelakkan kerosakan pada bateri atau sistem elektrik.
Sentiasa pastikan anda menyimpan kabel jumper di dalam kereta sebagai langkah berjaga-jaga, kerana kita tidak tahu bila situasi ini akan berlaku.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kempen Volvo Secret Sales Tawar Rebat dan Hadiah Istimewa Untuk Pelanggan Baharu
Volvo Car Malaysia bersedia menutup tirai tahun ini menerusi acara jualan istimewa yang...