Automotif

Tempah Tanpa Pandu Uji! Kisah Menarik Pemilik Honda Prelude Baharu

Share

Ada Yang Tunggu Sejak 1990-an, Ini Kisah Pemilik Honda Prelude Baharu Di Malaysia

Kepulangan semula Honda Prelude ke pasaran Malaysia ternyata membawa makna berbeza buat setiap pemiliknya, khususnya mereka yang sudah lama menyimpan minat terhadap model coupe ikonik ini.

Honda Malaysia baru-baru ini meraikan tiga pemilik Honda Prelude generasi baharu menerusi sebuah acara khas yang mengetengahkan perjalanan serta kisah peribadi mereka bersama model tersebut.

Tiga pemilik berkenaan ialah Gan Ker Beng, Wahiduzaman Abu Kashim dan Dr. Davina Navreet Kaur, masing-masing datang daripada latar belakang berbeza tetapi berkongsi minat yang sama terhadap legasi Honda Prelude.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, kembalinya Prelude bukan hanya sekadar memperkenalkan sebuah model baharu, malah mencerminkan semangat Honda dalam menghasilkan kenderaan yang mampu membina hubungan dengan pemiliknya.

Menurutnya, setiap pemilik mempunyai kisah tersendiri yang membawa mereka kepada Prelude dan Honda Malaysia menghargai kepercayaan yang diberikan pelanggan terhadap jenama tersebut.

Impian Memiliki Honda Prelude Sejak 1990-an Akhirnya Tercapai

Bagi usahawan dari Johor Bahru, Gan Ker Beng, Prelude mempunyai nilai sentimental yang cukup kuat.

Hubungannya dengan Honda bermula sejak era 1990-an menerusi sebuah Civic, namun ketika itu Prelude sebenarnya merupakan antara kereta impiannya.

Kekangan kewangan menyebabkan hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan ketika beliau masih muda. Justeru, apabila Honda mengumumkan kepulangan semula Prelude ke Malaysia, peluang itu tidak mahu dilepaskan.

Menariknya, pemilikan Prelude bagi Gan bukan semata-mata kerana kuasa atau tahap prestasinya.

Sebaliknya, nama Prelude, kenangan terhadap model tersebut serta hubungannya dengan Honda sejak sekian lama menjadikan coupe berkenaan lebih istimewa buat dirinya.

Berbeza dengan Gan, Wahiduzaman Abu Kashim pula merupakan peminat lama Honda yang pernah memiliki beberapa model berorientasikan prestasi daripada jenama Jepun ini.

Namun seiring perubahan gaya hidup, beliau kini mahukan sebuah kereta yang masih mampu memberikan keseronokan pemanduan dan juga memberikan keselesaan serta praktikal untuk kegunaan harian.

Prelude akhirnya menjadi pilihannya selepas mencuba sendiri karakter pemanduan model tersebut.

Antara ciri yang menarik perhatiannya ialah S+ Shift Technology, yang memberikan sensasi pertukaran gear lebih nyata ketika pemandu mahukan pengalaman pemanduan lebih agresif dan menarik.

Menurut Wahiduzaman, pendekatan Honda terhadap aspek kejuruteraan dan perhatian kepada perincian menjadikan Prelude terasa seolah-olah sebahagian daripada pemandu.

Tempah Honda Prelude Tanpa Pandu Uji

Sementara itu, Dr. Davina Navreet Kaur menjadikan Prelude sebagai kereta Honda pertama miliknya.

Minat terhadap model tersebut sebenarnya bermula sejak kecil apabila beliau sering melihat Honda Prelude generasi terdahulu di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Subang.

Dalam masa sama, impiannya untuk memiliki sebuah coupe berwarna merah sudah bermula sejak zaman remaja.

Sebagai peminat teknologi hibrid Honda, Dr. Davina terus membuat tempahan sebaik sahaja Prelude diperkenalkan di Malaysia malah tanpa melakukan pandu uji terlebih dahulu.

Baginya, reka bentuk Prelude mempunyai karakter tersendiri tanpa perlu tampil terlalu agresif.

Gabungan reka bentuk coupe, gaya yang lebih matang serta teknologi elektrifikasi akhirnya menjadikan model tersebut sebagai kereta impian yang selama ini dinantikannya.

Prelude Bawa Pendekatan Baharu Dalam Era Elektrifikasi

Honda Prelude serba baharu dibangunkan sebagai sebuah driver-focused grand tourer yang cuba menggabungkan prestasi Honda dengan teknologi elektrifikasi generasi semasa.

Ia juga menjadi model terbaharu dalam barisan hibrid Honda Malaysia, melengkapi pilihan sedia ada merangkumi segmen sedan, hatchback dan SUV.

Antara teknologi utama yang diperkenalkan ialah S+ Shift Technology, buat pertama kali ditawarkan Honda Malaysia menerusi Prelude.

Sistem berkenaan direka untuk memberikan sensasi pemanduan yang lebih menarik dengan menghasilkan pengalaman pertukaran gear yang lebih jelas, sekali gus menambah karakter sporty ketika kereta dipandu secara lebih agresif.

Kehadiran semula Prelude juga membuka lembaran baharu buat nama yang cukup dikenali dalam sejarah Honda, kali ini dengan pendekatan berbeza yang menggabungkan karakter coupe, teknologi hibrid serta keselesaan sebuah grand tourer moden.

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan All-New Honda Prelude menerusi platform pra-tempahan Honda Malaysia atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara.

Baca Juga : Honda Prelude Serba Baharu Dilancarkan di Malaysia, Tampil Dengan Teknologi S+ Shift

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi