Hyrax Oil Sdn Bhd dan Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd Meterai MoU, Perkukuh Bekalan Pelincir untuk Kilang dan Selepas Jualan
Hyrax Oil Sdn Bhd baru-baru ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Ruang Ujana Ilmu, Aras Bawah Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
Majlis yang diadakan pada 12 Februari 2026 itu menghimpunkan kira-kira 60 hingga 80 tetamu terdiri daripada wakil industri, agensi kerajaan serta pengamal media, sekali gus menandakan permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat dalam aspek pembekalan dan sokongan teknikal pelincir.
MoU ini memberi fokus kepada kerjasama pembekalan serta sokongan teknikal produk pelincir untuk kegunaan ‘factory fill’ dan aplikasi selepas jualan (after-sales) bagi rangkaian motosikal MODENAS.
Kepakaran Pelincir dan Kejuruteraan
Hyrax Oil, yang ditubuhkan pada tahun 1991, kini memasuki tahun ke-35 operasinya sebagai pengeluar pelincir dan minyak transformer bertaraf global. Dengan kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 80 juta liter serta kehadiran di lebih 40 negara, syarikat ini beroperasi di bawah pensijilan ISO 9001:2015 dan mematuhi piawaian antarabangsa seperti API, ACEA, JASO, ASTM dan IEC.
Bagi MODENAS pula, sebagai pengeluar motosikal nasional yang diasaskan pada 8 Ogos 1995 dan beroperasi di Gurun, Kedah, syarikat ini memiliki kapasiti pengeluaran sehingga 140,000 unit setahun.
Dengan lebih 50 model diperkenalkan sejak penubuhan serta rangkaian lebih 330 pusat jualan dan servis di seluruh negara, keperluan terhadap pelincir yang konsisten dari segi prestasi dan ketahanan adalah satu keutamaan operasi.
Ads
Kerjasama ini dilihat sebagai penyatuan dua kepakaran iaitu formulasi pelincir berprestasi tinggi Hyrax Oil dan disiplin kejuruteraan serta pembuatan MODENAS yang kini berada di bawah naungan DRB-HICOM dengan pegangan strategik oleh Kawasaki Heavy Industries Ltd.
Sokongan ‘Factory Fill’ dan Selepas Jualan
Antara skop utama MoU ialah pembekalan pelincir untuk kegunaan awal kilang (factory fill) serta rangkaian selepas jualan melalui Edaran MODENAS Sdn Bhd (EMOS).
Ini termasuk produk seperti minyak enjin 4T SAE 40 API SJ JASO MA, 4XT SAE 20W-40 API SJ JASO MA, minyak gear SAE 90 API GL-5, minyak fork SAE 5W dan 10W serta brake fluid DOT 4.
Ads
Bagi pengeluar motosikal, konsistensi spesifikasi pelincir memainkan peranan penting dalam memastikan ketahanan enjin, kestabilan suhu operasi serta prestasi transmisi klac basah yang mematuhi standard JASO MA.
Justeru, kerangka teknikal yang dibentuk melalui MoU ini membuka ruang kepada penilaian produk, pengujian dalaman serta penglibatan teknikal berstruktur antara kedua-dua pihak sebelum sebarang pelaksanaan penuh dibuat.
Impak Strategik kepada Ekosistem Industri
Dari sudut strategik, MoU ini bukan sekadar perjanjian pembekalan komersial. Ia menyokong usaha pengukuhan rantaian bekalan tempatan, pemindahan ilmu teknikal serta peningkatan kemahiran tenaga kerja termasuk potensi penglibatan dalam program TVET MARA.
Sejak 2016, Hyrax Oil telah membekalkan hampir RM3 juta produk pelincir kepada MODENAS. Susulan MoU ini, kedua-dua pihak dijangka memeterai perjanjian pembekalan muktamad dengan anggaran nilai sekurang-kurangnya RM1.5 juta bagi tempoh dua tahun, tertakluk kepada keperluan operasi dan penilaian prestasi.
Dalam konteks lebih luas, kolaborasi ini memperkukuh agenda pembangunan industri automotif tempatan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar serta mempertingkat daya saing eksport, sejajar dengan kehadiran MODENAS di pasaran Asia Tenggara, Timur Tengah dan beberapa wilayah lain.
Langkah Ke Hadapan
Selepas majlis menandatangani MoU, kedua-dua pihak akan meneruskan fasa penilaian teknikal, pengujian produk serta rundingan ke arah perjanjian pembekalan muktamad. Pelaksanaan sebenar bagi kegunaan ‘factory fill’ atau pelincir disyorkan akan tertakluk kepada proses validasi dalaman MODENAS.
Secara keseluruhannya, kerjasama ini mencerminkan model kolaborasi industri tempatan yang menggabungkan kepakaran teknikal dan visi jangka panjang. Dalam ekosistem automotif yang semakin kompetitif, sinergi seperti ini menjadi pemangkin penting ke arah mobiliti nasional yang lebih mampan dan berdaya tahan.
BRABUS tidak pernah berkompromi dalam soal prestasi mahupun gaya. Model baharu Rocket GTC Deep Red 2026 ini menzahirkan falsafah tersebut. Model ini menggabungkan kuasa hibrid 1,000hp, teknologi aerodinamik paling halus, serta rekaan roadster tanpa bumbung sepenuhnya daripada red exposed-structure carbon fiber.
Dengan reka bentuk yangh rendah dan lebar, setiap inci bahagian kereta ini dibina untuk mencipta “1-Second-Wow” impresi yang serta-merta memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.
Badan Rocket GTC Deep Red dibina sepenuhnya menggunakan prepreg autoclave process disalut kemasan lut sinar berwarna merah khas. Dari hadapan, splitter BRABUS Rocket direka untuk menyalurkan downforce ke gandar depan, manakala ruang udara besar memastikan penyejukan radiator dan brek yang optimum.
Bahagian sisi pula menyalurkan udara ke panel kuarter belakang lebar sehingga mencapai 198.5 cm di gandar belakang.
Di belakang, pandangan dramatik dihidupkan dengan spoiler “ducktail”, diffuser serat karbon, serta empat muncung ekzos titanium dengan pencahayaan LED merah. Semua ini diuji dalam terowong angin bagi memastikan kestabilan pemanduan pada kelajuan tinggi.
Di bawah hud karbon, enjin V8 4.5 liter twin-turbo BRABUS Rocket 1000 menghasilkan 796hp dan 1,250Nm (dihadkan 1,050Nm untuk transmisi). Motor elektrik 204hp (150kW) dengan transmisi dua kelajuan menambah lagi daya, digerakkan oleh bateri lithium-ion 6.1kWh.
Jumlah kuasa sistem mencapai 735kW / 1,000hp dan 1,820Nm, tetapi dihadkan kepada 1,620Nm untuk melindungi komponen. Digandingkan dengan transmisi automatik sport 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda, roadster ini mampu:
0–100 km/j: 2.6 saat
0–200 km/j: 9.5 saat
0–300 km/j: 23.6 saat
Kelajuan maksima (Vmax): 317 km/j (197 mph)
Walaupun sekuat roket, ia masih kekal sebagai sebuah roadster berprestasi tinggi dengan penggunaan bahan api kombinasi 12.9 l/100km dan pelepasan CO₂ 291 g/km.
Sistem ekzos keluli tahan karat BRABUS direka dengan katalis berprestasi tinggi dan penapis partikel, membolehkan enjin bernafas lebih bebas. Ia turut menawarkan kawalan injap aktif dimana pemandu boleh memilih mod “Coming Home” yang senyap, atau membuka injap sepenuhnya untuk menikmati ngauman penuh V8 twin-turbo.
Diiringi visual ekzos titanium bercahaya merah, setiap nyalaan bukan sekadar bunyi, tetapi satu persembahan teater mekanikal.
Rocket GTC Deep Red dilengkapi rim Monoblock P Platinum Edition dengan aero-blade karbon yang direka untuk mengalirkan haba brek keluar dengan lebih efisien.
Suspensi sport dengan pelarasan ketinggian 10–20mm memastikan kedudukan badan rendah, profil tajam, dan pengendalian yang setimpal dengan prestasi 1,000hp.
Masuk ke dalam kabin, konsep “Masterpiece” Brabus diterjemahkan dengan kemasan kulit penuh berwarna merah, jahitan “Shell quilting” yang teliti, serta embossed logo Double-B dan ROCKET GTC pada tempat duduk.
Lantai, ruang simpanan, hingga but belakang semuanya dilapisi kulit berkualiti tinggi dengan perincian jahitan tangan. Kontras sporty hadir melalui kemasan karbon Signature, pedal, stereng, dan sill pintu bercahaya. Malah, butang kawalan dan gril pembesar suara disiapkan dengan kemasan “Shadow Gray” matte, melengkapkan rasa eksklusif.
Dengan bumbung fabrik elektro-hidraulik yang boleh dibuka, kabin ini menjadi pentas gaya hidup eksklusif yang elegan, agresif, dan unik.
Rocket GTC Deep Red melakukan debut di Pebble Beach sempena Monterey Car Week, pentas paling berprestij untuk hypercar. Harga rasmi: €830,422 (sekitar USD967,000 / RM4.3 juta sebelum cukai Malaysia).
Jumlah unit? Sangat terhad, dipercayai dalam dua digit rendah sahaja, menjadikannya antara roadster hibrid paling rare di dunia.
Kuasa sistem: 735kW / 1,000hp
Tork sistem: 1,820Nm (dihadkan 1,620Nm)
0–100 km/j: 2.6s
0–200 km/j: 9.5s
0–300 km/j: 23.6s
Kelajuan maksima: 317 km/j
Penggunaan bahan api: 12.9 l/100km
Emisi CO₂: 291 g/km
Enjin petrol: V8 4.5L twin-turbo, 796hp, 1,250Nm (dihadkan 1,050Nm)
Motor elektrik: 204hp, transmisi 2-kelajuan, bateri 6.1kWh
Rim/Tayar: 21” depan / 22” belakang, Continental SportContact 7
Suspensi: BRABUS sport spring, boleh laras 10–20mm
Ekzos: Titanium dengan kawalan injap & tip LED merah
Badan: Roadster serat karbon Deep Red, aerodinamik penuh
Harga: €830,422 (≈ USD967,000)
BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026 dibina untuk pelanggan eksklusif, model ini menandakan satu lagi bukti bahawa BRABUS masih menguasai seni “Born Wild. And Free.”
Art of Speed Malaysia 2026 (AOS 2026) bakal kembali menggegarkan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos 2026 dengan skala penganjuran yang lebih besar, meriah dan penuh dengan aktiviti yang melibatkan jentera-jentera unik, muzik, seni serta budaya kustom.
Mengangkat tema “Summer Festival – Kustom Bergaya”, acara tahunan kustom dan budaya alternatif terbesar di Malaysia itu akan berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam pada kedua-dua hari.
SoundCircus Festival pula akan diteruskan sehingga jam 12.00 tengah malam.
Antara tarikan utama penganjuran tahun ini ialah kemunculan sulung pengasas Liberty Walk, Wataru Kato dari Jepun. Kehadiran nama besar dalam arena modifikasi global itu dijangka menjadi antara detik yang dinantikan oleh peminat kereta kustom tempatan.
Selain Wataru Kato, AOS 2026 turut membawa barisan tetamu antarabangsa daripada komuniti automotif, motosikal, seni dan media.
Antaranya ialah Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka dan Sohei Murakami dari MOONEYES Jepun, Yokomizo Gaku dari Hawgholic, Yoshiki Okubo dari Vise Clothing serta Scott Walker dari DicE Magazine, Amerika Syarikat.
Turut hadir ialah Ronald Wong, pereka produk utama bagi rangkaian Hot Wheels Premium, wakil Banzai Racing dari Jepun dan Taiwan, Boo Pinstriping, Jetwrench ArtStudio, Vibes Magazine serta penggiat budaya kustom dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei.
Peminat motosikal klasik kustom berpeluang melihat dua jentera istimewa yang dibawa khas dari Jepun.
Hawgholic bakal mempamerkan sebuah Harley-Davidson Knucklehead keluaran 1945, manakala Vise Clothing akan membawa sebuah Harley-Davidson Shovelhead tahun 1966 yang telah diberikan sentuhan kustom tersendiri.
AOS 2026 juga akan menampilkan pameran kereta kustom dari Bangkok, Thailand dan Taiwan, selain beberapa jentera yang dibawakan bersempena kehadiran Liberty Walk.
SoundCircus Festival kembali dengan skala terbesar pernah dianjurkan apabila enam pentas akan dibuka di kawasan dalam dan luar MAEPS.
Barisan artis tahun ini termasuk Ella bersama Cokelat, Sheila Majid menerusi segmen Jemput Dengar, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi dan Hari Slatan.
Festival tersebut turut meraikan ulang tahun ke-20 kumpulan Hujan serta 30 tahun gerakan Asian Hardcore.
SoundCircus berlangsung pada 1 dan 2 Ogos, bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Harga tiket kemasukan umum SoundCircus ditawarkan pada RM149, manakala pembelian berkumpulan minimum tiga orang berharga RM135 seorang.
Tiket Rockzone pula berharga RM199 atau RM189 seorang bagi pembelian berkumpulan minimum tiga orang. Pas kemasukan umum sehari ditawarkan pada harga RM89.
Ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi kanak-kanak dan remaja yang menghadiri acara SoundCircus.
Selepas sekian lama dinantikan, pertandingan AOS Invitational Build-Off kembali dengan penyertaan lapan pembina motosikal kustom tempatan.
Mereka ialah Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.
Selain merebut hadiah wang tunai, pemenang akan mendapat peluang membawa hasil binaan mereka ke pentas antarabangsa menerusi The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.
Buat julung kalinya, AOS 2026 memperkenalkan Car & Motorcycle Red Carpet Photo Zone di kawasan pintu masuk utama.
Setiap kereta dan motosikal yang melalui gerbang acara berpeluang dirakam seperti jentera selebriti di atas karpet merah. Kawasan tersebut akan dilengkapi pencahayaan tambahan bagi menghasilkan gambar yang lebih menarik.
AOS turut mengumumkan sepuluh kerjasama strategik baharu bagi edisi 2026.
Ia melibatkan kolaborasi bersama Liberty Walk, Hot Wheels, DicE Magazine, Xocks, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.
Kerjasama tersebut memperkukuhkan kedudukan AOS sebagai antara hab budaya automotif dan gaya hidup alternatif utama di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, AOS 2026 akan bekerjasama dengan Astro Shaw bagi mempromosikan filem Terbang.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk sesi bertemu peminat, aktiviti promosi serta pameran eksklusif kenderaan utama yang digunakan dalam filem tersebut.
Peminat diecast pastinya tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Hall C.
Memasuki edisi keempat, konvensyen itu akan menampilkan zon aktiviti baharu, pameran dan pertandingan diorama, aktiviti jual beli serta pertukaran Hot Wheels dan sesi perkongsian bersama pengumpul.
Model eksklusif HWCCM bagi tahun ini ialah Nissan Skyline GT-R V-Spec II BNR34. Setiap unit hadir dengan nombor siri unik, lesen rasmi Nissan serta pelekat Motul dan Yokohama.
Model itu ditawarkan dalam kuantiti terhad dan dijual berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Pengunjung bertuah juga berpeluang bertemu Ronald Wong, pereka utama Hot Wheels Premium yang bertanggungjawab terhadap rangkaian Car Culture, Boulevard, 2-Car Packs dan Collector Sets.
Antara rekaan beliau ialah Nissan Skyline GT-R BNR34, McLaren F1 GTR 1997, Honda Civic Type R 2007 dan Honda Civic Type R 2024.
Bersempena pelancaran model khas tersebut, Malaysia Skyline Owners Group akan mengadakan pameran khas barisan Nissan Skyline GT-R di Hall C.
Beberapa model diecast eksklusif turut akan dilancarkan dan hanya boleh didapati sepanjang AOS 2026.
Ia termasuk model kerjasama Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB serta Mini GT x Liberty Walk.
Hall C juga akan menempatkan Collectible Alley, sebuah ruang jualan khas untuk diecast, memorabilia dan barangan koleksi automotif.
Hall A sekali lagi menjadi lokasi utama pertandingan dan pameran Show & Shine.
Antara segmen baharu diperkenalkan ialah Chopper Paradise dengan kerjasama DicE Magazine, pameran trak pikap kustom menerusi Pick-Up Line serta pameran antarabangsa yang menghimpunkan jentera modifikasi dari Thailand.
Pemenang Best of Show bagi kategori kereta dan motosikal akan memenangi perjalanan ke Yokohama Hot Rod Custom Show pada Disember 2026.
Hall D pula akan menampilkan pelbagai aktiviti gaya hidup dan subbudaya.
Gravel Travel menghimpunkan basikal kustom dan modifikasi menerusi pameran, pertandingan serta aktiviti komuniti yang dikendalikan KL Orbits.
Kulture Kartel pula menjadi lokasi bagi peminat pakaian vintaj, barangan preloved, fesyen dan streetwear. Pertandingan B-Boy dan rap battle dijadualkan berlangsung pada Ahad.
Turut diadakan ialah pertunjukan fesyen eksklusif daripada Sunburst Tribe.
Sebuah Kids Recreation Zone turut disediakan di Hall D sebagai ruang interaktif dan santai untuk keluarga.
Kawasan luar MAEPS akan menjadi lokasi Brotherhood Rally di ThunderCircus.
Ruang tersebut dikhaskan untuk kelab motosikal, komuniti penunggang dan pemilik pelbagai jenama dari Malaysia serta negara serantau.
Antara tarikan utama ialah aktiviti mega ride-in yang dijangka menghimpunkan sejumlah besar motosikal sepanjang hujung minggu.
AOS 2026 turut menyediakan kawasan khusus untuk perhimpunan komuniti.
Santai Scooterist akan menghimpunkan pemilik skuter di kawasan luar Laman Tiba, manakala perhimpunan kelab kereta moden dan klasik akan diadakan dengan kerjasama Qartel TV.
Peminat basikal pula boleh menyertai KL Orbits, sebuah perhimpunan dan pertandingan khas yang diperkenalkan untuk komuniti kayuhan.
Daniel Sherman Fernandez dari DSF akan mengendalikan forum tahunan Kustom & Koffee Talk pada Sabtu, jam 2.00 petang di Hall A.
Forum itu akan menampilkan panel antarabangsa yang membincangkan perkembangan dan trend terkini dalam industri kereta serta motosikal.
Antara aktiviti paling unik tahun ini ialah Flying Fox yang dipasang merentasi kawasan pentas SoundCircus.
Pengunjung berpeluang meluncur di atas penonton konsert berhampiran Pentas 16. Aktiviti tersebut boleh disertai tanpa perlu membeli tiket SoundCircus.
AOS turut menyediakan Test Ride Zone yang membolehkan pengunjung mencuba motosikal daripada jenama seperti Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson dan Thunder.
Beberapa pelancaran produk baharu serta pemberian sampel makanan percuma daripada rakan penaja juga akan berlangsung di pentas utama.
Peminat komponen lama boleh mengunjungi Automotive Flea Market untuk mencari alat ganti, aksesori dan barangan automotif yang jarang ditemui.
Kawasan luar turut menempatkan medan selera dan trak makanan, manakala Payung Kopi berhampiran pintu masuk Hall D menyediakan ruang santai untuk menikmati kopi serta pastri.
Backdoor SoundSystem Collective pula akan menghiburkan pengunjung di kawasan bersebelahan Payung Kopi sepanjang acara berlangsung.
Aktiviti Kembara Passport kembali dan kini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori.
Pengunjung hanya perlu melawat reruai korporat dan rakan penaja sebelum menyelesaikan tugasan mudah bagi mendapatkan cop.
Mereka yang berjaya mengumpul kesemua 24 cop berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 serta pakej perjalanan eksklusif bersama Art of Speed Malaysia.
Tiga hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles, sebuah Honda HR-V yang telah diubah suai oleh Qartel TV dan sebuah Vespa S 125.
Pas hujung minggu AOS 2026 ditawarkan menerusi promosi Early Bird dalam talian pada harga RM35, tidak termasuk caj pemprosesan RM3.
Harga tiket di pintu masuk pula ialah RM40.
Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan pemegang kad Orang Kurang Upaya diberikan kemasukan percuma.
Pengunjung yang mahukan kemudahan tambahan boleh mendapatkan tiket parkir Valet VIP pada harga RM30 sehari. Bayaran secara tunai atau kod QR boleh dibuat pada hari acara dan kenderaan akan ditempatkan di aras bawah Hall D.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, penganjuran tahun ini menandakan perjalanan 15 tahun AOS bersama komuniti, peminat dan rakan media.
Menurutnya, AOS 2026 merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah festival bertaraf antarabangsa yang menggabungkan gaya hidup automotif dengan pengalaman muzik secara menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan kehadiran pertama Liberty Walk di AOS sebagai satu pencapaian bersejarah kepada perkembangan budaya kustom di rantau ini.
Kehadiran dua pembina motosikal legenda dari Jepun, Yoshiki Okubo dan Yokomizo Gaku, turut dijangka menjadikan edisi kali ini antara penganjuran AOS paling istimewa.
Art of Speed Malaysia 2026 berlangsung pada 1 dan 2 Ogos 2026 di MAEPS Serdang. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web rasmi Art of Speed Malaysia.
Hyundai Motor Malaysia (HMY) mencipta satu lagi detik penting dalam industri automotif tempatan apabila secara rasmi melancarkan dua model elektrik berprestasi tinggi, Hyundai IONIQ 5 N dan Hyundai IONIQ 6 N, sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Pelancaran ini menandakan kemunculan rasmi rangkaian Hyundai N di Malaysia, sekali gus memperkenalkan segmen baharu kenderaan elektrik berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa luar biasa, teknologi canggih dan keseronokan pemanduan sebenar.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, rakyat Malaysia sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia automotif dan pemanduan.
“IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N membuktikan bahawa kenderaan elektrik bukan sahaja cekap dan mesra alam, malah mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan. Inilah semangat ‘Never Just Drive’ yang menjadi identiti Hyundai N,” katanya.
Hyundai N merupakan divisyen prestasi tinggi Hyundai yang diasaskan berteraskan falsafah “Never Just Drive”. Setiap model N dibangunkan di pusat penyelidikan dan pembangunan Hyundai di Namyang, Korea Selatan sebelum menjalani ujian ketahanan dan prestasi intensif di litar legenda Nürburgring Nordschleife di Jerman.
DNA perlumbaan Hyundai turut dipengaruhi pengalaman syarikat dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), menjadikan setiap model N menawarkan keseimbangan antara prestasi trek dan kegunaan harian.
Sebagai pemenang anugerah World Performance Car 2024, Hyundai IONIQ 5 N dibangunkan untuk membuktikan bahawa kenderaan elektrik mampu memberikan pengalaman pemanduan yang penuh emosi dan keterujaan.
Dikuasakan motor elektrik yang menghasilkan sehingga 650PS menerusi fungsi N Grin Boost, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.
Walaupun berprestasi tinggi, IONIQ 5 N masih menawarkan kepraktisan sebuah crossover keluarga dengan jarak perjalanan sehingga 448 kilometer (WLTP) serta jarak roda sepanjang 3,000mm.
Antara teknologi eksklusif Hyundai N yang ditawarkan termasuk:
Hyundai IONIQ 5 N ditawarkan pada harga bermula RM443,888 dan hanya tersedia menerusi tempahan khas (built-to-order).
Turut membuat penampilan sulung di Malaysia ialah Hyundai IONIQ 6 N, model sedan elektrik berprestasi tinggi yang dibangunkan berasaskan platform aerodinamik IONIQ 6 Streamliner.
Dinamakan sebagai World Performance Car 2026, IONIQ 6 N tampil dengan reka bentuk yang lebih agresif serta pekali seretan udara hanya 0.27 Cd, membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi.
Kuasa maksimum 650PS menerusi N Grin Boost membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 257 km/j.
Ia turut menawarkan jarak perjalanan lebih jauh iaitu sehingga 487 kilometer (WLTP) selain dilengkapi sistem Electronically Controlled Suspension (ECS) yang mampu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Hyundai IONIQ 6 N dijual pada harga RM449,888 dan turut ditawarkan secara tempahan khas.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan melalui pengedar rasmi Hyundai N di Malaysia iaitu:
Hyundai turut memaklumkan bahawa lebih banyak lokasi pengedar Hyundai N akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sepanjang KLIMS 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 21 Jun di MITEC Kuala Lumpur, pengunjung berpeluang melihat keseluruhan rangkaian model Hyundai termasuk TUCSON, SANTA FE, STARIA serta model-model Hyundai N.
Selain sesi pandu uji, pelbagai aktiviti interaktif bertemakan bola sepak turut disediakan termasuk permainan PlayStation 5 dan peluang memenangi barangan eksklusif Hyundai.
Lebih menarik, Hyundai Cup™ Trophy akan dipamerkan di reruai Hyundai dari 12 hingga 15 Jun sempena sambutan 30 tahun kejohanan bola sepak ASEAN yang disokong Hyundai.
Bagi pelanggan yang ingin memiliki model Hyundai sedia ada, Hyundai Motor Malaysia turut menawarkan promosi khas sepanjang bulan Jun 2026.
Antara tawaran yang disediakan termasuk:
Hyundai Tucson
Hyundai Santa Fe
Hyundai Staria
Promosi ini sah sehingga 30 Jun 2026 di semua pusat jualan Hyundai yang sah di seluruh negara.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...