Hyundai Motor Company (HMC) mengorak langkah untuk memperkukuh kehadirannya di rantau ASEAN dengan penubuhan Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Entiti baharu ini menandakan perubahan strategi utama, apabila syarikat ini kini mengendalikan operasi secara langsung tanpa pengedaran pihak ketiga.
Langkah strategik terbaharu ini bukan sekadar perubahan struktur operasi, tetapi titik permulaan era baharu Hyundai di Malaysia.
Opeasi akan lebih pantas, lebih dekat dengan pelanggan, dan lebih bersedia menghadapi masa depan mobiliti.
Langkah ini bukan sahaja menamatkan era kerjasama eksklusif bersama Sime Motors sebagai pengedar utama sejak 2004, malah membuka ruang baharu buat Hyundai untuk mengawal sepenuhnya aspek pemasaran, jualan, perkhidmatan pelanggan dan pertumbuhan jenama di Malaysia.
Dengan penubuhan HMY, Hyundai kini beroperasi menerusi pendekatan principal-based, iaitu operasi langsung yang membolehkan mereka memberi respons pantas terhadap kehendak pasaran tempatan.
Sebuah pasukan profesional tempatan telah dibentuk dan diberi autonomi untuk membuat keputusan yang relevan, dengan ibu pejabat baharu terletak di Menara Affin @ TRX.
Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee menyifatkan fasa ini sebagai satu komitmen jangka panjang:
“Penubuhan HMY membolehkan kami membawa kekuatan jenama global ke Malaysia. Ini adalah langkah penting untuk menjadikan negara ini sebagai hab strategik di Asia Tenggara.”
Sebagai permulaan, Hyundai merancang untuk memperkenalkan tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV dalam masa terdekat.
Menariknya, pengeluaran tempatan akan dimulakan seawal suku ketiga 2025 menerusi kerjasama dengan Inokom Corporation di Kedah.
Dalam tempoh lima tahun, sebanyak tujuh model dijangka akan dipasang secara lokal termasuk varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid elektrik (HEV).
Sebanyak 30% daripada unit yang dipasang ini juga disasarkan untuk dieksport ke pasaran ASEAN.
Perancangan ini bakal memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu pusat operasi serantau Hyundai.
Seiring dengan transformasi ini, HMY turut menyusun semula strategi rangkaian pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan.
Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuk:
Pemodenan bilik pameran dan integrasi digital baharu
Penubuhan sehingga 25 cawangan menjelang 2030
Penambahbaikan sistem sokongan pelanggan dan pengalaman pemilikan
HMY juga menggalakkan pelanggan sedia ada untuk mengemas kini maklumat hubungan mereka bagi memastikan kesinambungan akses kepada kemas kini penting seperti penyelenggaraan, peringatan servis dan berita terkini jenama.
Menurut Pengarah Urusan HMY, Jahabarnisa Haja Mohideen, Malaysia menyumbang 35% permintaan bagi kenderaan penumpang di ASEAN, menjadikannya pasaran paling besar di rantau ini.
“Malaysia adalah lokasi ideal untuk kami memperkukuh operasi dan menjadikannya hab utama bagi pengembangan Hyundai di Asia Pasifik.”
Sime Motors pula akan kekal sebagai rakan kongsi strategik dalam usaha penstrukturan semula ini.
Mereka akan terus menyokong operasi jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Sejak kerjasama rasmi bersama Sime Motors pada 2004, Hyundai telah menjadi jenama yang dikenali ramai di Malaysia.
Lebih 147,000 unit kenderaan Hyundai telah dijual, merangkumi pelbagai model daripada sedan seperti Elantra dan Sonata, SUV seperti Tucson dan Palisade, hingga ke kenderaan elektrifikasi seperti IONIQ Hybrid dan IONIQ 5 N.
Dengan reputasi ini serta asas pelanggan yang kukuh, Hyundai kini bersedia untuk membawa Malaysia ke tahap seterusnya dalam landskap mobiliti masa depan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Hyundai Ioniq 5 Facelift 2024 Dengan Bateri Lebih Besar!