Hyundai Mulakan Pemasangan Tempatan STARIA di Kulim
Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini mengumumkan permulaan rasmi jualan bagi Hyundai STARIA pemasangan tempatan (CKD), menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan jenama itu sejak penubuhannya di Malaysia.
Model ini merupakan kenderaan pertama yang dipasang secara tempatan oleh HMY, hasil kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors yang mengendalikan fasiliti pemasangan di Kulim, Kedah. Langkah ini merupakan simbol keyakinan Hyundai terhadap potensi Malaysia sebagai hab automotif serantau.
“Permulaan STARIA CKD ini bukan hanya kejayaan dari segi pengeluaran, tetapi bukti keyakinan Hyundai terhadap Malaysia sebagai pasaran penting dan hab masa depan bagi operasi kami,” jelas Eric Lee, Presiden Hyundai Motor Malaysia.
Pemasangan STARIA CKD juga dilaksanakan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan di Inokom, dengan pematuhan ketat terhadap standard kualiti global Hyundai. Menurut Sui Keng Huat, Pengarah Urusan Inokom Corporation, setiap kenderaan yang dikeluarkan di Kulim dihasilkan dengan perhatian terhadap perincian dan piawaian antarabangsa yang sama seperti kilang Hyundai di seluruh dunia.
“Setiap STARIA yang keluar dari barisan pemasangan kami adalah hasil tangan dan kepakaran rakyat Malaysia, dihasilkan dengan ketelitian dan kebanggaan,” katanya.
Langkah ini turut memperkukuh komitmen jangka panjang Hyundai terhadap Malaysia, bukan sekadar sebagai pasaran jualan, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi negara.
Ads
HMY menyatakan bahawa pemasangan tempatan STARIA akan membantu memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memupuk keupayaan industri automotif Malaysia secara menyeluruh.
Dengan pelaburan ini, pelanggan kini boleh menikmati model Hyundai STARIA CKD yang mengekalkan semua ciri dan kualiti versi import, tetapi pada harga yang lebih kompetitif bermula dari RM179,888.
STARIA CKD masih menampilkan rekaan futuristik, kabin luas dan teknologi keselamatan canggih yang menjadi identiti model ini.
Ads
Versi pemasangan tempatan kini ditawarkan dengan pilihan warna baharu termasuk Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea. Semua varian masih mengekalkan tahap keselesaan dan keselamatan yang setanding dengan versi global, menjadikannya antara MPV paling moden dalam segmennya.
Pemilikan STARIA CKD turut disokong oleh waranti 8 tahun atau 160,000 km, disertakan penyelenggaraan percuma (termasuk upah) sehingga lapan kali servis, memastikan ketenangan minda kepada setiap pemilik.
Sebagai tambahan, Hyundai turut memperkenalkan kempen “Year-End Rewards” dengan tawaran menarik seperti:
Servis percuma (alat ganti & upah) sehingga 8 kali, atau ganjaran tunai RM6,000
Diskaun tambahan RM5,000 untuk varian terpilih
Baucar gaya hidup bernilai hingga RM2,000 melalui myHyundai Rewards
Aksesori percuma serta naik taraf pakej AutoPro dengan kerjasama Tokio Marine Insurans (M) Berhad*
(*Tertakluk kepada terma dan syarat)
Ads
“Here to Stay” Dari Janji Ke Realiti
Bagi Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan HMY, pelancaran STARIA CKD ini adalah bukti nyata bahawa Hyundai bukan sekadar menembusi pasaran tempatan tetapi membina kehadiran jangka panjang yang kukuh.
“Apabila kami kata Here to Stay, ia bermaksud kami benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada industri automotif Malaysia. Ia tentang pelaburan, kerjasama dengan rakan tempatan dan memenuhi janji kami kepada pelanggan,” ujar beliau.
Dengan pelancaran STARIA pemasangan tempatan ini, Hyundai menegaskan semula kedudukannya sebagai penyedia mobiliti global yang komited terhadap pembangunan industri automotif Malaysia. Ia juga menjadi asas kepada langkah masa depan untuk memperluas barisan model CKD lain di bawah Hyundai Motor Malaysia.
Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 bertempat di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, disertai tetamu kehormat lain.
Bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah,” ini merupakan kali kedua kempen dianjurkan oleh Suzuki Malaysia dan kali kelapan oleh AFY Mobility Industries (AMI). Fokus utama adalah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, serta masyarakat secara keseluruhan.
Kemalangan Jalan Raya – Statistik Membimbangkan
Dalam ucapannya, Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah menekankan isu serius berkaitan statistik kemalangan jalan raya. Beliau menyatakan, sehingga November 2024, sebanyak 5,939 kematian direkodkan daripada 585,729 kes kemalangan.
Lebih mengejutkan, 67% atau 4,014 kematian melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal. Kebanyakan mangsa adalah belia berusia antara 16 hingga 35 tahun. Ini menjadikan kumpulan ini paling terkesan akibat tragedi di jalan raya.
Beliau juga menekankan kepentingan memiliki lesen memandu yang sah sebagai langkah asas keselamatan. “Memiliki lesen yang sah bukan sekadar keperluan undang-undang, tetapi asas utama untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” tegas beliau.
Aktiviti Kempen yang Menarik
Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan bermaklumat kepada orang ramai. Antaranya:
Pemeriksaan motosikal percuma dengan ‘16-point check’ oleh mekanik Suzuki.
Penukaran 400 unit topi keledar baharu untuk penunggang motosikal.
Pengagihan topi keledar kanak-kanak, simbol usaha melindungi penumpang muda.
Pameran motosikal serta aksesori keselamatan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, menegaskan komitmen Suzuki Malaysia untuk terus menyokong inisiatif keselamatan jalan raya demi kesejahteraan masyarakat.
Simbolik Perasmian Kempen
Majlis gimik perasmian dilengkapkan dengan pukulan gong oleh Datuk Haji Hasbi, disertai Encik Yap Kiew San, Pengerusi MMSDA, serta En. Ahmad Faez. Langkah ini menjadi simbolik komitmen padu semua pihak terhadap kempen yang dijalankan.
Harapan Menuju Jalan Raya Lebih Selamat
Kempen ini bukan sahaja menyediakan aktiviti mendidik, malah diharap dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya. Dengan kolaborasi pelbagai pihak, usaha seperti ini penting untuk membentuk budaya jalan raya yang lebih bertanggungjawab dan selamat di Malaysia.
Langkah keselamatan bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi satu usaha bersama. Marilah kita “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” demi masa depan yang lebih cerah dan selamat.
SYM VFE 185i Tiba Dengan Ciri Premium & Harga Menarik
Gelombang baharu dalam segmen moped berkapasiti tinggi kini bermula dengan kemunculan SYM VFE 185i, model terkini yang dilancarkan oleh SYM Malaysia sempena acara Mforce Mid-Autumn Gala yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South baru-baru ini.
Dengan harga jualan RM9,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), SYM VFE 185i disasarkan kepada penunggang yang mahukan gabungan antara kuasa, gaya moden dan teknologi semasa. Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu White, Green dan Blue serta boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara.
Enjin 183cc Dengan Suntikan EFI
VFE 185i ini hadir dengan enjin 183cc, silinder tunggal, 4-lejang SOHC, yang menghasilkan kuasa maksimum 14.7 kW pada 9,000 rpm serta tork 17.46 Nm pada 7,500 rpm. Dengan nisbah mampatan 11.1:1, enjin ini dilengkapi sistem Electronic Fuel Injection (EFI) dan penyejukan cecair untuk memastikan prestasi enjin kekal stabil walaupun dalam keadaan trafik sesak atau perjalanan jauh.
Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan bersama klac basah berbilang cakera, menawarkan penukaran gear yang lancar serta tindak balas pendikit yang lebih responsif. Sistem pelinciran peredaran paksa dan percikan minyak turut membantu mengekalkan ketahanan dalaman enjin, menjadikan motosikal ini sesuai untuk kegunaan harian mahupun tunggangan berprestasi tinggi.
Reka Bentuk Ringkas, Mudah Dikawal
Dari segi dimensi, VFE 185i berukuran 2,000mm panjang, 740mm lebar dan 1,150mm tinggi, dengan jarak roda 1,305mm serta kelegaan tanah 135mm. Dengan berat hanya 135kg dan ketinggian tempat duduk 800mm, motosikal ini mudah dikawal oleh pelbagai peringkat penunggang termasuk mereka yang baru beralih ke segmen 180cc ke atas.
Kapasiti tangki bahan api 7 liter pula membolehkan perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak, satu kelebihan nyata untuk penunggang yang aktif di jalan raya.
Suspensi Mantap, Brek ABS Dwi Saluran
Sistem suspensi VFE 185i menggunakan fork teleskopik 80mm di hadapan dan monoshock 32mm di belakang, menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan. Untuk membrek, ia dilengkapi cakera 250mm di hadapan serta cakera 200mm di belakang, dipadankan dengan sistem ABS dua saluran.
Sementara itu, tayar tanpa tiub bersaiz 90/80-17 (depan) dan 120/80-17 (belakang) memastikan cengkaman mantap sama ada di jalan kering mahupun basah.
Ciri Moden & Teknologi Semasa
Meneruskan pendekatan moden SYM, VFE 185i turut hadir dengan lampu utama, belakang dan isyarat LED sepenuhnya, meter digital berwarna LED, serta sistem kunci pintar bagi memudahkan pengendalian harian. Ia turut dilengkapi port pengecas USB Type-A QC 3.0, lampu kecemasan LED, dan lampu nombor plat bersepadu, menambah nilai kepada keseluruhan pakej.
Kuasa elektriknya dibekalkan oleh bateri 12V6A, memberikan kestabilan kepada semua sistem elektronik termasuk paparan digital dan sistem pencahayaan.
Jaminan & Servis Selepas Jualan
Setiap pembelian SYM VFE 185i disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana terdahulu), serta akses kepada perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Pilihan Baharu Dalam Dunia Kapcai
Kemunculan SYM VFE 185i menandakan langkah serius SYM dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen moped berkapasiti tinggi di Malaysia. Dengan kombinasi kuasa enjin 183cc, rekaan moden, teknologi ABS dan ciri premium lain pada harga di bawah RM10,000, model ini dijangka menjadi pesaing kuat kepada jenama-jenama popular lain dalam kategori yang sama.
Pada 20 Julai lalu, Kawasaki Motors, sebahagian daripada Kumpulan Kawasaki Heavy Industries telah mengadakan demonstrasi umum pertama untuk motosikal berteknologi enjin pembakaran dalaman hidrogen (ICE).
Acara ini diadakan di Litar Suzuka, Bandaraya Suzuka Jepun, dan disaksikan oleh ramai peminat automotif serta media.
Reka Bentuk dan Kejuruteraan Termaju
Motosikal ICE hidrogen ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada kajian yang bermula pada Mac 2023, dengan ujian pertama dijalankan pada tahun ini.
Model ini menggunakan Enjin Empat Sejajar 998 cm3 Supercharged dari Kawasaki Ninja H2.
Enjin tersebut telah diubahsuai untuk membolehkan suntikan langsung bahan api hidrogen ke dalam silinder.
Selain itu, casis motosikal ini direka khas untuk menampung kanister bahan api hidrogen dan sistem bekalan bahan api yang diperlukan.
Keunikan Teknologi Pembakaran Hidrogen
Motosikal ini menggunakan teknologi pembakaran hidrogen yang menghasilkan deruman bunyi dan getaran yang memberikan pengalaman memuaskan kepada penunggang.
Berbeza dengan enjin pembakaran dalaman tradisional, motosikal ini hanya mengeluarkan air sebagai produk sampingan, menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam.
Inisiatif Karbon Neutral Kawasaki Motors
Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong teknologi hijau, Kawasaki Motors sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi merealisasikan penggunaan motosikal dengan enjin hidrogen ini.
Mereka mensasarkan untuk memperkenalkan motosikal ini kepada pasaran pada awal 2030 sebagai satu pilihan mesra alam kepada penunggang.
Komitmen Kawasaki Terhadap Teknologi Hijau
Kawasaki Motors juga merupakan ahli penuh dalam HySE (Hydrogen Small mobility & Engine technology), sebuah persatuan penyelidikan yang memfokuskan kepada teknologi hidrogen.
Persatuan ini sedang menjalankan penyelidikan asas mengenai enjin hidrogen, sistem pengisian bahan api hidrogen, dan sistem bekalan bahan api bagi menghasilkan kenderaan mobiliti kecil berkuasa hidrogen, termasuk motosikal.
Dengan inisiatif ini, mereka berharap dapat menyumbang kepada kebahagiaan dan kepuasan semua pihak yang terlibat dalam perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih hijau.
Sime Motors Raikan 45 Tahun Kejayaan, BMW 2 Series Menanti Pemenang Utama
Sime Motors memulakan sambutan ulang tahun ke-45 mereka dengan mengumumkan pemenang-pemenang pertama Kempen...