
Bintang WWE dan pelakon Hollywood terkenal, John Cena sememangnya dikenali sebagai peminat kereta berprestasi tinggi. Namun di sebalik koleksi kereta eksotik yang pernah dimilikinya, satu perkara yang sering mencuri perhatian peminat automotif ialah kecenderungannya terhadap model Honda berprestasi tinggi.
Pada tahun 2024, Cena menjadi perhatian komuniti automotif selepas menukar Honda Civic Type R FK8 miliknya kepada model generasi baharu FL5.
Ketika itu, Cena difahamkan membawa Civic Type R FK8 berwarna Boost Blue miliknya ke pusat servis Wesley Chapel Honda di Florida untuk penyelenggaraan biasa. Namun lawatan tersebut bertukar menjadi pembelian baharu apabila beliau terpikat dengan Civic Type R FL5 2024 yang berada di pusat jualan tersebut.
Menurut perkongsian di media sosial, Cena mengakui beliau terus “jatuh cinta” dengan model FL5 dan memilih warna ikonik Championship White untuk kereta baharunya itu.
Apa yang menarik, FK8 milik Cena sebelum ini bukan sekadar kereta simpanan. Beliau memang menggunakan Civic Type R tersebut sebagai kenderaan harian, sesuatu yang agak jarang dilihat dalam kalangan selebriti Hollywood yang kebiasaannya memilih SUV mewah atau supercar eksotik.
Memasuki tahun 2026, Cena sekali lagi menambah sebuah model Honda dalam koleksinya, kali ini menerusi Honda Prelude generasi baharu berwarna Boost Blue Pearl.
Menariknya, kisah pembelian Prelude ini hampir sama seperti pengalaman beliau membeli FL5 dahulu. Cena dikatakan menemui model coupe hibrid tersebut ketika menghantar Civic Type R miliknya untuk servis.
Dalam satu hantaran media sosial, beliau berkata:
“Took the Civic Type R in for service and was fortunate enough to pick up the brand new Honda Prelude!”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wesley Chapel Honda kerana membantu menambah sebuah lagi model Honda dalam koleksinya.
Honda Prelude generasi baharu ini dibangunkan menggunakan platform Civic dan berkongsi beberapa komponen penting daripada Civic Type R, termasuk sistem suspensi dan brek.
Walaupun menggunakan pendekatan lebih santai berbanding FL5 Type R, Prelude masih menawarkan karakter pemanduan sporty menerusi sistem hibrid yang menghasilkan sekitar 200 hp.
Sebagai perbandingan, Civic Type R FL5 hadir dengan enjin 2.0-liter VTEC Turbo berkuasa sekitar 315 hp, menjadikannya antara hatchback pacuan roda hadapan paling berkuasa di pasaran.
Dengan pembelian Prelude baharu ini, jelas menunjukkan bahawa minat Cena terhadap Honda bukan sekadar gimik promosi, tetapi benar-benar lahir daripada jiwa seorang peminat automotif.
Dan berdasarkan trend semasa, nampaknya setiap kali John Cena pergi servis Honda… beliau pasti pulang dengan Honda baharu.
Baca Juga : Honda Lancar “Hybrid Done Right”, Model Prelude Baharu Dibuka Untuk Tempahan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.