Pandu Uji: Leapmotor B10 Tampilkan Gabungan Teknologi, Ruang dan Keselesaan
Leapmotor mungkin jenama yang agak baharu dalam pasaran Malaysia, namun sebenarnya Leapmotor merupakan antara pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China yang berkembang dengan sangat pesat, dengan penghantaran global mencecah hampir 600,000 unit pada tahun 2025.
Di Malaysia, Leapmotor dibawa masuk oleh pengedar rasmi Stellantis, kumpulan yang turut menaungi jenama seperti Peugeot, Citroën, Jeep dan Alfa Romeo. Model yang kami pandu uji kali ini ialah Leapmotor B10, antara model pertama yang dipasarkan di rantau ASEAN. Lebih menarik, B10 menerima sambutan luar biasa di China apabila mencatat lebih 15,000 tempahan dalam tempoh hanya satu jam selepas pra-tempahan dibuka.

Bermula di Kota Damansara
Cukup dengan pengenalan, perjalanan kami kali ini bermula di GE Carriage Sdn Bhd yang terletak di Kota Damansara sekitar jam 9.30 pagi. Untuk sesi pandu uji ini, kami ditemani wakil daripada Leapmotor iaitu Cik Adreena dan Encik Keegan Dorai.
Sebelum memulakan perjalanan, Encik Keegan mengendalikan sesi taklimat ringkas mengenai laluan yang akan dilalui serta tentatif program sepanjang hari. Menariknya, hanya dua organisasi media terlibat dalam sesi ini, iaitu Roda Panas yang diwakili oleh penulis bersama jurukamera, Ali, serta wakil daripada Maskulin, Syahir.

Impresi Pertama Yang Memikat
Selesai sesi taklimat, kami menuju ke kenderaan yang disediakan. Impresi pertama? Warna yang sangat menarik.
Bagi sesi ini, Leapmotor menyediakan unit berwarna Starry Night Blue dan Dawn Purple. Kedua-dua warna ini jarang ditemui pada model lain dan memberikan penampilan yang cukup premium. Hanya melalui pilihan warna sahaja, SUV keluarga ini sudah berjaya menonjolkan imej mewah sebelum kami meneroka lebih jauh ciri-ciri yang ditawarkannya.
Satu lagi elemen yang menyerlahkan aura premium model ini ialah penggunaan kad NFC untuk membuka kunci dan menghidupkan kenderaan. Penulis pernah memandu uji model Leapmotor yang lain sebelum ini, jadi sistem ini penulis pernah gunakan. Namun, terdapat satu persoalan yang sering ditanya selepas sesi pandu uji terdahulu bagaimana jika hari hujan? kerana kad NFC ini perlu disentuh di bahagian sebelah kanan cermin sisi kereta ini. Jawapannya akan kami kongsikan kemudian dalam artikel ini.

Kabin Premium Yang Mengejutkan
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kabin, perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut penulis ialah, “Wow!”
Mengapa? Rekaan dalaman berwarna putih memberikan suasana yang sangat premium. Walaupun harga kenderaan ini berada dalam lingkungan RM100,000, ruang dalaman yang ditawarkan terasa seperti sebuah kenderaan yang berada dalam segmen harga lebih tinggi.

Seperti biasa, perkara pertama yang dilakukan ialah melaraskan kedudukan tempat duduk mengikut keselesaan. Ketika itulah muncul satu lagi faktor yang membuatkan penulis kagum buat kali kedua, kerusi hadapan hadir dengan fungsi pengudaraan tempat duduk (ventilated seat).

Ciri ini sememangnya sesuai untuk cuaca Malaysia yang panas dan lembap. Kebetulan penulis tiba di lokasi dengan menunggang motosikal, jadi badan masih terasa panas dan berpeluh. Kehadiran fungsi ini benar-benar membantu menyejukkan badan sebelum perjalanan bermula.
Infotainmen Moden, Tetapi Perlu Biasakan Diri
Namun begitu, ada satu perkara yang memerlukan sedikit penyesuaian. Sebelum memulakan perjalanan, pengguna disarankan menetapkan suhu pendingin hawa terlebih dahulu.
Ini kerana kebanyakan kenderaan hari ini masih menggunakan tombol fizikal untuk melaraskan suhu, tetapi bagi B10, hampir semua fungsi tersebut dikendalikan melalui skrin sentuh bersaiz 14.6 inci. Ketika memandu, ia memerlukan sedikit perhatian tambahan untuk membuat pelarasan.

Bercakap mengenai sistem infotainmen, ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 8155 bersama sistem operasi Leap OS yang menawarkan respons yang pantas dan lancar. Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan kami menikmati perjalanan dengan senarai lagu pilihan sendiri melalui Spotify.
Dari aspek keselamatan, model ini turut dilengkapi kamera 360 darjah yang memudahkan pemandu memastikan keadaan sekeliling sebelum keluar dari kawasan parkir.
Menuju Ke Putrajaya
Perjalanan bermula dari Kota Damansara menuju ke China-Malaysia Friendship Garden di Putrajaya untuk sesi fotografi dan rakaman video.
Sepanjang perjalanan, kabin B10 terasa sangat senyap. Hanya sedikit bunyi tayar kedengaran, namun ia masih cukup selesa untuk berbual tanpa gangguan bunyi luar. Dalam masa sama, kami turut menikmati pemandangan luar dengan membuka penutup bumbung panoramik (panoramic sunroof) yang menjadi salah satu tarikan utama model ini.

Sudah tentu, ciri ini pasti menjadi kegemaran kanak-kanak. Namun, dengan cuaca Malaysia yang agak panas, kami tidak menggalakkan pengguna membukanya pada waktu tengah hari.
Teknologi Yang Memudahkan Pengguna
Sampai di Putrajaya, kami mengambil sedikit masa untuk merakam gambar dan video bagi tujuan penghasilan artikel ini.
Ketika sesi fotografi berlangsung, penulis teringat kembali persoalan yang dibangkitkan pada awal artikel mengenai penggunaan kad NFC sebagai kunci kenderaan. Bagaimana jika hujan dan pengguna tidak mahu mengeluarkan kad NFC untuk membuka kunci kereta?
Jawapannya mudah. Leapmotor turut menyediakan aplikasi mudah alih (mobile app) yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai fungsi kenderaan terus melalui telefon pintar. Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh membuka dan mengunci kenderaan dari jarak jauh tanpa perlu menggunakan kad NFC.
Lebih menarik, aplikasi ini turut membolehkan pengguna membuka but belakang serta menurunkan sedikit cermin tingkap bagi membantu mengurangkan haba yang terperangkap di dalam kabin ketika kenderaan diparkir di bawah cuaca panas. Fungsi seperti ini mungkin kelihatan ringkas, namun ia cukup praktikal untuk kegunaan harian terutama dalam iklim panas dan lembap seperti di Malaysia.

Spesifikasi Utama Leapmotor B10
Kuasa dan Prestasi
- SUV elektrik segmen C
- Ditawarkan dalam dua varian: Life dan Design
- Motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD)
- Kuasa maksimum: 218 PS (160 kW)
- Tork maksimum: 240 Nm
- Pecutan 0-100 km/j: 8.0 saat
- Kelajuan maksimum: 170 km/j
Dimensi dan Ruang Simpanan
- Panjang: 4,515 mm
- Lebar: 1,885 mm
- Tinggi: 1,655 mm
- Jarak roda: 2,735 mm
- Kelegaan tanah: 170 mm
- Kapasiti but belakang: 430 liter
- Kapasiti maksimum dengan kerusi dilipat: 1,700 liter
- Frunk: 25 liter
Bateri dan Jarak Pemanduan
Leapmotor B10 Life
- Bateri LFP 56.2 kWh
- Jarak pemanduan WLTP: sehingga 361 km
- Pengecasan AC: 11 kW
- Pengecasan DC: 140 kW
Leapmotor B10 Design
- Bateri LFP 67.1 kWh
- Jarak pemanduan WLTP: sehingga 434 km
- Pengecasan AC: 11 kW
- Pengecasan DC: 168 kW
Pengecasan
- Pengecasan pantas DC 30% hingga 80% dalam kurang 20 minit
- Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW
Sesuai Untuk Aktiviti Luar
Selepas sesi fotografi, kami berehat seketika di sebuah kafe berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke Putrajaya RC Park bagi menyambung sesi rakaman.
Di sinilah kami menemui satu lagi kelebihan menarik B10. Model ini sangat sesuai untuk aktiviti perkhemahan (camping).
Pertama, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan pelbagai peralatan elektrik seperti kipas, lampu, komputer riba dan banyak lagi.
Selain itu, tempat duduk hadapan boleh direbahkan hampir rata untuk dijadikan ruang rehat. Malah, mod perkhemahan (Camping Mode) membolehkan pendingin hawa serta beberapa sistem elektronik terus beroperasi ketika kenderaan berhenti.

Ruang Yang Praktikal Untuk Keluarga
Dari segi praktikaliti, B10 menawarkan ruang yang cukup mengagumkan.
But belakang mempunyai kapasiti 430 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,700 liter apabila kerusi belakang dilipat. Di bahagian hadapan pula terdapat ruang simpanan tambahan atau frunk berkapasiti 25 liter.

Selain itu, terdapat lebih 22 ruang simpanan di seluruh kabin. Bagi sebuah SUV keluarga, ruang yang ditawarkan sememangnya luas dan praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Mod Pemanduan Yang Pelbagai
Dalam masa sama, kami turut mencuba mod pemanduan yang tersedia.
Terdapat empat pilihan mod pemanduan iaitu:
- Eco
- Comfort
- Sport
- Custom
Mod Sport ternyata memberikan respons yang sangat pantas. Kuasa dan tork disalurkan dengan lebih agresif, menjadikannya sesuai untuk memotong kenderaan dengan lebih yakin.
Model ini juga dilengkapi sistem regenerative braking yang boleh dilaraskan kepada tiga tahap iaitu Low, Medium dan High. Fungsi ini membantu menukarkan tenaga ketika membrek kepada tenaga elektrik untuk dicas semula ke dalam bateri, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.
Penutup Perjalanan
Selesai sesi rakaman, kami menuju ke destinasi terakhir iaitu Bistro Cascata di Cyberview Resort & Spa untuk makan tengah hari dan menamatkan sesi media drive kali ini.
Di sinilah kami merumuskan pengalaman sepanjang hari bersama Leapmotor B10 sambil menikmati hidangan Itali yang cukup menyelerakan.
Sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kota Damansara, kami sempat merakam beberapa keping gambar kenang-kenangan di Cyberview Resort & Spa sebagai simbolik berakhirnya program ini. Kami tiba semula di Kota Damansara sekitar jam 4 petang.

Secara keseluruhan, kami benar-benar menikmati sesi pandu uji kali ini. Walaupun jarak perjalanan agak jauh, Leapmotor B10 berjaya memberikan tahap keselesaan yang sangat baik sehingga langsung tidak terasa meletihkan.
Dengan kabin yang luas, teknologi moden, ciri keselamatan lengkap serta pengalaman pemanduan yang selesa, B10 membuktikan bahawa ia mampu menjadi pilihan menarik dalam segmen SUV elektrik keluarga.
Kami di Roda Panas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Adreena dan Encik Keegan atas jemputan serta peluang untuk memandu uji Leapmotor B10.
Semoga kita berjumpa lagi pada sesi pandu uji akan datang.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!




