Keeway RKR250 kini di Malaysia, Sportbike 250cc dengan Pakej Lengkap Pada Harga Mampu Milik
Pasaran motosikal sukan suku liter di Malaysia terus rancak dengan kehadiran model baharu, dan kali ini Keeway tampil memperkenalkan RKR250 sebagai antara pilihan terkini untuk penunggang yang mahukan gaya sportbike bersama teknologi moden.
Model ini diumumkan secara rasmi selepas diperkenalkan sebelum ini dalam program Top 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign di Zhejiang, China.

Harga dan Pilihan Warna
Ditawarkan pada harga asas RM13,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), Keeway RKR250 hadir dalam dua pilihan warna iaitu Night Black dan Flame Red.
Penawaran ini jelas menyasarkan golongan penunggang muda serta mereka yang mencari motosikal sport mampu milik dengan penampilan agresif.

Enjin dan Prestasi
Dari sudut prestasi, RKR250 dikuasakan enjin 249.3cc, dua silinder, empat lejang, DOHC 8-injap. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 23.5 kW pada 10,500 rpm serta tork 22.5 Nm pada 9,500 rpm.
Gabungan bore x stroke 60 × 44.1 mm bersama nisbah mampatan 11.3:1 memberikan karakter enjin yang lebih fokus kepada prestasi putaran tinggi. Kuasa ini disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan sistem pacuan rantai, lengkap dengan slipper clutch bagi meningkatkan kestabilan ketika penurunan gear agresif.

Sistem Penyejukan dan Teknologi Enjin
Model ini menggunakan sistem penyejukan cecair untuk memastikan suhu enjin kekal stabil, manakala sistem pelinciran jenis pressure splash lubrication membantu mengekalkan prestasi enjin dalam pelbagai keadaan. Sistem pencucuhan T.C.I serta suntikan bahan api elektronik (EFI) turut menyumbang kepada penghantaran kuasa yang lebih efisien dan responsif.

Suspensi dan Pengendalian
Dari segi casis, Keeway RKR250 dilengkapi fork hadapan jenis Upside Down (USD) berdiameter 40 mm dengan jarak pergerakan 100 mm. Di bahagian belakang pula, ia menggunakan monoshock boleh laras dengan jarak pergerakan 42.5 mm.
Gabungan ini memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan, sama ada untuk tunggangan harian mahupun ketika mengambil selekoh dengan lebih agresif.

Sistem Brek dan Keselamatan
Aspek membrek dikendalikan cakera hadapan bersaiz 320 mm jenis terapung dengan angkup 4-piston, manakala belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup 1-piston.
Sistem ini disokong ABS dwi-saluran, bersama Traction Control System (TCS) yang boleh dinyahaktif, memberikan tahap keselamatan dan kawalan yang lebih baik dalam pelbagai situasi tunggangan.

Tayar dan Dimensi
RKR250 menggunakan tayar bersaiz 110/70 R17 (depan) dan 150/60 R17 (belakang), sesuai untuk memberikan cengkaman optimum.
Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai panjang 1,980 mm, lebar 780 mm dan tinggi 1,110 mm, dengan jarak roda 1,380 mm. Ketinggian tempat duduk pula adalah 770 mm, manakala kelegaan tanah 148 mm. Berat keseluruhan dicatatkan sekitar 165 kg, menjadikannya agak seimbang dalam kelasnya.

Ciri Moden dan Kelengkapan
Keeway turut melengkapkan RKR250 dengan pelbagai ciri moden seperti paparan TFT 5 inci, sistem Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), serta pencahayaan LED sepenuhnya.
Selain itu, model ini turut menawarkan sambungan Bluetooth, paparan notifikasi panggilan, serta sokongan aplikasi melalui Carbit Ride untuk pengalaman tunggangan lebih interaktif.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






