Kenapa Tinted Cermin Belakang Kereta Selalu Kembung?
Masalah tinted cermin belakang kembung ini memang biasa kita jumpa dan sudah pasti ia akan mengganggu fokus pemanduan kita.
Lebih menyakitkan, selalunya bahagian cermin belakang kereta ini paling kerap terkena masalah ini dan persoalannya, kenapa?
Jawapan mudahnya, cermin belakang adalah antara bahagian paling “seksa” untuk tinted. Ia besar, melengkung, menerima haba yang tinggi dan dalam masa sama mempunyai jalur pemanas atau defogger. Semua faktor ini membuatkan tinted belakang lebih mudah bermasalah berbanding cermin lain.
Haba Matahari Memang Musuh Utama
Di Malaysia, kereta yang diparkir tengah panas boleh bertukar menjadi seperti ketuhar bergerak. Cermin belakang pula biasanya bersaiz besar dan condong, menyebabkan ia menerima pancaran matahari secara terus untuk tempoh yang lama.
Apabila keadaan ini berlaku setiap hari, lapisan gam pada tinted akan mula bekerja lebih keras. Lama-kelamaan, gam menjadi lemah, kering dan hilang daya lekatan. Dari situlah mula muncul gelembung kecil yang akhirnya menjadi kembung besar.
Jadi, kalau tinted belakang mula naik gelembung selepas beberapa tahun, itu bukan perkara pelik. Ia tanda filem dan gam sudah mula kalah dengan cuaca.
Bukan Semua Salah Tinted Murah
Ramai orang terus salahkan tinted murah apabila nampak cermin belakang kembung. Betul, filem berkualiti rendah memang lebih cepat rosak. Tetapi itu bukan satu-satunya punca.
Tinted mahal pun boleh bermasalah kalau pemasangan tidak dibuat dengan betul. Permukaan cermin perlu dibersihkan sepenuhnya sebelum filem dipasang. Jika masih ada habuk halus, minyak, kesan cap jari atau sisa gam lama, tinted tidak akan melekat dengan sempurna.
Mula-mula mungkin nampak elok. Tetapi selepas beberapa minggu atau bulan, kawasan yang tidak melekat dengan baik itu akan mula memerangkap udara dan lembapan. Akhirnya, muncullah gelembung.
Cermin Belakang Lebih Susah Daripada Cermin Sisi
Cermin sisi biasanya lebih kecil dan permukaannya lebih mudah dikendalikan. Cermin belakang pula lain ceritanya. Saiznya besar, bentuknya melengkung dan kebanyakan masa filem tinted perlu dipasang dalam satu keping besar.
Di sinilah kemahiran installer memainkan peranan. Filem perlu dibentuk menggunakan haba supaya ia benar-benar ikut lengkung cermin. Kalau proses ini tidak sempurna, filem akan berada dalam keadaan tegang.
Bila filem tegang, ia tidak duduk cantik pada permukaan cermin. Lama-kelamaan, bahagian tertentu akan mula terangkat, berkedut atau kembung. Sebab itu pemasangan cermin belakang sebenarnya antara salaha satu kerja paling mencabar dalam dunia tinted.

Defogger Belakang Pun Ada Cerita
Cermin belakang kereta biasanya dilengkapi jalur defogger atau demister. Jalur ini berfungsi untuk menghilangkan kabus pada cermin, terutama ketika hujan atau cuaca sejuk.
Namun, dari sudut pemasangan tinted, jalur ini menjadikan permukaan cermin tidak rata sepenuhnya. Ada bahagian yang timbul sedikit, dan ini boleh menyukarkan filem untuk melekat dengan sempurna.
Bila defogger digunakan, ia menghasilkan haba. Jika gam tinted sudah lemah atau filem yang digunakan kurang berkualiti, haba tambahan ini boleh mempercepatkan lagi proses kerosakan. Sebab itu ada kes gelembung mula muncul di sekitar garisan defogger.
Tinted Baru Pasang Pun Ada Gelembung?
Tidak semua gelembung bermaksud tinted sudah rosak. Kalau tinted baru sahaja dipasang, sedikit gelembung air atau kesan berkabus masih boleh dianggap normal.
Ini kerana tinted memerlukan masa untuk proses curing, iaitu proses pengeringan dan lekatan penuh antara filem dengan cermin. Biasanya, kesan ini akan hilang dalam beberapa hari hingga dua minggu, bergantung kepada jenis filem, cuaca dan cara pemasangan.
Tetapi kalau gelembung itu semakin besar, tidak hilang selepas beberapa minggu atau muncul semula selepas beberapa bulan, itu sudah lain cerita. Kemungkinan besar ada masalah pada gam, pemasangan atau kualiti filem.
Jangan Main Cabut Sendiri
Satu perkara yang ramai orang buat silap ialah cuba cabut sendiri tinted lama pada cermin belakang. Nampak macam mudah, tetapi risikonya agak besar.
Cermin belakang ada jalur defogger yang sensitif. Kalau tinted lama ditarik secara kasar, dikikis dengan benda tajam atau dibersihkan menggunakan bahan kimia yang tidak sesuai, jalur pemanas itu boleh rosak.
Kalau jalur defogger putus, fungsi nyahkabus mungkin tidak lagi berfungsi dengan baik. Dalam kes tertentu, kos membaikinya boleh jadi lebih menyakitkan daripada harga tinted baharu itu sendiri.
Penjagaan Selepas Pasang Juga Penting
Selepas tinted dipasang, jangan terus cuci bahagian dalam cermin. Jangan juga gosok kuat-kuat atau lekatkan aksesori seperti suction cup terlalu awal.
Tinted perlukan masa untuk melekat dengan sempurna. Kalau diganggu terlalu awal, bahagian tepi atau kawasan tertentu boleh mula terangkat. Bila udara masuk, gelembung pun mula terbentuk.
Untuk cermin belakang, gunakan kain lembut dan elakkan bahan pencuci yang terlalu kuat. Ingat, bahagian itu bukan sekadar cermin biasa. Ada filem tinted dan jalur defogger yang perlu dijaga.
Jadi, jangan hanya tengok harga murah ketika memilih tinted. Pastikan filem yang digunakan berkualiti, pemasangan dibuat oleh installer yang berpengalaman dan penjagaan selepas pemasangan juga perlu diambil perhatian.
Baca Juga : Vespa Edizione Ottantesimo Tampil Sebagai Edisi Khas Ulang Tahun Ke-80
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






