Demi meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan bahawa penguatkuasaan penggunaan peranti kawalan had laju atau Speed Limitation Device (SLD) akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Oktober 2025.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif besar Kementerian bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memastikan kenderaan perdagangan tidak lagi melebihi had laju ditetapkan. Seterusnya mengelakkan kejadian ngeri akibat kegagalan mengawal kenderaan berat.
Apa Itu SLD dan Kenapa Ia Penting?
SLD ialah sistem yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan. Terutamanya kenderaan berat seperti lori, bas ekspres dan bas persiaran.
Dengan teknologi ini, pemandu tidak boleh melebihi kelajuan yang telah ditetapkan dalam sistem. Biasanya maksimum 90km/j, sekali gus menjamin kawalan lebih baik ketika berada di jalan raya.
Empat Fokus Utama Penguatkuasaan SLD
- Pengesahan Kefungsian SLD (Berkuat Kuasa: 1 Oktober 2025)
Wajib bagi semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat (>3,500kg) yang didaftarkan bermula 1 Januari 2015. Pengesahan fungsi dan laporan SLD mesti diperoleh daripada:
- Pengilang kenderaan
- Technical Service (TS) diiktiraf JPJ
- Bengkel servis bertauliah JPJ
- Badan pensijilan berdaftar bawah Jabatan Standard Malaysia
Dokumen ini perlu diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa semasa pemeriksaan di PPKM serta urusan permit di APAD.
- Pengaktifan SLD dalam ECU (Berkuat Kuasa: 1 Januari 2026)
Untuk kenderaan berdaftar sebelum 1 Januari 2015 yang memiliki fungsi SLD dalam sistem ECU, pengaktifan peranti tersebut adalah wajib. Ini termasuk:
- Kenderaan barangan >3,500kg
- Kenderaan penumpang >8 orang atau >5,000kg
- Kenderaan rebuild dan import terpakai
- Pemeriksaan SLD di Kilang Pengeluaran (Bermula: April 2025)
Melibatkan pelaksanaan “Conformity of Production” (COP) bagi model kenderaan yang memiliki Vehicle Type Approval (VTA) bermula tahun 2015. Pemeriksaan akan memastikan tetapan had laju diprogram pada 90km/j mengikut Had Laju Kebangsaan. - Retrofit SLD untuk Kenderaan Lama (Berkuat Kuasa: 1 Julai 2026)
Untuk kenderaan berat dan penumpang yang belum ada sistem SLD, pemasangan retrofit adalah wajib. Pemasangan hanya sah jika dilakukan oleh TS, bengkel atau badan pensijilan yang diiktiraf JPJ. Seperti sebelumnya, dokumen perlu diperbaharui setiap dua tahun.
Apa Maknanya Kepada Pemilik Kenderaan?
Jika anda pemilik kenderaan berat, operator logistik atau pengusaha bas, pelaksanaan SLD ini menuntut anda menyemak status Speed Limitation Device kenderaan masing-masing dan segera mendapatkan laporan pengesahan yang sah.
Kegagalan mematuhi garis masa ini boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil oleh JPJ. Selain menjejaskan operasi dan kelulusan permit.
Menuju Ke Arah Jalan Raya Lebih Selamat
MOT menyeru agar seluruh pemain industri dan pemilik kenderaan perdagangan memberi kerjasama penuh dalam pelaksanaan ini. Langkah ini bukan sekadar pematuhan undang-undang, tetapi demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pengangkutan negara harus lebih moden, selamat dan berdaya saing.
Terus ikuti Roda Panas untuk maklumat terkini dan kupasan mendalam isu-isu automotif tempatan dan antarabangsa.
Dari Jabatan Pengangkutan Jalan
Baca Juga JPJ Tunjuk Cara Mudah Buat Aduan Kesalahan Lalu Lintas Guna Aplikasi MyJPJ
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.