Mercedes-Benz sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri automotif dengan memperkenalkan EQS 450 4MATIC SUV. Sebuah kenderaan yang menggabungkan kemewahan, teknologi canggih, dan prestasi yang luar biasa.
Antara ciri-ciri menarik yang terdapat pada SUV ini adalah sistem KEYLESS-GO yang memudahkan akses tanpa kunci, serta AKSES BEBAS TANGAN yang membolehkan anda membuka pintu dengan mudah walaupun kedua-dua tangan penuh dengan barang. Tidak ketinggalan, pintu belakang EASY-PACK yang direka untuk kemudahan akses ke ruang kargo, menjadikan urusan memuat barang lebih mudah dan pantas.
Selain itu, EQS 450 4MATIC SUV turut dilengkapi dengan pakej tambahan USB yang menyediakan lebih banyak port untuk mengecas peranti elektronik, serta Acoustic Comfort Package yang memastikan kabin kekal senyap dan selesa walaupun semasa pemanduan pada kelajuan tinggi.
Ads
Ruang Kabin EQS 450
Dengan harga bermula dari RM 625,888 (atas jalan tanpa insurans). Mercedes-Benz EQS 450 4MATIC SUV sememangnya ditujukan kepada mereka yang mengutamakan kemewahan dan prestasi dalam sebuah kenderaan. Penghantaran model ini dijangka bermula pada September 2024. Jadi pastikan anda membuat tempahan awal untuk menjadi antara yang pertama memiliki SUV mewah ini.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk mengalami sendiri kehebatan teknologi dan kemewahan yang ditawarkan oleh EQS 450 4MATIC SUV.
Kereta elektrik semakin mendapat perhatian pengguna, namun masih ada yang mempersoalkan kesesuaiannya untuk kegunaan harian.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran automotif Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam penerimaan kenderaan elektrik (EV).
Pengecualian cukai, kemasukan pelbagai jenama baharu serta rangkaian pengecas awam yang semakin berkembang menjadikan kereta elektrik semakin mudah diakses oleh pengguna tempatan.
Namun, di sebalik pertumbuhan pendaftaran EV yang positif, masih wujud tahap skeptisisme yang tinggi dalam kalangan pengguna.
Persoalan mengenai kos, kebolehpercayaan, jarak pemanduan dan kesesuaian kereta elektrik untuk kegunaan harian di Malaysia terus menjadi topik perbincangan. Walaupun ada insentif kerajaan, ramai masih berhati-hati untuk beralih kepada teknologi ini.
Kereta elektrik bukanlah teknologi baharu. Konsep EV telah wujud sejak akhir abad ke-19, malah sebelum enjin pembakaran dalaman menjadi dominan.
Namun, perkembangan pesat EV moden didorong oleh beberapa faktor utama antaranya keperluan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, keperluan menurunkan pelepasan karbon, serta kemajuan teknologi bateri.
Industri automotif global melihat kereta elektrik sebagai salah satu penyelesaian jangka panjang untuk mobiliti lebih lestari, terutamanya apabila bandar-bandar utama semakin padat dan pencemaran udara menjadi isu kesihatan awam.
Salah satu hujah utama yang sering dikaitkan dengan kereta elektrik ialah kenyataan bahawa minyak dan gas adalah sumber terhad.
Secara teknikal, bahan api fosil tidak akan “habis serta-merta”, tetapi ia tetap merupakan sumber yang finite dan semakin sukar serta mahal untuk diekstrak.
Banyak negara kini menghadapi kos pengeluaran minyak yang lebih tinggi, selain tekanan geopolitik dan peraturan alam sekitar yang semakin ketat.
Justeru, walaupun minyak mungkin masih wujud untuk beberapa dekad akan datang, industri automotif perlu menyediakan alternatif lebih awal dan EV dilihat sebagai antara jalan paling realistik buat masa ini.
Skeptisisme terhadap kereta elektrik di Malaysia bukan tanpa sebab. Antara kebimbangan utama ialah jarak pemanduan sebenar berbanding angka rasmi, masa pengecasan yang lebih lama berbanding mengisi minyak, serta kos penggantian bateri dalam jangka panjang.
Selain itu, terdapat juga kerisauan mengenai nilai jualan semula dan kebolehpercayaan teknologi EV dalam iklim tropika.
Bagi pengguna yang terbiasa dengan enjin pembakaran dalaman, peralihan kepada kereta elektrik memerlukan perubahan tabiat dan cara berfikir, sesuatu yang tidak berlaku serta-merta.
Walaupun wujud kebimbangan, realitinya kereta elektrik moden kini jauh lebih matang berbanding generasi awal.
Jarak pemanduan semakin meningkat, sistem pengecasan semakin pantas, dan kos penyelenggaraan lazimnya lebih rendah kerana kurang komponen bergerak.
Bagi kebanyakan pengguna bandar, EV sebenarnya lebih sesuai untuk kegunaan harian kerana jarak perjalanan yang pendek dan rutin yang konsisten.
Di Malaysia, cabaran sebenar bukan teknologi EV itu sendiri, tetapi kadar kesiapsiagaan infrastruktur dan tahap pemahaman pengguna.
Penting difahami bahawa kereta elektrik bukanlah pengganti mutlak kepada semua jenis kenderaan dalam masa terdekat.
Buat masa ini, EV lebih sesuai dilihat sebagai pelengkap kepada pilihan sedia ada seperti petrol, diesel dan hibrid. Setiap teknologi mempunyai peranan tersendiri bergantung kepada keperluan pengguna.
Namun, dengan tekanan global terhadap pelepasan karbon dan sumber tenaga terhad, arah tuju industri automotif jelas menunjukkan bahawa elektrifikasi akan terus berkembang.
Skeptisisme itu wajar, tetapi ia juga sebahagian daripada proses peralihan teknologi yang sedang berlaku.
Memandangkan pertumbuhan infrastruktur semakin rancak dan lebih banyak model mampu milik diperkenalkan, kereta elektrik dijangka menjadi pilihan lebih meluas dalam beberapa tahun akan datang.
Pengguna hanya memerlukan masa, pendedahan dan kefahaman yang lebih jelas sebelum yakin membuat peralihan sepenuhnya kepada mobiliti elektrik.
Dalam dunia automotif, perkataan “rare” selalunya disalah guna. Ada kereta yang dikatakan rare kerana jumlah pengeluaran rendah, ada pula yang dilabel edisi terhad. Namun, kereta dalam senarai ini berada di tahap yang jauh berbez, hanya satu unit sahaja pernah dibina di muka bumi.
Tiada versi kedua, tiada facelift, dan hampir mustahil untuk dilihat secara langsung. Inilah enam kereta paling rare di dunia yang benar-benar eksklusif dan berada di luar jangkauan peminat automotif biasa.
Ferrari SP38 Deborah merupakan projek khas di bawah program Ferrari One-Off, dibina sepenuhnya mengikut permintaan seorang pelanggan VIP. Model ini berasaskan Ferrari 488 GTB, namun hampir keseluruhan rekaan luarannya diubah secara ekstrem.
Rekaan SP38 diinspirasikan daripada Ferrari klasik seperti F40 dan 308 GTB, dengan garis badan lebih agresif serta panel khas yang tidak dikongsi dengan mana-mana model lain. Kereta ini hanya muncul sekali di acara Villa d’Este Concours d’Elegance sebelum menghilang ke dalam koleksi peribadi pemiliknya.
Dalam dunia Ferrari, projek sebegini dianggap simbol status tertinggi, meletakkannya dalam kategori kereta paling rare di dunia.
Pagani Zonda sememangnya terkenal sebagai hypercar yang sangat terhad, namun Zonda Uno berada di tahap paling ekstrem. Seperti namanya, kereta ini dibina sebagai satu unit khas untuk pelanggan tertentu dengan spesifikasi unik.
Walaupun menggunakan asas Zonda, Uno menerima sentuhan eksklusif termasuk kemasan karbon khas, talaan prestasi tersendiri serta rekaan yang tidak dikongsi dengan mana-mana Zonda lain. Identiti pemiliknya pula tidak pernah diumumkan secara rasmi, menambah aura misteri.
Dengan kebanyakan Zonda lain sudah bernilai jutaan dolar, Zonda Uno boleh dianggap antara kereta paling rare di dunia dalam kategori hypercar moden.
Lamborghini Aventador J diperkenalkan di Geneva Motor Show 2012 sebagai model konsep, namun ia terus dijual kepada seorang pembeli pada hari yang sama. Sejak itu, Aventador J kekal sebagai satu-satunya unit yang pernah dihasilkan.
Keunikan utama model ini ialah rekaannya yang ekstrem, tanpa bumbung, tanpa cermin hadapan, dan menggunakan bahan khas seperti CarbonSkin. Ia dibina sebagai demonstrasi keupayaan reka bentuk Lamborghini, bukan semata-mata untuk kegunaan harian.
Walaupun berstatus konsep, Aventador J adalah fully functional dan boleh dipandu, menjadikannya antara supercar one-off paling radikal pernah dicipta.
Rolls-Royce Sweptail sering disebut sebagai antara kereta paling mahal di dunia. Ia dibina khas untuk seorang pelanggan ultra-kaya, dengan proses pembangunan mengambil masa beberapa tahun.
Rekaannya diinspirasikan daripada kapal layar mewah serta Rolls-Royce klasik era 1920-an. Bahagian dalaman Sweptail menampilkan rekaan minimalis tetapi menggunakan bahan premium seperti kayu eksotik dan kemasan buatan tangan.
Tiada harga rasmi diumumkan, namun anggaran melebihi USD13 juta sering disebut, menjadikannya simbol kemewahan automotif mutlak.
La Voiture Noire diperkenalkan sebagai penghormatan kepada Bugatti Type 57 SC Atlantic dan hanya satu unit dibina. Ia menggunakan asas Bugatti Chiron, namun menerima rekaan badan baharu sepenuhnya dengan sentuhan klasik dan elegan.
Kereta ini dikuasakan enjin W16 quad-turbo, menjadikannya bukan sahaja cantik, tetapi juga sangat berkuasa. Dengan harga dilaporkan sekitar USD18 juta, ia sering disebut sebagai kereta baharu paling mahal di dunia.
Jaguar XJ13 merupakan satu-satunya unit prototype yang dibina oleh Jaguar pada tahun 1960-an untuk perlumbaan Le Mans. Namun projek ini dibatalkan sebelum sempat berlumba, menjadikan XJ13 sekadar eksperimen.
Kereta ini dikuasakan enjin V12 dan dibina khusus untuk prestasi tinggi, tetapi tidak pernah dihasilkan secara komersial. Kini, XJ13 menjadi sebahagian daripada sejarah penting Jaguar dan sering dipamerkan di acara khas.
Dalam dunia automotif, memiliki kereta bukan sekadar soal harga atau prestasi. Enam model ini membuktikan bahawa kereta paling rare di dunia wujud kerana eksklusiviti mutlak, cerita di sebalik pembinaannya, dan hakikat bahawa tiada sesiapa lain di dunia ini memiliki kereta yang sama.
Ia bukan sekadar kenderaan, tetapi simbol kuasa, pengaruh dan obsesi manusia terhadap kesempurnaan automotif.
Pengedar rasmi Mazda di Malaysia, Bermaz Motor, baru-baru ini memperkenalkan model terbaru mereka, Mazda 2 2023 facelift. Model terkini ini tersedia dalam dua bentuk badan, sedan dan hatchback, menarik minat penggemar dengan pembaharuan yang menarik.
Dari segi prestasi, Mazda 2 masih menggunakan enjin 1.5 liter bersesaran dengan transmisi automatik 6 kelajuan, memberikan daya sebanyak 114 HP dan tork sebanyak 149 Nm.
Selain itu, untuk menambahkan lagi kesan sporty, Mazda 2 facelift dilengkapi dengan rim aloi berukuran 16 inci yang memikat hati penggemar dengan padanan warna hitam dan krom.
Pada bahagian dalaman, sebahagian besar ciri kekal tidak banyak berubah. Namun, penambahan tempat duduk berbalut kulit hitam dengan jahitan merah dan trim papan pemuka berwarna hitam memberikan sentuhan elegan yang memikat hati. Skrin infotainment 7 inci masih kekal dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, memastikan pengalaman pengguna yang terkini dan dinamik.
Perubahan yang paling ketara pada Mazda 2 2023 adalah pada rekaan bahagian hadapan yang kini hadir dengan jeriji besar bergaya jenis honeycomb, menambah kesan kesukanan dan keanggunan pada kenderaan. Peminat Mazda akan teruja dengan sentuhan sporty yang ditampilkan.
Mazda 2 2023 diimport sebagai unit CBU dari Thailand dengan harga bermula dari RM 108,670. Ia disertakan dengan Waranti Pengeluar 5 tahun dan Penyelenggaraan Percuma 5 tahun atau perbatuan sehingga 100,000 km, memberikan keyakinan kepada pembeli mengenai prestasi dan kebolehpercayaan model ini.
Untuk pasaran Malaysia, Mazda 2 2023 facelift ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna yang memikat hati seperti Snowflake White Pearl, Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Polymetal Grey, AirStream Blue (khusus untuk varian Hatchback), dan warna terbaru, Aero Grey (khusus untuk varian Sedan).
Dengan rekaan yang dikemaskinikan dan prestasi yang tidak boleh dipersoalkan, Mazda 2 2023 menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mengutamakan gaya, keselesaan, dan dinamik dalam pemanduan mereka.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Tidur Dalam Kereta Dengan Pendingin Hawa Terbuka, Kenal Pasti Bahaya Keracunan Karbon Monoksida Yang Ramai Masih Ambil Ringan
Bagi sesetengah pemandu kereta yang berehat di...