
Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kembalinya MercedesTrophy 2026, kejohanan golf amatur eksklusif yang menghimpunkan pemilik jenama tersebut dalam satu acara.
Memasuki tahun ke-36 penganjurannya, acara ini terus menjadi simbol kepada nilai keunggulan, prestij dan pengalaman eksklusif yang sinonim dengan jenama Mercedes-Benz.
Menurut Elaine Hew, Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, MercedesTrophy bukan hanya sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi ruang untuk pelanggan menikmati pengalaman jenama di luar pemanduan. Ia turut menjadi medium untuk membina hubungan, berkongsi minat serta meraikan kecemerlangan dalam suasana santai tetapi berprestij.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1991, MercedesTrophy berkembang menjadi antara kejohanan golf amatur paling berprestij di dunia.
Setiap tahun, lebih 60,000 pemain dari lebih 60 negara mengambil bahagian, menjadikannya satu siri kejohanan global yang cukup dihormati dalam kalangan peminat golf.
Untuk edisi 2026, empat pusingan kelayakan akan berlangsung bermula 12 Mei sebelum peserta terbaik mara ke peringkat akhir kebangsaan.
Pusingan kelayakan akan diadakan di dua lokasi utama iaitu Tropicana Golf & Country Club dan Kota Permai Golf & Country Club, sebelum kemuncaknya di The ELS Club Desaru Coast.
Peserta akan bertanding dalam empat kategori berdasarkan handicap, merangkumi kategori lelaki (A, B, C) dan wanita (D).
Tiga pemain terbaik di peringkat akhir kebangsaan akan mewakili Malaysia ke MercedesTrophy World Final yang dijadualkan berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober 2026 di Germany.
Antara tarikan utama kejohanan tahun ini ialah hadiah hole-in-one yang menawarkan sebuah Mercedes-Benz E 350 e bernilai RM427,888.
Hadiah ini akan diberikan kepada pemain pertama yang berjaya melakukan pukulan tersebut di lubang par-3 terpilih.
Selain itu, gelaran “Drive to the Major” turut dipertandingkan, di mana pemenang akan menikmati pengalaman eksklusif menyaksikan kejohanan golf berprestij dunia, The Open Championship 2026 secara tajaan penuh.
MercedesTrophy 2026 terbuka kepada pemilik kenderaan Mercedes-Benz yang membeli kenderaan daripada pengedar sah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Penyertaan adalah terhad dan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
Baca Juga : Mercedes-Benz Malaysia Rai Pemilik Setia Menerusi 100,000 KM Club Milestone Night
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.