MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition Tiba di Malaysia, Hanya 48 Unit
MINI Malaysia memperkenalkan MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition, sebuah edisi khas yang terhad kepada hanya 48 unit untuk pasaran Malaysia.
Mengambil inspirasi daripada suasana padang pasir pada waktu malam, model ini tampil dengan beberapa sentuhan rekaan eksklusif selain dilengkapi MINI Driving Assistant Plus, Active Cruise Control dan sistem pacuan semua roda pintar ALL4.

MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition Hadir dengan Enjin 204 PS, 300 Nm
Dari sudut prestasi, asas mekanikalnya kekal menggunakan spesifikasi MINI Countryman S ALL4 yang dipasarkan di Malaysia.
Model ini menggunakan enjin petrol empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan tork maksimum 300 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda ALL4.
Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 228 km/j.
Sistem ALL4 pula mengagihkan kuasa kepada roda mengikut keadaan pemanduan dan tahap cengkaman, membantu memberikan kestabilan lebih baik terutama ketika melalui permukaan jalan yang licin atau ketika cuaca hujan.

Sentuhan Khas Desert Night MINI Countryman
Identiti Desert Night Edition dapat dilihat menerusi kemasan khas pada C-pillar dan D-pillar, grafik pada bampar hadapan serta hub cap dan valve cap bertemakan Desert Night.
Tema sama diteruskan dalam kabin menerusi lencana khas pada stereng, kemasan floor mat serta key cap yang direka khusus untuk edisi ini.
Untuk edisi khas ini, Active Cruise Control turut ditawarkan sebagai ciri standard buat pertama kali pada MINI Countryman. Sistem berkenaan boleh menyesuaikan kelajuan kenderaan berdasarkan keadaan trafik selain membantu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition Hanya 48 Unit
Daripada keseluruhan 48 unit yang ditawarkan, 30 unit hadir dalam warna Smokey Green, manakala baki 18 unit ditawarkan dalam Slate Blue.
MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition dijual pada harga RM267,333 atas jalan tanpa insurans, manakala versi bersama Extended Warranty and Service Package ditawarkan pada harga RM277,733.
Pelanggan yang membuat tempahan selewat-lewatnya 4 Oktober 2026 turut menerima Early Bird Cash Rebate RM12,000. Mereka yang menggunakan MINI Easy Drive Financing Plan pula menerima tambahan sokongan pembiayaan RM10,000, menjadikan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM22,000.

Spesifikasi Ringkas MINI Countryman S ALL4
- Enjin: Petrol, 4-silinder
- Kuasa maksimum: 204 PS
- Tork maksimum: 300 Nm
- Pacuan: ALL4 all-wheel drive
- 0-100 km/j: 7.4 saat
- Kelajuan maksimum: 228 km/j
Baca Juga : MINI Aceman EV Kini Di Malaysia, Harga RM213,888
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





