Moda Aero-E Kini Rasmi di Malaysia dengan Harga Mampu Milik
Satu lagi pilihan skuter mampu milik telah memasuki pasaran tempatan apabila Mdua Motor Sdn Bhd hari ini memperkenalkan skuter Moda Aero-E, sebuah model kompak yang memfokuskan kepada kegunaan harian, ekonomi dan kemudahan untuk semua lapisan penunggang.
Moda Aero-E mengekalkan konsep “senang bawa, senang jaga” dan hadir dengan enjin 118.8 cc, 1-silinder, sejukan udara yang menghasilkan 9.1 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.
Kuasa ini disalurkan melalui transmisi CVT automatik, menjadikannya sesuai untuk kegunaan bandar, perjalanan ulang-alik dan tunggangan santai tanpa perlu banyak kawalan.
Untuk keselesaan, Aero-E menggunakan fork teleskopik di bahagian depan serta penyerap hentak tunggal di belakang.
Ads
Sistem brek pula terdiri daripada cakera depan dipadankan dengan brek gelendong di belakang, satu kombinasi asas namun mencukupi untuk sebuah skuter ringan dalam segmennya.
Walaupun berada dalam kategori mampu milik, Moda Aero-E tetap hadir dengan ciri yang memudahkan kehidupan harian, antaranya:
Lampu projektor LED berkembar
Ads
Lampu belakang LED
Paparan meter LCD
Port pengecasan USB Type-A & Type-C
Rim 14 inci untuk kestabilan lebih baik
Ads
Ruang bawah pelana 6.5 liter
Tangki bahan api 5.5 liter
Tinggi tempat duduk 780 mm – sesuai untuk kebanyakan penunggang
Reka bentuknya juga tampil kemas dan moden, sesuai sebagai skuter pertama atau kenderaan harian bagi mereka yang inginkan bajet rendah tetapi tetap nak gaya.
Harga jualan bermula RM5,189 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans), menjadikan ia antara skuter baharu paling mampu milik di Malaysia ketika ini.
Didi Group bersama Vespa melancarkan model baharu yang dinanti-nantikan iaitu Vespa Sprint Tech 2025.
Model ini memperlihatkan bagaimana warisan ikonik Vespa terus disemarakkan dengan sentuhan teknologi moden, melahirkan sebuah skuter yang bukan sahaja bergaya, malah penuh dengan kecanggihan.
Gabungan reka bentuk klasik dan teknologi canggih ini menjadikan Sprint Tech 2025 sebagai simbol keanggunan masa depan dalam dunia permotoran dua roda.
Reka bentuk New Vespa Sprint Tech memancarkan semangat moden yang unik, menyerlahkan sisi berani dan sofistikated menerusi pilihan warna baharu – hitam, kelabu suam dan fluo-hijau.
Bahagian sisi pelindung kaki (leg shield) kini dilengkapi lampu baharu yang bukan sahaja menambah elemen visual yang futuristik, malah berfungsi secara automatik apabila fungsi “Bike Finder” diaktifkan atau semasa enjin dihidupkan, menjadikannya lebih mudah dikesan dalam kelompok kenderaan lain.
Salah satu pembaharuan paling ketara pada Sprint Tech 2025 adalah papan pemuka TFT bersaiz 5 inci penuh warna.
Panel ini hadir dengan mod siang dan malam yang memudahkan pembacaan dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Menerusi sambungan Vespa MIA dan aplikasi Vespa App, pengguna boleh menyambung skuter dengan telefon pintar untuk mengakses pelbagai fungsi secara selamat dan intuitif.
Antara fungsi yang dipaparkan termasuklah panggilan masuk dan tidak dijawab, notifikasi mesej dan media sosial, pengurusan muzik, serta sistem navigasi GPS secara “turn-by-turn”.
Semua maklumat ini ditampilkan secara terus pada skrin skuter tanpa perlu menyentuh telefon.
Buat pertama kalinya, sistem navigasi terbina diperkenalkan dalam rangkaian Sprint.
Apabila destinasi ditetapkan dalam aplikasi MIA, semua maklumat perjalanan seperti masa dan jarak ke destinasi, laluan semasa dan laluan alternatif akan terpapar pada papan pemuka.
Pengguna juga boleh memilih destinasi terdahulu dengan mudah serta mengawal permulaan dan pemberhentian navigasi secara langsung dari skuter.
Sprint Tech 2025 turut menampilkan sistem keyless eksklusif.
Satu ciri yang memudahkan pengguna untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kenderaan tanpa perlu mengeluarkan kunci fizikal.
Melalui butang khusus pada alat kawalan elektronik, pengguna boleh membuka ruang simpanan bawah tempat duduk serta mengaktifkan fungsi Bike Finder dari jarak jauh.
Lampu isyarat berkelip secara serentak memudahkan pengecaman skuter di kawasan parkir.
Enjin dan Prestasi: Sprint Tech 2025 dikuasakan oleh enjin 3-injap 4-lejang silinder tunggal i-get berserta sistem penyejukan udara.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 8.9 kW @ 7,250 rpm dan tork 12.7 Nm @ 5,750 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik untuk tunggangan lancar.
Suspensi hadapan menggunakan lengan tunggal dengan gegelung heliks dan penyerap hentakan hidraulik tunggal.
Manakala suspensi belakang pula boleh dilaras prabeban (4 posisi).
Sistem brek didatangkan dalam dua pilihan:
Single ABS: cakera depan 200 mm & brek dram belakang 140 mm
Double ABS: cakera depan dan belakang 200 mm, kedua-duanya dengan sistem ABS
Dilengkapi tayar tubeless bersaiz 12 inci – hadapan 110/70 dan belakang 120/70 untuk kestabilan dan cengkaman yang lebih baik.
Dimensi dan Kapasiti:
Panjang: 1,870 mm
Lebar: 735 mm (Single ABS) / 750 mm (Double ABS)
Jarak roda: 1,340 mm
Kapasiti tangki bahan api: 8.0 ± 0.5 liter
Vespa Sprint Tech 150cc ditawarkan pada harga jualan RM22,900 dan boleh didapati di semua pengedar sah Vespa di seluruh negara.
Dengan kuasa enjin yang cekap dan teknologi pintar, Sprint Tech 2025 bukan sekadar skuter ia adalah gaya hidup bergerak ke hadapan.
Nissan Sakura ialah sebahagian daripada segmen istimewa di Jepun yang dikenali sebagai kei car.
Kei Car adalah kenderaan ultra-kompak yang mematuhi undang-undang saiz ketat (maksimum 3.4m panjang dan 1.5m lebar).
Ia diperkenalkan sejak 1950-an untuk menawarkan pengangkutan mampu milik kepada rakyat Jepun.
Varian elektrik seperti Sakura pula tidak dibatasi saiz enjin, tetapi tetap mengikuti falsafah ringkas dan jimat.
Antara kelebihan kei car termasuk cukai lebih rendah, kos penyelenggaraan murah, serta kelulusan khas untuk parkir di kawasan rumah.
Sebab itu, sekitar 25% jualan kereta di Jepun datang dari segmen ini.
Diperkenalkan pada 2022, Nissan Sakura dibangunkan hasil kerjasama antara Nissan dan Mitsubishi di bawah NMKV.
Model ini berkongsi DNA dengan Mitsubishi eK X EV.
Ia dipacu oleh motor elektrik 63hp dan bateri 20kWh, menawarkan jarak pemanduan sekitar 180km (WLTC Jepun), cukup untuk kegunaan harian bandar.
Prestasinya? 0-100km/j dalam 9.8 saat dan kelajuan maksimum 130km/j cukup bersahaja untuk jalan bandar, dengan radius pusingan hanya 4.8 meter!
Walaupun kelihatan seperti ‘kotak’ bergerak, reka bentuk Sakura sebenarnya menarik dan praktikal.
Di atas roda 14 inci, ia tampil dengan aura urban yang mengujakan.
Ruang dalaman pula cukup selesa untuk empat orang dewasa, dengan papan pemuka moden, skrin infotainmen lengkap Apple CarPlay, serta sistem bantuan pemandu yang canggih.
Karakter pemanduan Sakura yang adalah lincah, pecutan pantas, stereng ringan, dan kawalan mantap.
Namun, ia tetap sebuah kereta bandar dengan jarak pemanduan pendek dan prestasi lemah di lebuh raya mungkin mengehadkan daya tarikannya.
Nissan Sakura membuktikan bahawa masa depan mobiliti boleh jadi kecil, comel dan efisien jika pengguna bersedia menerima kompromi pada jarak dan saiz.
Ia bukan sahaja praktikal, tetapi juga menyeronokkan, dan pada harga sekitar £13,000 (lebih kurang RM78,000), ia mungkin jawapan kepada keperluan EV mampu milik global.
Tapi buat masa ini, kita hanya mampu melihat dari jauh dan berharap suatu hari nanti, negara lain akan turut menerima si comel ini ke jalan raya mereka.
Porsche Malaysia, menerusi Sime Darby Auto Performance, kini membuka tempahan untuk Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) bagi tahun model 2026 pada harga bermula RM609,000.
Bagi kemas kini terbaharu ini, Cayenne tampil dengan penambahbaikan dari segi rekaan luaran, sambungan digital, serta kelengkapan standard yang dipertingkat khusus untuk pasaran Malaysia.
Antara perubahan paling ketara pada Porsche Cayenne 2026 ialah penggunaan rim 21 inci RS Spyder sebagai kelengkapan standard. Sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan, rim bersaiz lebih besar ini bukan sahaja memberikan imej lebih tegap dan sporty, malah turut menyerlahkan lagi karakter dinamik SUV mewah tersebut di atas jalan raya.
Gabungan rim baharu ini melengkapkan identiti Cayenne yang sememangnya sudah cukup menyerlah, menerusi rekaan bonet berotot, bahagian hadapan yang lebih lebar serta lampu utama Matrix LED yang menjadi signatur moden Porsche.
Bagi versi tahun model 2026, Porsche Malaysia turut menambah beberapa ciri premium sebagai standard. Antaranya termasuk Adaptive Cruise Control, Sport Chrono Package, sistem audio BOSE Surround Sound dan pintu soft-close.
Penawaran ini menjadikan Cayenne bukan sahaja lebih mewah, tetapi juga lebih praktikal dan selesa untuk kegunaan harian.
Bagi mereka yang mahukan kelainan, Porsche Malaysia turut memperkenalkan satu warna luaran baharu iaitu Arctic Grey, yang akan mula ditawarkan bermula Julai.
Warna ini sebelum ini pernah digunakan pada 718 Cayman GT4 RS dan kini turut tersedia pada model 911, sekali gus membawa aura prestasi yang lebih menonjol kepada Cayenne.
Selain Arctic Grey, Cayenne CKD turut ditawarkan dalam beberapa pilihan warna lain seperti Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Quarzite Grey Metallic, namun sesetengah warna ditawarkan dalam unit terhad.
Satu lagi pembaharuan penting untuk Cayenne 2026 ialah penawaran Porsche Connect yang kini dipanjangkan sehingga 10 tahun.
Ini membolehkan pemilik menikmati pengalaman digital yang lebih lancar menerusi integrasi antara kenderaan dan telefon pintar, termasuk akses kepada navigasi, maklumat masa nyata serta beberapa fungsi kawalan jauh melalui aplikasi Porsche.
Ciri ini jelas menjadikan Cayenne lebih relevan dengan keperluan pengguna moden yang mahukan kemudahan digital sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan.
Dari sudut prestasi, Porsche Cayenne 2026 masih menggunakan enjin 3.0 liter V6 turbo yang menghasilkan 353 PS dan 500 Nm tork.
Kuasa ini dipadankan dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) yang hadir secara standard, memastikan keseimbangan antara pengendalian tajam dan keselesaan pemanduan terus kekal menjadi keutamaan.
Karakter ini menjadikan Cayenne sesuai digunakan dalam pelbagai situasi, sama ada untuk kegunaan bandar, perjalanan jauh di lebuh raya mahupun laluan yang lebih mencabar.
Di bahagian dalam, Porsche Driver Experience terus menjadi fokus utama dengan susun atur kokpit yang lebih mesra pemandu. Cayenne hadir dengan kluster instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.6 inci bersama skrin tengah Porsche Communication Management (PCM) bersaiz 12.3 inci sebagai standard.
Untuk aspek praktikaliti, ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti sehingga 772 liter, dan boleh diperluaskan kepada 1,708 liter apabila tempat duduk belakang 40:20:40 dilipat. Ini menjadikan Cayenne antara SUV prestasi yang bukan sahaja laju, tetapi juga sangat praktikal untuk kegunaan keluarga dan aktiviti harian.
Turut ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia ialah Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé, dengan harga bermula RM739,000.
Model ini membawa imej lebih sporty menerusi garis bumbung ‘flyline’ ala 911, selain turut menerima rim 21 inci RS Spyder sebagai standard.
Model ini digerakkan oleh kombinasi enjin V6 bersama motor elektrik 130 kW, menghasilkan kuasa keseluruhan 519 PS. Hasilnya, Cayenne S E-Hybrid Coupé menawarkan prestasi lebih tinggi dengan keseimbangan antara kuasa, kecekapan dan pengalaman pemanduan yang kekal berciri Porsche.
Bagi pelanggan yang ingin menjadikan Cayenne mereka tampil lebih istimewa, Porsche turut menawarkan Exclusive Manufaktur Package.
Pakej ini menambah elemen visual lebih sporty dan eksklusif seperti lampu belakang LED gelap dengan jalur cahaya, cermin sisi mengikut warna badan, serta Sport Design Package dengan kemasan apron hadapan dan belakang, side skirt serta kemasan arca roda dalam warna badan.
Turut melengkapkan pakej ini ialah lampu ‘courtesy’ pintu dengan logo PORSCHE LED, perehat tangan konsol tengah dengan emboss logo Porsche Crest dan kunci kenderaan yang dipadankan dengan kemasan khas.
Secara keseluruhannya, Porsche Cayenne CKD 2026 hadir sebagai SUV prestasi premium yang semakin lengkap dari segi gaya, teknologi dan praktikaliti.
Dengan harga bermula RM609,000 untuk Cayenne dan RM739,000 bagi Cayenne S E-Hybrid Coupé, model ini terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penanda aras utama dalam segmen SUV prestasi mewah di Malaysia.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...