Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, telah memulakan eksport Kawasaki ZX-6R ke China. Acara ini bukan sahaja menandakan kejayaan MODENAS tetapi juga memperkukuhkan kerjasama yang hampir 30 tahun terjalin diantara MODENAS dan Kawasaki.
MODENAS merupakan satu daripada dua syarikat bukan Kawasaki di dunia yang diberi kepercayaan untuk menghasilkan motosikal bagi jenama terkenal tersebut.
Acara ini dirasmikan dengan “sealing” empat kontena yang mengandungi 112 unit motosikal Kawasaki ZX-6R yang bakal di eksport ke China oleh Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Badrol Ghazali, Ketua Jabatan Cukai Dalaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah, dan Lee Hock Ben, Ketua Kemudahan dan Kawalan Kemudahan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah, serta ahli pengurusan MODENAS dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kedah.
Ads
Roslan Roskan berkata, “Pencapaian hari ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan kerjasama mendalam kami dengan Kawasaki tetapi juga menekankan keupayaan dan kemahiran pembuatan MODENAS, serta komitmen tenaga kerja kami.”
“Kerjasama strategik antara MODENAS dan Kawasaki telah memperluas penawaran produk kedua-dua jenama, memudahkan pertukaran teknologi, mengukuhkan rangkaian, dan membuka jalan kepada pasaran baharu. Semua ini telah menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan bersama kami,” tambah beliau.
Pada majlis tersebut, MODENAS turut berkongsi proses pemasangan teliti ZX-6R yang menggunakan teknologi canggih Kawasaki.
Ads
Pemilihan MODENAS sebagai kilang terpilih di Asia Tenggara untuk ZX-6R oleh Kawasaki menonjolkan kualiti pengeluaran, kecekapan kos, dan prestasi penghantaran yang cemerlang.
Pada September 2023, kilang MODENAS di Gurun telah menjalani audit ketat oleh Pusat Pensijilan Kualiti China (CQC) dan secara rasmi disahkan sebagai kilang yang mampu menghasilkan produk untuk dieksport ke China.
Pensijilan ini adalah tambahan kepada pengiktirafan kecekapan oleh Kawasaki kepada MODENAS, yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai rakan kongsi pembuatan yang dipercayai.
Dengan eksport ini, MODENAS bukan sahaja mengukuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa tetapi juga memperkuatkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China disamping meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan dan kejayaan pada masa depan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran Yamaha Tracer 9 GT serba baharu untuk pasaran Malaysia.
Model ini menjadi pengenalan pertama Yamaha bagi tahun ini, selain berfungsi sebagai platform untuk memperincikan hala tuju strategik jenama tersebut dalam segmen motosikal bersesaran besar di Malaysia.
Sebagai sebuah jentera dalam kategori sport-touring, model ini dibangunkan berasaskan platform yang telah terbukti, namun menerima penambahbaikan menyeluruh yang memfokuskan kepada keselesaan dunia sebenar, teknologi terkini serta kebolehgunaan harian.
Pendekatan ini sejajar dengan sasaran Yamaha untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada penunggang, khususnya dalam segmen touring yang semakin berkembang di pasaran tempatan.
Menurut HLYM, segmen big bike dikenal pasti sebagai tonggak utama pertumbuhan Yamaha di Malaysia, disokong oleh peningkatan minat pengguna serta momentum pasaran yang positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam kategori motosikal melebihi 500 cc, segmen touring kekal sebagai antara yang paling menonjol, mencerminkan permintaan terhadap motosikal serba boleh yang mampu memenuhi keperluan perjalanan jarak jauh dan kegunaan harian.
Yamaha Tracer 9 GT diposisikan sebagai model yang memenuhi keperluan tersebut, dengan gabungan prestasi dinamik, ergonomik mesra penunggang dan ciri sokongan teknologi yang relevan untuk penunggang moden.
Pendekatan ini menjadikan motosikal ini sesuai untuk kegunaan harian, perjalanan hujung minggu mahupun tunggangan jarak jauh merentas negeri.
Antara pembaharuan paling menonjol pada Tracer 9 GT ialah penggunaan sistem lampu hadapan Matriks. Sistem ini berfungsi dengan melaraskan pencahayaan LED individu secara automatik berdasarkan keadaan trafik dan persekitaran sekeliling.
Melalui teknologi ini, pencahayaan optimum dapat diberikan kepada penunggang tanpa menyilaukan pengguna jalan raya lain, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan ketika tunggangan waktu malam atau dalam keadaan cahaya rendah.
Ciri ini melengkapkan pakej keselamatan keseluruhan motosikal, selari dengan peranannya sebagai jentera touring yang direka untuk pelbagai situasi perjalanan.
Bagi memastikan keselesaan maksimum, model ini dilengkapi penghadang angin boleh laras secara elektronik, membolehkan pelarasan dilakukan mengikut kelajuan dan keutamaan penunggang.
Ia dipadankan dengan reka bentuk fairing baharu yang telah diuji dalam terowong angin untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Reka bentuk ini bukan sahaja menawarkan perlindungan angin yang lebih baik, malah membantu mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh.
Pada masa sama, kestabilan motosikal pada kelajuan tinggi turut dipertingkat, menjadikannya lebih yakin untuk tunggangan lebuh raya.
Tracer 9 GT menerima paparan TFT warna penuh bersaiz 7 inci yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama. Melalui paparan ini, penunggang boleh mengakses sistem Yamaha Ride Control (YRC) untuk menyesuaikan tetapan respons enjin dan tahap intervensi elektronik mengikut gaya tunggangan atau keadaan jalan.
Sokongan aplikasi Y-Connect dengan navigasi bersepadu turut ditawarkan, membolehkan integrasi lancar antara motosikal dan peranti pintar.
Ciri ini memberikan akses kepada maklumat tunggangan, notifikasi serta panduan navigasi secara langsung ketika berada di atas jalan.
Untuk meningkatkan tahap keselesaan dan kestabilan, Yamaha Tracer 9 GT baharu dilengkapi sistem ampaian kawalan elektronik.
Sistem ini berupaya menyesuaikan tetapan suspensi secara automatik berdasarkan keadaan jalan dan beban, sama ada tunggangan solo, bersama pembonceng atau membawa muatan tambahan.
Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi quick shifter generasi ketiga yang membolehkan penukaran gear lebih lancar tanpa penggunaan klac.
Ciri lain termasuk reka bentuk tempat duduk baharu untuk capaian kaki yang lebih mudah, Sistem Kunci Pintar serta Emergency Stop Signal (ESS) yang mengaktifkan lampu isyarat kecemasan ketika membrek secara mengejut.
Di pasaran tempatan, Tracer 9 GT baharu ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM71,888, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Model ini tersedia dalam dua pilihan warna, iaitu Ceramic Ice dan Tech Black.
Ia kini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia. Dengan gabungan teknologi canggih, keselesaan bertaraf touring dan kebolehgunaan harian, model ini mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan menarik dalam segmen sport-touring untuk penunggang yang mencari keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan teknologi moden.
Sempena majlis perasmian Mforce SmartShop W H S Motor Sdn. Bhd. di Banting, QJMOTOR Malaysia melancarkan sebuah model baharu yang pasti mencuri perhatian penunggang muda iaitu QJMOTOR SRK250R.
Model sportbike 249cc ini bukan sekadar tampil agresif, malah membawa teknologi moden dengan harga mampu milik.
Bagi 1,000 pemilik terawal, SRK250R ditawarkan pada harga pengenalan RM9,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Red Silver, Blue dan Black, kesemuanya dengan grafik sporty yang menonjolkan identiti agresif jentera ini.
Di sebalik rekaan tajamnya, SRK250R digerakkan oleh enjin silinder tunggal, 4-injap, DOHC, penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 20.5kW (27.5hp) pada 9,500rpm serta 22.5Nm tork pada 7,250rpm.
Dengan konfigurasi bore x stroke 72.0mm x 61.2mm, ia dipadankan bersama kotak gear 6-kelajuan dan klac basah berbilang plat untuk penukaran gear yang lancar.
Sistem suntikan bahan api EFI pula memastikan respons pendikit lebih tepat dan efisiensi bahan api lebih baik.
SRK250R dibina dengan dimensi kompak yang sesuai untuk penunggang Asia.
Panjang motosikal ini adalah 2,010mm, lebar 770mm, tinggi 1,125mm, dengan jarak roda 1,360mm.
Tempat duduk pada ketinggian 780mm memberi posisi menunggang sporty tetapi masih mesra harian.
Dengan berat hanya 162kg dan tangki bahan api 12.5 liter, ia cukup seimbang untuk kegunaan bandar mahupun untuk perjalanan jarak jauh.
Bahagian hadapan dilengkapi fork terbalik (USD) manakala belakang menggunakan monoshock boleh laras untuk kawalan yang lebih baik di selekoh.
Kuasa henti pula datang daripada brek cakera 300mm di depan dan 240mm di belakang, lengkap dengan ABS dwi-saluran.
Tayar 110/70-R17 di hadapan dan 140/60-R17 di belakang memastikan cengkaman stabil sama ada di jalan basah atau kering.
Sebagai sportbike moden, QJMOTOR SRK250R hadir dengan ciri yang menyenangkan penunggang:
Paparan meter digital penuh warna
Sistem lampu LED penuh (depan, belakang & isyarat)
Lampu hazard & windscreen statik
Port pengecasan USB Type-A & Type-C
Sistem Bluetooth terbina dalam dengan fungsi panggilan telefon serta integrasi WhatsApp – unik untuk kelasnya.
Setiap pembelian hadir dengan jaminan pengeluar 2 tahun tanpa had perbatuan, selain kemudahan membeli alat ganti tulen secara atas talian melalui Mforce Bike Holdings.
Ini memberi keyakinan tambahan kepada pemilik yang risau soal penyelenggaraan.
Dengan harga bawah RM10k, rekaan sporty, kuasa hampir 28hp dan kelengkapan moden termasuk ABS serta Bluetooth, QJMOTOR SRK250R hadir sebagai pakej lengkap untuk penunggang muda yang mahu naik taraf dari kapcai ke sportbike.
Ia bukan sekadar motosikal harian, tetapi tiket masuk ke dunia “big bike” dengan gaya, teknologi dan sokongan selepas jualan yang diyakinkan oleh Mforce.
HAVAL H6 HEV menjadi antara fokus utama apabila GWM Malaysia memperkenalkan kempen khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 dengan tema Raikan Perjalanan Menuju Keredaan.
Kempen ini memberi fokus kepada kepentingan perjalanan pulang ke kampung serta nilai kekeluargaan yang semakin bermakna ketika musim perayaan.
Menurut GWM Malaysia, tema tersebut dipilih bagi menggambarkan bagaimana perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi turut membawa makna mendalam kepada setiap keluarga yang ingin berkumpul dan meraikan Syawal bersama orang tersayang.
Dalam masyarakat Malaysia, tradisi balik kampung ketika Aidilfitri merupakan satu pengalaman yang penuh emosi dan kenangan. Perjalanan yang mungkin mengambil masa berjam-jam di lebuh raya tetap menjadi saat yang dinanti-nantikan kerana ia membawa kepada pertemuan semula dengan ahli keluarga serta sahabat lama.
Sebagai kemuncak kempen ini, GWM Malaysia turut menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Lebaran Keredaan.
Filem ini memaparkan kisah dua watak utama, Faiz dan Rizal, yang menjalani kehidupan harian dengan pelbagai tanggungjawab serta cabaran sebelum pulang menyambut Hari Raya bersama keluarga.
Kisah tersebut menggambarkan situasi yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya mengenai pengorbanan, usaha serta kepentingan hubungan kekeluargaan. Dalam cerita ini, perjalanan pulang ke kampung menggunakan HAVAL H6 HEV turut menjadi sebahagian daripada naratif, digambarkan sebagai kenderaan yang memberikan keselesaan dan keyakinan sepanjang perjalanan jauh.
Melalui penceritaan yang menyentuh emosi, filem pendek ini cuba mengingatkan penonton bahawa perjalanan pulang ke kampung bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah perjalanan yang sarat dengan nilai kasih sayang dan penghargaan terhadap keluarga.
Dalam masa yang sama, kempen Hari Raya tahun ini turut menandakan satu pencapaian penting bagi HAVAL H6 HEV di Malaysia.
Setakat ini, sebanyak 6,000 unit model tersebut telah berjaya diserahkan kepada pelanggan di Malaysia. Pencapaian ini menjadikannya sebagai SUV hibrid kedua paling laris di pasaran tempatan.
Sejak diperkenalkan pada Oktober 2024, model ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembeli yang mahukan SUV hibrid dengan gabungan prestasi, teknologi serta kepraktisan untuk kegunaan harian.
Pertumbuhan jualan ini turut menunjukkan perubahan trend pengguna tempatan yang semakin terbuka menerima teknologi hibrid sebagai alternatif kepada kenderaan konvensional.
HAVAL H6 HEV menggunakan sistem hibrid tanpa pengecasan luaran, yang bermaksud ia tidak memerlukan pengecasan menggunakan plug seperti model plug-in hybrid.
SUV ini mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 1,000 kilometer dengan satu tangki bahan api, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jarak jauh termasuk perjalanan balik kampung ketika musim perayaan.
Selain itu, HAVAL H6 HEV turut dilengkapi waranti selama 10 tahun untuk enjin dan bateri hibrid, memberikan keyakinan tambahan kepada pemilik dari segi ketahanan jangka panjang.
Platform model ini juga telah digunakan secara meluas di peringkat global dengan lebih empat juta pemilik di seluruh dunia, sekali gus menunjukkan penerimaan yang kukuh terhadap teknologi dan keupayaan kenderaan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, sambutan yang diterima terhadap HAVAL H6 HEV menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna Malaysia terhadap teknologi hibrid.
Beliau turut menyatakan bahawa setiap perjalanan ketika musim perayaan mempunyai makna tersendiri kepada rakyat Malaysia, terutamanya apabila pulang untuk bertemu keluarga.
Kempen Raikan Perjalanan Menuju Keredaan juga mencerminkan komitmen GWM Malaysia untuk memastikan setiap perjalanan dilakukan dengan lebih selamat, selesa dan memberikan ketenangan minda kepada pengguna.
Sempena sambutan Aidilfitri, GWM Malaysia turut menganjurkan Rumah Terbuka Raya di bilik pameran terpilih pada 28 hingga 29 Mac serta 11 hingga 12 April.
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat serta mencuba sendiri pengalaman memandu SUV hibrid ini di lebih 35 bilik pameran GWM di seluruh negara.
Selain itu, pelanggan yang menyertai kempen Tempah dan Menang Raya 2026 antara 9 Mac hingga 30 April juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk percutian tiga hari dua malam di Desaru Coast, televisyen pintar Samsung 65 inci Crystal UHD 4K, iPad Air 11 inci, Dyson Airwrap serta beberapa hadiah eksklusif lain.
Melalui kempen sempena Hari Raya ini, GWM Malaysia bukan sahaja ingin meraikan musim perayaan bersama pelanggan, malah turut memperkukuh kedudukannya dalam pasaran SUV hibrid tempatan.
Dengan peningkatan jualan model hibrid serta pelbagai inisiatif kempen yang dijalankan, jenama tersebut dilihat terus memberi fokus kepada penyediaan kenderaan yang menawarkan teknologi moden, keselesaan serta kepraktisan untuk kegunaan keluarga Malaysia.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...