
Model adventure touring terbaru daripada Moto Morini kini rasmi memasuki pasaran tempatan menerusi pengedarnya, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.. Dikenali sebagai Moto Morini X-CAPE 700, motosikal ini ditawarkan pada harga RM33,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Ia hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Stone Black, Vortex Red dan Dynamic White.
X-CAPE 700 dikuasakan dengan enjin 693 cc dua silinder yang menghasilkan sekitar 55 kW pada 8,500 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm.
Kuasa ini disalurkan melalui transmisi enam kelajuan yang memberikan penghantaran kuasa yang lancar dan konsisten sama ada untuk kegunaan harian di dalam kawasan bandar atau tunggangan pada jarak jauh.
Sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik membantu memastikan prestasi enjin kekal stabil, manakala tangki bahan api 18 liter membolehkan penunggang menikmati jarak perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti mengisi petrol. Kehadiran slipper clutch pula memberikan kawalan lebih baik ketika penukaran gear secara agresif.
Dari aspek keselesaan, motosikal ini menggunakan fork hadapan jenis upside-down boleh laras daripada Marzocchi dan penyerap hentak belakang KYB monoshock yang turut boleh dilaras mengikut kesesuaian tunggangan.
Dengan jarak gerak suspensi 165 mm di hadapan dan 160 mm di belakang, X-CAPE 700 mampu menyerap hentakan dengan baik walaupun melalui jalan tidak rata atau laluan off-road ringan, sekali gus memberikan keyakinan kepada penunggang dalam pelbagai situasi.
Sistem brek menggunakan komponen daripada Brembo dengan cakera berkembar di bahagian hadapan dan cakera tunggal di belakang, memberikan kuasa membrek yang lebih meyakinkan.
Sistem ABS dua saluran turut disertakan bagi meningkatkan keselamatan ketika membrek secara mengejut. Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi dengan Traction Control System (TCS), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta mod tunggangan Off-road dan Ride yang membolehkan penunggang menyesuaikan prestasi motosikal mengikut keadaan jalan dan gaya tunggangan.
Moto Morini X-CAPE 700 menggunakan rim jenis jejari dengan tayar bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, satu kombinasi yang sesuai untuk kegunaan atas jalan raya dan juga laluan “off-road”.
Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 2,220 mm panjang, 960 mm lebar dan 1,510 mm tinggi dengan jarak roda 1,490 mm. Ketinggian tempat duduk 840 mm dan kelegaan tanah 190 mm memberikan keseimbangan antara keselesaan dan keupayaan meredah pelbagai permukaan, manakala berat 233 kg membantu menghasilkan tunggangan yang stabil terutamanya ketika perjalanan jauh.
Dari segi teknologi, motosikal ini dilengkapi dengan paparan TFT bersaiz 7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting kepada penunggang. Ia turut menyediakan port pengecas USB Type-A dan Type-C untuk kemudahan mengecas peranti ketika sedang menunggang.
Sistem pencahayaan LED penuh bersama DRL meningkatkan tahap penglihatan, manakala sambungan Bluetooth dan integrasi aplikasi menambah elemen moden dalam pengalaman tunggangan.
Menariknya, motosikal ini juga dilengkapi kamera dashcam hadapan yang boleh digunakan untuk tujuan keselamatan dan rakaman sepanjang perjalanan.
Bagi mereka yang gemar aktiviti touring, X-CAPE 700 hadir dengan kelengkapan lengkap termasuk kotak sisi dan kotak atas yang menawarkan ruang simpanan mencukupi untuk perjalanan jarak jauh.
Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi handguard, crash bar serta windshield boleh laras yang membantu meningkatkan keselesaan dan perlindungan sepanjang perjalanan, menjadikannya terus sedia digunakan tanpa perlu pemasangan aksesori tambahan.
Setiap pembelian didatangkan dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan, memberikan ketenangan kepada pemilik. Di samping itu, alat ganti tulen boleh diperoleh secara dalam talian melalui rangkaian rasmi Mforce, memudahkan urusan penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.
Secara keseluruhan, Moto Morini X-CAPE 700 merupakan salah satu pilihan yang menarik khususnya untuk golongan muda yang ingin memiliki motosikal adventure pertama.
Ia menawarkan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan kelengkapan touring dalam satu pakej yang kompetitif dalam pasaran Malaysia.
Bagi mereka yang gemar meneroka destinasi baharu atau sekadar mahukan jentera yang versatil untuk kegunaan harian dan hujung minggu, model ini wajar dipertimbangkan sebagai salah satu pilihan utama.
Baca Juga : Mforce Lancar Mforce Experience Club, Platform Komuniti Rasmi Pemilik Motosikal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Strategi Baharu Honda Dalam Teknologi Hibrid Honda Malaysia memperkenalkan kempen “Hybrid Done Right” sebagai langkah…
Inisiatif Baharu Mforce.Cas Untuk Menyokong Mobiliti Hijau Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. tampil dengan satu…
Perkembangan teknologi automotif hari ini menyaksikan semakin banyak kenderaan menggunakan sistem elektrifikasi. Perbezaan EV HEV…
