BMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ads
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.
F 900 GS – Sao Paolo Yellow
BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.
R 1300 GS – White with Blue
BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
Ads
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.
Ads
S 1000 XR – Biru
BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu
RM 38,500.00
BMW F 900 GS Baharu
RM 88,500.00
BMW S 1000 XR Baharu
RM 129,500.00
BMW 1300 GS Baharu
RM 138,500.00
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana
RM 149,500.00
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Di sebalik kekuatan pertahanan udara Jepun, terdapat satu simbol kebanggaan yang tidak boleh dipandang remeh — Mitsubishi F-15 Eagle. Bersama dengan Mitsubishi F-2, F-15 menjadi aset utama bagi Pasukan Pertahanan Udara Jepun atau Japan Air-Self Defense Force (JASDF).
Jet pejuang ini adalah adaptasi daripada F-15 Eagle Amerika Syarikat, sebuah pesawat taktikal dwi-enjin yang direka untuk semua keadaan cuaca oleh McDonnell Douglas (kini Boeing).
F-15J, yang dihasilkan di bawah lesen di Jepun oleh Mitsubishi Heavy Industries, telah berkhidmat dengan JASDF sejak tahun 1980-an.
Kredit – Yokomaomag
Versi Dinaik Taraf
F-15J dan versi yang dinaik taraf, F-15DJ, direka khusus untuk misi penguasaan udara. Cemerlang dalam pertempuran udara-ke-udara dengan kelebihan kelajuan, kemampuan pengendalian, dan sistem radar yang berkuasa.
Jepun juga telah menaik taraf pesawat-pesawat ini dengan avionik dan sistem radar terkini untuk memanjangkan jangka hayat operasi serta meningkatkan kemampuan mereka, seperti dalam program F-15JSI (Japan Super Interceptor) yang terkini.
Walaupun Mitsubishi F-2 lebih bersifat multirole, F-15J tetap menjadi pejuang penguasaan udara utama Jepun. Memainkan peranan penting dalam mempertahankan ruang udara negara.
Setiap kali ia berada di udara, F-15J menampilkan figura yang menggerunkan sebagai lambang kejuruteraan pertahanan ketenteraan yang kukuh.
Kredit – Yokomaomag
Sambutan Khas
Namun begitu, pada acara-acara khas, JASDF mengambil langkah kreatif yang luar biasa.
Dalam semangat sambutan, beberapa F-15 menerima kerja-kerja cat yang unik sempena sambutan ulang tahun atau acara tertentu. Ini secara langsung, menjadikan livery mereka sebagai karya seni yang menakjubkan.
Rekaan ini sering kali dipengaruhi oleh warisan budaya Jepun yang kaya. Menampilkan seni ukiyo-e yang memaparkan Gunung Fuji, motif naga, atau bunga sakura yang sedang mekar, semuanya dipamerkan dengan penuh warna dan perincian.
Livery Budaya Jepun
Contoh terbaik dari tradisi ini termasuk livery yang diinspirasikan oleh ukiyo-e. Sebuah seni ukiran kayu tradisional Jepun yang sering menggambarkan pemandangan indah seperti Gunung Fuji yang megah.
Tidak kurang juga rekaan yang memaparkan naga, simbol kekuatan dan perlindungan dalam budaya Jepun.
Setiap rekaan ini bukan sahaja mencerminkan keindahan seni, tetapi juga membawa makna mendalam yang berkait rapat dengan sejarah dan budaya Jepun.
Kredit – Yokomaomag
Sebagai tambahan kepada estetika, kerja-kerja cat ini juga menunjukkan penghormatan terhadap pesawat dan peranan penting yang dimainkan oleh JASDF dalam menjaga keamanan negara.
Dengan sentuhan seni yang halus ini, F-15 bukan sahaja berfungsi sebagai alat pertahanan yang kuat, tetapi juga sebagai kanvas yang menghidupkan keindahan dan warisan budaya Jepun di langit.
Secara keseluruhannya, seni pada jet pejuang F-15 ini menunjukkan bagaimana Jepun menggabungkan elemen tradisi dengan inovasi moden.
Ia adalah gabungan sempurna antara kekuatan dan keindahan. Menjadikan setiap F-15 yang dihiasi ini sebagai simbol kebanggaan yang luar biasa, terbang tinggi di angkasa sambil mengekalkan warisan budaya Jepun yang kaya.
Dalam dunia automotif, saiz tayar standard lazimnya berada dalam julat 15 hingga 17 inci.
Sementara kereta sport biasanya menggunakan tayar yang lebih besar, sebagai contoh, Aston Martin DB9 dilengkapi dengan tayar bersaiz sehingga 22 inci.
Walaupun tayar ini kelihatan besar jika dibandingkan dengan kereta biasa, ia masih jauh daripada kategori tayar terbesar di dunia.
Jadi, apakah sebenarnya tayar terbesar yang pernah dihasilkan? Mari kita selami tiga tayar yang terbesar di dunia pernah dihasilkan.
1. Titan Tyre 63-Inch Off-Road
Pada tahun 2008, pengeluar tayar Amerika, Titan Tire, menghantar tayar 63-inci pertama mereka ke lokasi perlombongan di Kanada.
Tayar ini bukan sahaja besar, malah dihantar bersama roda khas yang direka untuk menampung saiznya yang luar biasa.
Dengan ketinggian lebih 4 meter dan berat sekitar 5.6 tan metrik—bersamaan dengan berat 5 buah Ford Fiesta—tayar ini diiktiraf sebagai tayar pengeluaran terbesar di dunia.
Ia direka khas untuk industri perlombongan dan kuari yang sememangnya terkenal dengan jentera besar serta roda gergasi.
Titan Tyre benar-benar menetapkan penanda aras baharu dalam dunia tayar!
Kredit Foto : Website cabotcorp
2. Bridgestone 59/80R63 V-Steel E-Lug S
Sebelum Titan Tyre mendominasi, takhta tayar terbesar pernah disandang oleh Bridgestone 59/80R63.
Tayar ini, dengan ketinggian 4.02 meter dan lebar 1.47 meter, direka khusus untuk jentera berat seperti trak pelombong CAT 797.
Tayar ini mampu menampung beban sehingga 101 tan metrik, menjadikannya pilihan utama untuk aplikasi dalam industri berat.
Harga untuk setiap tayar ini? Sekitar £30,000 (34,000 euro)—harga yang cukup untuk membeli beberapa kereta!
Untuk memberikan perspektif, setiap tayar Bridgestone ini menggunakan jumlah getah yang mencukupi untuk menghasilkan 600 tayar kereta biasa.
Kredit Foto : Website tirereview
3. Uniroyal Giant Tyre
Jika dua tayar sebelumnya boleh diiktiraf sebagai tayar pengeluaran terbesar di dunia, status tayar terbesar sepanjang zaman disandang oleh Uniroyal Giant Tyre.
Tayar ikonik ini dicipta oleh Uniroyal Tire Company untuk Pameran Dunia New York 1964, di mana ia digunakan sebagai roda Ferris.
Kini, ia menjadi tarikan statik di Allen Park, Michigan, bersebelahan dengan Lebuhraya Interstate 94.
Dengan ketinggian antara 24 hingga 26 meter dan berat hampir 11 tan metrik, tayar ini lebih kepada karya seni kejuruteraan berbanding komponen automotif.
Ia tidak diperbuat daripada getah seperti tayar biasa, tetapi menggunakan resin poliester yang diperkuat dengan gentian kaca, menjadikannya kalis api.
Permukaan bunga tayarnya sedalam 15 cm, sementara ruang dalaman tayar ini mencapai 3,414.3 meter padu.
Menariknya, pada tahun 1990, Uniroyal Giant Tyre menjadi sebahagian daripada jenama Michelin selepas Uniroyal Goodrich Tire Company diambil alih.
Konklusi
Ketiga-tiga tayar ini membuktikan bahawa dunia automotif dan kejuruteraan sentiasa mencabar had kebiasaan.
Sama ada ia dicipta untuk tujuan praktikal seperti perlombongan atau sebagai simbol kejuruteraan unik seperti Uniroyal Giant Tyre, setiap tayar ini mencerminkan inovasi yang mengagumkan.
Jadi, apabila anda melihat tayar kereta biasa, ingatlah—ada tayar di luar sana yang saiznya jauh melangkaui imaginasi kita!
Terbaru, BMW Malaysia memperkenalkan BMW X7 xDrive40i M Sport baharu, menyusuli varian Pure Excellence yang turut dirungkaikan pada awal tahun ini.
Lebih menarik jentera dari kategori SAV (Sport Activity Vehicle) ini dipasang di negara kita iaitu di Kulim. Jadi apakah yang membuatkan model atau varian terbaru ini lebih mantap dan menarik?
Reka Bentuk Menakjubkan
Pertama sekali, BMW X7 xDrive40i M Sport hadir dengan reka bentuk M Specific yang cukup memukau. Pada bahagian hadapan dan belakangnya ia dikemaskini dengan pakej M Aerodynamics yang memberikan penampilan menarik dan aerodinamik.
Selain itu, logo ‘M’ yang ikonik terpapar di bahagian pintu, memberikan tanda bahawa ini adalah varian istimewa. Gril hadapan pula dilengkapi dengan pencahayaan Iconic Glow yang dicipta oleh sistem gentian optik LED yang moden. Tidak lupa juga roda aloi M Sport 22-inci yang memberikan sentuhan penuh gaya pada kenderaan ini.
Kemewahan di Dalam Kabin
Melangkah masuk ke kabin BMW X7 xDrive40i M Sport, kita akan dihidangkan dengan kemewahan sejati dengan kemasan trim kayu halus ‘Fineline Black’ dan kesan logam yang berkualiti tinggi, stereng kulit M dan kemasan kulit Merino BMW Individual dalam pilihan warna Black atau Tartufo. Semuanya menyumbang kepada pengalaman yang benar-benar eksklusif.
Kredit Foto: BMW
Teknologi Terkini
Dari segi sistem bantuan memandu, BMW X7 xDrive40i M Sport membawakan teknologi terkini yang dilengkapi dengan Driving Assistant Professional yang mengandungi Kawalan Jarak dengan fungsi Henti & Mula, bersama-sama dengan Bantuan Stering dan Kawalan Laluan. Ini membawa keupayaan Pemanduan Berautonomi Tahap 2, menjadikan pengalaman memandu lebih selesa dan selamat.
Kuasa di Bawah Hood
Di bawah hood BMW X7 xDrive40i M Sport terdapat enjin hibrid 48V yang canggih berserta transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 250 km/jam, menghamburkan kuasa sebanyak 380hp dan daya kilas sebanyak 540 Nm. Anda mungkin terkejut dengan pecutan 0-100 km/jam yang dicapai dalam hanya 5.8 saat, walaupun kereta ini sebuah SUV.
Kredit Foto: BMW
Warna Eksklusif
BMW X7 datang dalam pelbagai warna menarik, termasuk Mineral White Metallic dan Black Sapphire Metallic. Namun, yang paling istimewa adalah warna eksklusif M Brooklyn Grey Metallic yang hanya boleh didapati pada BMW X7 xDrive40i M Sport baharu.
Harga dan Tawaran Istimewa
Untuk mendapatkan kehebatan BMW X7 xDrive40i M Sport, anda hanya perlu melabur RM718,800. Ia termasuk Pakej Servis dan Jaminan Lanjutan selama 5 tahun, dan juga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans). Inilah masa yang sesuai untuk memiliki SUV mewah dengan sentuhan M Sport yang begitu memikat.
Jadi, jika anda mencari gabungan kekuatan, kemewahan, dan gaya dalam sebuah SUV, BMW X7 xDrive40i M Sport adalah pilihan yang sempurna. Dengan gabungan reka bentuk menakjubkan, teknologi terkini, dan kemewahan yang melampau, ia akan membawa pengalaman memandu anda ke tahap yang baharu. Segera kunjungi pengedar tempatan untuk melihat dengan lebih dekat model ini.
1 of 16
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Kawasaki Ninja 1100SX Dilancar di Malaysia, Sport-Touring Flagship Bermula RM71,400
Kawasaki Ninja 1100SX kini rasmi diperkenalkan di Malaysia, meneruskan legasi sport-touring moden dalam kelasnya.Evolusi ini...