Motosikal

Honda ADV160 Kini Lebih Bergaya dengan Warna Baharu

Share

Bagi penggemar skuter bergaya lasak, ini berita baik buat anda! Boon Siew Honda Sdn. Bhd. mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda ADV160. Kali ini tampil lebih segar dan bergaya. 

Dua warna baharu iaitu Matte Black dan Merah kini ditawarkan bersama pilihan sedia ada Putih. Menjadikan penampilan skuter ini lebih garang dan menyerlah di jalanan.

Untuk mereka yang lebih sukakan gaya eksklusif dan elegan, edisi khas Honda ADV160 juga tidak ketinggalan. Ia hadir dengan warna baharu Kelabu (Gray) dan mengekalkan

Matte Green.

Sesuai untuk anda yang mahu tampil lebih matang tetapi masih mengekalkan aura pengembaraan. Harga disyorkan bermula RM13,249.00 untuk warna standard dan RM13,549.00 bagi edisi khas. (Semua harga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.)

Model dengan warna baharu ini akan mula memasuki semua bilik pameran Honda Impian X dan pengedar sah Honda di seluruh negara mulai 8 Mei 2025. Jadi, kalau anda sedang mencari tunggangan bergaya yang praktikal, boleh mula intai-intai model ini di bilik pameran berhampiran.

Kenapa Honda ADV160?

ADV160 bukan sekadar cantik, tapi sarat dengan teknologi terkini dan ciri keselamatan moden. Ia dikuasakan oleh enjin 157cc eSP+ (Enhanced Smart Power Plus) yang bukan saja menjimatkan minyak. Malah memberikan prestasi lebih lancar serta mesra alam melalui sistem suntikan bahan api

PGM-FI.

Aspek keselamatan turut diperkukuhkan dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), Anti-lock Braking System (ABS) dan Emergency Stop Signal (ESS). Semuanya demi memastikan tunggangan stabil, yakin dan terkawal dalam pelbagai keadaan jalan.

Keselesaan harian juga jadi keutamaan. ADV160 dilengkapi kunci pintar Honda Smart Key dengan sistem anti-kecurian dan fungsi ‘answer-back’. Port USB, kotak simpanan bawah tempat duduk bersaiz 30L, serta paparan meter LCD pelbagai fungsi yang memaparkan info tunggangan penting.

Ciri tambahan lain termasuk cermin penghadang angin boleh laras dua tahap, rekaan lebih rendah untuk mudah jejak kaki, dan tangki petrol 8.1 liter. Turut disertakan ialah sistem Idling Stop (ISS) dan pencahayaan LED sepenuhnya, menjadikan skuter ini bukan sahaja canggih, malah sedia untuk apa jua cabaran.

Dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana-mana yang terdahulu), Honda ADV160 dengan warna baharu ini bukan sekadar pilihan bergaya. Ia juga satu pelaburan bijak untuk mereka yang inginkan gabungan gaya, prestasi dan praktikaliti dalam satu pakej.

Dari Boon Siew Honda Malaysia

Baca Juga Boon Siew Honda Perkenal X-ADV 2025, Harga Bawah RM70K

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan