Aveta Motor Malaysia ingin menjelaskan secara tuntas isu berlarutan berkaitan kekeliruan tentang struktur pemilikan dan hubungan korporat mereka dengan entiti pengedaran motosikal lain di Malaysia.
Dengan ini, mereka menegaskan bahawa Aveta Motor Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan korporat, perniagaan, atau operasi dengan jenama Demak mahupun mana-mana pengeluar dan pengedar motosikal lain yang beroperasi di Malaysia.
Aveta Motor Malaysia ialah sebuah entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dan dikendalikan oleh Aveta Global Marketing Sdn. Bhd., di bawah naungan Kumpulan MAG.
Semua aspek operasi kami, termasuk reka bentuk dan pembangunan produk, strategi pemasaran, dan pengurusan harian. Dilaksanakan oleh pasukan profesional tempatan yang berpengalaman dan komited dalam membangunkan produk yang relevan dengan keperluan serta citarasa pengguna Malaysia.
Ads
Sebagai entiti yang berteraskan nilai nasional, kami kekal komited untuk membina jenama Aveta sebagai simbol kepercayaan dan aspirasi pengguna tempatan. Di samping memperkukuhkan kehadiran kami dalam pasaran domestik.
Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna, rangkaian pengedar serta rakan-rakan niaga kami atas sokongan dan keyakinan berterusan terhadap Aveta Motor Malaysia.
PROTON sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan Saga Serba Baharu kepada pihak media sebelum pelancaran rasminya. Model ini bukan sekadar kemas kini malah ia menjadi simbol kematangan kejuruteraan tempatan hasil usaha bakat Malaysia di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PROTON, dengan sokongan teknikal daripada rakan strategik Geely.
Selepas lebih tujuh tahun bekerjasama dengan Geely sejak 2017, Saga Serba Baharu ini merupakan model pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan, meliputi aspek reka bentuk dan kejuruteraan. Ia memperlihatkan keyakinan baharu PROTON untuk berdiri sebagai pemain automotif serantau yang mampu menghasilkan kenderaan setaraf antarabangsa.
Dibina di atas platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu menandakan peralihan PROTON ke arah seni bina automotif moden yang fleksibel, berskala dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Platform ini bukan sahaja direka untuk mematuhi piawaian keselamatan dan emisi global, tetapi juga membolehkan integrasi sistem elektronik pintar generasi terkini dan merupakan satu langkah penting ke arah mobiliti pintar dan pemanduan separa autonomi.
Lebih membanggakan, PROTON kini memiliki hak harta intelek (IPR) penuh ke atas platform AMA ini, menjadikan Malaysia berpotensi sebagai hab pembangunan automotif serantau dalam kumpulan Geely. Ini membuka pintu untuk projek pembangunan bersama bagi model-model masa depan yang lebih canggih dan berdaya saing.
Di bawah slogan “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu dirumus sebagai sedan segmen A yang memadukan gaya, teknologi dan dinamik pemanduan. Dengan lebih 35 ciri baharu, ia menetapkan penanda aras baharu bagi model mampu milik tempatan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, menyatakan:
“Saga Serba Baharu ini bukan sekadar kesinambungan legasi sedan kita, tetapi lambang transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator global yang dibangunkan oleh bakat tempatan.”
Dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5-liter baharu yang digandingkan dengan transmisi CVT, Saga ini menawarkan keseimbangan antara kuasa, kecekapan dan kelancaran. Penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC) menjadikannya antara yang paling efisien dalam kelasnya. Sistem Electric Power Steering (EPS) pula memperbaiki kawalan dan respon stereng untuk pengalaman pemanduan yang lebih yakin.
Dari aspek keselamatan, Saga Serba Baharu dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 yang merangkumi sembilan fungsi pintar seperti AEB, FCW, LDW, LCA, RCTA dan IHBC. Keenam-enam beg udara serta struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF) memastikan tahap perlindungan terbaik sekiranya berlaku perlanggaran.
Bahagian kabin menampilkan dwi-skrin 16 inci bersepadu yang menggabungkan paparan meter digital dengan sistem infotainmen utama, kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Pelbagai kemudahan seperti lampu utama automatik, ciri Follow-Me-Home, serta pelarasan aras lampu utama menambah sentuhan moden yang praktikal.
Gaya luaran tampil lebih matang dengan lampu utama projektor LED penuh, lampu belakang LED bar penuh, serta gril depan bermotifkan Sulaman Songket, mencerminkan identiti Malaysia dalam rekaan global. Rim dua tona 15 inci pula menyerlahkan personaliti dinamik dan sporty.
PROTON bakal melancarkan kempen promosi nasional termasuk kolaborasi bersama media, kandungan digital serta siaran langsung bagi memperkenalkan kisah di sebalik kelahiran semula sedan ikonik negara ini.
“Model ini ialah hasil tangan rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia dan kini bersedia untuk memperkenalkan keupayaan kejuruteraan kita kepada dunia,” tambah Zhang.
Lebih sedekad selepas insiden MH370 menjadi salah satu misteri penerbangan paling kompleks dunia moden, kerajaan Malaysia kini secara rasmi mengesahkan penyambungan semula operasi pencarian.
Misi baharu ini bukan sekadar simbolik, tetapi dijalankan berdasarkan data diperhalusi, teknologi sonar generasi terkini dan model kerjasama “no-find, no-fee” bersama firma eksplorasi laut dalam Ocean Infinity.
Misi ini juga membuka lembaran baharu dalam usaha global merungkai kehilangan pesawat tersebut.
Keputusan mengaktifkan semula operasi dilakukan selepas kerajaan menerima dapatan analisis terbaru yang dikatakan lebih konsisten dengan laluan terakhir pesawat Boeing 777 itu.
Penilaian semula data satelit Inmarsat, rekod drift serpihan dan pemetaan hidro-oseanografi mendedahkan satu zon carian baharu di bahagian selatan Lautan Hindi, yang kini dianggap kawasan paling berpotensi tinggi untuk pencarian MH370.
Selain itu, Ocean Infinity memaklumkan kesediaan mereka menggunakan platform AUV (Autonomous Underwater Vehicle) generasi terbaharu yang mampu menyapu kawasan lebih luas dalam satu operasi tanpa menjejaskan ketepatan sonar.
Pencarian kali ini dijalankan berdasarkan perjanjian “no-find, no-fee”, bermaksud Malaysia hanya akan membayar Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat ditemui.
Struktur ini mengurangkan risiko kewangan negara dan memberi insentif kepada operator untuk mengekalkan kecekapan maksimum sepanjang operasi.
Kerajaan menegaskan bahawa keputusan meneruskan misi bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya telah melalui tapisan Kabinet serta input teknikal daripada pakar antarabangsa termasuk keselamatan penerbangan, oseanografi dan teknologi sonar.
Misi terdahulu melibatkan puluhan ribu kilometer persegi dengan cabaran besar dari segi kedalaman laut, kontur dasar berbukit dan keadaan cuaca ekstrem.
Walaupun beberapa serpihan ditemui di pantai-pantai Afrika dan Madagascar, lokasi bangkai utama masih tidak diketahui.
Ocean Infinity kini membawa keupayaan baharu: AUV yang dapat menyelam lebih lama, lebih dalam dan memproses imej sonar dalam masa nyata.
Platform baharu ini juga membolehkan kawasan berisiko tinggi dipetakan dengan ketepatan lebih baik berbanding carian 2018, sekali gus meningkatkan keberkesanan pencarian MH370.
Operasi dijangka bermula pada penghujung Disember 2025 dengan tempoh pencarian sekitar 55 hari.
Fokus utama ialah kawasan yang ditakrifkan semula melalui interpretasi “7th arc” garis matematik berdasarkan komunikasi satelit terakhir MH370.
Zon ini meliputi kawasan laut dalam melebihi 4,000 meter, namun ia kini disasar dengan keyakinan lebih tinggi hasil gabungan model drift baharu, analisis tenaga hentaman dan pemetaan arus lautan dari tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun misteri MH370 sering dilihat sebagai tragedi kemanusiaan, ia turut menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam industri penerbangan dan sistem pemantauan global.
Antara kesan langsung termasuk penambahbaikan keperluan penjejakan masa nyata pesawat komersial, serta pembangunan sistem komunikasi satelit yang lebih konsisten.
Di sisi lain, teknologi carian laut dalam kini berkembang pesat hasil projek sebegini menjadikan misi pencarian bukan sekadar mencari bangkai pesawat, tetapi turut menyumbang kepada kemajuan industri maritim, oseanografi dan automasi robotik bawah laut.
Bagi keluarga mangsa, penyambungan misi ini membawa sedikit sinar kejelasan selepas lebih sedekad menunggu.
Bagi komuniti penerbangan global pula, ia mewakili peluang terbaik untuk merungkai salah satu kehilangan paling misteri sejak era moden.
Walaupun tiada jaminan bangkai akan ditemui, kombinasi data yang diperhalusi, teknologi yang jauh lebih matang dan pendekatan pencarian yang lebih fokus menjadikan misi kali ini antara yang paling optimistik sejak 2014.
Malaysia menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar untuk menutup buku sebuah tragedi, tetapi untuk memastikan kebenaran serta pembelajaran industri terus diangkat demi keselamatan penerbangan generasi seterusnya dan sebagai sebahagian daripada pencarian MH370 yang berterusan.
Harley-Davidson memperkenalkan motosikal kembara dalam siri eksklusif Custom Vehicle Operations (CVO) iaitu Harley-Davidson CVO Pan America 2024, motosikal adventure pertama dalam siri CVO.
CVO Pan America 2024 hadir dengan reka bentuk yang memukau. Ia menampilkan warna cat Legendary Orange, Raven Metallic, dan Atlas Silver pada tangki minyak dan fairing.
Grafik khas ulang tahun ke-25 CVO ditambah pada fairing luar dan konsol, memberikan sentuhan eksklusif.
Asas kepada kehebatan CVO Pan America adalah enjin Revolution Max 1250 yang mempunyai 150 kuasa kuda dan 129 NM tork.
Enjin ini dipasang dalam rangka keluli trellis dengan lengan ayun aluminium satu bahagian.
Motosikal ini juga dilengkapi dengan suspensi hadapan dan belakang yang boleh dilaras secara elektronik.
Disertakan juga paparan skrin sentuh 6.8 inci yang mempunyai pelbagai mod tunggangan dan bantuan elektronik.
Suspensi Adaptive Ride Height yang ada pada CVO Pan America membolehkan ketinggian tempat duduk diturunkan ketika motosikal berhenti, memudahkan penunggang untuk turun daripada motosikal.
Ciri-ciri tambahan lain termasuk Screamin’ Eagle quickshifter untuk penukaran gear tanpa klac, tiga kotak aluminium rekaan SW-Motech, pelindung skid aluminium, dan lampu tambahan.
Untuk menonjolkan status CVO, Pan America dilengkapi dengan roda bercantum tanpa tiub yang merupakan pilihan pada model standard, dan lampu utama LED Advanced Daymaker Adaptive yang menggunakan IMU untuk menentukan sudut condongan.
Keindahan visual diteruskan dengan bar penghadang dan subframe berwarna merah, serta sadel yang mengikut tema warna yang sama.
Motosikal yang mengagumkan ini akan berada di luar negara, dengan harga jualan bermula pada $28,399. Untuk pasaran Malaysia mungkin harga motosikal ini akan jauh berbeza dengan harga yang dinyatakan.
CVO Pan America 2024 bukan sahaja menawarkan prestasi unggul, malahan keunikan dan kemewahan yang sukar ditandingi motosikal adventure lain.
Persaingan Dengan Motosikal Adventure lain
Dengan pelancaran CVO Pan America 2024, Harley-Davidson sekali lagi membuktikan keupayaan mereka untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan pasaran yang sentiasa berubah.
Motosikal ini bukan sahaja menambah dimensi baru kepada jenama yang sudah terkenal, tetapi juga menawarkan penunggang pengalaman kembara yang tiada tandingan. Apa pendapat anda tentang motosikal ini?
Musim Raya Parkir Elok, Semua Pun Senang
Aidilfitri sentiasa membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan kita. Bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi juga...