Ford Mustang Dark Horse SC 2026
Ford Motor Company terus mengukuhkan reputasi Mustang sebagai ikon prestasi global dengan memperkenalkan Ford Mustang Dark Horse SC 2026.
Model ini diumumkan khas untuk pasaran Amerika Syarikat dan tampil sebagai versi lebih ekstrem berbanding Dark Horse standard, namun masih berada di bawah Mustang GTD berfungsi sebagai jentera flagship berprestasi tinggi yang merapatkan jurang antara Dark Horse dan GTD.
Dark Horse SC menampilkan pendekatan “race-bred for the road”, dengan fokus utama pada kuasa enjin, keupayaan litar dan aerodinamik menjadikannya antara Mustang paling hardcore pernah dihasilkan untuk kegunaan jalan awam.
Enjin Predator V8
Dark Horse SC menggunakan enjin V8 5.2 liter supercharged ‘Predator’, iaitu unit sama yang menjadi asas kepada Mustang GTD.
Dalam spesifikasi GTD, enjin ini menghasilkan sekitar 608 kW dan 900 Nm, dan walaupun angka rasmi Dark Horse SC belum diumumkan, jangkaan kuasanya jelas jauh mengatasi Dark Horse standard.
Sebagai perbandingan, Mustang Dark Horse biasa di pasaran Australia menghasilkan 350 kW dan 550 Nm daripada enjin V8 5.0 liter Coyote. Jurang prestasi ini sahaja sudah cukup menggambarkan tahap ekstrem Dark Horse SC.
Transmisi Dwi Klac, Fokus Prestasi
Kuasa daripada enjin supercharged ini disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik dwi klac tujuh kelajuan.
Konfigurasi ini mengingatkan kepada Shelby GT500 generasi terdahulu, yang terkenal dengan pertukaran gear pantas serta keupayaan memecut agresif di litar.
Berbeza dengan GTD yang menggunakan susun atur transaxle dan transmisi lapan kelajuan, Dark Horse SC kekal dengan konfigurasi lebih “konvensional”, namun masih cukup radikal untuk sebuah kereta jalanan.
Casis & Brek Bertaraf Litar
Dari sudut pengendalian, Dark Horse SC mewarisi asas casis Dark Horse yang telah dipertingkatkan.
Ia dilengkapi suspensi adaptif MagneRide generasi terkini, spring lebih keras, anti-roll bar yang ditala semula serta sistem brek Brembo enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.
Rim aloi 20 inci pula dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero R berprestasi tinggi.
Kesemua naik taraf ini bertujuan memastikan kuasa besar enjin dapat dikawal dengan yakin, sama ada di jalan berliku atau ketika sesi pemanduan litar.
Aerodinamik Dark Horse SC Bukan Sekadar Hiasan
Reka bentuk luaran Dark Horse SC bukan kosmetik semata-mata. Bahagian hadapan menerima bukaan udara tengah 65 peratus lebih besar, bersama saluran sisi bersaiz dua kali ganda bagi meningkatkan aliran udara ke enjin dan brek.
Bonet aluminium baharu dengan liang udara besar pula dikatakan menghasilkan sehingga 2.5 kali lebih daya mendap berbanding Dark Horse biasa.
Di belakang, diffuser baharu dan pilihan sayap gentian karbon membantu kestabilan pada kelajuan tinggi dan merupakan satu ciri penting bagi sebuah Mustang berkuasa supercharged.
Track Package: Spesifikasi ‘Track Toy’
Untuk pemilik yang benar-benar serius, Ford turut menawarkan Track Package. Pakej ini merangkumi rim gentian karbon 20 inci dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R, brek karbon-seramik Brembo berspesifikasi GTD, talaan suspensi khusus serta sistem kawalan cengkaman boleh laras dengan lima tahap.
Pakej ini juga mengurangkan berat sehingga 68 kg, selain menggantikan tempat duduk belakang dengan rak simpanan jelas memfokuskan Dark Horse SC sebagai jentera hujung minggu di litar.
Walaupun Dark Horse SC hanya diumumkan untuk pasaran AS, ramai peminat tempatan pasti tertanya-tanya soal harga sekiranya ia dibawa masuk ke Malaysia.
Sebagai rujukan, Mustang Dark Horse di Australia berharga sekitar AUD98,000, manakala Mustang GTD di AS mencecah USD328,000.
Jika Dark Horse SC diletakkan di antara kedua-duanya, anggaran harga asas di AS berkemungkinan sekitar USD180,000 hingga USD220,000
Setelah ditukar kepada Ringgit Malaysia, ditambah duti import, cukai eksais dan Cukai Jualan serta Cukai Kenderaan Mewah, anggaran harganya mungkin boleh mencecah sekitar RM1.2 juta hingga RM1.5 juta itu pun jika ia dibawa masuk secara rasmi atau AP terhad.
Dengan harga sebegitu tinggi serta kekangan piawaian pelepasan dan kecekapan bahan api, Ford Mustang Dark Horse SC lebih realistik untuk kekal sebagai “poster car” buat peminat tempatan.
Namun, kewujudannya membuktikan satu perkara: legasi Mustang masih hidup dan terus berevolusi, walaupun dunia automotif semakin beralih ke arah elektrifikasi.
Baca Juga : Mustang RTR Spec 5 2026, V8 5.0 Dengan Whipple Supercharger
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

