Ads

Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu

Nissan Rogue Hybrid 2027 Tampil Dengan e-POWER Baharu, 225 HP dan AWD Dua Motor

Nissan memperkenalkan Rogue Hybrid 2027 serba baharu untuk pasaran Amerika Syarikat, sekali gus membawa teknologi e-POWER jenama itu ke negara berkenaan buat kali pertama.

SUV generasi baharu ini bukan sekadar menerima sistem hibrid, malah dibangunkan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh menerusi reka bentuk baharu, kabin lebih moden serta teknologi bantuan pemanduan ProPILOT Assist yang dipertingkatkan.

nissan

e-POWER Dengan Pacuan Elektrik Sepenuhnya

Berbeza daripada sistem hybrid konvensional, enjin petrol Rogue Hybrid tidak digunakan untuk memacu roda secara terus. Sebaliknya, enjin berfungsi terutamanya sebagai generator bagi menghasilkan tenaga elektrik, manakala pergerakan kenderaan digerakkan melalui motor elektrik.

Sistem tersebut menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga silinder ZR15DDTe yang menghasilkan 148 hp dan 171 lb-ft tork. Ia digabungkan dengan motor elektrik hadapan berkuasa 202 hp serta motor belakang 134 hp. Jumlah output keseluruhan sistem ialah 225 hp.

Semua varian Rogue Hybrid turut menerima dual-motor electric all-wheel drive (AWD) sebagai standard. Sistem ini boleh mengubah agihan tork antara gandar hadapan dan belakang secara berterusan mengikut keadaan jalan serta tahap cengkaman.

Bateri lithium-ion berkapasiti 1.67 kWh digunakan bersama sistem tersebut, manakala beberapa mod pemanduan tersedia termasuk Standard, Eco, Sport, Off-Road, Snow dan Personal.

Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu

Fokus Kepada Kelancaran Pemanduan

Antara kelebihan utama sistem e-POWER ialah ketiadaan transmisi konvensional yang perlu menukar gear. Menurut Nissan, susunan ini membantu menghasilkan tindak balas kuasa lebih lancar dan linear seperti sebuah EV, tetapi tanpa keperluan untuk mengecas bateri melalui pengecas luar.

Rogue Hybrid turut menawarkan fungsi e-Pedal, membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan sehingga berhenti hanya dengan mengangkat kaki daripada pedal pendikit.

Ia disokong teknologi Smooth Stop, yang mengawal tekanan brek ketika kenderaan hampir berhenti bagi mengurangkan pergerakan badan penumpang ke hadapan dan belakang, terutama ketika memandu dalam kesesakan.

Untuk varian SR, Nissan menyasarkan penggunaan bahan api sekitar 40 mpg di bandar, 36 mpg lebuh raya dan 38 mpg gabungan, berdasarkan ujian dalaman syarikat. Angka berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan rasmi EPA.

Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu

Rekaan Lebih Tegap dan Sporty

Dari sudut reka bentuk, Rogue Hybrid dibentuk berasaskan konsep Refined and Tough, menggabungkan garis badan lebih bersih dengan pendirian yang lebih lebar dan sporty.

Bahagian hadapan menerima gril bercorak honeycomb berbentuk geometri bersama lampu LED yang diintegrasikan ke dalam fascia. Fender pula diberikan bentuk lebih tajam, manakala bahagian belakang boleh dilengkapi lampu LED yang merentasi bahagian tailgate.

Ads

Varian SR tampil lebih agresif menerusi fascia khusus, rim tersendiri serta kemasan gloss black.

Mengikut spesifikasi, Rogue Hybrid menggunakan rim 18 inci untuk varian SV manakala SR dan Platinum menerima rim 19 inci, masing-masing dipadankan dengan tayar 235/60R18 dan 235/55R19.

Baca Juga: Harley-Davidson Breakout Custom Bawa Jack NBC Raih Gelaran Creators Custom Clash 2026

Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu

Kabin Dengan Skrin Sehingga 14.3 Inci

Ruang dalaman Rogue Hybrid turut menerima perubahan besar. Varian asas dibekalkan skrin sentuh NissanConnect berukuran 12.3 inci, lengkap dengan wireless Apple CarPlay dan Android Auto.

Varian lebih tinggi pula boleh dilengkapi paparan 14.3 inci dengan Google built-in, termasuk Google Maps, Play Store dan Google Gemini. Varian Platinum turut menerima sistem audio Bose Premium dengan 10 pembesar suara.

Panel meter digital turut hadir dalam saiz 12.3 atau 14.3 inci bergantung kepada varian, sementara Platinum menerima head-up display.

Selain itu, tersedia 64-colour ambient lighting, sementara Nissan mengekalkan kawalan fizikal untuk sistem penyaman udara bagi memudahkan penggunaannya ketika memandu.

Ads

Dari aspek keselesaan, Rogue Hybrid menawarkan tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas sebagai standard, manakala varian Platinum menerima fungsi heating dan ventilation untuk tempat duduk hadapan serta pemanas untuk tempat duduk belakang.

Nissan Rogue Hybrid 2027 Diperkenalkan, Bawa Teknologi e-POWER Generasi Baharu

Ruang Praktikal Untuk Kegunaan Keluarga

Walaupun tampil dengan sistem hibrid, aspek praktikal Rogue masih dikekalkan.

Ruang kargo menawarkan kapasiti sehingga 31.1 kaki padu dengan tempat duduk baris kedua digunakan, meningkat kepada 65.9 kaki padu apabila kerusi belakang dilipat.

Pintu belakang turut direka supaya boleh dibuka hampir 90 darjah, bertujuan memudahkan pemasangan child seat atau akses penumpang ke tempat duduk belakang. Ruang bawah konsol tengah turut diperbesarkan untuk penyimpanan barangan.

Dari segi dimensi, Rogue Hybrid mempunyai panjang keseluruhan 183.1 inci, lebar 72.8 inci dan tinggi 67.7 inci, dengan wheelbase 106.5 inci. Ground clearance pula sekitar 8.4 inci untuk SV dan 8.5 inci bagi SR serta Platinum.

ProPILOT Assist Lebih Pintar

Nissan turut menambah baik sistem ProPILOT Assist dengan sensor radar hadapan baharu, kamera yang mempunyai medan pandangan 20 peratus lebih luas dan software yang dikemas kini.

Intelligent Cruise Control kini menawarkan empat tetapan jarak mengikuti kenderaan, selain tindak balas lebih baik pada kelajuan rendah.

Ads

Sistem lane-centering turut dipertingkatkan untuk berfungsi dengan lebih lancar ketika melalui selekoh atau pada kelajuan lebih tinggi.

Bagi varian SR dengan Technology Package serta Platinum, tersedia fungsi Auto Lane Change yang membolehkan kenderaan menukar lorong secara automatik selepas signal diberikan dan lorong disahkan selamat.

Turut ditawarkan ialah Hands-off Traffic Jam Support, yang membolehkan pemanduan tanpa tangan buat sementara waktu dalam kesesakan berkelajuan rendah di lebuh raya tertentu apabila ProPILOT Assist diaktifkan.

Senarai sistem keselamatan standard pula merangkumi Automatic Emergency Braking, Blind Spot Warning and Intervention, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Intelligent Lane Intervention serta Intelligent Forward Collision Warning.

Tiga Varian Ditawarkan

Nissan Rogue Hybrid 2027 akan ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu SV, SR dan Platinum.

Varian SR AWD dengan SR Technology Package dijadualkan tiba di pengedar Amerika Syarikat pada musim luruh 2026, sementara keseluruhan rangkaian akan menyusul pada awal 2027.

Buat masa ini, tiada pengumuman rasmi mengenai kemasukan Nissan Rogue Hybrid 2027 ke pasaran Malaysia.

Dengan e-POWER generasi terbaru, pacuan AWD dua motor dan fokus kepada pengalaman pemanduan berasaskan motor elektrik, Rogue Hybrid memperlihatkan pendekatan terkini Nissan terhadap elektrifikasi tanpa memerlukan pengguna bergantung kepada pengecasan luaran seperti sebuah EV penuh.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

YouTube video player

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Anda Mahu Pasang Lampu Jalan? Ini Proses Permohonan Dengan TNB

Nak Pasang Lampu Jalan Depan Rumah? Individu Boleh Mohon Dengan TNB Ramai mungkin tidak tahu bahawa individu juga boleh membuat permohonan pemasangan lampu jalan melalui...