Motosikal kembara jalanan moden Honda NX400 2024 akan melabuhkan tirainya di pasaran Jepun pada bulan April ini, mereka yang tidak biasa dengar NX400 jangan hairan kerana ia dikenali sebagai Honda NX500 untuk pasaran global.
Dengan spesifikasi yang menarik, motosikal ini dilengkapi dengan enjin 2-silinder berkapasiti 399cc yang disaluti dengan sistem penyejukan cecair, menghasilkan kuasa sebanyak 46 PS @ 9,000 rpm dan tork 38 Nm @ 7,500 rpm.
Kuasa tersebut dihantar ke roda belakang melalui transmisi enam-kelajuan. Rekaan NX400 ini serupa dengan NX500 yang terdapat di pasaran global. Hanya nama sahaja yang berubah.
Sistem gantungan motosikal ini menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan dan lengan ayun Pro-Link di bahagian belakang. Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar untuk roda hadapan dan cakera tunggal untuk roda belakang.
Ads
Kredit Foto: Honda
Dari aspek pemanduan motosikal ini, ia diperkukuhkan dengan ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan sokongan aplikasi Honda RoadSync.
Honda NX400 2024 ini mempunyai tangki bahan api berkapasiti 17 liter, berat sekitar 196 kg, dan ketinggian pelana 800 mm.
Ads
Terdapat dua pilihan warna iaitu Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic. Harga jualannya bermula dari 819,000 yen (sekitar RM26,055) di pasaran Jepun.
Untuk makluman, Honda NX400 ini merupakan model baru yang menggantikan model 400X yang telah wujud sejak tahun 2013.
Audi akan mengambil alih sepenuhnya Pasukan Formula 1 Sauber menjelang penyertaannya dalam kejuaraan tersebut pada tahun 2026, seperti yang diumumkan oleh jenama Jerman itu baru-baru ini.
Pada tahun 2022, Audi telah mendedahkan bahawa mereka akan menyertai Formula 1 sebagai rakan strategik kepada Sauber Motorsport pada tahun 2026. Dengan rancangan untuk memperoleh 75% pegangan dalam syarikat tersebut. Namun, perancangan ini dilakukan secara berperingkat hingga tahun 2025.
Namun, satu perjanjian telah dicapai di mana Audi akan mengambil alih 100% Sauber, sekali gus mengambil alih sepenuhnya daripada pemegang saham majoriti semasa, Islero Investments, yang dikawal oleh bilionair Tetra Pak, Finn Rausing.
Syarikat Rausing telah memiliki Sauber Motorsport sejak 2016. Oliver Hoffmann akan melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Audi dan akan menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah bagi semua syarikat Sauber, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Sauber Group, Andreas Seidl, akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan F1 Audi.
Seidl, yang menyertai Sauber dari McLaren pada penghujung tahun 2022, telah bekerja di belakang tabir untuk mengukuhkan kumpulan tersebut dan pengumuman baru-baru ini mengesahkan peranannya dalam Audi.
Sauber bertanding dalam Formula 1 sebagai Alfa Romeo dari tahun 2018 hingga 2023 dan untuk dua tahun akan datang, pasukan ini akan menggunakan jenama dari syarikat Stake dan Kick yang besar, menjelang pengambilalihan oleh Audi pada tahun 2026.
Pengambilalihan sepenuhnya ini akan membolehkan Audi meningkatkan penglibatannya dalam organisasi Formula 1 sebelum debutnya pada tahun 2026. Audi akan terus membina casisnya di fasiliti Sauber yang terletak di Hinwil, Switzerland, manakala enjinnya sedang dibina di fasiliti Audi di Neuberg, Jerman.
“Motorsport, terutamanya Formula 1, adalah minat terbesar saya,” kata Hoffmann. “Saya yakin bahawa dengan menyatukan tanggungjawab dan mengambil alih 100% Sauber Group. Kami akan mempercepatkan persiapan untuk pelancaran pada tahun 2026.
Kami gembira mendapatkan perkhidmatan Andreas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan F1 Audi. Dia adalah orang yang tepat untuk pelan cita-cita tertinggi kami. Berkat pengalamannya yang luas dalam peranan kepimpinan di pihak pengeluar dan pasukan Formula 1. Dia akan memberikan sumbangan besar kepada projek Formula 1 Audi.”
Seidl menambah, “Kami mempunyai peta jalan yang jelas untuk menjadi kompetitif di Hinwil dan juga di Neuburg. Kami mempunyai matlamat dan impian yang tinggi. Realisasi matlamat tersebut sedang dalam proses dan akan dipercepatkan lagi melalui pengambilalihan penuh Sauber oleh Audi.”
Polis Kedah menggesa orang ramai untuk bekerjasama dalam usaha mengekang kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’. Caranya? Dengan menularkan gambar kenderaan yang diubah suai melalui media sosial.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata usaha ini penting bagi mengekang aktiviti tidak bermoral yang telah lama berleluasa di negeri itu.
Beliau berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini yang sering mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan merakam gambar kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi undang-undang, terutamanya motosikal yang diubah suai untuk lumba haram.
“Saya nak warga Kedah, sila ambil gambar jika nampak kenderaan sama ada kereta, motosikal, malah basikal yang telah diubah suai. Contohnya, motosikal dengan tayar ‘sotong’, brek yang dibuang, atau karburetor dinaik taraf untuk merempit. Ambil gambar dan viralkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa jika kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan raya, tindakan pantas daripada masyarakat diperlukan dengan mengambil gambar agar pihak polis boleh mengesan pemilik kenderaan tersebut, malah hingga ke rumah mereka.
Dalam usaha menguatkuasakan tindakan tegas, Fisol berkata arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan kepada semua ibu pejabat polis daerah di Kedah. Dengan penekanan khas kepada bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan.
Kerjasama dari masyarakat adalah kunci dalam memastikan masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Sekaligus mengelakkan insiden buruk yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Selain itu, Fisol juga memaklumkan bahawa polis telah melupuskan 330 item rampasan, termasuk 242 ekzos, 77 lengan ayun, lima karburetor, serta enam item lain di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tindakan pelupusan ini dilakukan setelah arahan mahkamah dikeluarkan di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.
Rampasan keseluruhan pada tahun ini berjumlah 1,412 item. Di mana 302 item telah dilupuskan pada 11 Julai lalu selepas keputusan mahkamah dibuat.
Bagi kes berkaitan narkotik pula, Fisol turut memaklumkan bahawa barangan rampasan bernilai RM2.9 juta melibatkan 2,826 kertas siasatan akan dilupuskan esok oleh sebuah syarikat yang dilantik di Negeri Sembilan.
Pelupusan ini melibatkan barangan rampasan sejak tahun 2013 hingga 2022.
Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kes jenayah jalanan dan narkotik, serta memberi impak positif kepada keselamatan di jalan raya.
Dalam dunia perlumbaan motosikal, MotoGP dan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) adalah dua kategori yang paling mendebarkan.
Kedua-duanya menampilkan pelumba terbaik dunia dengan jentera paling canggih, tetapi yang mana lebih laju? Mari kita selami perbezaan antara kedua-dua jenis motosikal ini dan tentukan jawapannya.
Perbezaan MotoGP dan Superbike MotoGP adalah motosikal lumba yang dibina khas tanpa sebarang kompromi untuk kegunaan harian. Ia direka sepenuhnya untuk kelajuan dan prestasi maksimum. Menggunakan enjin berkuasa tinggi. Bahan ringan seperti karbon fiber, magnesium, titanium, serta teknologi aerodinamik terkini.
Sebaliknya, Superbike adalah motosikal produksi yang diubah suai untuk perlumbaan. Modelnya berasaskan motosikal jalanan yang boleh dibeli oleh orang ramai, tetapi telah ditingkatkan dari segi prestasi. Walaupun ia masih sangat laju, Superbike lebih berat dan sedikit kurang berkuasa berbanding jentera MotoGP.
Jentera Perlumbaan Paling Pantas MotoGP menggunakan enjin 1000cc empat lejang yang mampu menghasilkan hampir 300hp. Beratnya hanya sekitar 157kg (tanpa penunggang), menjadikannya sangat ringan dan lincah.
Aerodinamiknya dioptimumkan dengan fairing besar untuk mengurangkan rintangan angin dan sayap kecil bagi meningkatkan kestabilan ketika membrek serta memasuki selekoh.
Sistem suspensi MotoGP juga lebih canggih, dengan penyerap hentak boleh laras mengikut keutamaan pelumba dan keadaan trek. Tambahan pula, sistem penurun ketinggian (ride-height device) membantu motosikal ini meluncur lebih pantas. Terutamanya ketika memecut dari garisan permulaan.
Gabungan semua teknologi ini membolehkan jentera MotoGP mencapai kelajuan melebihi 350km/j dan memecut dari 0-100km/j dalam kurang daripada tiga saat. Rekod terpantas di Litar Amerika Syarikat, misalnya, dicatat oleh Marc Marquez pada 2014 dengan masa 2:02.135.
Jentera perlumbaan berasaskan produksi superbike mungkin lebih perlahan berbanding MotoGP. Namun ia masih sangat berprestasi tinggi. Ia menggunakan enjin 1000cc atau 1200cc empat lejang dengan output sekitar 230hp. Beratnya kira-kira 170kg (tanpa penunggang), menjadikannya lebih berat berbanding jentera MotoGP.
Dari segi aerodinamik, Superbike juga direka untuk kelajuan, tetapi reka bentuk fairingnya tidak seagresif MotoGP. Sistem suspensinya kurang canggih dengan tetapan yang lebih terhad.
Namun, Superbike masih mampu mencapai kelajuan sekitar 320km/j dan mencatat rekod pusingan terpantas di Litar Phillip Island pada 2019 oleh Alvaro Bautista dengan masa 1:29.137.
Secara umum, MotoGP lebih laju daripada Superbike dari segi kelajuan tertinggi dan catatan masa pusingan. Berat yang lebih ringan, enjin yang lebih berkuasa, dan aerodinamik yang lebih baik memberikan kelebihan kepada jentera MotoGP. Namun, perbezaan ini tidak terlalu ketara dan kedua-dua motosikal tetap menawarkan perlumbaan yang sengit serta mengujakan.
Selain faktor motosikal, reka bentuk litar juga memainkan peranan dalam menentukan kelebihan sesuatu kategori. Litar dengan banyak laluan lurus memberi kelebihan kepada MotoGP kerana kelajuan tertingginya lebih tinggi. Manakala litar yang lebih teknikal dan banyak selekoh mungkin lebih sesuai untuk Superbike kerana ia lebih mudah dikawal.
Mforce Buka Pusat Servis Mega Di Segambut, Sasar Tahap Servis Lebih Tinggi
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri dua roda tempatan...