Automotif

PDRM Uji Proton e.MAS, Tiga Model Dinilai Untuk Kegunaan Operasi

Share

PDRM Nilai Proton e.MAS Sebagai Kenderaan Operasi Masa Hadapan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mula menilai potensi penggunaan kenderaan elektrik dan elektrifikasi dalam operasinya selepas menerima tiga model Proton e.MAS daripada PRO-NET untuk tujuan penilaian.

Tiga model terbabit ialah Proton e.MAS 5 Premium, Proton e.MAS 7 Premium dan Proton e.MAS 7 PHEV Premium Plus, yang akan digunakan bagi memberi gambaran sebenar mengenai kesesuaian teknologi EV dan PHEV dalam keperluan armada PDRM.

Penyerahan kenderaan itu berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada 10 September lalu, dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa

, menyerahkan kenderaan kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, CP Datuk Redzuan Abd Hamid.

Berbeza daripada sesi pandu uji biasa, ketiga-tiga kenderaan tersebut akan melalui penilaian berdasarkan penggunaan sebenar bagi membolehkan PDRM memahami kelebihan serta cabaran penggunaan kenderaan elektrifikasi dalam operasi hariannya.

Antara aspek yang akan dinilai termasuk karakter pemanduan, praktikaliti, penggunaan harian serta keperluan pengecasan.

Pemilihan tiga model dengan konfigurasi berbeza turut membolehkan PDRM membandingkan secara langsung penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya dengan model hibrid plug-in.

Sepanjang tempoh penilaian, Gentari turut menyediakan kemudahan pengecasan percuma bagi ketiga-tiga kenderaan Proton e.MAS berkenaan.

Proton e.MAS Berpotensi Digunakan Untuk Rondaan

Maklum balas yang dikumpulkan sepanjang tempoh penilaian akan digunakan PDRM bagi memahami tahap kesesuaian teknologi EV dan PHEV dalam memenuhi keperluan armadanya.

Sekiranya hasil penilaian menunjukkan keputusan positif, model Proton e.MAS berpotensi dipertimbangkan bagi beberapa tugasan operasi rutin PDRM pada masa hadapan, termasuk rondaan pencegahan jenayah.

Namun, sebarang penggunaan secara rasmi masih tertakluk kepada keputusan penilaian serta pertimbangan kerajaan.

Program tersebut turut mencerminkan peningkatan minat agensi kerajaan terhadap penggunaan kenderaan elektrik dan elektrifikasi dalam armada masing-masing.

Menurut PRO-NET, Proton e.MAS terus mencatat perkembangan di Malaysia dengan lebih 6,000 unit didaftarkan setakat 31 Ogos 2026.

Kerjasama bersama PDRM ini juga memberi PRO-NET peluang mendapatkan maklum balas terus daripada pengguna institusi bagi memahami keperluan sebenar sesebuah armada besar, selain membantu pembangunan ekosistem kenderaan elektrifikasi negara.

Buat masa ini, tiga model Proton e.MAS tersebut akan terlebih dahulu membuktikan sejauh mana teknologi EV dan PHEV mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan operasi sebenar pasukan polis.

Baca Juga : Proton e.MAS Pegang Lebih 60% Pasaran EV

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi