Peugeot 205 GTI yang mengangumkan.
Apabila berbicara tentang Rowan Atkinson, ramai mungkin terbayangkan Mr. Bean dengan aksinya yang lucu atau agen rahsia Johnny English yang serba kelam-kabut.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pelakon ini juga seorang petrolhead yang tegar.
Beliau memiliki koleksi kereta yang mengagumkan, dan kini salah satu daripadanya, sebuah Peugeot 205 GTI, bakal dijual.

Dan percayalah, kereta ini sememangnya satu permata yang menarik perhatian!
Keadaan Hampir Sempurna, Meskipun Sudah Berusia
Peugeot 205 GTI ini merupakan model ‘Phase 1.5’, pernah dimiliki oleh Atkinson yang hanya memandunya sejauh 300 batu sahaja sejak beliau membelinya.

Walaupun odometer kereta ini menunjukkan angka 71,000 batu, Atkinson menjaga kereta ini dengan begitu rapi seolah-olah baru keluar dari kilang.

Dengan warna Alpine White yang masih berkilau, rim aloi ‘pepper-pot’ yang klasik, dan keadaan keseluruhan yang seakan-akan baru, kereta ini tampak seperti koleksi tuxedo Johnny English yang sentiasa dalam keadaan tip-top.
Prestasi yang Mengagumkan Bagi Peminat ‘Hot Hatch’
Di bawah hudnya, terdapat enjin 1.6 liter empat silinder yang berkemungkinan besar masih mampu menjana kuasa hampir 115bhp.
Enjin ini juga mempunyai daya pecutan 0-62mph dalam 9.8 saat dan kelajuan maksimum sekitar 121mph.

Nombor-nombor ini mungkin kedengaran biasa bagi standard kereta moden.
Namun dengan berat hanya sekitar 850kg, tidak sukar untuk memahami mengapa Peugeot 205 GTI ini dianggap sebagai salah satu ‘hot hatch’ terhebat sepanjang masa.
Interior Seperti Baharu
Namun, tarikan utama kereta ini adalah di bahagian dalamannya.

Ruangan dalaman hadir dengan tempat duduk kain berjalur merah yang klasik, permaidani velour yang mewah, konsol tengah dengan butang yang masih utuh.
Dengan Stereng yang begitu mengancam, anda mungkin tersilap sangka kereta ini baru sahaja dikeluarkan dari bilik pameran Peugeot.

Keadaan dalamannya yang terjaga rapi menambah nilai estetika dan nostalgik bagi sesiapa yang menghargai reka bentuk klasik.
Baca Juga : Sebesar Apartment! Hummer H1 Milik Sheikh Emiriah Arab Bersatu Adalah SUV Terbesar Di Dunia!
Harga yang Bakal Menggegarkan?
Setakat ini, harga panduan bagi kereta ini belum lagi dikeluarkan, tetapi kebanyakan model Peugeot 205 GTI yang berada dalam keadaan baik di pasaran cenderung untuk berada dalam lingkungan £20,000 hingga £30,000.

Jadi, tidak mustahil untuk kereta milik Atkinson ini mencapai harga yang sama, jika tidak lebih tinggi.
Bagi peminat kereta klasik dan penggemar Atkinson, ini adalah peluang untuk memiliki secebis sejarah automotif yang unik.

Sebuah Peugeot 205 GTI dengan kisah dan pemilik yang istimewa – satu kombinasi yang pasti menggoda hati ramai peminat kereta di luar sana.
Kredit Artikel : TopGear
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Proton Lancar X70 2025 di Sabah dan Sarawak

Proton terus mengukuhkan kedudukannya di Sabah dan Sarawak dengan pelancaran X70 2025. Model SUV C-segment yang diperbaharui dengan gaya baharu dan ciri-ciri yang dipertingkatkan.
Setelah diperkenalkan kepada umum pada 15 Ogos 2024. Proton X70 2025 dilancarkan secara rasmi di dua negeri Borneo ini pada 29 Ogos. Ini menandakan komitmen Proton untuk memperkukuh jenamanya di rantau ini.
Proton X70 2025 hadir dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk reka bentuk luaran yang lebih segar, peralatan dalaman yang lebih canggih, serta teknologi keselamatan ADAS tahap 2.
Ini semua dijangka memberikan impak besar kepada pencinta SUV, bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, malah di seluruh negara.
Sejak lima tahun diperkenalkan, X70 telah menjadi pilihan utama pelanggan di Malaysia dengan lebih 100,000 unit terjual dan tujuh anugerah berprestij. Kini, dengan kehadiran X70 2025, Proton berhasrat untuk meneruskan kejayaan ini dengan menawarkan gabungan ciri-ciri terkini dan prestasi yang tiada tandingan.

Menurut CEO PROTON,
Menurut Dr Li Chunrong, CEO Proton, pelancaran ini bukan sahaja memperkenalkan kenderaan baharu. Namun turut memperkukuhkan komitmen Proton terhadap Sabah dan Sarawak.
Beliau menambah bahawa Proton sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan unik pelanggan di dua negeri ini dengan menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik.
Proton X70 2025 menampilkan gaya luaran yang dikemas kini, termasuk gril hadapan yang lebih besar dengan elemen corak songket yang elegan. Lampu utama trapezoid baharu, dan roda aloi 19 inci dengan reka bentuk dua tona warna.

Kuasanya datang daripada enjin turbo 1.5-liter yang menghasilkan 177PS dan 255Nm tork, dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Memastikan perubahan gear yang pantas dan lancar.
Dalaman Proton X70 2025 juga menerima peningkatan dengan penggunaan padanan warna stone-grey premium, ciri pencahayaan ambient LED. Serta skrin terapung 12.3 inci yang baharu. Ciri pengenalan suara “Hi Proton” dan Sistem Penapis Udara Pintar Proton (PIAPS) juga dikekalkan untuk keselesaan pengguna.

Keselamatan Dipertingkat
Bagi aspek keselamatan, Proton X70 2025 dilengkapi dengan ADAS tahap 2, yang termasuk 13 sistem keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), dan banyak lagi.
Untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak, Proton juga menawarkan nilai tambahan sehingga RM23,500 tanpa kos tambahan untuk 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar Proton X70 2025 mereka.

Harga X70 2025
Harga On-the-road tanpa insurans untuk PROTON X70 2025 adalah seperti berikut:
Variasi Semenanjung Malaysia Sabah dan Sarawak
- 1.5 TGDi Standard RM98,800 / RM100,800
- 1.5 TGDi Executive RM110,800 / RM112,800
- 1.5 TGDi Premium RM123,800 / RM125,800
- 1.5 TGDi Premium X RM126,800 / RM128,800
Warna
Lima pilihan warna luaran ditawarkan iaitu – Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, dan Marine Blue.
Dengan pelancaran ini, Proton tidak hanya memperkukuh kehadirannya di Sabah dan Sarawak, tetapi juga menegaskan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggannya di seluruh negara.
Baca Juga Pelan Bisnes Proton – Rancak Kembali Pasaran UK
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
MV Agusta Raikan Ulang Tahun ke-80 dengan Koleksi Ottantesimo

Sejarah Penuh Makna MV Agusta
MV Agusta, jenama ikonik dari Itali, kini meraikan ulang tahun ke-80 dengan pelancaran koleksi istimewa ‘Ottantesimo’.
Koleksi ini terdiri daripada enam model MV Agusta edisi terhad.
Koleksi ini bukan sekadar meraikan sejarah panjang MV Agusta tetapi turut memperkenalkan pengemaskinian pematuhan Euro5+ yang lebih mesra alam bagi semua model terpilih.

Asal-Usul Meccanica Verghera
Jenama MV Agusta, asalnya dikenali sebagai Meccanica Verghera, diasaskan oleh keluarga Agusta pada 19 Januari 1945 di Itali selepas era Perang Dunia Kedua.
Ketika itu, keluarga Agusta beralih kepada pembuatan motosikal sebagai sumber ekonomi baharu selepas perniagaan asal mereka dalam bidang aeroangkasa dilarang oleh pihak Bersekutu.
Usaha ini bermula dengan pembangunan enjin 98cc pada tahun 1943, yang disembunyikan semasa pendudukan tentera Jerman.

Model Edisi Terhad yang Eksklusif
Bagi meraikan detik bersejarah ini, MV Agusta telah melancarkan enam model edisi khas yang hanya terhad kepada 500 unit sahaja bagi setiap model di seluruh dunia.
Koleksi ini terdiri daripada empat model 800cc tiga silinder dan dua model 1000cc empat silinder.
Setiap satu model dilengkapi dengan plak terukir laser pada yoke atas serta sijil pengesahan keaslian.

Koleksi 800cc Triple Ottantesimo
Spesifikasi Model 800cc Tiga Silinder
Barisan 800cc dalam koleksi Ottantesimo ini menampilkan model Brutale RR, Dragster RR, F3 RR, dan Superveloce S.
Walaupun enjin 800cc tiga silindernya masih mengekalkan kuasa dan tork yang sama, ia kini memenuhi piawaian Euro5+.
Model-model ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini, termasuk sistem IMU enam paksi untuk bantuan keselamatan yang responsif.
Terdapat juga kawalan pelancaran, quickshifter naik/turun, kawalan jelajah, dan paparan TFT 5.5 inci dengan sambungan pintar.

Inovasi Clutch Baharu
Clutch baharu turut diperkenalkan dengan tuas yang 50% lebih ringan.
Model Dragster RR pula disertakan dengan clutch SCS yang memudahkan anda berhenti dalam gear tanpa perlu menarik tuas.
F3 RR Ottantesimo hadir dengan ekzos Akrapovic yang meningkatkan kuasa kepada 152.9bhp.
Selain itu turut disertakan penutup tangki bahan api CNC dan penutup tempat duduk penumpang.
Manakala, Superveloce S Ottantesimo pula dipadankan dengan ekzos Arrow yang menambah kuasa kepada 150.9bhp.

Koleksi 1000cc Inline Four Ottantesimo
Peningkatan Model 1000cc Inline Four
Model Brutale 1000 dan Brutale 1000 RR Ottantesimo pula dikuasakan oleh enjin 1000cc empat silinder yang telah diperbaharui dengan ECU baharu serta peta bahan api yang lebih baik.
Model-model ini juga dilengkapi dengan cam yang ditingkatkan, clutch yang 50% lebih ringan, dan ekzos Arrow baharu yang mempertingkatkan kuasa.
Hasilnya, pemanduan pada julat tengah antara 3500rpm hingga 9500rpm menjadi lebih mantap, dengan peningkatan tork dan kuasa masing-masing sebanyak 14.8ft.lb dan 14.8bhp pada 5500rpm.
Varian Brutale dan Brutale RR
Brutale merupakan model asas, sementara model RR menampilkan suspensi semi-aktif Öhlins dan tambahan komponen karbon yang lebih premium.
Namun, harga dan tarikh ketibaan koleksi ini masih belum diumumkan.
Legasi MV Agusta
Dengan reka bentuk ikonik serta prestasi teknologi terkini, koleksi Ottantesimo pasti menjadi buruan peminat motosikal di seluruh dunia.
Setiap model yang dipersembahkan ini bukan sahaja sebuah motosikal tetapi juga simbol sejarah dan warisan yang kaya, membangkitkan semangat Itali yang tiada tandingan dalam dunia automotif
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kerajaan Perkenal RUU Baru Lindungi Pemandu E-Hailing, Penghantar Motosikal

Kerajaan Malaysia,
Bersedia memperkenalkan rang undang-undang (RUU) baru untuk melindungi pemandu e-hailing dan penghantar makanan bermotosikal yang bekerja dalam sektor gig.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata RUU ini akan memastikan keselamatan serta kebajikan pekerja gig terus dipelihara dalam keadaan ekonomi yang kian berubah.
Menurut laporan Bernama,
Undang-undang baru ini bakal meliputi perlindungan kewangan dan perubatan. Termasuklah sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Inisiatif ini dijangka memberi kesan besar kepada lebih 1.16 juta pekerja gig di seluruh negara yang selama ini bekerja tanpa perlindungan yang mencukupi.
RUU ini dijangka akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan disemak bagi memperkuatkan hak pekerja dalam industri ini.

Menurut Zahid Hamidi,
Beliau menyatakan bahawa undang-undang baru ini akan menyediakan “jaring keselamatan” yang komprehensif untuk pekerja gig.
“Dengan RUU ini, bukan sahaja sumbangan KWSP akan diwajibkan, malah ia akan memberikan perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta peruntukan kos rawatan perubatan,” katanya.
Langkah ini amat penting untuk memastikan pekerja gig mempunyai sokongan yang diperlukan ketika berdepan dengan sebarang risiko pekerjaan.
Implikasi Kewangan
Namun, Zahid juga mengakui bahawa perlindungan kos rawatan perubatan bagi pekerja gig mungkin membawa implikasi kewangan yang besar.
Oleh itu, pihak kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama KESUMA, Kementerian Kewangan, serta Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia.
Sekretariat ini juga dijangka akan memberi input tambahan setelah berunding dengan universiti seperti Universiti Malaya yang telah menyumbang khidmat nasihat dan pandangan dari segi perundangan untuk memastikan setiap langkah disusun dengan teliti.

Undang-Undang Sedia Ada
RUU baru ini bakal mengatasi kekurangan yang ada dalam undang-undang pekerja sedia ada yang kini tidak secara khusus melindungi pekerja gig. Zahid menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada tidak memenuhi keperluan unik pekerja dalam ekonomi gig.
“Cadangan daripada Menteri Sumber Manusia telah membawa kabinet untuk memutuskan bahawa satu akta khas diperlukan. Ini bertujuan untuk memastikan undang-undang baru tidak bercanggah dengan undang-undang pekerja yang sedia ada,” katanya.
Kesimpulannya, inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyesuaikan perlindungan pekerja dengan tuntutan ekonomi yang semakin digital dan dinamik.
Dengan adanya undang-undang yang khusus ini, pekerja gig dapat bekerja dengan lebih tenang, tanpa bimbang mengenai perlindungan kewangan dan kesihatan mereka, sekali gus menjadikan sektor ini lebih stabil dan selamat.
Dari PaulTan
Baca Juga RX-Z Members 6.0 – Polis Perketat SJR, Rider Diminta Patuhi Undang-Undang
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.