Selepas membuat kemunculan sulung di cawangan George Town, Pulau Pinang, jenama kenderaan dari China yang sedang meningkat naik, Leapmotor, kini dibawa lebih dekat kepada warga Lembah Klang melalui pop-up store eksklusif oleh Cycle & Carriage di pusat beli-belah 1 Utama, sayap baharu (New Wing).
Pengalaman Imersif Tiga Bulan Penuh
Bermula 1 Ogos hingga 20 Oktober 2025, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat Leapmotor di ruang konsep seluas 1,184 kaki persegi, lengkap dengan aktiviti pada hujung minggu, sesi pandu uji dan pameran dua model utama Leapmotor C10 dan pratonton model Leapmotor T03.
C10 yang merupakan SUV flagship Leapmotor telah meraih pelbagai anugerah dan dijangka menjadi perhatian utama.
Manakala T03 tampil sebagai pilihan kereta kompak yang sesuai untuk pemanduan dalam bandar.
Komitmen Cycle & Carriage dalam Mendekati Pelanggan
Menurut Adrian Short, Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia,
“Pembukaan pop-up store ini sejajar dengan matlamat kami untuk memperluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
Ads
Ini adalah sebahagian daripada misi kami dalam menawarkan pengalaman perjalanan yang luar biasa kepada semua.”
Beliau menambah bahawa penglibatan aktif Cycle & Carriage bersama jenama di bawah Stellantis Malaysia seperti Leapmotor dan PEUGEOT menandakan satu fasa baharu dalam strategi memperluas pilihan kenderaan kepada rakyat Malaysia.
Sokongan Dari Stellantis ASEAN
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN menyatakan,
Ads
“Ini bukan sekadar pameran produk, tetapi satu sentuhan dinamik yang membawa Leapmotor dan PEUGEOT lebih dekat dengan rakyat Malaysia.
Ia adalah komitmen kami dalam inovasi, kebolehcapaian dan hubungan dengan pelanggan.”
Tawaran Istimewa Sempena Bulan Merdeka
Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, Cycle & Carriage menawarkan promosi eksklusif untuk 31 tempahan pertama bagi semua model Leapmotor dan PEUGEOT yang dibuat di pop-up store ini.
Peluang terbaik untuk menjadi antara pemilik terawal sambil menikmati pelbagai manfaat tambahan.
Lokasi: Lot G316, Aras G (Luxe Floor), 1 Utama Shopping Centre (New Wing) Waktu operasi: Setiap hari, 10 pagi – 10 malam Pandu uji: Setiap hujung minggu & cuti umum (Leapmotor C10)
Untuk maklumat lanjut, layari www.cyclecarriage.com.my atau ikuti media sosial rasmi Cycle & Carriage di Facebook, Instagram dan TikTok.
Selepas Xiaomi mencipta sejarah dengan rekod terpantas bagi EV produksi di Litar Nürburgring, Volkswagen pula tampil dengan kejayaan tersendiri.
Kali ini, ia bukan sekadar catatan rekod dunia, tetapi pencapaian peribadi yang cukup membanggakan.
Golf GTI Edition 50 kini dinobatkan sebagai model VW terpantas pernah mencatat masa pusingan di ‘Green Hell’.
Golf GTI Edition 50 yang masih belum dilancarkan secara rasmi berjaya menamatkan pusingan sepanjang 20.8 kilometer dalam masa 7 minit 46.13 saat.
Catatan masa ini adalah lebih pantas satu saat daripada Golf R “20 Years Edition”, dan lebih tiga saat daripada Golf GTI Clubsport S generasi sebelumnya.
Menariknya, kebanyakan rekod terdahulu dibuat di konfigurasi trek 20.6 km, yang sedikit lebih pendek.
Jika menggunakan konfigurasi tersebut, GTI Edition 50 sebenarnya mencatat masa yang lebih gempak – hanya 7 minit 41.27 saat!
Namun begitu, kejayaan ini masih belum cukup untuk menumbangkan pemegang rekod semasa bagi kereta pacuan roda depan (FWD) – Honda Civic Type R.
Hot hatch dari Jepun itu mencatat masa 7 minit 44.88 saat, menjadikannya 1.25 saat lebih laju berbanding GTI Edition 50.
Civic Type R kekal sebagai raja FWD di Nürburgring, walaupun sedang berdepan tekanan daripada peraturan emisi yang semakin ketat di Eropah.
Unit yang diuji di Nürburgring merupakan versi pra-produksi, lengkap dengan Performance Package.
Pakej ini termasuk rim forged ringan, tayar Bridgestone Potenza Race semi-slick, dan talaan khas pada sistem suspensi.
Belum ada pengesahan sama ada enjin telah dinaik taraf, tetapi model asas GTI ketika ini dijana enjin 2.0L turbo dengan 261 hp.
Enjin sama yang dikenali sebagai EA888 LK3 evo4 juga digunakan dalam GTI Clubsport dengan output 296 hp.
Kotak gear pula ialah transmisi automatik klac berkembar (DSG), menggantikan transmisi manual yang dihentikan sejak kemunculan Mk8.5 pada 2024.
Volkswagen dijangka memperkenalkan secara rasmi GTI Edition 50 pada 20 Jun ini.
Dalam masa terdekat, satu-satunya pesaing dalaman mungkin datang daripada Golf R Clubsport jika model itu direalisasikan.
Tetapi untuk masa ini, GTI Edition 50 kekal sebagai VW jalan raya terpantas pernah menakluk Nürburgring.
Namun begitu, gelaran VW paling laju secara keseluruhan masih kekal milik ID.R.
Ini adalah jentera elektrik trek-sepenuhnya yang mencatat masa 6 minit 5 saat satu tahap yang sukar dicabar oleh mana-mana kereta jalanan dari Wolfsburg.
BMW bakal membuka lembaran baharu dalam sejarahnya menerusi Neue Klasse, sebuah nama yang hanya pernah digunakan dua kali sepanjang lebih 100 tahun pengeluar kenderaan dari Jerman itu beroperasi.
Dalam bahasa Jerman, Neue Klasse membawa maksud “Kelas Baharu”. Namun, bagi BMW, nama berkenaan bukan sekadar merujuk kepada sebuah model atau generasi kenderaan yang baharu.
Sebaliknya, ia melambangkan perubahan besar terhadap cara BMW mereka bentuk, membangunkan dan menentukan identiti kenderaannya untuk masa hadapan.
BMW Group Malaysia turut mengesahkan bahawa model pertama daripada portfolio Neue Klasse akan diperkenalkan di Malaysia pada 6 Ogos 2026.
Sejarah Neue Klasse bermula pada September 1961 apabila BMW memperkenalkan BMW 1500 di Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt.
Ketika itu, rangkaian produk BMW terbahagi kepada dua kategori yang sangat berbeza. Syarikat berkenaan menghasilkan model mewah dalam jumlah terhad seperti BMW 501, BMW 502 dan BMW 503, selain kereta mikro berenjin motosikal seperti BMW Isetta, BMW 600 dan BMW 700.
Kehadiran BMW 1500 mengisi kekosongan antara kedua-dua kategori tersebut.
Model itu direka oleh Ketua Pereka BMW ketika itu, Wilhelm Hofmeister, dengan kerjasama pereka Itali, Giovanni Michelotti. Ia tampil dengan pendekatan reka bentuk lebih ringkas dan moden berbanding sedan BMW sebelumnya.
BMW 1500 mengekalkan gril buah pinggang berkembar sebagai identiti utama jenama itu. Model tersebut turut memperkenalkan bentuk khusus pada pertemuan garisan bumbung belakang dan tiang C yang kemudiannya dikenali sebagai “Hofmeister kink”.
Ciri reka bentuk tersebut kekal digunakan dalam pelbagai model BMW sehingga hari ini.
Di sebalik reka bentuknya, BMW 1500 dilengkapi enjin empat silinder baharu, sistem suspensi bebas serta struktur badan monokok yang meletakkannya sebagai antara sedan paling maju dalam segmennya pada ketika itu.
Sambutan terhadap model tersebut sangat menggalakkan sehingga BMW perlu membina dewan pengeluaran baharu di kilangnya di Munich serta mengambil kira-kira 3,000 pekerja mahir tambahan.
BMW 1500 mula memasuki pengeluaran pada 1962.
Istilah Neue Klasse pada awalnya bukan nama rasmi bagi BMW 1500.
Nama tersebut mula digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan keluarga sedan berkenaan selepas BMW 1800 diperkenalkan pada 1963. Paul Hahnemann, Ahli Lembaga Pengurusan BMW yang bertanggungjawab terhadap jualan ketika itu, menyifatkan rangkaian tersebut sebagai sebuah “kelas baharu” dalam barisan produk BMW.
Istilah itu kemudiannya digunakan dalam bahan pengiklanan BMW mulai 1964.
Selepas BMW 1500, keluarga Neue Klasse berkembang menerusi pengenalan BMW 1600, BMW 1800 dan BMW 2000.
Kesemua model berkenaan berkongsi formula yang sama, iaitu sebuah sedan praktikal untuk kegunaan harian tetapi masih memberikan karakter pemanduan sporty.
Pendekatan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada identiti BMW sebagai pengeluar sedan berprestasi yang mengutamakan pengalaman pemanduan.
Pada era yang sama, slogan Jerman “Aus Freude am Fahren”, yang membawa maksud “For the pleasure of driving”, mula menjadi sebahagian daripada identiti BMW.
Kejayaan Neue Klasse memberikan kesan besar terhadap perkembangan perniagaan BMW.
Antara 1960 hingga 1970, jualan kereta BMW meningkat tiga kali ganda, manakala hasil daripada jualan kenderaan melonjak lebih tujuh kali ganda.
Hampir 340,000 unit sedan daripada keluarga Neue Klasse dihasilkan antara Februari 1962 hingga Januari 1972.
Pertumbuhan itu turut membolehkan BMW mengembangkan operasinya ke luar Jerman dengan menubuhkan organisasi jualan di pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom.
Pada 1966, BMW memperkenalkan sebuah model dua pintu yang dibangunkan berasaskan BMW 1600. Model tersebut lebih ringan, lebih mampu milik dan menampilkan karakter lebih sporty berbanding sedan Neue Klasse.
Keluarga model itu kemudiannya dikenali sebagai BMW 02 Series selepas pelancaran BMW 2002 pada 1968. Angka “02” digunakan untuk membezakan model dua pintu tersebut daripada sedan empat pintu Neue Klasse.
Sehingga pengeluarannya berakhir pada 1977, kira-kira 825,000 unit BMW 02 Series telah dihasilkan.
BMW 2002 juga menjadi antara model terawal yang memperkenalkan nama BMW kepada peminat automotif Malaysia. Model berkenaan dibawa masuk menerusi saluran persendirian sebelum BMW mempunyai operasi rasmi di negara ini.
Pengaruh Neue Klasse tidak berakhir selepas pengeluaran generasi asal dihentikan pada Januari 1972.
Menurut BMW Group Classic, Neue Klasse merupakan pendahulu langsung kepada dua keluarga model paling penting BMW, iaitu BMW 3 Series dan BMW 5 Series.
BMW 5 Series generasi pertama yang diperkenalkan pada 1972 menjadi pengganti terus kepada sedan Neue Klasse, manakala BMW 3 Series yang dilancarkan pada 1975 dibangunkan berasaskan karakter dan formula BMW 02 Series.
Susun atur badan, karakter pengendalian dan falsafah pembangunan yang diasaskan Neue Klasse terus menjadi sebahagian daripada identiti kedua-dua model berkenaan untuk beberapa dekad.
Selepas tidak digunakan selama lebih setengah abad, nama Neue Klasse kembali diumumkan pada Persidangan Tahunan BMW Group pada Mac 2021.
Sama seperti pada 1960-an, penggunaan semula nama tersebut menandakan perubahan besar dan bukan sekadar pengenalan sebuah model baharu.
Neue Klasse moden akan menjadi asas kepada transformasi rangkaian produk BMW dengan tumpuan terhadap tiga elemen utama, iaitu elektrifikasi, pendigitalan dan ekonomi kitaran.
BMW turut mengekalkan pendekatan keterbukaan teknologi bagi menyokong keperluan berbeza dalam pasaran automotif global.
Lebih 40 model baharu dan model yang dikemas kini dijadualkan diperkenalkan sehingga penghujung 2027 dengan mengadaptasi teknologi serta pendekatan pembangunan daripada Neue Klasse.
Lebih enam dekad selepas BMW 1500 mengubah perjalanan syarikat itu, Neue Klasse sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk menentukan rupa, teknologi dan karakter generasi BMW yang seterusnya.
Model pertama daripada portfolio Neue Klasse untuk pasaran Malaysia bakal diperkenalkan secara rasmi pada 6 Ogos 2026.
BMW sekali lagi membuktikan dominasi kejuruteraan Jerman mereka dengan memperkenalkan 2026 BMW M2 CS.
Jentera ini kini memegang gelaran kereta kompak terpantas di litar Nürburgring-Nordschleife.
Dalam dunia permotoran, setiap detik di litar ini sangat berharga dan M2 CS berjaya memadam rekod lama dengan rekod yang cukup mengejutkan.
Dipandu oleh jurutera pembangunan BMW M, Jörg Weidinger, model prestasi tinggi ini mencatatkan masa rasmi 7:25.534 minit.
Jentera ini bukan sahaja mengatasi rekod Audi RS3 sebelumnya (7:33.123), tetapi juga lebih 13 saat pantas daripada masa M2 standard 2023 (7:38.706).
Ini juga menjadikan M2 CS sebagai kereta kompak pertama yang menembusi sempadan 7 minit 30 saat di “The Green Hell”.
Lebih mengejutkan, catatan masa ini adalah 3 saat lebih pantas daripada BMW M3 CS 2023 walaupun M2 CS mempunyai kuasa 20 hp lebih rendah.
M2 CS masih menggunakan enjin 3.0L enam silinder sebaris turbo berkembar seperti model asas.
Namun model ini telah ditala semula untuk menghasilkan 523 hp dan 479 lb-ft tork, berbanding 473 hp pada versi standard.
Kuasa disalurkan terus ke roda belakang menerusi transmisi automatik 8-kelajuan, memberikan tindak balas yang lebih pantas dan efisien.
Selain penambahan kuasa, M2 CS juga banyak menggunakan bahan gentian karbon termasuk kerusi bucket, komponen aerodinamik, dan rim aloi ringan.
Model ini mencatat penurunan berat hampir 100 paun berbanding M2 biasa.
Rekod ini adalah bukti bagaimana BMW M mampu memanfaatkan teknologi, aerodinamik, dan talaan casis untuk mencipta jentera berprestasi tinggi tanpa perlu bergantung kepada kuasa semata-mata.
BMW M2 CS 2026 bukan sahaja mengalahkan pesaing-pesaing utamanya, malah berjaya menyaingi model dari segmen lebih tinggi.
Ini menjadikannya bukan sekadar sebuah coupe prestasi tinggi tetapi juga satu ikon dalam pembangunan kereta kompak masa depan.
Nürburgring Nordschleife adalah litar sepanjang 20.8 km, merupakan antara litar paling mencabar di dunia, dan sering menjadi penanda aras utama dalam industri automotif bagi prestasi sebenar sesebuah kenderaan.
Suzuki Cars Malaysia dan CARSOME Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkhidmatan Trade-In
Suzuki Cars Malaysia mengumumkan pelantikan CARSOME Malaysia sebagai rakan trade-in rasmi eksklusifnya, sekali gus...