Model Turbo S Paling Berkuasa Pernah Dihasilkan
Porsche memperkenalkan varian paling berprestasi dalam keluarga 911 di pameran IAA Mobility, Munich iaitu Porsche 911 Turbo S baharu. Menggunakan sistem hibrid ringan T-Hybrid twin-turbo yang lebih inovatif, model ini kini mencatat angka output 711 PS dan tork 800 Nm, menjadikannya 911 produksi paling berkuasa setakat ini.
Dibina dalam versi Coupé dan Cabriolet, Turbo S baharu bukan sekadar menambah kuasa tetapi juga membawa peningkatan dari segi rekaan, aerodinamik pintar, casis lebih dinamik, dan kelengkapan dalaman eksklusif.

Enjin T-Hybrid dengan Dua eTurbo
Asasnya ialah enjin 3.6 liter boxer enam silinder yang kini dipadukan dengan sistem T-Hybrid 400V. Tidak seperti 911 Carrera GTS yang hanya guna satu eTurbo, Porsche 911 Turbo S Baharu menggunakan dua unit eTurbo elektrik bagi meningkatkan respons dan kuasa.
Hasilnya, pecutan 0-100 km/j hanya 2.5 saat (lebih pantas 0.2s daripada model lama), 0-200 km/j dalam 8.4 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 322 km/j.
Bateri lithium-ion 1.9 kWh yang kompak membekalkan kuasa tambahan tanpa menambah berat berlebihan – hanya +85 kg berbanding model sebelum ini.

Catatan Nürburgring Lebih 14 Saat Pantas
Walaupun lebih berat sedikit, Porsche 911 Turbo S Baharu membuktikan prestasi bukan sekadar di atas kertas. Ujian di Nürburgring Nordschleife menunjukkan masa 7:03.92 minit, iaitu 14 saat lebih pantas berbanding generasi terdahulu. Porsche Brand Ambassador, Jörg Bergmeister menyatakan, “kereta ini lebih lincah, lebih melekat di selekoh, dan nyata lebih pantas.”
Casis & Sistem Brek Baharu
Porsche melengkapkan model ini dengan Porsche Dynamic Chassis Control (ehPDCC) elektro-hidraulik sebagai standard. Ia mengurangkan body roll, menambah kestabilan ketika menukar arah dan memberikan pemanduan lebih neutral.
Sistem brek seramik PCCB kini paling besar pernah dipasang pada model 911 dua pintu – cakera 420 mm di depan dan 410 mm di belakang, bersama pad brek baharu untuk ketahanan lebih tinggi.
Tayar belakang juga kini lebih lebar, 325/30 ZR21, manakala bahagian depan kekal dengan 255/35 ZR20.

Aerodinamik Aktif Lebih Pintar
Aerodinamik aktif memainkan peranan penting: flap penyejuk menegak, diffuser depan aktif, spoiler boleh laras dan sayap belakang adaptif. Kesemuanya bukan sahaja mengurangkan drag sehingga 10% tetapi juga meningkatkan penyejukan brek serta prestasi dalam keadaan basah.

Rekaan Eksklusif Dengan Sentuhan Turbonite
Rekaan Turbo S baharu memulakan strategi identiti “Turbo” khas Porsche. Beberapa perincian logo, kemasan sayap belakang, jalur tingkap sisi yang kini hadir dalam warna eksklusif Turbonite.
Bahagian belakang lebih agresif dengan bukaan ventilasi besar, manakala sistem ekzos titanium bukan sahaja ringan (-6.8 kg) tetapi menghasilkan bunyi boxer yang lebih garang.
Di dalam, tema Turbonite diteruskan pada panel pintu, stereng, papan pemuka dan jahitan kontras. Tempat duduk sport elektrik 18-hala datang standard, lengkap dengan embossing Turbo S baharu.

Standard & Pilihan Eksklusif
Antara kelengkapan standard termasuk:
HD Matrix LED baharu untuk pencahayaan optimum
Sport Chrono Package dengan paparan suhu tayar
Suspensi PASM talaan khas Turbo S
Exhaust titanium sport
Pilihan tambahan daripada Porsche Exclusive Manufaktur pula termasuk wiper karbon 50% lebih ringan, bumbung gentian karbon, pilihan lebih 100 warna Paint to Sample, dan kerusi bucket sport daripada 911 GT3.

Turbo S Untuk Pergelangan Tangan
Sebagai pelengkap, Porsche Design menawarkan Chronograph 911 Turbo S dengan rekaan Turbonite, casing titanium hitam dan rotor jam yang meniru rim model sebenar. Tali jam pula diperbuat daripada kulit asli dalaman Porsche.

Porsche 911 Turbo S baharu bukan sekadar evolusi ia sebuah revolusi kecil dalam dunia 911. Dengan kuasa hibrid 711 PS, pecutan 2.5s, aerodinamik aktif dan casis pintar, ia meletakkan standard baharu untuk kereta sport all-rounder.
Ia kekal sebagai sebuah 911 yang boleh dipandu harian, selesa di lebuh raya, eksklusif untuk pemiliknya, dan cukup pantas untuk mencatat masa Nürburgring yang sukar ditandingi.
Baca Juga : Porsche 911 GT3 RS Edisi Khas Milik Dua Lipa – Dihasilkan Bersama Rennstall
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.