Realiti atau Sekadar Gimik?
Bayangkan sebuah kereta lumba Le Mans meluncur di jalan raya biasa dengan nombor pendaftaran yang sah. Kedengaran mustahil, bukan?
Tapi itulah yang dilakukan Porsche dengan model 963 RSP mereka. Bukan setakat pertunjukan, kereta ini benar-benar digerakkan di atas jalan bandar Le Mans.
Cuma untuk menjayakan misi ini, Porsche perlukan satu pasukan perlumbaan penuh dan pihak berkuasa tempatan yang sangat bertoleransi.
Inspirasi Dari Legenda 917 Count Rossi
Apa sebab Porsche sanggup bersusah payah menjadikan sebuah kereta lumba sah di jalan raya? Jawapannya terletak dalam sejarah.
Kembali ke tahun 1975, Count Rossi, waris kepada empayar Martini, pernah minta Porsche modifikasi sebuah 917 untuk digunakan atas jalan biasa.
Dengan cermin sisi, lampu isyarat, penyenyap ekzos dan hon, 917 tersebut berjaya diluluskan dan dipandu sejauh 600km ke Paris.
Ulang Tahun Ke-50 yang Bersejarah
Porsche mengambil kesempatan ulang tahun ke-50 detik bersejarah itu untuk mencipta 963 RSP. Sebagai penghormatan kepada warisan lumba tahan lasak mereka.
Tapi kali ini, ideanya datang terus dari Porsche, bukan pelanggan. Nama “RSP” diambil sempena pemilik baharunya, Roger Searle Penske, tokoh ternama dalam dunia perlumbaan dan sekutu lama Porsche sejak era 1970-an.
Modifikasi – Lebih Sekadar Cat Baharu
Berbeza dari semua 963 lain, model ini dicat sepenuhnya dengan warna perak ikonik Martini – bukannya hanya memakai decal seperti biasa. Ia juga mengalami perubahan minimum dari segi aerodinamik untuk menjadikannya kurang merbahaya kepada pejalan kaki.
Di dalamnya, tempat duduk dibalut kulit perang mewah, dengan padding tambahan bagi keselesaan. Porsche turut menambah hon dan pemegang cawan yang dicetak 3D. Sayangnya, tempat duduk penumpang seperti 917 tidak disertakan kali ini.
Enjin V8 Hibrid yang Liar Tapi Bijak
Di bawah badan eksotiknya, terdapat enjin V8 twin-turbo 4.6 liter yang asalnya digunakan dalam RS Spyder dan kemudian dipertingkatkan dalam 918 Spyder. Kuasa maksimum ditetapkan pada 680hp untuk mematuhi regulasi, dengan sekitar 70hp datang dari sistem hibrid. Segala teknologi ini menjadikan pengendaliannya sangat kompleks dan memerlukan koordinasi motor halus serta fokus kognitif setara pemandu profesional.
Pengalaman Memandu Lebih Ekstrem Dari Hypercar Biasa
Menghidupkan enjin bukan sekadar putar kunci. Ia memerlukan komputer, pasukan teknikal dan prosedur khas. Apabila digerakkan, bunyinya menggema dan tindak balasnya sangat sensitif.
Sistem brek yang perlahan ketika sejuk berubah menjadi luar biasa kuat apabila panas. Pemanduan di landasan Lapangan Terbang Le Mans cukup untuk menggambarkan betapa ganas dan fokusnya jentera ini.
Kesimpulan – Kereta Gimik Atau Ikon Sejarah?
Porsche 963 RSP bukanlah model homologasi seperti GT1 Strassenversion. Ia tidak perlu wujud, tapi kewujudannya membuktikan semangat Porsche terhadap warisan dan inovasi.
Jika Penske benar-benar mahu membawa kereta ini ke jalan raya dengan semua cabarannya, dunia pasti akan menyaksikan satu bab baharu dalam sejarah automotif. Namun realitinya, kereta ini mungkin akan lebih banyak disimpan daripada dipandu – menjadikannya lebih legenda dari utiliti.
Dari TopGear
Baca Juga Porsche 911 GT3 RS Edisi Khas Milik Dua Lipa – Dihasilkan Bersama Rennstall
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.