Proton S70 yang dilancarkan pada November 2023, dilihat mencapai data jualan yang memberangsangkan dengan lebih dari 10,000 unit sudah terjual. Namun, apa yang istimewanya segmen sedan dari Proton kali ini?
Dalam artikel ini kami akan rungkaikan pengalaman jujur kami memandu dan menguji S70 di sekitar Lembah Klang. Perkara yang ingin dikongsikan ini bukanlah ‘satu saiz untuk semua’, mungkin ada perkara yang pembaca kurang berkenan dan mungkin ada yang pembaca gemar. Jadi tepuk dada, semak akaun bank dan tanya pasangan/rakan.
Reka Bentuk yang Lebih Mewah dan Moden
Satu perkara yang pasti akan menarik perhatian ramai adalah reka bentuk. Proton S70 diperkenalkan melalui empat varian iaitu, Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Namun perbezaan bagi kesemua ini tidaklah jauh beza. Sebagai contoh, Executive dan Premium hadir dengan rim saiz 16 manakala dua lagi rim saiz 17.
Kelainan lain terletak pada komponen kosmetik dan pencahayaan seperti bar lampu belakang, penggunaan lampu depan ,sunroof ,kit badan dan lain-lain.
Secara keseluruhan, Proton S70 tampak lebih berjiwa muda – namun tidak terlalu muda. Pendapat kami, lingkungan umur yang nampak normal memandu S70 (berdasarkan rekaan) adalah umur 25 tahun ke atas.
Prestasi Enjin yang Ditingkatkan
Proton S70 dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan efisien. Proton menawarkan enjin 1.5 liter turbocharged – sama seperti model X50 dan X70. Enjin ini mampu memberikan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Tangki penuh (50 liter) boleh jalan hingga 660 kilometer! Kuasa maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 150HP, 226 Nm tork – transmisi Dual Clutch 7 kelajuan.
Bayangkan enjin 1.5L turbo diletakkan pada kereta Sedan, memang berdesup laju. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 210 km/j bergantung kepada keadaan cuaca, jalan, trafik, angin ,suhu ,kapasiti bahan api ,muatan dan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport.
Ads
Teknologi, Pengendalian dan Keselamatan Terkini
Dalam era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengalaman pemanduan, Proton S70 lengkap dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Sistem infotainment lebih canggih dengan skrin lebih besar (12.3 inci), sistem navigasi, arahan suara, keterhubungan telefon pintar, cas tanpa wayar, 5 slot USB, boleh hidupkan enjin dari jarak jauh dan pelbagai lagi perincian yang menyenangkan pengguna.
Dari segi pengendalian, S70 lulus jangkaan kami dengan cemerlang. Kami pandu uji di kawasan berliku dengan selekoh yang sempit, ternyata S70 mampu memberi pengendalian yang sangat bagus. Di bawah 40 km/j, model ini masih mampu untuk membalas selekoh tanpa rasa membuang atau tidak stabil. Syabas Proton!
Pada kelajuan tinggi pula, gegaran dan body-roll kereta sangat minimum. Sehingga satu tahap anda terasa seperti meluncur pada kelajuan sederhana. Jadi fokus dan risiko perlu diambil kira dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Pusingan radius stereng juga lebih panjang jika dibandingkan dengan model terdahulu – Proton Preve.
Selain itu, ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan enam beg udara akan meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang. Secara keseluruhan, ada 15 perincian keselamatan pada model S70 ini. Sebab itu ianya lulus ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor lima bintang.
Ruang Dalaman yang Lebih Luas dan Selesa
Salah satu kekuatan utama Proton S70 adalah ruang dalaman. Dengan penekanan kepada keselesaan, tempat duduk direka lebih ergonomik dengan bahan berkualiti tinggi. Setiap sudut dalaman telah diberi fungsi tertentu yang sudah semestinya memberi kesenangan kepada pengguna.
Ads
Seperti ruang simpan barang di bawah panel tengah & arm rest, penghawa dingin penumpang belakang, susunan sistem infotainment, tempat letak telefon pintar dan bermacam lagi. Sunroof pula hanya terdapat pada varian Flagship X sahaja.
Selain itu, ruang but yang lebih besar juga dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk barangan, sesuai untuk keluarga atau mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.
Dari segi kesenian, pada panel pintu terdapat corak benang putih yang direka bagi menambah karakter dan suasana premium kepada model ini.
Harga yang Berpatutan
Walaupun Proton S70 menawarkan pelbagai ciri dan teknologi terkini, ia masih lagi dijual dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Bagi senarai harga, kami lampirkan di bawah ini mengikut versi S70:
Ads
Executive – RM73,800
Premium – RM79,800
Flagship – RM89,800
Flagship X – RM94,800
*Senarai harga tidak termasuk insurans
Kesimpulannya, model S70 adalah suatu nafas segar dan baru dari Proton kepada rakyat Malaysia. Pelbagai pendekatan yang cuba dibawa oleh Proton untuk memenuhi respon dan permintaan dari pengguna kereta di Malaysia. Justeru kami harap lebih ramai yang bangga dan memberi peluang kedua untuk Proton memenangi hati anda semula.
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim, baru-baru ini telah mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Namun, apa yang menarik perhatian warga Roda Panas ialah koleksi kereta yang tersebar luas seperti pisang goreng di laman media sosial, dari jentera untuk ke Istana Negara hingga ke kereta yang dibawa untuk mengopi di luar kawasan.
Salah satu model yang menarik perhatian kami adalah Chevrolet Corvette C8 Z06. Corvette generasi kelapan ini membezakan dirinya dari yang lain sebagai yang pertama dalam barisannya yang dilengkapi dengan reka bentuk enjin tengah dengan pacuan roda belakang.
Corvette C8 Z06 dikuasakan oleh enjin V8 6.2 liter yang teguh, dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan kelajuan. Prestasi yang terhasil adalah sehingga 502 PS dan tork sebanyak 369 Nm. Kuasa memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam 7.1 saat sahaja.
Kredit Foto: Evo Mag
Konfigurasi enjin tengah bukan sahaja meningkatkan prestasi keseluruhan Corvette tetapi juga menyumbang kepada kawalan dinamik dan keseimbangan pada jalan raya. Susunan pacuan roda belakang memastikan pengalaman pemanduan yang mengujakan serta menjadikannya jentera yang memukau dalam koleksi kereta Sultan Ibrahim.
Chevrolet Corvette C8 Z06 terkenal dengan reka bentuk menariknya yang seperti ikan pari, menampilkan elemen aerodinamik yang tidak hanya meningkatkan daya tarikan visualnya tetapi juga menyumbang kepada prestasinya di ats jalan raya.
Dengan Sultan Ibrahim terus memperluas koleksi keretanya yang luar biasa, Chevrolet Corvette C8 Z06 tanpa ragu menjadi lambang inovasi dan prestasi. Kehadirannya dalam koleksi Diraja menambah sentuhan tenaga Amerika ke dalam pelbagai kenderaan mewah yang dimiliki oleh Sultan Johor. Harga? Dari RM800,000 hingga jutaan ringgit.
Kawasaki Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan dengan pelancaran rasmi Kawasaki Z650RS bersempena pembukaan ruang pameran terbaharu di Puncak Alam.
Model ini membawakan gabungan gaya moden dan klasik yang menawan, serta dilengkapi dengan teknologi terkini untuk pengalaman tunggangan yang lebih lancar dan selamat.
Rekaan Retro dengan Sentuhan Moden
Dilancarkan di peringkat global pada tahun 2021, Kawasaki Z650RS hadir dengan konsep moden klasik yang cukup memikat. Reka bentuknya menampilkan casis ringan berangka trellis yang bukan sahaja menjadikan motosikal ini lebih lincah. Tetapi juga menawarkan kawalan yang lebih baik untuk pelbagai jenis penunggang.
Menguatkan lagi elemen klasiknya, Z650RS didatangkan dengan klustermeter gabungan analog dan paparan digital LCD pelbagai fungsi. Lampu hadapan LED dengan bentuk bulat dan rekaan lampu belakang yang lebih sporty turut menyerlahkan identiti retro moden pada motosikal ini.
Tidak ketinggalan, tangki bahan api berkapasiti 12 liter dipadankan dengan logo “KAWASAKI” dalam gaya klasik yang memberi sentuhan nostalgia kepada peminat motosikal lama.
Prestasi dan Kuasa Mengagumkan
Di bawah rekaan retro ini tersembunyi enjin 649cc dua silinder sebaris yang mampu menghasilkan 67hp pada 8,000RPM dan daya kilas 65.7Nm pada 6,500RPM. Dilengkapi dengan transmisi enam kelajuan serta sistem klac assist dan slipper. Z650RS memastikan tunggangan lebih lancar dengan kawalan cengkaman optimum ketika menukar gear.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan, Kawasaki turut menyertakan sistem brek ABS dua saluran serta Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan tiga mod berbeza. Mod 1 menawarkan kawalan cengkaman untuk prestasi maksimum, manakala mod 2 memberikan pengalaman tunggangan yang lebih selamat dan mesra penunggang.
Suspensi Mantap dan Pengendalian Stabil
Z650RS tidak hanya mengutamakan prestasi enjin, tetapi juga memberikan perhatian terhadap sistem suspensi untuk memastikan keselesaan sepanjang perjalanan.
Ia menggunakan fork teleskopik berukuran 41mm di bahagian hadapan serta ‘horizontal link shock’ dengan preload boleh laras di bahagian belakang. Membolehkan penunggang menyesuaikan tahap keselesaan mengikut keperluan.
Untuk cengkaman jalan yang lebih baik, motosikal ini dilengkapi dengan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 150/70 di belakang, kedua-duanya bersaiz 17 inci. Sistem breknya pula menggunakan cakera brek ‘petal-style’ berukuran 300mm di hadapan dan 220mm di belakang. Memberikan kecekapan membrek yang lebih baik untuk keselamatan maksimum.
Harga dan Jaminan
Satu lagi keistimewaan model ini adalah ia dipasang secara tempatan (CKD) di Gurun, Kedah. Ini menjadikannya lebih mampu milik untuk peminat Kawasaki di Malaysia. Kawasaki Z650RS kini hanya ditawarkan dalam warna Ebony/Wheel Gold dengan harga bermula dari RM37,200, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Sebagai tambahan, setiap pembelian motosikal ini hadir dengan jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan, memberi ketenangan minda kepada pemiliknya.
Dengan gabungan gaya retro yang menawan, prestasi mengagumkan dan teknologi moden. Kawasaki Z650RS pasti menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari motosikal bergaya klasik tetapi tetap berprestasi tinggi di jalan raya.
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China sedang berdepan cabaran besar walaupun pasaran EV di negara itu berkembang pesat. Meskipun EV kini menyumbang lebih daripada separuh daripada jualan kereta baru di China.
Persaingan harga yang sengit telah menyebabkan kebanyakan syarikat mengalami kerugian yang besar.
Hanya dua syarikat tempatan, BYD dan Li Auto, yang mencatatkan keuntungan, manakala kira-kira 30 pesaing lain terpaksa menghadapi tekanan untuk mengurangkan kerugian mereka.
Tiga pengeluar EV yang telah mengeluarkan laporan kewangan suku kedua mereka, Xpeng, Zeekr Intelligent Technology, dan Leapmotor. Mereka mencatatkan kerugian keseluruhan sebanyak 42.9 bilion yuan (AS$6 bilion).
Walaupun jumlah kerugian ini menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.Ia tetap menimbulkan kebimbangan bahawa diskaun tambahan akan memburukkan lagi keadaan industri ini.
Menurut David Zhang,
Setiausaha Agung Persatuan Kejuruteraan Kenderaan Pintar Antarabangsa. “Masa tidak memihak kepada banyak syarikat kerana mereka perlu bertahan dalam persaingan harga yang sangat sengit. Apabila mereka kehabisan wang tunai akibat kerugian yang besar, pengeluar kereta akan terpaksa menutup perniagaan mereka.”
Pada Julai, kadar penembusan EV di China melebihi 50 peratus buat kali pertama, didorong oleh insentif kerajaan dan infrastruktur pengecasan yang pesat berkembang.
Menurut Persatuan Kereta Penumpang China, sebanyak 878,400 kenderaan elektrik tulen dan hibrid plug-in telah dihantar kepada pelanggan di China pada bulan lalu. Meningkat 36.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Ini merangkumi 51.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual. China kini menyumbang lebih daripada 60 peratus jualan EV global.
Xiaomi
Vendor telefon pintar Xiaomi, yang berjaya memasuki pasaran EV pada Mac, menyatakan bahawa ia akan mengambil masa sebelum usaha baru ini mula mencatatkan keuntungan.
Model pertama syarikat itu, SU7, merupakan salah satu kejayaan besar tahun ini. Xiaomi menyerahkan 27,307 unit SU7 kepada pembeli di China pada suku terakhir, dengan harga bermula 215,900 yuan.
Namun, kerugian pada model SU7 mungkin besar. Pada April, Citigroup menganggarkan bahawa Xiaomi boleh mencatatkan kerugian bersih sebanyak 4.1 bilion yuan dalam unit EV-nya.
Berdasarkan jangkaan jualan 60,000 unit pada 2024. Ini bermakna kerugian sebanyak 68,000 yuan bagi setiap kereta. Xiaomi juga menyasarkan penghantaran EV sebanyak 120,000 unit sepanjang tahun ini.
Xpeng
Melaporkan kerugian bersih sebanyak 1.28 bilion yuan untuk suku kedua, menurun 6.6 peratus daripada kerugian 1.37 bilion yuan pada suku pertama.
Pendapatan meningkat 23.8 peratus kepada 8.1 bilion yuan. Zeekr. Pembuat EV premium yang dimiliki oleh Geely Auto, mencatatkan kerugian bersih sebanyak 1.81 bilion yuan untuk tiga bulan berakhir Jun. Walaupun mencatatkan pendapatan suku tahunan tertinggi sebanyak 20 bilion yuan.
BYD
Pada Februari, BYD memulakan perang harga dengan menurunkan harga hampir semua modelnya antara 5 hingga 20 peratus. Selepas itu, harga bagi 50 model dari pelbagai jenama menurun secara purata sebanyak 10 peratus.
Pengeluar EV China juga menghadapi cabaran dalam meningkatkan jualan di luar negara. Pada Mei, White House mengumumkan kenaikan empat kali ganda tarif ke atas EV buatan China. Bulan lalu, duti tambahan dikenakan di Kesatuan Eropah.
Beijing juga mengumumkan subsidi berganda untuk pembeli EV pada Julai, tetapi insentif ini mungkin tidak mencukupi untuk memperbaiki keuntungan syarikat EV yang sedang berjuang.
Sime Motors Raikan 45 Tahun Kejayaan, BMW 2 Series Menanti Pemenang Utama
Sime Motors memulakan sambutan ulang tahun ke-45 mereka dengan mengumumkan pemenang-pemenang pertama Kempen...