PROTON Teruskan Ekspedisi 10,000 sMILEs, Hubungkan Malaysia dan Brunei Melalui Pengembaraan Merentas Borneo
PROTON meneruskan perjalanan Ekspedisi 10,000 sMILEs dengan memasuki fasa baharu yang menghubungkan Sabah dan Brunei menerusi konvoi rentas sempadan, sekali gus mengukuhkan hubungan serantau antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Ekspedisi yang melibatkan 10 buah kenderaan PROTON itu memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu sebelum melalui Beaufort dan seterusnya memasuki Brunei. Konvoi tersebut terdiri daripada model Proton Saga, Proton S70 dan Proton X50 yang diuji dalam pelbagai keadaan pemanduan sebenar termasuk lebuh raya, kawasan bandar, kesesakan lalu lintas, prosedur imigresen di sempadan serta perjalanan jarak jauh.
Selain menguji prestasi kenderaan, ekspedisi ini turut melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan Brunei yang telah terjalin sejak sekian lama. Ia juga sejajar dengan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mempromosikan hubungan ekonomi, pelancongan dan budaya antara negara jiran di rantau Borneo.
Ekspedisi 10000 sMILEs, Proton Saga Terus Jadi Pilihan Praktikal
Sebagai sedan ikonik negara, Proton Saga membuktikan keupayaannya sebagai kenderaan yang praktikal dan menjimatkan untuk perjalanan jauh. Dikuasakan enjin 1.5L i-GT yang dipadankan dengan transmisi CVT, Saga menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api.
Kemudahan seperti ruang but berkapasiti 420 liter, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur serta sensor parkir turut meningkatkan keselesaan sepanjang ekspedisi.
Proton S70 Tampilkan Keupayaan Jarak Jauh
Proton S70 pula memperlihatkan karakter sedan moden yang sesuai untuk perjalanan rentas negeri dan rentas negara. Enjin 1.5 liter turbo i-GT memberikan prestasi yang responsif sambil mengekalkan penggunaan bahan api yang efisien.
Ruang kabin yang luas bersama but berkapasiti 500 liter menjadikan S70 sesuai untuk perjalanan jauh, manakala sistem Kamera HD 360 darjah dengan paparan 3D serta fungsi Remote Engine Start menambah keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.
Proton X50 Kekal Mantap Dalam Pelbagai Keadaan Jalan
Sebagai SUV popular PROTON, X50 menunjukkan tahap kestabilan dan keyakinan pemanduan yang tinggi sepanjang perjalanan. Dikuasakan enjin 1.5 liter turbo i-GT, model ini menawarkan gabungan prestasi, keselesaan dan kecekapan bahan api yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Intelligent Cruise Control, Lane Change Assist, Lane Departure Warning dan Rear Cross Traffic Alert membantu meningkatkan tahap keselamatan sepanjang ekspedisi. Turut melengkapkan model ini ialah Kamera HD 360 darjah dengan Transparent View serta Auto Park Assist.

Singgah Di OBM Automobil Beaufort
Sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei, konvoi singgah di pusat 3S PROTON OBM Automobil Beaufort bagi menyaksikan pelancaran identiti korporat baharu pusat jualan tersebut.
Penambahbaikan yang dilakukan bukan sekadar melibatkan aspek visual, malah mencerminkan usaha PROTON dalam meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi ruang pameran yang lebih moden serta perkhidmatan yang selari dengan standard terkini jenama itu.
Ekspedisi 10000 sMILEs : Mengukuhkan Hubungan Malaysia-Brunei
Setibanya di Brunei, ekspedisi diteruskan dengan sesi interaksi bersama pelanggan di bilik pameran Econ Motors. Program tersebut menghimpunkan pelanggan, komuniti setempat, wakil pengedar dan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri automotif kedua-dua negara.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil Brunei Tourism serta pegawai kanan dari Malaysia dan Brunei termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan.
Sebagai simbol penghargaan terhadap kerjasama yang terjalin, PROTON turut menyampaikan cenderahati kepada Brunei Tourism, PAD Motors serta tetamu kehormat yang hadir.
Mobiliti Sebagai Penghubung Serantau
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, ekspedisi ini membuktikan bahawa mobiliti bukan sekadar mengenai pengangkutan, malah berperanan menghubungkan masyarakat, budaya dan ekonomi antara negara.
“Perjalanan Sabah ke Brunei ini membolehkan kami memperlihatkan kecekapan bahan api, tahap keselesaan, teknologi pintar dan keupayaan perjalanan jarak jauh yang ditawarkan oleh kenderaan PROTON dalam keadaan pemanduan sebenar, di samping mengukuhkan hubungan PROTON dengan Brunei dan rantau Borneo secara keseluruhan,” katanya.
Ekspedisi Bersambung Ke Sarawak
Selepas melengkapkan laluan Sabah-Brunei, Ekspedisi PROTON 10,000 sMILEs akan diteruskan ke Sarawak dengan pelbagai aktiviti melibatkan orang ramai, program kebudayaan, kerjasama bersama pengedar dan pengalaman pemanduan yang lebih dekat dengan komuniti setempat.
Melalui inisiatif ini, PROTON bukan sahaja mempamerkan kemampuan produknya, malah memperkukuhkan hubungan antara masyarakat, merangsang aktiviti pelancongan serta menyokong pembangunan ekonomi serantau di Borneo sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Baca Juga : PROTON Lancar Ekspedisi 10000 sMILEs Merentasi Borneo Sempena Visit Malaysia 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






