Era Baharu Dunia Cruiser
QJMOTOR mencipta sejarah dalam segmen motosikal cruiser tempatan dengan pelancaran rasmi model baharu SRV 250 AMT, menjadikannya cruiser pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem transmisi automatik manual (AMT).
Pelancaran ini berlangsung sempena pembukaan rasmi Mforce Best Shop Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd. di Alma, Bukit Mertajam.
Rekaan Gaya Moden, Pilihan Warna Terkini
SRV 250 AMT tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Matt Black dan Silver.
Motosikal ini direka untuk peminat cruiser moden dan model ini menggabungkan elemen klasik dengan teknologi semasa bagi memberi pengalaman tunggangan yang memuaskan.
Jantung Mekanikal dan Kuasa Efisien
Motosikal ini dikuasakan dengan enjin V-Twin bersesaran 249cc, SOHC 2-injap dengan sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api EFI.
SRV 250 AMT mampu menghasilkan kuasa maksimum 20.5kW pada 9,000rpm dan tork 23Nm pada 8,000rpm.
Keunikan AMT: Pengalaman Automatik Tanpa Hilang Gaya Manual
Sistem AMT menjadikan SRV 250 AMT sangat mudah dikendalikan tanpa perlu menukar gear secara manual.
Motosikal ini mempunyai panjang 2,110mm, lebar 850mm dan tinggi 1,100mm, dengan jarak roda 1,400mm.
Ketinggian tempat duduk yang hanya 700mm memudahkan penunggang pelbagai saiz, manakala kelegaan tanah 160mm sesuai untuk pelbagai jenis permukaan jalan. Dengan berat 167kg dan tangki bahan api 13.5 liter, SRV 250 AMT sesuai untuk perjalanan harian mahupun jarak jauh.
Suspensi Mantap, Cengkaman Kukuh
Bahagian hadapan menggunakan suspensi fork terbalik (upside-down), manakala belakang pula dilengkapi coil spring oil-damped, merupakan satu kombinasi yang menjamin kestabilan dan keselesaan maksimum.
Tayar hadapan bersaiz 120/80-16 dan tayar belakang 150/80-15 memberi cengkaman hebat dan kestabilan sewaktu membelok.
Ciri Keselamatan dan Teknologi Terkini
Dari sudut keselamatan, SRV 250 AMT dilengkapi ABS dua saluran dengan cakera brek bersaiz 280mm di depan dan 240mm di belakang.
Turut disertakan ialah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan satu kelebihan penting bagi penunggang yang kerap melalui permukaan licin atau basah.
Kemudahan Moden dan Paparan Digital
Paparan digital penuh memudahkan pemantauan data penting seperti kelajuan, tahap bahan api dan suhu enjin.
Selain itu, port pengecasan USB turut disediakan untuk mengecas telefon pintar atau peranti GPS.
Rekaan pemijak kaki yang lebar menambahkan lagi keselesaan, mirip gaya skuter cruiser.
Lampu LED & Rekaan Klasik
Pencahayaan sepenuhnya menggunakan teknologi LED dengan rekaan lampu hadapan dan belakang yang mengekalkan gaya klasik namun disuntik elemen moden sesuai dengan cita rasa penunggang masa kini.
Setiap pembelian SRV 250 AMT disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan dan sokongan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian menerusi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
QJMOTOR SRV 250 AMT kini tersedia di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dengan harga bermula RM17,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Baca Juga : QJMotor SRK250RD 4 Silinder Dibuka Untuk Tempahan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
F1 GP Australia 2025 – Litar Basah Lando Menang

Lando Norris memulakan musim 2025 dengan penuh keyakinan selepas menukar kedudukan petak pertama kepada kemenangan dalam Grand Prix Australia yang penuh drama.
Perlumbaan ini menyaksikan perubahan cuaca yang tidak menentu, beberapa insiden kemalangan, serta fasa Safety Car yang menambah debaran hingga ke garisan penamat.
Norris Kawal Perlumbaan di Awal Saingan
Sejak permulaan perlumbaan, Norris menguasai litar yang basah dengan cemerlang. Mengekalkan kedudukan pendahulu di hadapan rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri, serta pelumba Red Bull, Max Verstappen. Seiring dengan litar yang semakin kering, para pelumba mula beralih ke tayar lembut bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang lebih baik.
Namun, sebaik sahaja hampir keseluruhan grid bertukar kepada tayar slick, hujan lebat kembali membasahi litar. Kedua-dua jentera McLaren tergelincir ke atas rumput akibat permukaan yang licin, memaksa kebanyakan pelumba masuk semula ke pit untuk menukar tayar yang lebih sesuai.
Norris sempat mengawal jenteranya dan masuk ke pit, tetapi Piastri tidak bernasib baik apabila tergelincir di selekoh terakhir, menyebabkan dia kehilangan banyak masa untuk kembali ke perlumbaan. Kesilapan ini memberi laluan kepada juara bertahan, Max Verstappen, untuk mendahului perlumbaan buat seketika.
Strategi Verstappen Tidak Berpihak Kepadanya
Meskipun mendahului, Verstappen masih menggunakan tayar slick dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Keadaan ini memaksa pelumba Belanda itu untuk masuk ke pit juga, dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh Norris untuk kembali merampas kedudukan pertama.
Perlumbaan semakin mendebarkan apabila satu lagi fasa Safety Car dikeluarkan susulan kemalangan melibatkan pelumba Kick Sauber, Gabriel Bortoleto, serta pelumba Red Bull, Liam Lawson. Sebaik perlumbaan disambung semula, Verstappen berusaha keras untuk mengejar Norris dalam keadaan litar yang licin, bahkan berjaya memasuki zon DRS. Namun, Norris tetap bertahan dengan cemerlang dan akhirnya melintasi garisan penamat di hadapan pesaing utamanya itu.
Russell Lengkapkan Podium, Albon Beri Saingan Sengit
Di belakang mereka, George Russell mengambil kesempatan daripada kekacauan perlumbaan untuk meraih tempat ketiga bagi Mercedes. Diikuti oleh rakan sepasukannya yang juga pelumba rookie, Kimi Antonelli, serta pemandu Williams, Alex Albon.
Antonelli pada mulanya dikenakan penalti akibat pelepasan tidak selamat di pit lane dan turun ke tempat kelima. Kemudian, keputusan itu dibatalkan, membolehkannya kembali ke tempat keempat.
Pakar perlumbaan basah, Lance Stroll dari Aston Martin, menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Diikuti oleh Nico Hulkenberg (Sauber), Charles Leclerc (Ferrari), dan Piastri yang berjaya bangkit selepas kesilapannya di tengah perlumbaan.
Lewis Hamilton pula sempat mendahului perlumbaan untuk seketika apabila dia menangguhkan pertukaran tayar, tetapi akhirnya hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10 selepas masuk ke pit. Sekaligus menafikan peluang Pierre Gasly (Alpine) dan Yuki Tsunoda (Racing Bulls) untuk meraih mata.
Pelumba yang Tidak Bernasib Baik
Esteban Ocon dan Ollie Bearman (Haas) mengambil risiko untuk kekal dengan tayar intermediate sebelum hujan terakhir turun. Namun pertaruhan mereka tidak membuahkan hasil.
Mereka akhirnya terpaksa masuk semula ke pit untuk menukar tayar. Menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan ke-14.
Beberapa pelumba lain pula terpaksa mengakhiri perlumbaan lebih awal. Termasuk Fernando Alonso (Aston Martin) yang mengalami kemalangan pertengahan perlumbaan, serta Carlos Sainz (Williams) dan Jack Doohan (Alpine) yang terlibat dalam insiden awal.
Namun, yang paling malang adalah pendatang baharu Racing Bulls, Isack Hadjar. Beliau yang tidak sempat memulakan perlumbaan selepas terbabas di selekoh pertama dalam pusingan pemanas. Menyebabkan perlumbaan terpaksa dimulakan semula tanpa kehadirannya.
Apa Seterusnya?
Formula 1 akan terus ke Shanghai bagi Grand Prix China yang akan berlangsung pada 21-23 Mac. Dengan aksi mendebarkan yang dipamerkan di Australia, pastinya perlumbaan seterusnya akan lebih menarik untuk disaksikan!
Dari Formula One
Baca Juga Pelumba F1 Minta FIA Layan Mereka Seperti Orang Dewasa
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
BMW M5 Generasi Ke-7 Baharu

BMW M5 generasi ke-7 kini hadir dengan enjin plug-in hybrid V8. Model in menghasilkan 717bhp, menjadikannya model paling berkuasa dalam sejarah M5.

Dengan harga permulaan £110,500, M5 baharu ini dijangka tiba di pengedar UK pada akhir tahun ini.

Kuasa dan Prestasi yang Luar Biasa
BMW M5 baharu ini memecahkan tradisi dengan menggunakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin V8 twin-turbo 4.4 liter yang menghasilkan 577bhp dan motor elektrik 196bhp.

Gabungan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 717bhp dan tork 738lb ft, jauh lebih tinggi daripada model sebelumnya. Dengan kuasa yang luar biasa ini, M5 mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa hanya 3.5 saat dan kelajuan maksimum 304km/j dengan M Driver’s Package.
Teknologi Canggih dan Inovatif
Tidak hanya berkuasa, M5 baharu juga dilengkapi dengan teknologi terkini. Sistem transmisi automatik lapan kelajuan yang digunakan bukan sahaja memastikan pemanduan yang lancar tetapi juga meningkatkan prestasi keseluruhan kenderaan.

Bateri 18.6kWh yang dipasang menyediakan jarak perjalanan elektrik sejauh 42-43 batu (anggaran 70 kilometer), menjadikan M5 sebuah kenderaan yang lebih efisien.
Reka Bentuk dan Keselesaan yang Mewah
Walaupun dengan peningkatan berat kepada 2400kg, BMW M5 tetap mengekalkan dinamik pemanduan yang mengagumkan. Chassis M5 telah dinaik taraf dengan suspensi adaptif, differential M khusus, dan active rear steering yang boleh berpusing sehingga 1.5 darjah untuk meningkatkan kelincahan dan kestabilan.

Di bahagian dalam, kabin M5 menawarkan keselesaan mewah dengan tempat duduk bucket, trim gentian karbon, dan panel kawalan khusus untuk menyesuaikan mod pemanduan. Kawalan fizikal untuk pelbagai fungsi prestasi seperti pemasa lap dan kawalan pelancaran turut disediakan.

Pengalaman Pemanduan yang Mengagumkan
Memandu BMW M5 baharu dengan panjang lebih lima meter dan lebar yang lebih luas daripada model 5 Series standard, M5 memberikan satu perasaan yang mengagumkan di jalan raya. Walaupun beratnya hampir 2400kg, M5 tetap memberikan prestasi pemanduan yang luar biasa hasil gabungan teknologi dan reka bentuk canggih yang ada pada kereta ini.

BMW M5 baharu ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang hebat dengan teknologi canggih dan kuasa luar biasa. Dengan prestasi yang dipertingkatkan dan reka bentuk yang menakjubkan, ia pasti akan menarik minat peminat kereta berprestasi tinggi.

Tempahan kini dibuka untuk pasaran UK sahaja, dan pengeluaran dijadualkan bermula pada bulan November.
Sumber Artikel : Revealed and driven: New BMW M5 packs 717bhp hybrid V8
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Tragedi Pesawat Azerbaijan Airlines, Kronologi Nahas di Aktau, Kazakhstan

Insiden nahas melibatkan pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) jenis Embraer 190 telah mengejutkan dunia penerbangan.
Pesawat yang dijadualkan untuk penerbangan J2-8243 dari Baku, Azerbaijan, menuju Grozny, Rusia, terhempas di Aktau, Kazakhstan, pada Rabu, 25 Disember 2024.
Berikut adalah kronologi lengkap insiden yang meragut nyawa ini.
Keluar dari Jalur Penerbangan Reguler
Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev di Baku dengan tujuan perjalanan ke ibu kota Chechnya, Grozny.
Namun, keadaan darurat memaksa juruterbang mengubah laluan penerbangan.
Pesawat tersebut telah terbang ratusan kilometer meninggalkan laluan asalnya, merentasi Laut Kaspia, sebelum berakhir di pantai timur laut tersebut.
Rekod pengesanan menunjukkan pesawat sempat terbang berputar-putar di sekitar kawasan pantai berhampiran Lapangan Terbang Aktau.
Selepas beberapa pusingan, ia jatuh kira-kira tiga kilometer dari lapangan terbang itu.
Teori dan Penyebab Insiden
Walaupun penyiasatan sedang dijalankan, pegawai penerbangan Rusia mendakwa insiden ini mungkin berpunca daripada pelanggaran dengan sekumpulan burung.
Serangan burung sering menjadi punca gangguan enjin dalam dunia penerbangan. Namun, tiada kenyataan rasmi yang mengesahkan sebab utama kecelakaan ini setakat ini.
Tambah merumitkan keadaan, wilayah tersebut menghadapi ketegangan geopolitik. Sebelum ini, beberapa serangan dron di Rusia selatan telah memaksa beberapa lapangan terbang menghentikan operasi, termasuk laluan yang dilalui pesawat ini.
Detik-Detik Tragedi
Pada pagi kejadian, saksi melaporkan pesawat tersebut menjunam dengan cepat sebelum menghentam pantai berhampiran Laut Kaspia.
Video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat tersebut terbakar sejurus ia mendarat, mengakibatkan kepulan asap hitam yang tebal.
Beberapa bahagian badan pesawat masih boleh dilihat, namun suasana di lokasi kejadian penuh dengan kekalutan.
Penumpang yang terselamat, dengan tubuh berlumuran darah, kelihatan bertarung nyawa untuk keluar daripada badan pesawat tersebut.

Mangsa dan Tindakan Susulan
Daripada 67 penumpang yang berada dalam pesawat, 32 orang berjaya diselamatkan dan segera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Insiden ini bukan sahaja menggemparkan Azerbaijan tetapi juga Rusia, memandangkan sebahagian penumpang adalah warganegara Rusia.
Pihak Azerbaijan Airlines mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memberi kerjasama penuh dalam penyiasatan, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Rusia.
Selain itu, Pejabat Peguam Negara Azerbaijan telah membuka siasatan di bawah undang-undang keselamatan penerbangan, sementara Rusia turut melancarkan siasatan mereka sendiri.
Persoalan Masih Belum Terjawab
Tragedi ini meninggalkan pelbagai persoalan yang memerlukan jawapan.
Apakah faktor sebenar yang menyebabkan pesawat ini keluar daripada laluan asal? Adakah gangguan teknikal, cuaca, atau faktor lain seperti kesan ketegangan geopolitik menjadi penyebab utama?
Penyiasatan terperinci akan menentukan punca sebenar insiden ini, dan diharapkan langkah-langkah penambahbaikan akan diambil untuk mengelakkan tragedi serupa berulang di masa hadapan.
Sumber Artikel : Website cakaplah.com
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Kongsi “Roadtax”, Lesen Kenderaan Motor (LKM) Digital Melalui Aplikasi MyJPJ